Apabila Salah Memahami Hakikat Sebenar Al-Quran

altMajlis tadarus, khatam al-Quran
 
ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengadakan majlis Tadarus dan Khatam al-Quran di kediamannya di Sri Satria, Putrajaya, semalam.

Ibu Perdana Menteri yang juga ibu mentua Rosmah, Tun Rahah Mohd. Noah antara peserta majlis khatam al-Quran tersebut.

Majlis dihadiri kira-kira 50 tetamu termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ahli-ahli Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) serta rakan-rakan beliau.
Juara pertandingan menghafaz al-Quran 30 juzuk peringkat kebangsaan, Muhammad Ahmad Zahid, 14, turut memperdengarkan bacaannya pada majlis tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia 09/09/09

Apabila Salah Memahami Hakikat Sebenar Al-Quran…

Wahai Rosmah! Apakah kamu memahami untuk apa al-Quran itu diturunkan?

Bukankan Al-Quran itu diturunkan sebagai petunjuk untuk manusia?

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”. [TMQ al-Baqarah (2) : 185].

Al-Quran itu juga merupakan penawar dan rahmat?

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” [TMQ al- Israa’ (17) :82].
Dan al-Quran itu adalah kitab yang menjelaskan setiap sesuatu?

“dan Kami turunkan kepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam”. [TMQ al-Nahl (16) : 89].

Wahai Rosmah! Nampaknya kamu bersungguh-sungguh untuk menghabiskan bacaan al-Quran pada bulan  Ramadhan kali ini. Tahukah kamu untuk apa kamu menbaca al-Quran?

Bukankah al-Quran itu diturunkan untuk mengubah kehidupan manusia?

“Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin tuhan mereka – ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji”. [TMQ Ibrahim (14) :1].

Wahai Rosmah! Bagaimana dengan diri kamu? Apakah ada perubahan dalam hidup kamu setelah kamu membaca al-Quran itu? Atau apakah hanya sekadar untuk halwa telinga dan sekadar upacara tahunan dan  simbol semata-mata. Apakah kamu sedar bahawa al-Quran itu bukan hanya sekadar untuk itu? Bukankah al-Quran itu wajib dibaca, difahami dan diamalkan dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara?

Al-Quran mengandungi perintah dan larangan dari Allah SWT yang wajib dilaksanakan dan diterapkan oleh manusia tidak kira individu, masyarakat mahupun negara. Apakah kamu sedar jika umat Islam tidak membaca, tidak memahami dan tidak beramal dengan isi kandungan al-Quran itu maka mereka akan termasuk dalam golongan yang dikatakan sebagai “acuh tak acuh” iaitu mereka yang disejajarkan oleh Allah sebagai musuh kepada para nabi?

“Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”.

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang bersalah; dan cukuplah tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi penolong (bagimu terhadap mereka)”. [TMQ al-Furqaan (25) : 30].

Wahai Rosmah! Tidak cukup bagi kamu hanya dengan mengadakan majlis tadarrus dan khatam al-Quran. Lebih jauh dari itu, adalah menjadi suatu  kewajiban bagi kamu untuk mengingatkan suamimu akan kewajiban yang terbeban ke atasnya, iaitu menerapkan ajaran al-Quran yang kamu baca itu di dalam pemerintahan yang kini berada dalam kekuasaannya..
 
“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir”. [TMQ al-Maaidah (5) : 44]. “dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. [TMQ al-Maaidah (5) : 45]. “dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik”.  [TMQ al-Maaidah (5) : 47].