Bantahan Fatwa Johor – 4.3d

Muat turun PDF
Isi Kandungan

(d) Menghukum sistem demokrasi sebagai sistem kufur (Risalah al-Maktab al-I’lami wilayah Mesir, nombor rujukan 14/01 tarikh 12/1/2014).

Pada Butiran ini juga kami ingin menjelaskan bahawa kami tidak pernah ragu-ragu dengan fahaman yang kami bawa dan kami tidak pernah meragu-ragukan umat Islam sedikit pun dengan fahaman kami, bahawa sistem demokrasi adalah sistem kufur. Malah setakat yang kami tahu, kebanyakan umat Islam memahami pegangan kami bahawa sistem demokrasi adalah sistem kufur, kerana kami menyatakannya dengan jelas tanpa keraguan sedikit pun. Jadi, kami sungguh hairan apakah yang meragukan di sisi JFNJ dan siapakah yang ragu-ragu di sini?!

Kami berusaha memulihkan pemikiran umat Islam yang telah diracun oleh Barat yang mengambil demokrasi sebagai sebuah sistem yang dikatakan terbaik. Kami juga berusaha mengeluarkan umat Islam daripada keraguan yang telah dicipta oleh pemerintah dan para ulama su’ bahawa sistem demokrasi yang berasal dari Barat itu selari dengan Islam. Kami juga membongkar agenda jahat kuffar Barat ke atas umat Islam melalui sistem demokrasi yang mereka bawa, yang selama ini hakikatnya menjadi penghalang kepada tegaknya hukum Allah (swt) serta penghalang kepada penyatuan umat Islam di bawah satu negara.

Wahai JFNJ! Ya kami akui bahawa demokrasi adalah sistem kufur dan apa yang anda katakan adalah benar! Kami akan membenarkan apa sahaja perkara yang benar yang anda katakan terhadap kami, dan kami akan mengatakan bahawa anda berbohong dan memfitnah kami, pada apa sahaja perkara yang tidak benar. Kami adalah parti politik Islam yang tidak pernah berbohong kepada umat Muhammad (saw), tidak sebagaimana anda!

Apa yang menakjubkan kami ialah JFNJ telah merujuk kepada Risalah al-Maktab al-I’lami wilayah Mesir tahun 2014 untuk menyatakan bahawa kami menghukum sistem demokrasi sebagai sistem kufur. Betapa jauhnya rujukan yang dibuat oleh JFNJ! Sedangkan di Malaysia ini telah ribuan kali kami menjelaskan bahawa sistem demokrasi adalah sistem kufur, baik melalui penulisan rasmi kami, melalui seminar, muktamar, forum, diskusi, FB Live dan sebagainya, yang boleh dirujuk dengan mudah oleh JFNJ.

Jika benar JFNJ mengkaji tentang Hizbut Tahrir, seharusnya anda tahu bahawa antara rujukan utama kami dalam menerangkan sistem demokrasi merupakan sistem kufur ialah buku yang telah dikeluarkan oleh Amir kedua Hizbut Tahrir, Syeikh Abdul Qadim Zallum yang bertajuk Ad-Dimuqratiyyah Nidzam Kufr, Yahrumu Akhzuha, Au Tatbiquha Au Da’watu Ilaiha (Demokrasi Sistem Kufur, Haram Mengambilnya, Menerapkannya Dan Menyebarluaskannya). Siapa pun yang telah membaca buku tersebut sudah pasti tidak akan dapat menyangkalnya, kecuali mereka yang telah digelapkan hatinya oleh syaitan.

Kami akan ringkaskan isi kandungan buku tersebut di sini sebagai jawapan kepada Butiran ini [4.3 (d)], kerana kami ingin menghilangkan keraguan yang ada pada mereka yang masih ragu-ragu. Namun, kami tetap menasihatkan agar JFNJ dan siapa pun yang ingin mencari kebenaran tentang hakikat bahawa demokrasi ialah sistem kufur, maka bacalah keseluruhan kandungan buku tersebut.

