Bantahan Fatwa Johor – 4.1f
(f) Khabar ahad tidak boleh menjadi dalil dalam perkara akidah (al-Nabhani: al-Shaksiah al-Islamiyyah jilid 1, cetakan keenam, tahun 2003, halaman: 193). Ini menyamai fahaman Muktazilah.
Setelah meneliti muka surat yang dinyatakan (muka surat 193), kami mendapati tidak ada frasa yang tepat bagi menunjukkan dakwaan JFNJ dalam Butiran 4.1 (f) yang berbunyi “khabar ahad tidak boleh menjadi dalil dalam perkara akidah”. Kami berpendapat frasa yang paling dekat untuk menunjukkan maksud tersebut ialah sebagaimana perenggan di bawah:
Terjemahan:
Jika suatu dalil tergolong sebagai khabar ahad maka dalil tersebut bukan dalil yang qath’ie, meskipun ada yang shahih akan tetapi itu sekadar ghalabatu dzan (dugaan kuat) sahaja. Apabila pembenaran terhadap akidah berasal dari pembenaran yang bersifat dzanni, maka pembenarannya tidak bersifat pasti (jazm), sehingga tidak boleh diyakini dan dipastikan, kerana akidah itu mesti suatu yang pasti dan meyakinkan. Sedangkan khabar ahad tidak menunjukkan kepastian atau keyakinan. Khabar ahad hanya menunjukkan dzan. Orang yang mengingkarinya tidak dianggap kafir, juga tidak boleh didustakan, kerana jika hal itu didustakan maka membuka (peluang) seluruh hukum-hukum syarak yang diambil dari dalil-dalil yang bersifat dzanni didustakan. Dan tidak ada seorang muslim pun yang berkata demikian.
Kami berpendapat bahawa frasa tersebut bukanlah frasa sebenar yang ingin dirujuk oleh JFNJ. Bukanlah kami ingin menafikan perkara yang menjadi pegangan kami, cuma kami persoalkan ketepatan rujukan yang dibuat, kerana telah terbukti dalam beberapa dakwaan sebelum ini, rujukan telah dibuat oleh JFNJ kepada muka surat yang salah. Jadi, rujukan untuk Butiran 4.1 (f) ini pun kami rasa telah tersalah. Kami berpendapat yang rujukan sebenar yang ingin dibuat ialah pada muka surat 191, bukannya 193. Berikut kami paparkan muka surat 191:
Terjemahan:
Oleh kerana itu, khabar ahad tidak boleh dijadikan sebagai hujah dalam perkara-perkara akidah.
Frasa di muka surat 191 ini lebih menepati dakwaan JFNJ dalam Butiran 4.1 (f) di atas, berbanding frasa di muka surat 193. Walau bagaimana pun, elemen ini telah diungkap dengan cara yang mengelirukan oleh JFNJ. Ini kerana JFNJ telah memberi gambaran bahawa siapa sahaja yang tidak menerima hadis ahad sebagai dalil dalam perkara akidah, maka ia telah bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sedangkan hakikatnya (yang akan kami buktikan di bawah), jumhur ulama Ahlu Sunnah berpendapat bahawa khabar ahad tidak boleh dijadikan dalil dalam perkara akidah.
JFNJ sepatutnya meneliti bantahan yang telah kami kemukakan kepada Jawatankuasa Fatwa Selangor berkenaan hal ini dan sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan fatwa yang sama, agar tidak mengulangi kesalahan Jawatankuasa Fatwa Selangor.
Bagaimana mungkin dalam perkara yang menjadi khilaf (perselisihan pendapat) ulama seperti dalam persoalan hadis ahad ini, JFNJ boleh menuduh Hizbut Tahrir bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah!? Kami telah pun mengemukakan bukti dalam jawapan kami kepada Jawatankuasa Fatwa Selangor bahawa jumhur ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat sama seperti Hizbut Tahrir. Mengapakah JFNJ tidak mahu mengambil iktibar daripada jawapan kami kepada Selangor? Apakah JFNJ tidak membacanya? Atau JFNJ telah pun membaca jawapan tersebut, tetapi tidak mahu mengambil peduli kerana desakan hawa yang tidak dapat dibendung untuk memfitnah Hizbut Tahrir?
JFNJ seharusnya bersikap sama seperti para ulama salaf daripada kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, iaitu memahami serta menguasai pembahasan berkenaan perkara ini dengan mendalam, lalu mendudukkan perkara ini dengan cara benar dan berlapang dada terhadap perbezaan pendapat.
