Ancaman neraka untuk pemakan rasuah dan harta batil

Kes rasuah dan penyelewengan yang melibatkan orang-orang politik dan penjawat awam sudah lama menjadi santapan harian di Malaysia. Rasuah dan segala macam itu sudah lama menjadi darah daging mereka, walaupun tidak semua mereka terlibat. Kini, Malaysia menghadapi kes rasuah dan penyelewengan yang lebih “special” apabila ia melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Setelah kita menyaksikan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT) dan Panglima Tentera Darat (PTD) diheret ke mahkamah, terbaru kita menyaksikan bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan pula diheret ke muka pengadilan membabitkan isu rasuah. Kesemua mereka adalah orang-orang utama dalam menjaga keselamatan negara.

Apa sudah jadi? Sudahlah kewajipan mulia jihad ke Palestin tidak pernah disahut, sebaliknya kini dituduh pula dengan kesalahan yang memalukan di saat Palestin dan warganya memerlukan bantuan daripada tentera kaum Muslimin untuk membebaskan mereka daripada kekejaman Yahudi laknatullah.

Ya kita tidak menuduh mereka bersalah selagi belum dibuktikan bersalah, namun buat masa ini fakta dan hakikatnya ialah panggilan jihad dari Allah tidak disahut, dan mereka sedang berhadapan dengan tuduhan yang memalukan!

Dalam masa yang sama, negara juga turut digegarkan dengan penangkapan seorang tokoh muamalat yang amat terkenal bukan sahaja di Malaysia tetapi seantero dunia, atas kesalahan menipu pelaburan mencecah hingga RM300 juta.

Pendek kata, Malaysia yang sekular ini memang tidak pernah sunyi dengan isu rasuah, penyelewengan, penggelapan dana, penipuan dan pelbagai skandal.

Dari satu sudut, baguslah kerana kelihatan beberapa ekor jerung sudah kena tangkap, yang selama ini hanya bilis sahaja yang kena. Namun demikian, masih banyak lagi jerung yang terlepas dan kelihatannya sengaja dilepaskan. Malah, terdapat jerung yang special yang dibela dengan baik dan berada di sisi orang yang ingin menangkap jerung.

Rasuah: Mengundang laknat Allah dan Rasul-Nya

Dalam sebuah sistem yang korup seperti demokrasi di Malaysia, tidak ada jaminan bahawa pemimpin dan pegawai yang berada di dalamnya tidak turut korup. Malah, hampir mustahil untuk mereka menjadi bersih, kerana ruang untuk melakukan kejahatan sentiasa terbentang di depan mata.

Dalam sistem yang korup ini, hanya ketakwaan individu sahajalah yang boleh menjadi benteng kepada seseorang pemimpin atau penjawat awam, atau siapa sahaja, untuk menghindari diri mereka daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, atau terlibat dalam apa jua skandal.

Justeru, mereka yang sudah pun terlibat atau ingin terlibat dalam kejahatan ini seharusnya ingat akan peringatan Allah dan Rasul-Nya, yang seharusnya menjadikan mereka bertaubat atau menjauhkan diri daripada perbuatan keji ini. Daripada Abdullah bin Amr (ra), beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ

“Rasulullah (saw) melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah” [HR Abu Daud dan at-Tirmidzi].

Turut dilaknat oleh Allah dan Rasul-Nya ialah perantara (orang tengah) dalam transaksi rasuah. Daripada Tsauban (ra), beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ بَيْنَهُمَا

“Rasulullah (saw) melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara di antara keduanya” [HR Ahmad].

Bagi mereka yang terlibat dalam hal pemerintahan, mereka seharusnya lebih takut kerana terdapat hadis yang secara langsung di mana Rasulullah (saw) melaknat mereka. Daripada Abu Hurairah (ra), beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ فِي الْحُكْمِ

“Rasulullah (saw) melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerima rasuah dalam urusan pemerintahan” [HR Abu Daud].

Selain rasuah, hal yang turut diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya ialah hadiah yang diterima oleh penguasa atau pegawai negara. Pada hari ini ramai yang terlibat menerima hadiah atas alasan ia bukan rasuah. Ya benar ia bukan rasuah, tetapi ia turut diharamkan oleh Islam, dan hadiah tersebut (menurut Islam )adalah sebuah harta ghulul (curang). Daripada Abu Humaid as-Sa’idi (ra), beliau berkata bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

هَدَايَا الْعُمَّالِ غُلُولٌ.

“Hadiah (yang diterima oleh) pegawai negara adalah harta ghulul” [HR Ahmad].

Sabda baginda (saw) yang lain:

مَنِ اسْتَعْمَلْنَاهُ عَلَى عَمَلٍ فَرَزَقْنَاهُ رِزْقًا، فَمَا أَخَذَ بَعْدَ ذَلِكَ فَهُوَ غُلُولٌ

“Barang siapa yang kami pekerjakan atas suatu pekerjaan lalu kami memberikan rezeki (gaji / upah) kepadanya, maka apa yang diambilnya selain itu merupakan harta ghulul” [HR Ibnu Khuzaimah].

Lebih tegas dan lebih spesifik, Allah dan Rasul-Nya memberi ancaman neraka secara langsung kepada mereka yang memakan harta secara batil/haram. Dari Jabir bin Abdullah (ra), bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ، النَّارُ أَوْلَى بِهِ

“Tidak akan masuk syurga daging yang tumbuh daripada sumber yang haram (as-suht), neraka lebih utama baginya” [HR Ahmad dan al-Baihaqi].

Firman Allah (swt):

وَمَنْ يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Dan barang siapa yang curang (yaghlul), pada hari kiamat ia akan datang membawa hasil kecurangannya itu” [Ali-Imran (3):161]

Ancaman daripada Allah dan Rasul-Nya ini sebenarnya sudah cukup untuk menakutkan siapa sahaja yang telah atau ingin memakan harta dengan cara batil. Bagi mereka yang telah terlanjur, maka taubat nasuha adalah jalan terbaik jika mereka ingin selamat di akhirat kelak.

Namun, jika ancaman neraka dari Allah dan Rasul-Nya ini tidak juga menakutkan mereka, dan mereka terus sahaja melahap harta haram sesuka hati, maka sesungguhnya tidak ada apa lagi yang akan menakutkan mereka, dan kita hanya mampu katakan kepada mereka tunggu sahajalah hari pembalasan.

Kesimpulan

Tidak ada jalan lain untuk menyelesaikan kes rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, khususnya dalam kalangan penguasa dan penjawat awam, kecuali dengan negara menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai perlembagaan dan undang-undang. Ini kerana, penerapan hukum Allah sahajalah yang akan melahirkan sebuah pemerintahan, pentadbiran serta suasana yang Islami dalam negara, yang bukan sahaja akan menutup pintu kepada segala kemaksiatan, bahkan tidak akan mendorong manusia untuk melakukannya – barulah datangnya keberkatan daripada Allah (swt):

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

“Jika sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi..” [Al-A’raf (7): 96)

Negara apa lagi yang akan mendapat keberkatan kerana menerapkan Al-Quran dan As-Sunnah jika bukan Khilafah?

Wallahu a’lam.