Demokrasi yang telah dijaja oleh kuffar Barat ke negeri-negeri umat Islam, sesungguhnya adalah sistem kufur. Ia tidak ada hubungan sama sekali dengan Islam, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Demokrasi sangat bertentangan dengan hukum Islam dari segi garis kasar mahupun perinciannya, dari segi sumber kemunculannya, akidah yang melahirkannya atau asas yang mendasarinya, serta pelbagai idea dan peraturan yang dibawanya. Oleh itu, kaum Muslimin diharamkan secara mutlak mengambil, menerapkan dan menyebarluaskan demokrasi. Di manakah perbezaan sistem demokrasi dengan sistem Islam, yang menjadikannya sebagai sistem kufur?:

1. Sumber Kemunculan

Demokrasi merupakan sistem ciptaan manusia dan lahir daripada akal manusia (di Barat), yang asalnya bertujuan untuk membebaskan diri daripada kezaliman dan penindasan para pemerintah yang menzalimi rakyatnya atas nama agama. Para pemerintah Eropah pada ketika itu beranggapan bahawa mereka adalah wakil Tuhan di muka bumi dan berhak memerintah rakyat berdasarkan kekuasaan Tuhan. Para ahli falsafah dan cendekiawan lalu bangkit untuk menentang, dan mereka menang dalam pertarungan sengit itu, lalu mereka menyusun satu sistem yang mengambil sumber kekuasaannya daripada rakyat, dan menyatakan bahawa rakyat memiliki kedaulatan dan layak membuat undang-undang. Gereja tidak boleh lagi campur tangan dalam urusan pemerintahan dan pembuatan segala peraturan atau undang-undang, kerana ia kini menjadi hak rakyat sepenuhnya. Maka berlakulah pemisahan antara agama dan pemerintahan, yang memunculkan sistem demokrasi. Amat jelas bahawa sumber kemunculan sistem demokrasi seluruhnya adalah daripada (akal) manusia, dan tidak ada hubungannya sama sekali dengan wahyu atau agama.

Sedangkan Islam adalah Deen sekali gus sistem yang telah diturunkan oleh Allah (swt) kepada Nabi Muhammad (saw) untuk mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya, dirinya, dan manusia lain. Allah (swt) berfirman:

﴿وَ مَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى إِنْ هُوَ إِلاَّ وَحْيٌ يُوْحَى﴾

“Dan tiadalah yang diucapkannya (Muhammad) itu menurut hawa nafsunya, ucapannya itu tiada lain hanya berupa wahyu yang diwahyukan kepadanya” [An-Najm (53): 3-4)

Rasulullah (saw) telah meninggalkan kepada kita dua sumber iaitu al-Quran dan as-Sunnah sebagai petunjuk dan panduan kepada umatnya sehingga ke hari Kiamat. Melalui dua sumber ini, Allah (swt) telah menyempurnakan agama ini (Islam) sehingga kita tidak memerlukan kepada apa jua sistem buatan manusia, khususnya demokrasi, untuk mengatur hidup kita. Sistem hidup kita ini wajib diatur oleh Islam, bukannya oleh demokrasi.

2. Akidah Yang Melahirkan Demokrasi

Adapun akidah yang melahirkan idea demokrasi, adalah akidah pemisahan agama dari kehidupan dan negara (sekularisme). Akidah ini dibangun di atas prinsip jalan tengah (kompromi)  antara  para  agamawan Kristian – yang diperalat oleh para raja dan kaisar dan dijadikan tunggangan untuk mengeksploitasi dan menzalimi rakyat, menghisap darah rakyat atas nama agama, serta menghendaki agar segala urusan tunduk di bawah peraturan agama – dengan para cendekiawan yang mengingkari kewujudan agama dan menolak autoriti para agamawan.

Akidah ini tidak mengingkari eksistensi agama, tetapi hanya menghapuskan peranannya dalam mengatur kehidupan bernegara. Dengan sendirinya konsekuensi akidah ini ialah memberikan kuasa kepada manusia untuk membuat peraturan hidupnya sendiri.