Kami ingin tegaskan di sini bahawa persoalan berkenaan hadis ahad yang tidak boleh dijadikan hujah dalam perkara akidah bukanlah rekaan Hizbut Tahrir. Perkara akidah tidak boleh diambil dengan dalil dzanni bukanlah rekaan Hizbut Tahrir. Perkara akidah wajib diambil daripada dalil yang qath’ie (sahaja), juga bukan rekaan Hizbut Tahrir. Allah (swt) telah menjelaskan dan memerintahkan kaum Muslimin serta memberi panduan kepada kita semua dalam perkara ini. Ia bukanlah rekaan Hizbut Tahrir! Kami yakin yang JFNJ tentunya membaca ayat-ayat al-Qur’an yang Allah (swt) dengan tegas mencela orang-orang yang mengambil akidahnya dengan dzan (sangkaan/dugaan). Firman-Nya:
﴿إِنْ هِيَ إِلَّا أَسْمَاءٌ سَمَّيْتُمُوهَا أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ بِهَا مِنْ سُلْطَانٍ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَمَا تَهْوَى الْأَنْفُسُ وَلَقَدْ جَاءَهُمْ مِنْ رَبِّهِمُ الْهُدَى﴾
“Itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan bapa-bapa kamu ada-adakan; Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun untuk (menyembah)nya. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti dzan dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka dan sesungguhnya telah datang petunjuk kepada mereka dari Tuhan mereka” [An-Najm (53): 23].
﴿إِنَّ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ لَيُسَمُّونَ الْمَلَائِكَةَ تَسْمِيَةَ الْأُنْثَى * وَمَا لَهُمْ بِهِ مِنْ عِلْمٍ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا﴾
“Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, mereka benar-benar menamakan malaikat itu dengan nama perempuan. Dan mereka tidak mempunyai sesuatu pengetahuan pun tentang itu. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan sedang sesungguhnya persangkaan itu tiada berfaedah sedikit pun terhadap kebenaran” [An-Najm (53): 27-28].
﴿وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ إِلَّا ظَنًّا إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا﴾
“Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti, kecuali persangkaan sahaja. Sedang sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikit pun berguna untuk mencapai kebenaran” [Yunus (10): 36].
﴿الَّذِينَ يُجَادِلُونَ فِي آيَاتِ اللَّهِ بِغَيْرِ سُلْطَانٍ أَتَاهُمْ كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ وَعِنْدَ الَّذِينَ آمَنُوا﴾
“(Iaitu) orang-orang yang memperdebatkan ayat-ayat Allah tanpa alasan yang sampai kepada mereka. Amat besar kemurkaan (bagi mereka) di sisi Allah dan di sisi orang-orang yang beriman” [Ghafir (40): 35].
﴿وَكَيْفَ أَخَافُ مَا أَشْرَكْتُمْ وَلَا تَخَافُونَ أَنَّكُمْ أَشْرَكْتُمْ بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ عَلَيْكُمْ سُلْطَانًا﴾
“Bagaimana aku takut kepada sembahan-sembahan yang kamu persekutukan (dengan Allah), padahal kamu tidak takut mempersekutukan Allah dengan sembahan-sembahan yang Allah sendiri tidak menurunkan hujah kepadamu untuk mempersekutukan-Nya” [Al-An’am (6): 81].
Dan banyak lagi ayat-ayat lain yang seumpamanya.
Ayat-ayat ini dengan jelas dan tegas mencela sesiapa sahaja yang mengikuti dzan (sangkaan/dugaan) dalam perkara akidah, juga mencela sesiapa sahaja yang mengikuti sesuatu tanpa sulthan (bukti yang kukuh), iaitu tanpa dalil qath’ie (putus). Celaan dan kecaman Allah (swt) kepada mereka itu menjadi nas yang melarang dengan keras untuk mengikuti dzan, juga larangan mengikuti apa yang tidak dibangunkan berdasarkan dalil qath’ie terhadap persoalan yang terkait dengan akidah. Semua ini menunjukkan dengan jelas bahawa akidah wajib dibangun berdasarkan dalil qath’ie. Dengan kata lain, dalilnya tidak boleh dalil dzanni kerana ayat-ayat di atas membuktikan dua perkara:
Pertama: Larangan berakidah dengan dalil dzanni. Itulah yang ditunjukkan oleh ayat-ayat dzan di atas.
Kedua: Wajib menggunakan dalil qath’ie dalam membangun akidah, sehingga menjadi sebuah keyakinan. Itulah yang ditunjukkan oleh ayat-ayat sulthan mubin (bukti yang kukuh lagi nyata).
Ini mengenai masalah akidah.
Adapun mengenai hukum syarak, maka dalilnya diperbolehkan dalil dzanni dan tidak ada syarat dalilnya mesti qath’ie. Kami tidak akan membincangkan hal ini lebih lanjut di sini kerana apa yang disebut dalam fatwa hanyalah berkenaan persoalan akidah dalam hadis ahad.
