Apakah Islam masih mendapat tempat di manifesto parti-parti politik?
Menjelang pilihan raya umum yang akan berlangsung pada 19 November 2022 nanti, masyarakat Malaysia hampir setiap hari akan disajikan dengan pelbagai maklumat politik khususnya tentang parti-parti politik yang bertanding. Pilihanraya yang ke-15 ini sudah pasti mengulangi sketsa yang sama semenjak dari pilihanraya yang pertama – ada hari penamaan calon, hari berkempen dan akhirnya hari mengundi.
Parti-parti yang bertanding akan merancang strategi untuk memenangi piliharaya ini, bermula dari pemilihan calon parti sehinggalah ke manifesto yang terus digembar gemburkan sepanjang waktu berkempen. Ada manifesto yang diulang tawar walaupun sudah berkurun digunakan. Ada juga manifesto baru yang diketengahkan sesuai dengan strategi parti masing-masing. Media sosial ligat dihujani dengan kandungan menarik termasuklah manifesto yang dijanjikan demi menarik perhatian para pengundi. Sebagai umat Islam, kita terfikir – mungkinkah ada manifesto yang mendaulatkan Islam dalam pilihanraya kali ini?
Sebagai seorang Muslim, sama ada anggota parti yang bertanding mahu pun para pengundi, hakikatnya kita wajib mengikut perintah Allah tanpa sebarang persoalan dalam menjalankan hukum Islam, termasuklah dalam konteks pemerintahan. Untuk parti yang bertanding adakah manifesto Islam sudah tidak popular untuk diketengahkan ataukah mungkin masih diketengahkan namun isu yang di diulang pakai hanya berkisar di sekitar isu hudud, RUU355 dan pemerkasaan mahkamah syariah? Atau mungkin manifesto ‘Islami’ ini ditambal sulam dengan janji untuk menjadikan Al-Quran sebagai perlembagaan negara? Hakikatnya, sebagai para pengundi, adakah anda masih berharap Islam dapat diangkat semula dengan mengundi parti-parti yang menawarkan manifesto sedemikian? Atau mungkin juga Islam tidak muncul lagi di dalam manifesto kerana tidak lagi popular untuk meraih undi?
Hakikatnya, manifesto bukanlah kitab suci untuk dituruti selepas menang pilihanraya. Skrip ini pernah dituturkan pemerintah setelah menang tetapi gagal untuk melaksanakan janjinya setelah disoal oleh rakyat. Akhirnya, apa sebenarnya manifesto parti politik? Ia hanyalah gula-gula pemanis lidah buat para pengundi semata-mata. Manis berimpian itu sementara namun pahit pendustaan itu kekal lama.
Anda boleh baca sendiri pelbagai manifesto semua parti dari awal piliharaya sehingga ke hari ini, mana yang terlaksana dan mana pula dibiarkan begitu sahaja. Dengan berpandukan hati dan akal yang dikurniakan Allah (swt), lihatlah sendiri hakikat manifesto parti politik. Sudah terlalu banyak kali kita ditipu dan akan terus ditipu!
Jika benar pun ada manifesto yang berunsurkan Islam, perlaksanaannya sangat samar dan umum. Manifesto tentang keadilan, kesejahteraan, keseimbangan sosial dan pelbagai lagi tidaklah wajar di anggap sebagai manifesto yang Islami. Islam adalah Deen yang memiliki solusi yang unik dan spesifik dalam penyelesaiannya untuk semua aspek kehidupan. Tanpa Islam, tidak akan wujud keadilan, kesejahteraan dan keseimbangan sosial secara hakiki!
Justeru, apakah tindakan kita? Untuk memperoleh gambaran tentang apa yang kita harus lakukan, kita perlu belajar dari suri teladan kita Rasulullah (saw) terutamanya dalam aspek penegakan Islam dalam pemerintahan. Rasullah tidak menjanjikan manifesto dalam menegakkan Islam, Rasulullah hanya berkata benar dan melaksanakan apa yang diwahyukan kepadanya tanpa dusta. Apa yang dilakukan Rasulullah adalah menjalankan dakwah Islam yang akhirnya diterima manusia dan baginda berjaya membentuk sebuah negara Islam yang melaksanakan 100% aturan Allah (swt).