Air bukan untuk diniagakan
Perstrukturan itu melibatkan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mengambilalih aset air bernilai RM889 juta dan hutang kerajaan negeri RM770 juta oleh PAAB serta pembayaran lebihan RM119 juta dalam tiga ansuran RM39.7 juta dalam tempoh tiga tahun. Perbadanan Air Melaka (PAM) yang dikorporatkan kepada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) pula akan memajak aset air berkenaan pada kadar sewa tahunan RM26 juta. SAMB dijangka memperoleh pendapatan RM142 juta dan keuntungan kasar RM11 juta setahun. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata inisiatif itu akan menjadikan operator air negeri entiti aset ringan yang membolehkan mereka menumpukan perhatian sepenuhnya kepada rawatan dan pengagihan air, sekali gus dapat menyediakan perkhidmatan air lebih berkesan. Beliau berkata, dengan sebagai satu-satunya pihak mengurus infrastruktur air negara, segala penjimatan akan diagihkan kembali kepada rakyat menerusi kadar tarif air yang berpatutan. [Bernama 18/12/2008]
Inilah realiti Sistem Kapitalis. Semua perkara hendak diambil keuntungan. Bermula daripada pelbagai urusan yang dikenakan cukai, minyak, sumber elektrik, dan tol jalanraya, semuanya berorientasikan keuntungan. Tidak terkecuali air. Proses pengambilalihan urusan bekalan air kepada rakyat ini nampaknya melibat jutaan ringgit. Siapakah agaknya yang dapat mengaut keuntungan tersebut. Pengurusan air yang seharusnya menjadi tanggungjawab kerajaan membekalkannya kepada rakyat dengan percuma, kini menjadi rebutan segelintir pihak untuk mengaut keuntungan daripada urusan tersebut. Begitulah asam garam pengurusan urusan rakyat oleh kerajaan yang menerapkan sistem kapitalis. Rakyat tidak dianggap sebagai pihak yang perlu dijaga dan dilindungi, tetapi rakyat dilihat sebagai pelanggan untuk mereka perah dan sembelih di dalam urusan ’jual-beli’ air ini. Berapa ramai rakyat yang merana kerana bekalan air ke rumah mereka dipotong kerana tidak mampu menjelaskan bil air.
Air tidak boleh dianggap sebagai sumber ekonomi negara atau aset sesuatu kerajaan. Air adalah salah satu daripada keperluan kehidupan yang wajib dikongsi oleh orang ramai tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit. Manakala urusan pembekalan air kepada rakyat adalah tanggungjawab kerajaan dan bukannya untuk dijual beli sesama syarikat kapitalis. Kerajaan bertanggungjawab untuk menguruskan aspek perbekalan bermula daripada pembinaan takungan, rawatan dan pengagihan. Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,
“Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud].
Hadis ini menerangkan dengan jelas bahawa air adalah suatu yang dikongsi bersama oleh semua manusia dan dilarang (haram) ke atas mana-mana pemerintah atau syarikat atau individu menjadikan urusan bekalan air kepada rakyat suatu asset untuk menjana keuntungan. Pemerintah yang mengaut keuntungan hasil dari sumber air ini hanyalah pemerintah Kapitalis yang menanti azab Allah di akhirat kelak. [Rujuk SN172 – Air Milik Kita]