Abdullah yang tak mengenal kalah
“Banyak orang tanya adakah ini ucapan good bye saya kepada Kepala Batas tetapi saya kata mana boleh good bye kepada Kepala Batas. Abdullah juga melahirkan perasaan terharu dengan kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh anggota parti di bahagian itu kerana terus mencalonkan beliau sebagai ketua bahagian. Beliau turut menyorot beberapa sumbangan penting yang dibuat oleh bahagian itu selama ini antaranya mengusulkan tarikh kemerdekaan negara pada tanggal 31 Ogos 1957 dan agama Islam sebagai agama rasmi negara. [Utusan Malaysia]
Nampaknya semangat Pak Lah terus membara atau ‘buat-buat’ membara untuk terus berkhidmat di dalam Umno, sebuah parti assabiyyah sekular yang semakin usang ini. Walaupun telah ditolak oleh ahli akar umbi Umno serta para pemimpin Umno sendiri, Pak Lah masih lagi ingin tetap setia untuk meneruskan perjuangan bersama Umno. Nampaknya Pak Lah masih tetap ingin mempertahankan kekuatan Umno, walaupun seribu satu macam kucar-kacir berlaku di dalam pemilihan Umno sekarang. Di sepanjang perhimpunan Umno di seluruh negara, ahli-ahlinya bergaduh sesama sendiri, bercakaran dan beradu domba sesama mereka untuk merebut jawatan, tidak ubah seperti sekumpulan budak kecil yang berebutkan ais krim. Pak Lah nampaknya masih belum merasa malu dan terpukul dengan gelagat yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Umno yang selama ini ‘dibimbingnya’ ke jalan kebenaran di bawah Islam Hadhari.
Memang susah untuk memisahkan orang-orang Umno, apatah lagi pemimpin Umno dari parti assabiyyah Melayu terbesar ini selagi mana ‘manfaat’ yang ada di dalam Umno masih mengikat sesama mereka. Hanya mereka yang ikhlas takutkan Allah sahajalah yang akan sanggup bertalak tiga dengan Umno. Firman Allah,
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka”. [TMQ al-Hadiid(57):16].
Rasuah, pergaduhan, permusuhan, fitnah dan sebagainya semangnya tidak pernah dapat dihapuskan setiap kali menjelangnya pemilihan Umno. Sebagai rakyat Malaysia, kita semua tahu bahawa kebanyakan pemimpin Umno adalah pemimpin masyarakat dan juga merupakan pemimpin negara. Justeru, hakikatnya adalah, kita sekarang mempunyai pemimpin yang penuh dengan rasuah, pergaduhan, permusuhan, fitnah dan pelbagai maksiat lainnya yang dilakukan oleh mereka. Golongan inilah yang memimpin kit sekarang. Namun, golongan inilah yang tidak pernah takutkan azab Allah, dengan meninggalkan ajaran Islam, Kitabullah dan Sunah RasulNya di dalam pemerintahan mereka.
Ingatlah wahai mereka yang memimpin, bahawa Rasulullah SAW di akhir hayatnya telah berpesan kepada umatnya untuk berpegang kepada 2 perkara yang akan ditinggalkannya, dimana apabila berpegang dengannya, mereka tidak akan sesat selama-lamanya iaitu al-Quran dan sunnahnya. Mafhum mukhalafah dari hadis ini adalah, barangsiapa yang tidak berpegang dengan Kitabullah dan Sunah RasulNya, maka mereka akan berada di dalam kesesatan yang nyata.
Dan bukankah Rasulullah SAW telah bersabda bahawa,
“Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah” [HR Abu Daud].
Tetapi apa yang sedihnya adalah Pak Lah di akhir-akhir hayatnya ini masih lagi ingin terus memberikan kesetiaannya kepada Umno, sebuah parti assabiyyah terbesar di Malaysia yang telah nyata haramnya berdasarkan hadis Rasulullah SAW.
Di samping itu, Pak Lah juga tidak pernah merasa bersalah dengan warisan Islam Hadhari yang akan beliau tinggalkan kepada ahli-ahli Umno. Suatu konsep yang celaru lagi kelabu bagi umat Islam itu sendiri. Semasa pemerintahan Islam Hadhari-lah, kadar jenayah semakin meningkat, gejala sosial semakin meningkat, rasuah di dalam kerajaan semakin meningkat dan segala kemaksiatan lainnya terus meningkat dari hari ke hari. Ternyata, apa yang dibawa oleh ajaran Islam Hadhari adalah bertambah suburnya maksiat dan jenayah di dalam negara.
Di saat-saat akhir hayatnya ini, Pak Lah seharusnya mula bertafakur di sejadah dan menilai semula dosa-dosa yang telah beliau lakukan selama ini bersama Umno yang tidak pernah menerapkan hukum Allah di Malaysia. Peluang untuk berubah dan bertaubat masih terbuka selagi nyawa masih di badan. Buatlah kebaikan dengan sisa-sia kekuasaan dan sisa-sisa usia yang ada, semoga akan ada hujah di depan Allah kelak pada suatu
“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang bersih” [TMQ asy-Syu’ara’(26):88-89]