Arak dan kilangnya adalah haram, baik sebelum, semasa atau sesudah Covid-19
Gempar di media sosial akan surat kebenaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kepada syarikat pengeluar arak, Heineken Malaysia Berhad untuk meneruskan operasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berjalan. Menurut surat yang berlegar itu, KPDNHEP memberikan kelulusan kepada kilang arak tersebut kerana mematuhi kriteria yang ditetapkan sebagai operasi sektor perbekalan makanan di bawah PKP.
Walaupun kerajaan menerima kecaman hebat setelah tersebarnya surat ini, namun setakat ini belum ada yang tampil untuk mengesahkan mahupun memberikan apa-apa respons mengenainya.
Menariknya, parti-parti yang ada dalam komponen Perikatan Nasional (PN) sendiri mempersoalkan keputusan KPDNHEP ini. Baguslah mereka mempersoalkan, namun harus diingat bahawa sebagai sebahagian daripada parti pemerintah, dosa-dosa pelaburan itu tetap tidak terangkat sehinggalah segala keharaman tersebut dihapuskan sepenuhnya.
Sebagai Muslim, kita hendaklah faham bahawa arak dan kesemua kilang arak yang beroperasi secara besar-besaran di Malaysia ini sememangnya haram di sisi Islam. Islam telah mengharamkan arak lebih 1400 tahun dahulu. Malangnya di Malaysia ini, kilang arak boleh beroperasi dengan skala yang besar kerana diluluskan dan ‘dijaga’ kesinambungannya oleh kerajaan sejak sekian lama.
Arak adalah ibu kepada segala kejahatan. dan sudah tidak terkira berapa banyak kejahatan yang telah terhasil di Malaysia sejak berdirinya kilang arak di zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) lagi. Berapa banyak kes pemandu mabuk yang telah menyebabkan kemalangan dan kematian di negara ini. Berapa banyak jenayah yang telah berlaku akibat pengambilan arak. Berapa banyak pusat maksiat yang merosakkan masyarakat yang telah beroperasi selama ini dengan menyediakan minuman syaitan itu!
Justeru, apa yang kita harus sedar ialah keharaman arak dan kilang arak ini bukan sahaja semasa Covid-19 ini sahaja, malah ia diharamkan oleh Islam baik sebelum, semasa mahupun sesudah Covid-19. Kerajaan BN dulu bertanggungjawab mewujudkan dan ‘menjaga’ kesemua kilang arak ini, dan ‘penjagaan’ ini diteruskan pula oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). Sekarang kita sama-sama saksikan samada perkara yang dimurkai oleh Allah ini akan diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau akan berakhir segera.
Kita tidak mahu operasi kilang arak ini hanya ditutup sementara tatkala wabak sedang melanda, tetapi kita mahu ia ditutup terus daripada beroperasi kerana keharaman dan kemudharatannya yang sangat jelas, sebagaimana yang dijelaskan oleh Islam. Lebih buruk apabila diluluskan operasi kilang arak di saat Allah sedang menurunkan ujian atau bala-Nya ini, maka azab Allah apakah lagi yang kita ingin undang? La haula wa la quwwata illa billah. Semoga Allah mengangkat segala keburukan ini daripada kita segera. Amiiiin.