Sedangkan Islam sangatlah berbeza dengan Barat dalam hal akidahnya. Islam dibangun di atas landasan akidah Islamiyyah, yang mewajibkan pelaksanaan perintah dan larangan Allah – yakni hukum syarak yang lahir dari akidah Islamiyyah – dalam seluruh urusan kehidupan dan kenegaraan. Akidah ini menerangkan bahawa manusia tidak berhak membuat peraturan hidupnya sendiri. Manusia hanya berkewajipan menjalani kehidupan menurut peraturan yang ditetapkan oleh Allah (swt) untuknya. Akidah Islam mengajar bahawa Allah (swt) adalah Tuhan Yang Maha Pencipta, Dia mencipta manusia serta mencipta peraturan untuk manusia, dan peraturan ciptaan-Nya adalah yang terbaik dan sempurna untuk manusia, dan yang satu-satunya wajib diambil.

3. Konsep kedaulatan (as-siyadah)

Mengenai idea yang mendasari demokrasi, sesungguhnya terdapat dua idea pokok:

(i) Kedaulatan di tangan rakyat (as-siyadah li asy-sya’bi); dan
(ii) Rakyat sebagai sumber kekuasaan.

Demokrasi menetapkan bahawa rakyatlah yang memiliki dan melaksanakan kehendaknya, bukan para raja dan kaisar. Rakyatlah yang menjalankan kehendaknya sendiri. Berdasarkan prinsip bahawa rakyat adalah pemilik kedaulatan, pemilik dan pelaksana kehendak, maka rakyat berhak membuat hukum (undang-undang) sebagai manifestasi kehendak umum daripada majoriti rakyat. Rakyat membuat hukum melalui para wakilnya yang mereka pilih untuk membuat hukum yang dinamakan sebagai wakil rakyat. Rakyat berhak menetapkan perlembagaan, peraturan dan undang-undang apa pun dan membatalkannya menurut pertimbangan mereka berdasarkan kemaslahatan yang ada. Rakyat juga melalui para wakilnya dianggap berhak menetapkan hukum mengenai bolehnya murtad daripada satu agama kepada agama yang lain, atau kepada keyakinan yang bersifat non-agama (animisme/paganisme), sebagaimana rakyat dianggap berhak menetapkan hukum bolehnya riba, judi, zina, homoseksual, serta mencari nafkah dengan jalan riba, judi, zina dan homoseksual itu.

Ini berbeza dengan Islam yang menyatakan bahawa kedaulatan berada di tangan syarak (as-siyadah li asy-syar’i), bukan di tangan rakyat. Ini kerana Allah (swt) sahajalah yang layak bertindak sebagai Musyarri’ (Pembuat hukum). Rakyat secara keseluruhan tidak berhak membuat hukum, walau pun hanya satu hukum. Sekiranya seluruh umat Islam berkumpul dan bersepakat untuk menghalalkan riba atau judi, untuk meningkatkan ekonomi, atau bersepakat bolehnya membuat pusat perzinaan dengan dalih agar kes zina dan rogol tidak berleluasa di dalam masyarakat, atau bersepakat menghapuskan pemilikan individu, atau bersepakat menghapuskan puasa Ramadhan agar dapat meningkatkan produktiviti kerja, atau bersepakat membolehkan idea kebebasan individu yang memberikan kebebasan kepada seorang Muslim untuk murtad, untuk meminum arak dan mendedahkan aurat; maka seluruh kesepakatan ini tidak ada nilainya sama sekali di sisi Islam, malah merupakan dosa besar di sisi Islam.

Ini kerana, dalam seluruh aktiviti kehidupannya, setiap Muslim wajib terikat dengan perintah dan larangan Allah (swt). Mereka tidak boleh melakukan sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan perintah Allah (swt), sebagaimana mereka tidak boleh membuat satu hukum pun, kerana hanya Allah (swt) sahajalah satu-satunya Dzat yang layak membuat hukum. Firman-Nya:

﴿إِنِ الحُكْمُ إلاّ لله﴾ِ

“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” [Al-An’am (6):57]

﴿وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللَّهِ﴾

“Tentang sesuatu apa pun yang kamu berselisih, maka keputusannya (terserah) kepada Allah” [Syura (42): 10].

