Apabila Para Pengampu Kerajaan Sekular Bersuara…..
KUALA LUMPUR 7 Jun – Undang-undang syariah negara tidak pernah dipengaruhi oleh elemen kolonial kerana ia terletak di bawah kuasa Raja-raja Melayu meskipun ketika negara di bawah penjajahan British.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz (gambar) berkata, British juga tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal Islam termasuk pelaksanaan undang-undang syariah serta proses pembuktian di mahkamah. “Justeru, adalah tidak tepat untuk mengatakan undang-undang syariah negara kita mengikut acuan kolonial kerana kita sudah mempunyai mahkamah syariah sendiri sebelum kedatangan penjajah dengan Raja-raja Melayu sebagai hakim utama manakala mufti-mufti pula sebagai pembantu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa undang-undang syariah negara masih dipengaruhi elemen era kolonial iaitu mengikut undang-undang British. Malah, kata Sham Rahayu, sekiranya benar Abdul Hadi beranggapan undang-undang syariah negara mengikut era kolonial, maka beliau sepatutnya bersetuju rakaman video seks boleh dijadikan sebagai salah satu dokumen keterangan di mahkamah. Ia juga, kata beliau, selari dengan pelaksanaan hukuman takzir bagi undang-undang syariah di negara ini yang tidak memerlukan empat saksi bagi kesalahan zina seperti di bawah hukuman hudud. “Sepatutnya Abdul Hadi tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat kerana ini melibatkan kepentingan awam terutamanya umat Islam,” kata beliau. “Bagaimana jika selepas ini ada pesalah zina mempersoalkan hukuman ke atas mereka kerana ketiadaan empat saksi? Sudah semestinya jenayah zina akan berleluasa dalam masyarakat,” kata beliau.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, undang-undang syariah negara tidak wajar diperlekehkan kerana ia digubal menerusi mesyuarat dan perbahasan pakar-pakar perundangan syariah negara. Katanya, meskipun undang-undang syariah itu masih merujuk kepada model perundangan British, namun ia telah diberi nafas baru sesuai dengan perkembangan semasa. “Kita tidak boleh menolak keseluruhan undang-undang itu semata-mata kerana ia dari penjajah. Sebaliknya kita perlu lihat dari aspek kesesuaian amalannya di negara ini yang mana jika undang-undang itu sesuai dengan hukum syarak, maka ia boleh digunakan dan begitulah sebaliknya,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia: 08/06/11
Apabila Para Pengampu Kerajaan Sekular Bersuara…..
Undang-undang syariah Islam mencakupi persoalan hudud, jinayat, takzir dan mukhalafat di mana kesemua hukuman tersebut terbit dari al-Quran dan as-Sunnah. Kepada para pengampu kerajaan sekular ini kita ingin meminta mereka menunjukkan di manakah undang-undang yang dikatakan undang-undang syariah negara hari ini yang menjatuhkan hukuman potong tangan kepada kesalahan mencuri dan hukuman rejam dan sebat kepada kesalahan zina? Dan di mana undang-undang yang menghukum mereka yang mengambil riba? Hakikatnya,‘undang-undang syariah’ yang diterapkan di negara ini lahir dari keputusan akal manusia yang bersidang di parlimen, bukannya dari aqidah Islam yang mulia.
“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu ? Mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya”. [TMQ an-Nisaa’ (4) : 60].
“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin “?