Antara banjir dan berita tentang banjir
Sejak bermulanya tragedi banjir di Pantai Timur, khususnya di Kelantan, bermacam-macam berita khususnya melalui aplikasi telefon pintar bertali-arus dan berlegar-legar di kalangan orang ramai. Ironinya, banyak di antara berita tersebut, setelah tersebar, dinafikan pula oleh berita yang lain. Tahu sahajalah dunia komunikasi tak terbatas yang ada hari ini, memang memudahkan penyampaian segala maklumat, tidak terkecuali maklumat palsu dan pelbagai bentuk fitnah. Memanglah banyak peristiwa menyedihkan dengan musibah banjir yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur ini, namun lebih menyedihkan apabila banyak maklumat palsu yang turut tersebar.
Bagi berita yang menimbulkan persoalan dan masih lagi mempunyai kredibiliti, pihak yang berkenaan wajar menyiasat kesahihan berita tersebut untuk diambil tindakan selanjutnya. Umpamanya, berita tentang punca sebenar banjir, berita tentang tidak sampainya bantuan kepada mangsa, berita tentang kerenah birokrasi dan campur tangan pihak-pihak tertentu dalam urusan pengagihan bantuan sehingga lewat tiba dan sebagainya, semua ini mesti disiasat oleh pihak berwajib bagi memperbaiki keadaan dan menyelesaikan masalah.
Manakala kepada penyebar berita palsu atau berita fitnah, HTM dengan ini mengingatkan agar tidak berbuat demikian kerana ia termasuk dalam perbuatan dosa. Manakala para pengguna telefon pintar pula, juga tidak seharusnya menyebarkan berita yang diterima tanpa diketahui kesahihan dan daripada mana sumbernya. Teknologi komunikasi yang canggih yang ada pada hari ini sepatutnya dimanfaatkan untuk mendapat pahala atau melakukan perkara-perkara yang bermanfaat sahaja, bukannya digunakan untuk meraih dosa. Janganlah menjadi orang yang fasik dengan menyebarkan berita yang tidak sepatutnya. Sama ada penyebar atau penerima berita, ingatlah akan firman Allah,
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang-orang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti….” [TMQ al-Hujurat (49):6].
Itu dari satu sisi, dari sisi yang lain, dengan musibah yang melanda ini, seperti biasa kita dapat menyaksikan bagaimana berita-berita arus perdana yang bukan sahaja berminat menyiarkan tentang tregedi banjir, tetapi lebih berminat memfokuskan para pemimpin yang turun padang kononnya menghulur bantuan dan menyelami masalah mangsa-mangsa banjir. Inilah antara berita yang mengotori segala berita banjir! Inilah kekotoran politik yang jauh lebih kotor dari segala kekotoran banjir! Inilah antara musibah umat disamping musibah banjir, yakni mempunyai pemimpin yang yang dipenuhi kekotoran, jauh dari segala sikap dan sifat kebersihan yang dituntut oleh Islam.