﴿فَلاَ وَ رَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُم﴾ْ

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim (pemutus) terhadap perkara yang mereka perselisihkan” [An-Nisa’ (4): 65].

﴿أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَ مَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُون﴾َ

“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [Al-Ma’idah (5): 50].

Hukum jahiliyyah adalah hukum yang tidak dibawa oleh Rasulullah (saw) dari Tuhannya, iaitu hukum kufur yang dibuat oleh manusia. Rasulullah (saw) bersabda:

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَد

“Siapa sahaja yang melakukan perbuatan yang tidak ada perintah kami atasnya, maka perbuatan itu tertolak” [HR Muslim].

Yang dimaksud dengan kata “أَمْرُنَا” (“perintah kami”) dalam hadis di atas adalah Islam.

Masih ada puluhan ayat dan hadis lain dengan pengertian yang qath’ie (tegas/pasti), yang menegaskan bahawa kedaulatan adalah di tangan syarak, yakni bahawa Allah (swt) sahajalah yang merupakan Musyarri’, bahawa manusia tidak boleh membuat hukum, serta bahawa manusia wajib untuk melaksanakan seluruh aktivitinya dalam kehidupan ini sesuai dengan perintah dan larangan Allah (swt).

4. Ukuran Kebenaran

Demokrasi merupakan pemerintahan berdasarkan majoriti dan pembuatan undang-undang di dalamnya dibuat berdasarkan hukum majoriti. Oleh sebab itulah pemilihan wakil rakyat, (termasuk pemerintah, ahli parlimen, dewan undangan negeri) serta badan lainnya, adalah berdasarkan suara ramai (majoriti). Oleh kerana itu, dalam sistem demokrasi, pendapat majoriti bersifat mengikat bagi semua pihak. Ini kerana pendapat majoriti (kononnya) merupakan representasi kehendak rakyat. Jadi pihak minoriti tidak mempunyai pilihan kecuali tunduk dan mengikuti pendapat majoriti. Ringkasnya dalam demokrasi, ukuran kebenaran adalah berdasarkan prinsip majoriti. Dikatakan bahawa apabila majoriti telah memutuskan, itulah yang paling baik dan itulah yang paling benar.

Sedangkan dalam Islam, sudut pandang yang diajar oleh Islam adalah berbeza:

(a) Untuk masalah yang berkaitan dengan hukum syarak, yang menjadi ukuran adalah kekuatan dalil, bukannya majoriti.

Dalam masalah penentuan hukum, kriterianya tidak bergantung pada pendapat majoriti atau minoriti, melainkan pada nas-nas syarak. Ini kerana, yang menjadi Musyarri’ (Pembuat hukum / Legislator) hanyalah Allah (swt), bukannya rakyat (manusia). Kita diwajibkan mengambil apa sahaja yang datangnya dari Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw). Semasa perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah (saw) menolak pendapat majoriti sahabat yang tidak bersetuju dengannya, dan baginda menandatangani Perjanjian tersebut. Ini kerana adanya perintah Allah (swt) atau wahyu dalam perkara tersebut. Untuk menegaskan perkara ini, Rasulullah (saw) bersabda kepada mereka:

إِنِّي عَبْدَ اللهِ وَ رَسُوْلَهُ وَ لَنْ أُخَالِفَ أَمْرَه

“Sesungguhnya aku ini adalah hamba Allah dan utusan-Nya, dan aku sekali-kali tidak akan menyalahi perintah-Nya.”

Jadi, apabila adanya wahyu dalam sesuatu perkara, yang wajib diambil itu adalah wahyu, bukannya majoriti. Dalam demokrasi, apa yang terpakai ialah hukum majoriti, bukannya wahyu. Malah dengan suara majoriti manusia, hukum wahyu boleh ditolak dengan begitu sahaja.