Ada satu perkara lagi yang tampaknya JFNJ juga keliru mengenai isu ini. Sekiranya JFNJ membaca kitab para fuqaha’ dan mujtahid, JFNJ pasti menemui bahawa sesuatu hadis itu sahih menurut Imam Abu Hanifah, lalu beliau mengambilnya, tetapi Imam Syafie tidak mengambilnya dan begitulah seterusnya tanpa memberi tuduhan menyeleweng sesat terhadap Imam Abu Hanifah. Bahkan, para rijal al-hadis (tokoh-tokoh hadis) juga berselisih tentang pelbagai hadis Ahad. Ibn Hibban misalnya, menyatakan hadis tertentu sahih, tetapi ianya dilemahkan oleh al-Hakim. Imam Ahmad menyatakan hadis tertentu sahih, tetapi ianya dilemahkan oleh al-Albani. Bahkan, kitab hadis yang paling sahih sekalipun tidak terbebas daripada dilemahkan oleh sebahagian ulama yang lain. Justeru, kalau hadis dzanni boleh digunakan dalam perkara akidah, pasti seorang Muslim akan mengkafirkan saudara Muslimnya yang lain, kerana mereka berselisih dalam mengambil hadis ini dan itu, atau kerana berbeza dalam menghukumi hadis ini sahih, sementara bagi yang lain dihukumi dhaif. Pasti orang yang menyatakan hadis Bukhari sahih akan mengkafirkan orang yang menganggap hadis Bukhari lemah. Ini merupakan perkara yang sepatutnya difahami oleh JFNJ.
Justeru merupakan nikmat Allah (swt) kepada kita, bahawa Allah (swt) telah melarang kita mengambil akidah daripada dalil dzanni, sebaliknya memerintahkan kita untuk mengambil persoalan akidah berdasarkan dalil qath’ie, sehingga umat ini boleh bersatu di atas akidah ini tanpa sebarang perselisihan. Dengan mengambil dalil yang qath’ie, akidah ini merupakan akidah yang bersih dan jernih, sehinggakan seorang Muslim tidak akan mengkafirkan saudara Muslimnya yang lain, kerana perbezaan pandangan mereka mengenai hadis dzanni dalam perkara akidah. Ini kerana, perselisihan dalam perkara akidah boleh menjadi jalan kekufuran.
Berbeza dengan hukum syarak yang boleh bersandar kepada hadis Ahad, yang mana perselisihan dalam hukum syarak tidak semestinya menjadi jalan kekufuran. Contohnya, seperti orang yang berpendapat tentang bolehnya akad Muzara’ah, kerana terdapat beberapa hadis Ahad yang sahih mengenainya. Dia tidak akan mengkafirkan orang yang menolak diperbolehkannya akad Muzara’ah, kerana ia juga mempunyai beberapa hadis Ahad yang sahih mengenainya dan begitulah seterusnya. Berdasarkan pembahasan ini, maka dibenarkan menggunakan dalil qath’ie dan juga dzanni dalam hukum syarak, sebaliknya, tidak dibenarkan menggunakan dalil dzanni dalam perkara akidah kerana akidah wajib diambil dari perkara yang meyakinkan, bukan dari sangkaan.
Tambahan pula, sungguh tidak masuk akal bagaimana JFNJ boleh dan sanggup memfatwakan Hizbut Tahrir bercanggah dengan ajaran Islam menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, atas alasan menolak sumber akidah dari dalil dzan. Ini kerana, tidak mengambil hadis Ahad sebagai dalil dalam perkara akidah merupakan pandangan jumhur fuqaha’ dan ulama Ahlu Sunnah. Antaranya ialah Imam Abdul Rahim bin al-Hasan bin ‘Ali al-Isnawi asy-Syafie Abu Muhammad, Jamaluddin (w. 772 H) yang telah menyatakan perkara ini dalam kitabnya, Nihayah as-Sul Fi Syarhi Minhaj al-Ushul, hal. 10.
Terjemahan:
Ketahuilah bahawa ungkapan “dalil” merupakan jalan keluar bagi banyak persoalan ushul fiqh. Ini termasuklah aspek keumuman, khabar ahad, qiyas, istishab dan yang lainnya. Para ulama Ushul, meskipun beramal dengannya, namun ini tidak dianggap oleh mereka sebagai “dalil”, tetapi sebagai imarah (petanda), kerana bagi mereka, ungkapan “dalil” tidak lain merujuk kepada suatu yang qath’ie.
Para ulama ushul tidak menganggap dalil fiqh (yakni dalil hukum syarak) sebagai “dalil”. Mereka hanya menganggapnya sebagai amarat (petanda) bagi hukum syarak. Alasannya, kerana dalil dzanni itu, menurut mereka, tidak diakui sebagai “dalil”, namun, hanya disebut amarat. Ini kerana bagi mereka, “dalil” itu hanya terpakai untuk dalil yang terbukti ke-qath’ie-annya. Sumber dalam perkara ushuluddin (pokok agama) wajib berupa dalil qath’ie.
Perkara yang sama juga dikemukakan oleh Ibrahim bin Musa bin Muhammad al-Lakhami al-Gharnathi, yang dikenal dengan asy-Syathibi dalam kitabnya, al-Muwafaqat, hal. 17,18,20.
Terjemahan:
Sesungguhnya ushul fiqh di dalam agama adalah qath’ie dan bukannya dzanni dan dalilnya dikembalikan kepada kulliyat syariah dan apa yang seumpamanya, dan ia merupakan perkara qath’ie.
Sekiranya perkara dzanni diperbolehkan menjadi perkara asas di dalam ushul fiqh, maka sudah tentu diperbolehkan juga menjadi asas dalam perkara ushuluddin. Namun hakikatnya bukan seperti itu dan ini telah pun disepakati. Dan seperti itulah halnya di sini, penisbahan ushul fiqh daripada ushul syariah adalah sama dengan penisbahan ushuluddin.
