Babi dan sekularisme sama-sama haram

Kerajaan Selangor nampaknya sudah melampau apabila meluluskan projek penternakan babi berskala industri di Bukit Tagar, sedangkan mereka tahu betapa sensitifnya umat Islam, lebih-lebih lagi orang Melayu, dengan babi. Berapa ratus jutakah yang akan masuk ke poket kerajaan negeri atau orang-orang tertentu sehingga isu sesensitif itu diabaikan oleh kerajaan negeri?
Naratif cuba dibina bahawa penternakan tersebut dibangun di tempat pelupusan sampah, dan ia bakal diurus dengan teknologi moden melalui sistem pengurusan tersusun, kawalan pencemaran dan sebagainya, dengan harapan umat Islam boleh menerima penternakan besar-besaran binatang haram tersebut. Mereka menyangka umat Islam akan dapat dipujuk dan segala masalah yang melibatkan sensitiviti masyarakat dapat diselesaikan dengan alasan-alasan tersebut.
Semua orang tahu bahawa babi diharamkan dalam Islam, dan mustahil kerajaan Selangor tidak tahu hal tersebut. Persoalannya, jika telah nyata akan keharaman binatang tersebut, bagaimana mungkin ladang terbesar sanggup diluluskan oleh kerajaan negeri, lebih-lebih lagi di kawasan penempatan orang-orang Melayu? Adakah kerajaan negeri tidak mendapatkan nasihat terlebih dahulu daripada Jabatan Mufti yang merupakan jaguh Ahlu Sunnah Wal Jamaah, atau nasihat telah pun diminta dan dibenarkan oleh Jabatan Mufti?
Atau apakah kerajaan negeri berpendapat bahawa hal ini termasuk hak non-Muslim di Selangor sehingga mereka mesti dibenarkan untuk membina ladang ternak yang paling besar, demi memenuhi hak mereka? Atau sebenarnya kerajaan negeri mesti menjaga undi non-Muslim dan para kapitalis di belakang mereka?
Ya benar Islam mengiktiraf hak non-Muslim, tetapi ada batasnya. Islam tidak memaksa mereka meninggalkan semua amalan kehidupan mereka, tetapi Islam mengatur kehidupan dan interaksi mereka di tempat umum agar berjalan sesuai dengan hukum Islam, yang mana mereka wajib tunduk kepadanya. Sebagai contoh, non-Muslim tidak dibenarkan bertelanjang atau membuka aurat sesuka hati mereka di tempat awam, walaupun jika agama mereka membenarkan mereka berbuat demikian sekali pun. Islam juga tidak membenarkan non-Muslim untuk membina kilang arak atau menjual arak di pasar-pasar umum, atau mabuk di tempat umum, sehingga boleh menyebabkan banyak kerosakan.
Demikian juga Islam tidak membenarkan non-Muslim untuk membina ladang ternak babi di tempat-tempat umum, apatah lagi dalam skala industri. Walaupun mereka dibenarkan memakan babi, tetapi Islam tidak membenarkan mereka menternaknya sebagai komoditi perdagangan, jauh sekali untuk menjadikan negara sebagai pemacu industri tersebut.
Khalifah Umar (ra) cukup tegas dalam hal penternakan babi semasa pemerintahannya, sehingga beliau menetapkan syarat bagi kafir zimmi (kafir warganegara Daulah Islam) agar tidak membiarkan babi milik mereka berkeliaran di jalan-jalan tempat lalu lintas kaum Muslimin. Tidak cukup dengan itu, beliau kemudian mengambil tindakan yang lebih tegas lagi iaitu memerintahkan pembunuhan semua babi yang dimiliki oleh kafir zimmi, dan membayar penggantian harganya dengan dipotong dari jizyah yang wajib mereka bayar kepada negara.
Dalam suratnya yang dikirimkan kepada pemerintah-pemerintah daerah, Umar mengatakan antara lainnya;
“Jangan ada seekor babi pun yang berdekatan dengan kamu, jangan ada orang-orang Nasrani di antara kamu yang menegakkan salib-salibnya dan jangan menghadiri jamuan makan yang di dalamnya ada orang yang meminum arak. Berlatihlah menunggang kuda dan belajarlah memanah”.
Apa yang diperintah oleh Umar ini tidak dibantah oleh seorang sahabat pun sehingga ia menjadi Ijma’ as-Sahabat. Mereka sepakat dengan tindakan Umar yang melarang penternakan babi dan tidak membolehkan seorang kafir zimmi pun menternak babi di dalam Daulah Islam.
Malangnya kerajaan Madani pada hari ni telah melakukan tindakan terbalik – menggalakkan dan memperbesarkan penternakan babi, yang jelas haram dalam Islam.
Ala kulli hal, tindakan kerajaan Selangor ini bukanlah suatu yang pelik, dan bukan juga suatu yang baru. Ladang babi memang banyak di Selangor dan isu penternakan babi moden telah lama diusahakan oleh kerajaan negeri. Malah, ia tidak pernah terhenti walaupun parti Islam pernah berada dalam kerajaan negeri suatu ketika dahulu.
Hakikatnya, masalah utama di sini bukanlah soal babi semata-mata, tetapi kerosakan berfikir dalam menguruskan sebuah negeri atau negara. Baik kerajaan Madani, kerajaan Hadhari, kerajaan atok, kerajaan abah, dan apa nama kerajaan sekalipun dalam sistem demokrasi ini, sistem pemerintahan yang diguna pakai sama sahaja iaitu demokrasi-sekular, sebuah sistem yang berasal dari ideologi kapitalisme Barat.
Sistem ini berteraskan manfaat atau keuntungan, bukannya halal-haram, sebagai ukuran dan pertimbangan dalam urusan pemerintahan, ekonomi dan segala perkara. Apa sahaja yang boleh mendatangkan manfaat, maka akan diambil dan dilaksanakan walaupun haram. Al-Quran dan As-Sunnah tidak menjadi pertimbangan dalam pemerintahan atau dalam membuat apa-apa keputusan, walaupun mereka mendakwa bahawa negeri mereka adalah negeri Ahlu Sunnah Wal Jamaah.
Sebuah pemerintahan sekular tidak pernah peduli apa yang Allah haramkan atau apa yang Allah halalkan, kerana dalam sistem sekularisme, undang-undangnya dibuat oleh manusia, yang dengan kata lain, manusialah (pembuat undang-undang) yang menentukan segala halal-haram, baik-buruk atau terpuji-tercela.
Jadi, tidak hairanlah jika babi yang jelas-jelas haram menurut Islam, apatah lagi untuk dijadikan sebuah industri, boleh diluluskan, malah dibantu dan dipermudahkan segala urusan pembangunannya oleh kerajaan negeri, kerana halal-haram berada di tangan mereka. Jika menerapkan hukum selain Allah yang sudah amat jelas haramnya, pun dilanggarnya begitu sahaja, apa sangatlah dengan keharaman yang ada pada babi!
Kepada umat Islam yang sensitif dengan isu babi dan menentang tindakan kerajaan Selangor, ini merupakan sebuah kebaikan. Namun ingatlah bahawa sekularisme yang diterapkan oleh kerajaan Madani ini, jauh lebih besar keharamannya, yang juga wajib ditentang.
Wallahu a’lam.