(b) Untuk masalah yang menyangkut keahlian atau kepakaran, yang menjadi ukuran adalah ketepatan atau kebenarannya berdasarkan pendapat mereka yang ahli/pakar, bukannya suara majoriti.

Adapun masalah yang berhubung dengan aspek-aspek kepakaran dan idea yang memerlukan keahlian, pemikiran dan pertimbangan yang mendalam (yang tidak ada kena mengena dengan wahyu), maka yang dijadikan tolok ukur adalah ketepatan atau kebenarannya berdasarkan pendapat pakar, bukan berdasarkan suara majoriti atau minoriti. Jadi masalah yang ada mesti dikembalikan kepada para ahlinya. Merekalah yang dapat memahami permasalahan yang ada dengan tepat. Masalah-masalah ketenteraan dikembalikan kepada para pakar ketenteraan. Masalah-masalah fiqh dikembalikan kepada para fuqaha’ dan mujtahidin. Masalah-masalah dalam bidang perubatan/kesihatan dikembalikan kepada para doktor yang pakar. Masalah-masalah yang bersifat teknikal dikembalikan kepada jurutera atau juruteknik dalam bidang masing-masing Masalah-masalah idea/gagasan dikembalikan kepada para pemikir yang cerdas. Demikianlah seterusnya.

Rasulullah (saw) pernah mengikuti pendapat al-Hubab bin al-Mundzir dalam Perang Badar – Hubab merupakan pakar dalam hal kawasan-kawasan strategik di Badar – yang mengusulkan kepada Nabi (saw) agar meninggalkan tempat yang dipilih oleh Nabi, kalau sekiranya ketentuan tempat itu bukan daripada wahyu. Hubab berpendapat bahawa tempat tersebut tidak sesuai untuk kepentingan pertempuran. Maka Rasulullah (saw) mengikuti pendapat Hubab dan berpindah ke kawasan lain yang ditunjukkan oleh Hubab. Jadi Rasulullah (saw) telah meninggalkan pendapatnya sendiri dan tidak pun meminta pertimbangan kepada para sahabat lainnya dalam masalah tersebut.

(c) Untuk masalah teknikal yang berhubungan langsung dengan sesuatu tindakan (yang tidak memerlukan keahlian) yang hukumnya adalah mubah, maka di sinilah suara majoriti boleh diambil, itu pun jika mahu.

Adapun masalah-masalah yang secara langsung terkait dengan amal/praktis (dan tidak melibatkan hukum syarak), yang tidak memerlukan pemikiran dan pertimbangan yang mendalam, maka barulah suara majoriti boleh menjadi ukuran di sini, sebab majoriti orang dapat memahaminya dan dapat memberikan pendapatnya dengan mudah menurut pertimbangan kemaslahatan yang ada. Dalil untuk ketentuan tersebut adalah peristiwa yang terjadi pada Rasulullah (saw) ketika Perang Uhud. Oleh kerana majoriti sahabat berpendapat untuk keluar kota Madinah, maka Nabi (saw) mengikuti pendapat mereka dan mengabaikan pendapat para sahabat senior, dan berangkat menuju Uhud di luar kota Madinah untuk menghadapi pasukan Quraisy. Isunya di sini ialah tempat mana yang ingin dipilih untuk menghadapi musuh, sama ada di dalam atau luar kota, yang mana hukumnya adalah mubah, dan kedua-duanya tempat ada kelebihan dan kekurangannya masing-masing.

Kesimpulannya: Menggunakan pendapat majoriti dalam semua perkara adalah bertentangan dengan Islam, seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah (saw).

5. Kebebasan

Kebebasan individu sesungguhnya merupakan salah satu idea yang paling menonjol dalam demokrasi. Idea ini dianggap sebagai suatu yang suci dan salah satu asas penting dalam demokrasi, sebab dengan idea ini tiap-tiap individu akan dapat melaksana dan menjalankan kehendaknya menurut apa yang diingininya tanpa tekanan atau paksaan. Rakyat dianggap tidak akan dapat menzahirkan kehendaknya kecuali dengan adanya kebebasan individu. Antara kebebasan yang ada dalam ajaran demokrasi ialah:

  • Kebebasan berakidah/beragama.
  • Kebebasan berpendapat.
  • Kebebasan kepemilikan.
  • Kebebasan bertingkah laku.