Pandangan asy-Syatibi Ini menjelaskan bahawa ushul fiqh merupakan perkara yang qath’ie, dari segi kedudukan ushul fiqh ini seperti ushuluddin. Sedangkan perkara ushuluddin telah pun disepakati bahawa ia wajib qath’ie. Perkara ushuluddin itu sendiri adalah akidah.
Ramai ulama yang berpendapat, sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn al-Hajib di dalam kitabnya Mukhtasar Muntaha al-Sul wa al-Amal fi ‘Ilmi al-Ushul wa al-Jadal (hal. 533) bahawa hadis Ahad tidak menghasilkan ‘ilm (keyakinan).
Terjemahan:
Khabar ahad ialah apa yang tidak berakhir dengan mutawatir. Dan dikatakan juga sebagai apa yang menghasilkan dzan dan membatalkan apa yang sebaliknya, iaitu apa yang tidak menghasilkan dzan.
Perkara yang sama juga menjadi pandangan al-Qadhi Abu Bakar al-Baqillani di dalam kitabnya Kitab at-Tamhid, hal. 386.
Terjemahan:
Dan khabar ini (ahad) tidak mewajibkan keyakinan (ilm) berdasarkan sifatnya yang telah dijelaskan sebelum ini, tetapi mewajibkan amal.
Imam Abu Ishaq Ibrahim bin ‘Ali bin Yusuf al-Syirazi (w. 476 H), di dalam kitabnya al-Tabsirah fi Ushul al-Fiqh, hal. 298 juga berpandangan yang sama, sebagaimana pandangan al-Qadhi Abu Bakar al-Baqillani, bahawa hadis Ahad itu tidak boleh menghasilkan ‘ilm (keyakinan), baik dengan atau tanpa qarinah.
Terjemahan:
Khabar ahad tidak mewajibkan ‘ilm (yakin)
(1) Ia adalah mutlak. Samada ada qarinah atau tidak dan ini adalah (pendapat) majoriti mazhab seperti dikatakan oleh al-Ghazali.
Syeikh Muhammad Jamaluddin bin Muhammad bin Sa’id bin Qasim al-Hallaq al-Qasimi (w. 1332 H) di dalam kitabnya, Qawa’id al-Tahdis min Funun Musthalah al-Hadis, hal. 244 mengatakan hal yang sama yakni hadis Ahad hanya menghasilkan dzan dan tidak menghasilkan keyakinan dan tidak boleh digunakan dalam akidah.
Terjemahan:
Dari segi hukum, para ulama dan termasuk jumhur kaum Muslimin dari kalangan para sahabat dan tabiin dan mereka yang datang sesudah itu dari kalangan Muhaddisin, para fuqaha dan ahli ushul (berpendapat) bahawa hadis ahad itu tsiqah sebagai hujah hukum syarak yang mewajibkan kita beramal dengannya, ia bersifat dzan (dugaan) dan bukan ilm (keyakinan). Kewajipan beramal dengannya bukanlah suatu yang diketahui daripada akal tetapi daripada syarak.
Syed Quthub Ibrahim Husain al-Syaribi (w. 1385 H) dalam kitab Tafsirnya, Fi Zhilal al-Quran, hal. 710 ketika menafsirkan al-Quran surah al-Falaq dalam kaitannya dengan hadis dari Labid bin al-A’sham al-Yahudi, berpandangan bahawa hadis Ahad tidak boleh diambil dalam perkara akidah.
Terjemahan:
Hadis ahad tidak boleh diambil dalam perkara aqidah. Yang dirujuk (dalam perkara akidah) adalah al-Quran. Aspek mutawatir merupakan syarat dalam pengambilan hadis dalam perkara akidah.
Selain fuqaha’ dan ulama di atas, ramai lagi fuqaha’ dan ulama lainnya yang berpandangan sama seperti Hizbut Tahrir, iaitu hadis Ahad tidak boleh digunakan sebagai hujah (dalil) dalam masalah akidah kerana ia berfaedah dzan. Antaranya ialah:
(i) Al-Faqih al-Muhaddis Abu Hanifah an-Nu’man bin Tsabit (w. 150 H) di dalam kitabnya Al-Mabsuth Li Syamsuddin as-Sarakhsiy, Juzuk 3, hal. 79-80.
Terjemahan:
…telah diriwayatkan oleh Hasan dari Abi Hanifah rahimahumallah Taala bahawa tidak ada kafarah ke atasnya walaupun ia terima khabar tersebut, kerana khabar ahad tidak wajib ilm yakin (meyakini), tetapi wajib beramal dengannya bersandarkan dzan pada perawi…
(ii) Al-Imam Abu Bakar ar-Raziy al-Jashas al-Hanafiy (w. 370 H) di dalam kitabnya Al-Fushul Fi al-Ushul, Juzuk 3, 53.
