Mendaulatkan Islam Adalah Kewajipan
Bagaimana perasaan Datuk apabila diumumkan menganggotai Kabinet baru?
Saya memang berasa ia sesuatu di luar dugaan kerana mulai sekarang diberikan amanah untuk bersama kerajaan. Sudah tentu dengan kepercayaan yang diberikan ini, saya akan membawa satu mesej dan juga gerakan baru khususnya dalam konteks kepentingan agama dan perpaduan kaum. Apa yang penting kita perlu melihat apa yang diperlukan seluruh rakyat Malaysia pada hari ini demi untuk kelangsungan perpaduan dengan memastikan Islam sebagai agama rasmi negara terus dihormati.
Apakah tumpuan pertama akan dilaksanakan sebaik saja dilantik?
Saya fikir kita perlu melihat dalam konteks isu terkini iaitu meningkatkan dan mengukuhkan penyatuan dan perpaduan rakyat yang pelbagai bangsa dan anutan agama. Saya percaya kesan daripada penyatuan dan perpaduan dalam konteks institusi perhubungan rakyat pelbagai kaum, sudah pasti mampu melonjakkan kepada gerakan program pembangunan rakyat dan negara yang akan dilaksanakan kerajaan.
Apakah kepercayaan ini cabaran berat khususnya bagi memartabatkan Islam?
Saya meletakkan penghormatan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong yang memberi perkenan kepada saya untuk berada bersama dalam Kabinet Perdana Menteri sudah memberi satu keyakinan kepada saya untuk meneruskan tugasan bagi menjaga hal ehwal Islam sebagai tugas dan tanggungjawab yang diberi kepada saya ketika di Kementerian Pertahanan.
Bila dapat tahu dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri?
Saya dapat tahu pagi tadi (semalam) kira-kira jam 9 pagi. Ketika itu saya berada di pejabat (di Kementerian Pertahanan) tiba-tiba menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri meminta saya berada bersama mendokong kerajaan. Saya ucapkan terima kasih kepada beliau dan saya tanya balik mengenai keyakinannya terhadap saya untuk melaksanakan tugas diamanahkan.
Jadi, saya terima amanah ini dengan hati terbuka dan saya meletakkan janji dan kesungguhan saya kepada beliau untuk melaksanakan tugas sebaik mungkin. Beliau juga ucap tahniah dan terima kasih kerana saya menerima pelawaannya menyertai barisan Kabinet.
Apakah barisan Kabinet baru ini mampu membawa Malaysia menuju kejayaan lebih cemerlang?
Saya percaya barisan Kabinet baru hari ini mampu untuk mengoptimumkan peranan dan tugas masing-masing demi untuk kelangsungan negara menuju kejayaan lebih bermakna sejajar dengan suasana dunia semasa.
Sumber : Berita Harian, 10/04/09
Untuk Mendaulatkan Islam Dan Memastikan Perpaduan Kaum Wajib Kembali Kepada Syara’
Satu komitmen yang harus dipuji jika apa yang disebutkan oleh Jamil Khir Baharom benar-benar dapat direalisasikan. Niat yang murni itu tidak akan dapat direalisasikan jika ianya tidak dilaksanakan sebagaimana Rasulullah SAW melaksanakan Islam kerana umumnya umat Islam mengakui dan menyedari bahawa hanya Rasulullah SAW sahajalah satu-satunya manusia pilihan yang paling memahami ajaran dan pengamalan Islam itu sendiri. Firman Allah SWT:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. [TMQ al-Ahzab(33):21].
Kita perlu menyedari bahawa Islam yang ingin kita perjuangkan ini tidak boleh dilihat dalam konteks sekular. Tetapi sebaliknya, Islam itu perlu dilihat sebagai suatu cara hidup yang diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi Muhammmad SAW bagi mengatur hubungan manusia itu dengan Tuhannya, dengan dirinya sendiri dan juga dengan manusia yang lain. Jika ini tidak diperhatikan maka kita akan dapat menjangkakan bahawa slogan akan terus tinggal slogan dan komitmen akan lama kelamaan pasti tenggelam. Kerana itu pertukaran pemimpin tanpa sistem yang benar tidak akan kemana-mana. Islam akan pasti disudutkan hanya untuk perkara-perkara tertentu sahaja tanpa berperanan untuk menjadi dasar kepada urusan negara itu sendiri. Sebagaimana yang kita lihat dari dulu, kini dan ….sampai bila?
Oleh itu kami ingin mengingat mereka yang telah diberikan kuasa dan amanah agar menyadari bahawa adalah menjadi kewajiban atas kalian khususnya dan umat Islam amnya untuk berusaha mendaulatkan Islam dengan memastikan hukum syara’ yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah itu menjadi hukum yang akan mengatur kehidupan individu, masyarakat serta negara dan bukannya masih mengekalkan sumber peninggalan suruhuanjaya Lord Reid untuk terus dijadikan asas bagi mengatur kehidupan masyarakat dan negara seperti apa yang berlaku saat ini.