Sesungguhnya keempat-empat jenis kebebasan ini tidak ada dalam kamus Islam, sebab seseorang Muslim itu wajib terikat dengan hukum syarak dalam seluruh perbuatannya. Seorang Muslim tidak dibenarkan berbuat sesuka hatinya. Seseorang Muslim itu tidak bebas berakidah atau menukar agamanya sesuka hatinya; seseorang Muslim itu tidak bebas mengeluarkan pendapat semahunya seperti menghina orang lain, memfitnah orang lain atau mengeluarkan perkataan kesat dan mencarut sesuka hatinya; seseorang Muslim tidak bebas memiliki apa sahaja seperti memiliki harta dengan jalan pelacuran, zina, judi mencuri hakmilik awam dan sebagainya; seseorang Muslim tidak bebas bertingkah laku semahunya seperti membuka aurat, berpeluk atau bercium atau berzina dengan sesiapa sahaja yang dikehendakinya dan sebagainya. Pendek kata, seseorang Muslim itu adalah terikat dengan hukum syarak dalam segala perbuatannya, tidak bebas melakukan segalanya sebagaimana ajaran demokrasi.

Oleh yang demikian prinsip kebebasan dalam demokrasi adalah bertentangan dengan Islam yang menyuruh umatnya terikat dengan hukum syarak dalam seluruh perbuatannya.

Dari seluruh penjelasan di atas, sangat jelas bahawa demokrasi bertentangan secara total dengan hukum Islam. Adalah suatu kejahilan dan usaha penyesatan yang nyata jika ada yang mengatakan bahawa demokrasi itu adalah sebahagian daripada ajaran Islam, atau demokrasi selari dengan Islam.

Adalah kejahilan dan penyesatan juga jika dikatakan bahawa demokrasi itu sama dengan sistem syura (mesyuarat) di dalam Islam atau sama dengan konsep amar ma’ruf nahi munkar atau muhasabah terhadap pemerintah. Syura, amar ma’ruf nahi munkar dan memuhasabah pemerintah, adalah hukum-hukum syarak, yang telah ditetapkan oleh Allah (swt), yang tidak ada kena mengena, malah berlainan sama sekali dengan demokrasi. Kaum Muslimin telah diperintahkan untuk mengambil dan melaksanakannya dengan pertimbangan bahawa semua itu adalah hukum-hukum syarak semata-mata, tanpa perlu mengaitkannya (malah memang tidak ada kaitannya) sama sekali dengan demokrasi.

Demokrasi juga bukanlah hukum syarak, bukan pula sebahagian daripada hukum syarak dan bukan berasal dari peraturan dan ketetapan Allah (swt). Demokrasi adalah sistem buatan manusia dan segala peraturan yang lahir daripadanya adalah yang lahir daripada akal manusia.

Oleh yang demikian, kaum Muslimin haram mengambil, menerapkan dan menyebarluaskan demokrasi serta wajib membuang demokrasi sejauh-jauhnya kerana pertentangannya dengan Islam amatlah nyata.

Demokrasi adalah sistem kufur, yang membawa pelbagai idea, peraturan dan undang-undang kufur. Demokrasi tidak ada hubungannya dengan Islam sama sekali. Kewajipan atas kaum Muslimin ialah untuk menerapkan dan melaksanakan seluruh ajaran Islam dalam kehidupan individu, bermasyarakat dan bernegara. Rasulullah (saw) tidak pernah membawa ajaran demokrasi, tetapi membawa ajaran Islam yang murni, yang tidak bercampur dan tidak diambil sedikit pun dari sistem jahiliyah atau dari akal-akal manusia. Dan Rasulullah (saw) mewariskan kepada kita sistem Khilafah yang cukup jelas dinyatakan melalui hadis-hadis baginda. Sedangkan sistem demokrasi yang diamalkan pada hari ini, hakikatnya merupakan warisan penjajah kafir ke atas kita. Firman-Nya:

﴿وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الهُدَى وَ يَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيْلِ المُؤْمِنِيْن نُوَلِّهِ مَا تَوَلِّى وَ نُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَ سَاءَتْ مَصِيْرًا﴾

“Dan siapa sahaja yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang Mukmin, Kami biarkan mereka berkuasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkannya ke dalam neraka Jahannam, dan Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali” [An-Nisa’ (4): 115].