Terjemahan:
Abu Bakar berkata: Ilm (keyakinan) tidak muncul dengan bilangan penyampai tertentu, tetapi kami percaya jumlah penyampai yang sedikit sudah pasti tidak akan membawa kepada ilm (keyakinan), tetapi jumlah yang ramai ya, dengan syarat para penyampainya beragam dan mereka tidak merancang melakukan keburukan/kesalahan.
(iii) Menurut ‘Alauddin al-Samarqandiy al-Hanafiy (w. 450 H) di dalam kitabnya Mizan al-Ushul, Juz 3, hal. 53 dan menurut beliau majoriti ulama berpandangan demikian.
Terjemahan:
Adapun hukum khabar ahad…ramai ulama mengatakan: Wajib beramal dengannya tanpa ilm (yakin) secara qath’ie (pasti)…
(iv) Fakhrul Islam Ali bin Muhammad al-Bazdawiy (w. 482 H) di dalam kitabnya Ushul al-Bazdawiy, 158.
Terjemahan:
Adapun mengenai dakwaan bahawa (khabar ahad) adalah ilm al-yakin, maka ini adalah batil tanpa syubhah. Ini kerana, orang-orang menyaksikan, telah menolaknya dan sebelum ini kami telah menjelaskan bahawa pendapat yang masyhur mengatakan ia (khabar ahad) tidak membawa kepada ilm al-yakin (keyakinan) dan ini (pendapat yang) lebih utama. Ini kerana khabar ahad mengandungi kemungkinan keraguan dan tidak mengandungi elemen yakin. Sesiapa yang mengingkari ini telah meletakkan dirinya dalam kebodohan dan kelemahan akal.
(v) Al-Imam Abu Bakar as-Sarakhsiy (w. 490 H) di dalam kitabnya Ushul as-Sarakhsiy, Juz 1, hal. 112.
Terjemahan:
…sesungguhnya khabar ahad, tidak diwajibkan ilm al-yakin (meyakini), kerana mengandungi dzan (dugaan) dari sudut periwayatannya dan ia merupakan dalil yang diwajibkan beramal dengannya atas dasar husnu dzan dengan perawi dan tarjih yang menghampiri kebenaran…
(vi) Al-Imam Abul Barakat al-Nasafiy (w. 710 H) di dalam kitabnya, Kashf al-Asrar, Juz 2, ms 19.
Terjemahan:
Adapun orang yang mendakwa bahawa ia (khabar ahad) mencapai tahap ilm al-yakin (keyakinan), maka ini adalah (dakwaan) batil kerana telah jelas bahawa (pendapat) yang masyhur tidak mewajibkan ilm al-yakin… Ini adalah kerana khabar ahad itu sendiri memiliki keraguan padanya, lalu bagaimana mungkin menetapkannya dengan yakin apabila wujudnya keraguan…
(vii) Al-Imam al-’Allamah Ibn Najim al-Hanafiy (w. 970 H) di dalam kitabnya Fathu al-Ghafar bi Syarh al-Manar, hal. 272 dan menurut beliau majoriti ulama dan seluruh fuqaha’.
Terjemahan:
(Dan bahawa) iaitu khabar ahad (wajib beramal dengannya) kerana ia menghasilkan ghalabatu dzan (dugaan kuat) terhadap kebenaran tatkala terhimpun syarat-syaratnya dan cukup untuk wajib beramal dengannya (bukan ilm yakin), yakni tidak wajib yakin secara pasti dan inilah mazhab ramai ulama dan fuqaha’.
(viii) Al-Imam ‘Alauddin Abd al-‘Aziz al-Bukhari al-Hanafiy (w. 730 H) di dalam kitabnya, Kashf al-Asrar, Juz 1, ms 84.
Terjemahan:
Sesungguhnya dalil sam’iyyah itu ada 4 jenis: (1) Qath’ie Tsubut dan Dalalahnya, seperti nas-nas mutawatir (2) Qath’ie Tsubut tetapi Dzanni dalalahnya, seperti ayat-ayat yang boleh dita’wilkan (3) Dzanni Tsubut tetapi Qath’ie Dalalahnya, seperti hadis ahad yang mafhumnya bersifat Qath’ie dan (4) Dzanni Tsubut dan Dalalahnya, seperti hadis ahad yang mafhumnya bersifat Dzanni. Bagi yang pertama, sabit fard ke atasnya manakala bagi yang kedua dan ketiga, sabit wajib atasnya manakala yang keempat, sabit sunnah dan istihbab (disukai)..
(ix) Al-Hafiz al-Muhaddis Ibn ‘Abdil-Bar al-Malikiy (w. 463 H) di dalam kitabnya At-Tamhid, Juz 1, hal. 7 dan menurut beliau majoriti Malikiyyah.
Terjemahan:
Dan ikhtilaf (perbezaan pendapat) sahabat-sahabat kami serta yang lainnya mengenai khabar ahad…adakah ia mewajibkan ilm (yakin) dan amal sekali gus atau mewajibkan amal tanpa ilm (yakin)? Ramai antara ahli ilmu berpendapat bahawa wajib beramal dengannya tanpa ilm (yakin) dan ini merupakan pandangan Syafie dan jumhur ahli fikih dan pemikir dan ia tidak mewajibkan ilm (yakin)…
(x) Al-Hafiz Abu al-Walid al-Bajiy al-Malikiy (w. 474 H) di dalam kitabnya Al-Isyarat fi Ma’rifat al-Ushul, hal. 234 dan menurut beliau seluruh fuqaha’.
