Apa yang tak kena dengan solat hajat di jambatan?
Ramai yang melontarkan komen serta kritikan apabila kerajaan negeri Kelantan mengadakan solat hajat di Jambatan Tendong, Pasir Mas dengan kehadiran kira-kira 500 orang peserta, akibat banyaknya kes bunuh diri di jambatan berkenaan.
Komen-komen tersebut bukanlah mempertikaikan tentang solat hajat tetapi lokasi yang dipilih. Walaupun Menteri Besar Kelantan telah memberi penjelasan mudah bahawa disebabkan insiden bunuh diri berlaku di situ, maka atas dasar itu mereka mengadakan solat di situ, namun alasan tersebut bukannya boleh ditelan semudah itu.
Apa tidaknya, jalan raya dikatakan terpaksa ditutup selama 16 jam bagi tujuan persiapan dan solat hajat berkenaan. Ia memang suatu yang tidak wajar khususnya kepada orang ramai yang senantiasa melalui jambatan berkenaan untuk urusan harian.
Kalaulah rakyat yang memohon untuk menutup jalan selama itu, nescaya tidak akan diluluskan oleh pihak yang berwajib, dengan alasan mengganggu lalulintas. Namun, oleh kerana kerajaan negeri yang terlibat, maka semuanya diluluskan dengan mudah, walaupun ternyata menyusahkan banyak pihak. Padahal boleh sahaja solat hajat dilakukan di masjid yang tidak akan menyusahkan sesiapa.
Itu dari satu sudut. Dari sudut lain terdapat isu “tersembunyi” yang mungkin hanya diketahui oleh orang-orang tertentu sahaja iaitu terdapat cakap-cakap bahawa solat hajat dilakukan di situ sebenarnya ialah untuk “menolak bala”. Wallahu a’lam.
Harapnya perkara tersebut tidak benar. Namun jika benar, ia termasuk isu akidah yang tidak seharusnya wujud apatah lagi apabila melibatkan pihak kerajaan sendiri. Sesungguhnya tidak ada bala, tidak ada puaka dan tidak ada penunggu apa pada mana-mana tempat pun. Semua itu adalah khurafat yang membahayakan akidah seseorang Muslim, jika ada kepercayaan seperti itu.
Kerajaan negeri seharusnya mencari punca atau sebab kenapa wujudnya fenomena bunuh diri yang agak tinggi di Kelantan. Puncanya harus disiasat dan kemudian diberi solusi.
Secara umumnya setiap Muslim tahu bahawa membunuh diri adalah berdosa besar. Namun demikian, bagi sesetengah orang yang tidak kuat imannya, dan tidak kuat dalam menghadapi masalah hidup tetap sahaja sanggup berbuat demikian. Kebiasaan kes bunuh diri berlaku akibat tekanan perasaan yang tidak dapat dikawal, baik berpunca daripada masalah ekonomi, masalah keluarga, masalah tempat kerja dan sebagainya.
Jika benar kerajaan negeri ingin menyelesaikan masalah bunuh diri, maka puncanya mesti dicari dan diselesaikan, bukannya terus “melompat” ke solat hajat. Keluarganya mesti ditemui, begitu juga dengan kawan-kawan dan lingkungannya mesti ditemui untuk mengenalpasti punca. Dari sini rumusan dan jalan penyelesaian boleh diambil bagi memastikan insiden yang sama tidak berulang kepada orang lain di masa hadapan.
Walaupun tidak dinafikan ada dalam kalangan pembunuh diri yang mempunyai masalah peribadi, namun kita juga tidak boleh menafikan bahawa sistem yang rosak pada hari ini turut menjadi penyumbang kepada gejala tersebut.
Untuk rekod, Kelantan bukan sahaja mencatatkan angka bunuh diri yang agak tinggi, tetapi menjadi negeri yang paling parah dalam kes dadah dan jenayah kekerasan. Berdasarkan statistik pendaftaran kes di mahkamah pada tahun lepas (2023), terdapat 6412 kes jenayah di Kelantan dan yang terbanyak ialah melibatkan kesalahan berkaitan dadah.
Kes seksual juga menunjukkan peningkatan daripada 197 kes pada 2022 kepada 249 kes pada 2023, satu angka yang membimbangkan menurut Ketua Polis Kelantan, sebagaimana dilaporkan.
Seperkara lagi, apa yang benar-benar menjadi “bala” di negeri Cik Siti Wan Kembang itu ialah air. Sudah berpuluh tahun rakyat Kelantan mengalami masalah air, yang gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri dengan pelbagai alasan diberikan. Kerajaan Kelantan sedikit pun tidak mahu mengakui kelemahan dan penyelewengan dalaman yang wujud.
Diakui atau tidak, Islam bukanlah menjadi agama yang memerintah Kelantan, sama sebagaimana negeri-negeri lainnya. Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi-sekular yang menerapkan sistem dan undang-undang daripada penjajah, termasuklah semua negeri yang ada di Malaysia. Inilah sistem yang diamalkan pada hari ini, yang menjadi penyebab terbesar kepada segala kerosakan.
Selagi kerajaan negeri mahupun Pusat tidak mahu mengakui kedudukan ini dan sentiasa “perasan” bahawa mereka telah menerapkan Islam, maka selagi itulah keadaan yang buruk ini tidak akan berubah. Sistem yang buruk sudah pasti menghasilkan natijah yang buruk, dan begitulah sebaliknya. Solat hajat tidak akan menyelesaikan semua masalah ini.
Umat Islam perlu sedar dan bangkit untuk merubah keadaan ini, dan satu-satunya jalan kebangkitan tidak lain tidak bukan ialah dengan berusaha menerapkan Islam secara kaffah melalui penegakan sebuah Negara Islam (Khilafah) melalui thariqah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah (saw).
Wallahu a’lam wa ahkam.