Oleh yang demikian pernyataan oleh Hizbut Tahrir, baik itu Hizbut Tahrir Mesir, Hizbut Tahrir Jordan, Hizbut Tahrir Sudan, Hizbut Tahrir Tunisia, Hizbut Tahrir Iraq, Hizbut Tahrir Pakistan, Hizbut Tahrir Afghanistan, Hizbut Tahrir Bangladesh, Hizbut Tahrir Amerika, Hizbut Tahri Britain, Hizbut Tahrir Indonesia, Hizbut Tahrir Malaysia dan Hizbut Tahrir mana pun di dunia ini, bahawa demokrasi adalah sistem kufur, ya benar kami mengakuinya. Ini kerana demokrasi memang sistem kufur yang datangnya dari Barat yang bertujuan untuk menghalang tegaknya hukum Allah (swt). Maka kami tidak ragu sedikit pun, dan kami tidak pernah meragukan umat Islam bahawa mengambil demokrasi adalah haram, menerapkannya adalah haram dan menyebarluaskannya adalah haram. Inilah pendirian Hizbut Tahrir, berdasarkan nas yang jelas lagi nyata.

Seperkara penting yang perlu difahami ialah, walaupun kami dengan tegas menyatakan bahawa demokrasi adalah sistem kufur, kami tidak pernah menyatakan bahawa umat Islam yang mengambil sistem tersebut sebagai kafir, seperti tuduhan sesetengah pihak. Pendirian kami sangat jelas iaitu kami menyatakan bahawa mengambil sistem demokrasi, menerapkannya atau menyebarluaskannya adalah haram. Ini bermaksud siapa pun daripada kalangan umat Islam yang mengambilnya adalah berdosa, sebagaimana ia melakukan keharaman lainnya. Melakukan suatu yang haram tidak akan menjadikan seseorang Muslim itu kafir, tetapi berdosa. Berbeza halnya jika ia mengakui perkara haram itu sebagai halal seperti menyatakan zina itu halal, atau riba itu halal dan sebagainya.

Inilah pegangan kami, dan kami ulangi bahawa dengan dalil yang cukup jelas lagi nyata, sistem demokrasi adalah sistem kufur, haram bagi umat Islam mengambilnya, menerapkannya dan menyebarluaskannya.

Maka, jika JFNJ ingin menyanggah hujah dan pendirian Hizbut Tahrir dalam isu ini, dengan kata lain JFNJ ingin menyatakan bahawa demokrasi adalah sistem Islam, sistem yang berasal dari Islam, sistem yang berasal daripada Rasulullah (na’uzu billah min zalik), atau sistem yang tidak bertentangan dengan Islam, atau sistem berasal dari Barat tetapi boleh diambil oleh umat Islam dan seumpamanya, maka kami cabar dan kami katakan silakan datangkan hujah anda menurut fakta dan realiti berdasarkan nas daripada al-Quran dan as-Sunnah, bahawa demokrasi adalah sistem Islam!!!

Kami telah pun mendatangkan hujah kami. Maka jika anda tidak bersetuju, sila datangkan hujah anda untuk menyangkal hujah kami, dan jika anda mampu mengemukakan hujah, insya Allah kami akan menjawabnya dengan sewajarnya, dan kami akan buktikan di manakah kesalahan anda. Itu pun jika anda ada mampu dan jika anda ada hujah! Ayuh, kita lawan hujah dengan hujah, kerana hujah seharusnya dijawab dengan hujah, bukannya dijawab dengan kekuasaan!