Terjemahan:
Adapun khabar ahad: suatu yang tidak mencapai tahap mutawatir. Oleh yang demikian, tidak berlaku baginya ilm (keyakinan) tetapi hanya ghalabatu dzan (dugaan kuat)…
(xi) Al-Qadhiy Abu Bakar Ibn al-’Arabiy al-Malikiy (w. 543 H) di dalam kitabnya, Al-Mahmul Fi Ushul al-Fiqh, hal. 115.
Terjemahan:
Adapun yang kedua: yang mewajibkan amal tanpa ilm (yakin), ia merupakan khabar ahad yang mutlak yang tidak terpisah daripada ilm dan ada yang mengatakan: Bahawa ia mewajibkan ilm dan amal seperti khabar mutawatir…Kami mengetahui bahawa secara dharurah, khabar ahad tidak boleh membawa kepada ilm…
(xii) Al-Imam Abu Ishaq Ibrahim bin Ali asy-Syiraziy (w. 476 H) (dalam pendapat barunya) di dalam kitabnya At-Tabsirah Fi Ushul al-Fiqh, hal. 298.
Terjemahan:
Khabar ahad tidak diwajibkan ilm (yakin)….(1) iaitu secara mutlak, sama ada dengan qarinah atau tidak, dan ini adalah mazhab (pendapat) ramai seperti kata al-Ghazali.
(xiii) Imamul-Haramayn Abdul Malik bin Abdillah al-Juwainiy (w. 478 H) di dalam kitabnya Al-Burhan Fi Ushul al-Fiqh, Juz 1, hal. 1411.
Terjemahan:
Ijmak ulama (mengatakan) bahawa suatu yang qath’ie tidak boleh dinasakhkan (dihapuskan) oleh suatu yang dzanni. Al-Quran tidak boleh dinasakhkan oleh suatu yang diambil dari khabar ahad dan sunnah mutawatir tidak boleh dinasakhkan oleh suatu yang diambil dari yang tidak qath’ie…
(xiv) Al-Imam Muhammad ar-Raziy Fakhruddin (w. 604 H) di dalam kitabnya Tafsir al-Fakhr ar-Razi, Juz 1, hal. 200.
Terjemahan:
…kerana khabar ahad tidak membawa apa-apa nilai kecuali dzan…
(xv) Hujjatul-Islam Abu Hamid al-Ghazaliy (w. 505 H) di dalam kitabnya Al-Mustasyfa, Juz 2, hal. 179.
Terjemahan:
Dan apabila anda mengetahui perkara ini, maka kami mengatakan: Khabar ahad tidak membawa kepada ilm (yakin) dan ini merupakan suatu yang diketahui secara dharurah…
(xvi) Al-Hafiz Abu Zakariyya an-Nawawiy (w. 676 H) di dalam kitabnya Shahih Muslim Bi Syarh an-Nawawi, Juz 1, hal. 187-188 dan menurut beliau majoriti Sahabat, Tabi’in, Muhaddisin, Fuqaha’ dan Ushuliyyun.
Terjemahan:
Ikhtilaf (perbezaan pendapat) mengenai hukumnya di kalangan jumhur kaum Muslimin daripada Sahabat, Tabiin dan mereka yang datang selepas itu seperti para Muhaddisin, para fuqaha dan pakar ushul: Bahawa khabar ahad adalah tsiqah sebagai hujah syarak dan wajib untuk beramal dengannya, ia bernilai dzan dan tidak bernilai ilm (yakin)…
(xvii) Al-Hafiz al-Mujtahid Ibn Daqiq al-’Iyd (w. 702 H) di dalam kitabnya Ihkam al-Ahkam, Juz 1, hal. 183 dan menurut beliau jumhur ulama.
Terjemahan:
Masalah kedua : Mereka telah mengembalikan masalah ini kepada persoalan menaskhah al-Kitab (al-Quran) dan Sunnah (Hadis) Mutawatir : adakah diperbolehkan dengan khabar ahad atau tidak? Kebanyakannya tidak membolehkan. Ini kerana yang qath’ie tidak boleh dihilangkan dengan yang dzan…
(xviii) Al-Muhaddis Ahmad Ibn Hajar al-Haitamiy (w. 974 H) di dalam kitabnya As-Shawa’iq al-Muhriqah Fi ar-Radd Ala Ahli al-Bida’ Wa az-Zindiqah, Juz 1, hal. 60.
Terjemahan:
…kerana nilai ijmak (kesepakatan) adalah qath’ie dan nilai khabar ahad adalah dzanni. Tidak ada pertentangan antara yang dzanni dan yang qath’ie. Yang qath’ie justeru diambil sebagai amal dan yang dzanni dibiarkan (dibatalkan)…
(xix) Al-Imam Abu Mansur Abdul Qahir al-Baghdadiy (w. 429 H) di dalam kitabnya Ushuluddin, 12.
