ATM Jadi Alat Mainan Politik
Menjelang pilihanraya umum pula, isu yang berlegar sekitar ATM adalah isu undi sehingga ada yang mengatakan undi daripada anggota ATM yang bermastautin di kawasan berlakunya pilihanraya dan undi pos akan menjadi penentu kepada keputusan akhir pilihanraya. Hal ini merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang mengatakan bahawa sokongan tentera kepada kerajaan akan terus meningkat jika pihak pembangkang terus mengkritik dan mengutuk aset pertahanan ATM. Apa yang dapat difahami di sini, perkara yang jadi pertimbangan utama bukannya sejauh mana aset ATM itu mampu untuk menyaingi kekuatan teknologi tentera negara-negara serantau atau negara-negara dunia yang lain, tetapi sejauhmana ia dapat memberi keuntungan kepada Parti yang memerintah.
Pihak ATM perlu sedar bahawa kewujudan mereka itu bukanlah sekadar untuk melakukan kerja-kerja kemasyarakatan, membuat pameran, membantu di dalam masjlis-majlis rasmi kerajaan dan menjaga serta mempertahankan aset negara yang lain dan terlibat di dalam permainan kotor pilihan raya yang bakal menjelang nanti. Malah, peranan ATM jauh lebih besar dan lebih mulia daripada semua itu.
Di dalam Islam, penubuhan pasukan tentera itu menjadi wajib berdasarkan kewajiban negara berdakwah ke negara lain melalui tareqah Jihad. Kewajiban negara untuk memikul dakwah ada kalanya mudah dan ada kalanya mendapat tentangan daripada penguasa negara yang hendak disampaikan dakwah itu. Apabila terdapat halangan di dalam mengembangkan dakwah disebabkan oleh kekuatan tentera negara tersebut, maka pada ketika itulah peranan tentera digunakan. Tentera digunakan untuk mengapuskan ‘halangan fizikal’ sehingga apabila halangan fizikal tersebut berjaya dihapuskan, maka barulah Islam dapat dilaksanakan di negara tersebut. Pemimpin Islam yang agung, Muhammad Al Fatih telah menunjukkan contoh yang baik, yang mana beliau telah memimpin bala tentera menghapuskan halangan dakwah ke Eropah ketika itu iaitu, kuasa politik dan kekuatan tentera kuffar yang memerintah kota konstantinopel. Rasulullah bersabda
“Konstantinopel pasti akan dibebaskan,sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin yang menawannya dan sebaik-baik tentera adalah tentera yang menawannya”[HR Bukhari]
Justeru, ATM harus menyedari bahawa kelengkapan teknologi ketenteraan sahaja belum cukup untuk menjadi tentera terbaik, tetapi kesedaran untuk bangkit dan berjuang di jalan Allah itulah seharusnya menjadi perkara utama yang harus ditanamkan di benak setiap anggota ATM dan insyAllah pada ketika itu berlaku, kemenangan Allah pasti akan tiba.
Rujukan : Berita Harian 30/3/2012