Terjemahan:
Dan khabar ahad, apabila sanadnya sahih dan matannya bukan sesuatu yang mustahil menurut akal, maka ia wajib di amalkan tanpa ilm (yakin)…
(xx) Menurut Ibn Qudamah al-Maqdisiy (w. 620 H) di dalam kitabnya Raudhah al-Nadzir Wa Jannah al-Munadzir, hal. 52 ini adalah pegangan al-Imam Ahmad bin Hanbal (w. 241 H) (dalam salah satu riwayat), majoriti ulama dan Hanabilah Muta’akhkhirin.
Terjemahan:
Imam kami rahimahullah telah berselisih pendapat mengenai tercapainya tahap ilm (yakin) dengan khabar ahad. Disebutkan bahawa ini (tercapainya yakin dengan khabar ahad) tidak berlaku, dan ini merupakan pendapat majoriti dan pendapat ulama terkemudian dari kalangan sahabat-sahabat kami kerana kami tahu bahawa adalah suatu yang darurat (sangat perlu) bahawa kami tidak membenarkan semua khabar yang kami dengar meskipun ia membawa kepada ilm.
(xxi) Pegangan ini merupakan riwayat paling menonjol mengenai pendapat Al-Imam Ahmad bin Hanbal, menurut Sulaiman bin Abdil Qawiy at-Thufiy (w. 716 H) di dalam kitabnya Al-Bulbul Fi Ushul al-Fiqh, 53.
Terjemahan:
Kedua: (Al-Ahad) merupakan khabar yang tidak wujud padanya syarat-syarat mutawatir atau sebahagian daripadanya. Dan dari Ahmad rahimahullah berkenaan (persoalan apakah khabar ahad) membawa kepada ilm (yakin), terdapat dua pandangan: Yang paling ketara (mengatakan) tidak, dan ini adalah pandangan majoriti. Pandangan kedua (mengatakan) ya, dan ini merupakan pandangan sesetengah ahli hadis.
(xxii) Al-Imam Abu al-Khaththab Mahfuzh bin Ahmad al-Hambaliy (w. 510 H) di dalam kitabnya At-Tamhid Fi Ushul al-Fiqh, Juz 3, hal. 78.
Terjemahan:
Khabar ahad tidak membawa kepada ilm (keyakinan)….
(xxiii) Al-Imam Shafiyuddin al-Baghdadiy (w. 739 H) di dalam kitabnya Qawa’id al-Ushul Wa Ma’aqid al-Fushul, 48 dan menurut beliau ini juga merupakan pegangan Imam Ahmad dalam salah satu riwayat, majoriti dan Hanabilah Muta’akhkhirun.
Terjemahan:
Dan (khabar al-ahad): bukan mutawatir, tidak membawa kepada ‘ilm (keyakinan)…
(1) Kerana khabar ahad hanya menghasilkan dzan dan tidak menghasilkan al-yakin (keyakinan).
Nah, sekarang apakah anda sudah nampak wahai JFNJ bahawa pandangan Hizbut Tahrir adalah sama dengan pandangan jumhur para fuqaha’ dan ulama ini, Maka apakah kesemua ulama ini, yang merupakan ulama Ahlu Sunnah yang sangat terkenal, juga telah menyeleweng akidah mereka kerana tidak berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah? Ajaib..
Anda juga menyatakan bahawa pandangan yang tidak menjadikan hadis ahad sebagai dalil dalam masalah akidah adalah menyamai pandangan Mu’tazilah. Sedangkan kami telah membuktikan dengan sejumlah kitab di atas bahawa jumhur ulama Ahlu Sunnah tidak menjadikan hadis ahad sebagai dalil dalam masalah akidah kerana hanya berfaedah dzan. Sungguh aneh dan di luar kewarasan fatwa anda dalam Butiran 4.1 (f) ini wahai JFNJ. Kalaulah anda melakukan sedikit kajian, walaupun tidak mendalam, nescaya anda tidak akan mengeluarkan fatwa pelik seperti ini!
Sukalah kami ingin berkongsi di sini bahawa salah seorang ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang terkenal di Malaysia iaitu Ustaz Azhar Idrus, turut berpegang bahawa jumhur ulama, sama seperti Hizbut Tahrir yakni hadis Ahad tidak boleh dijadikan hujah dalam masalah akidah. Ceramah beliau berkenaan hal ini boleh dilihat di pautan berikut:
Selain pendapat-pendapat di atas, biarlah kami kongsikan kepada anda di sini wahai JFNJ bahawa terdapat fuqaha’ dan ulama yang menerima hadis Ahad dalam masalah akidah, tetapi dengan syarat ia hendaklah disertai dengan qarinah (indikasi). Antaranya:-
(i) Abu Ishaq al-Nazhzham al-Mu’taziliy (w. 231 H). Hal ini dinyatakan oleh Imam Abu Ishaq Ibrahim bin Ali al-Syiyraziy (w. 476 H) di dalam kitabnya al-Luma’ Fi Ushul al-Fiqh, hal 154.
Terjemahan:
Kedua: (mengenai hadis ahad) Wajib beramal dengannya tetapi ia tidak membawa kepada ilm (yakin)…dan berkata An-Nadzam: ia boleh membawa kepada ilm (yakin) jika qarinahnya menjadi penyebab.
(ii) Al-Imam al-’Allamah Ali bin Muhammad al-Amidiy (w. 631 H) di dalam kitabnya al-Ihkam Fi Ushul al-Ahkam, Juzuk 2, hal. 43.
Terjemahan:
Selebihnya mengatakan bahawa ia (khabar ahad) tidak membawa kepada ilm (yakin) secara mutlak, samada dengan qarinah atau tanpa qarinah…
(iii) Al-Imam Qadhi al-Qudhah Tajuddin Ibn as-Subkiy (w. 771 H) di dalam kitabnya Jam’u al-Jawami’ Fi Ushul al-Fiqh, hal 66.
Terjemahan:
Masalah: Khabar ahad tidak membawa kepada ilm (yakin) kecuali dengan qarinah (indikasi), dan majoriti berkata, tidak secara mutlak….
Terdapat juga fuqaha’ dan ulama yang menerima hadis Ahad dalam masalah akidah, tetapi dengan syarat ia hendaklah mutalaqqatun bi al-qabul (disepakati untuk diterima) Antaranya:-
(i) Al-Imam Abu Ishaq Ibrahim bin Ali asy-Syiyraziy (w. 476 H) (dalam pendapat lamanya), sebagaimana dinyatakan dalam kitab al-Luma’ Fi Ushul al-Fiqh, hal 154.
Terjemahan:
…dan darinya (ada) khabar ahad yang disepakati oleh umat untuk diterima, dan membenarkannya secara pasti…
(1) Imam Asy-Syiraziy berbeza pandangan dengan jumhur ulama ushul, seperti mana yang ternampak jelas dalam kitab at-Tabsirah (ms 203) mengenai khabar ahad yang tidak membawa kepada ilm (yakin) walaupun disepakati oleh umat untuk diterima..
(ii) Al-Hafiz Abu Amr Ibn Shalah asy-Syahrazuriy (w. 643 H). Hal ini dinyatakan oleh al-Hafiz an-Nawawi (w. 676 H) di dalam kitabnya Shahih Muslim Bi Syarh an-Nawawi, Juz 1, hal. 40.
Terjemahan:
Syeikh Abu Amru bin Salah rahimahullah berkata: semua yang telah dihukumi shahih oleh Imam Muslim di dalam kitab ini maka kesahihannya adalah qath’ie dan ilm al-nadzar (keyakinan) juga terhasil kerana kesahihannya pada setiap perkara… Syeikh (Abu Amru) berkata: Apa yang kami (aku) pilih adalah bahawa hadis/khabar yang diterima oleh umat yang lebih rendah dari tingkat mutawatir memerlukan ilm al-nadzar (keyakinan) terkait kebenaran sesuatu hadis, yang (pendapat aku ini) mungkin berbeza dari pandangan sebahagian ulama ushul yang menafikan perkara ini. Penafian ini adalah atas dasar bahawa khabar seperti ini tidak membawa kepada haq kecuali hanya dzan….
(iii) Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah al-Harraniy (w. 728 H) di dalam kitabnya Al-Mustadrak Ala Majmu’ Fatawa, Juz 2, hal 73 dan menurut beliau ini adalah pendapat al-Hanabilah.
Terjemahan:
..mazhab sahabat-sahabat kami (mengatakan) bahawa khabar ahad yang disepakati untuk diterima adalah baik untuk menetapkan ushul agama-agama. Al-Qadhi berkata di dalam Muqaddimah al-Mujarrad: Dan khabar ahad membawa kepada ilm (yakin) apabila ia disahihkan dan riwayat di dalamnya tidak bertentangan serta umat sepakat untuk menerimanya. Mazhab juga mengatakan demikian dan tiada (pendapat) yang lain…
Lihatlah berapa banyak dalil yang begitu jelas dan perbezaan pendapat ulama muktabar dalam hal ini, dan mereka tidak pernah menuduh orang lain yang tidak sependapat dengan mereka sebagai telah terpesong akidahnya. Sesiapa sahaja yang mengkaji pastinya akan melihat, bahawa persoalan sumber hadis Ahad tidak diambil dalam perkara akidah itu sesungguhnya telah dinyatakan oleh sejumlah ulama besar, bukan hanya oleh Hizbut Tahrir.
Sungguh amat jelas bahawa jumhur ulama Ahlu Sunnah berpegang kepada pendapat bahawa hadis Ahad tidak boleh menjadi hujah (dalil) dalam masalah akidah kerana berfaedah dzan dan tidak berfaedah yakin. Ini sekali gus bermakna yang pendapat Hizbut Tahrir adalah sama dengan pendapat Ahlu Sunnah dalam konteks ini. Jadi, bagaimana mungkin JFNJ boleh memfatwakan Hizbut Tahrir bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, sedangkan para ulama Ahlu Sunnah sendiri berpandangan demikian?