Bantahan Fatwa Johor – 4.3f

Muat turun PDF
Isi Kandungan

(f) Mengambil fahaman ekstrem dalam perkara menjatuhkan pemimpin negara dengan mengatakan seorang pemimpin harus diperangi jika tidak mengamalkan hukum Islam dan menampakkan syiar Islam (Risalah Manhaj Hizbut Tahrir fi al-Taghyir).

JFNJ tidak menyatakan muka surat manakah yang dimaksudkan sehingga menyukarkan kami untuk membuat rujukan dan membantah pembohongan yang dilakukan. Walaupun dengan sekilas bacaan kami sudah mengetahui bahawa apa yang difatwakan oleh JAINJ ini amat jelas merupakan sebuah fitnah dan pendustaan, namun kami tetap berusaha untuk meneliti buku yang dinyatakan secara sepenuhnya bagi menjawab fitnah keji ini. Jika sisa-sisa keikhlasan masih ada dalam diri JFNJ, nescaya anda akan memahami dengan benar apabila anda membaca keseluruhan buku ini. Bagaimana mungkin anda sanggup melakukan pembohongan dan pendustaan sedemikian rupa, dengan hanya memetik sebahagian isi kandungan kitab dan membuat kesimpulan menurut agenda yang anda dikehendaki!? Sudah tidak ada ketakutankah anda kepada Allah (swt), walaupun sedikit?

Jika benar dakwaan anda, di manakah buktinya yang Hizbut Tahrir pernah memerangi pemerintah yang tidak mengamalkan hukum Islam? Hizbut Tahrir bergerak di lebih 40 buah negara di dunia sejak 1953 lagi, apakah bukti yang anda ada bahawa Hizbut Tahrir pernah memerangi mana-mana pemerintah? Lihat sahajalah di Malaysia sekiranya anda tidak punya bukti di negara-negara lain, di manakah buktinya yang Hizbut Tahrir pernah memerangi pemerintah di Malaysia? Kami berani bersumpah atas nama Allah yang anda tidak akan menjumpainya sampai kiamat, dan jika anda tetap menjumpainya, maka kami katakan bahawa itu hanyalah bukti rekaan anda dan kawan-kawan anda sahaja!

Sudah lebih 50 tahun Hizbut Tahrir bergerak di seluruh dunia, dan lebih 20 tahun Hizbut Tahrir bergerak di Malaysia, dan rekod tentang segala aktiviti kami semuanya ada di tangan PDRM. Namun demikian, PDRM selaku pihak yang menjaga keselamatan negara ini tidak pernah menyatakan bahawa Hizbut Tahrir mempunyai rekod memerangi pemerintah. Malah PDRM tahu betapa aktiviti Hizbut Tahrir hanyalah secara politik dan intelektual, tidak pernah mengangkat senjata mahupun menggunakan kekerasan. Jika PDRM sendiri tidak pernah menganggap dan tidak pernah mengisytiharkan bahawa Hizbut Tahrir menggunakan kekerasan, bagaimana mungkin anda boleh berdusta sampai begitu sekali wahai JFNJ?

Wahai JFNJ, sesungguhnya bukti yang ada ialah sebaliknya…di mana para anggota Hizbut Tahrir-lah yang “diperangi” oleh pemerintah! Dakwah kami secara politik dan intelektual sering “dijawab” oleh pemerintah dengan intimidasi, penangkapan, pemenjaraan dan penyeksaan, malah pembunuhan ke atas para anggota Hizbut Tahrir di seluruh dunia. Dan anda wahai JFNJ, anda adalah sebahagian daripada kakitangan pemerintah yang terlibat dalam melakukan intimidasi dan penangkapan ke atas anggota Hizbut Tahrir, hasil daripada fatwa yang anda keluarkan. Inilah apa yang anda lakukan, namun sebaliknya anda memfitnah kami ingin memerangi pemerintah! Sungguh luar biasa apa yang anda fatwakan!

Walaupun JFNJ tidak mengemukakan sebarang rujukan, namun setelah kami meneliti risalah berkenaan, kami mengandaikan yang muka surat yang ingin dimaksudkan oleh JFNJ ialah muka surat 21-22, dan kami paparkan di bawah ini:

Terjemahan:

Berkaitan dengan penggunaan kekuatan fizik dalam menghadapi penguasa, melawannya dengan senjata dan memeranginya apabila melakukan kemungkaran, maka sesungguhnya syarak telah melarang hal ini, kecuali dalam satu keadaan iaitu apabila penguasa tersebut menampakkan kekufuran secara nyata (iaitu melaksanakan hukum-hukum kufur) atau apabila berpeluk tubuh terhadap kekufuran yang mendominasi negerinya. Dalam keadaan ini pemimpin seperti itu harus diperangi, dilawan dengan senjata, dan direbut kekuasaannya untuk mengembalikannya daripada pelaksanaan hukum-hukum kufur. Apabila pemimpin itu tidak mahu juga melepaskan hukum-hukum kufur (berkeras untuk menerapkannya), maka ia akan dihadapi dengan senjata dan diperangi agar ia ditendang keluar daripada kekuasaan, dan agar semata-mata hukum-hukum syarak dapat kembali diterapkan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Ummu Salamah disebutkan:

“…Para Sahabat bertanya (kepada Rasul): ‘Wahai Rasulullah tidakkah kita perangi saja mereka itu?’ Baginda menjawab: ‘Tidak, selama mereka masih menegakkan shalat.'”

Sedangkan dalam hadis yang diriwayatkan ‘Auf bin Malik:

“… ditanyakan (oleh sahabat kepada Rasul): ‘Wahai Rasulullah, tidakkah kita perangi sahaja mereka itu dengan pedang? Baginda menjawab: ‘Tidak, selama mereka masih menegakkan shalat di tengah-tengah kalian.’”

Erti menegakkan shalat di sini ialah menegakkan hukum-hukum Islam secara keseluruhan. Ia merupakan penyebutan terhadap sebahagian hukum – iaitu shalat – sedangkan yang dimaksudkan ialah keseluruhan.

Dalam hadis yang diriwayatkan dari ‘Ubadah ibn Shamit terdapat lafaz:

“Hendaknya kami tidak merebut kekuasaan dari tangan para pemimpin, kecuali (Rasulullah bersabda:) ‘Apabila kalian menyaksikan kekufuran secara nyata (kufran bawaahan), yang dapat dibuktikan berdasarkan keterangan dari Allah.’”

Dalam riwayat ath-Thabrani disebut “kekufuran yang jelas” (kufran shuraahan) “. Sedangkan dalam riwayat Imam Ahmad disebut “selama ia tidak menyuruhmu berbuat maksiat secara nyata.”

Hadis-hadis tersebut di atas seluruhnya menunjukkan kewajipan mengangkat senjata terhadap para penguasa dan memeranginya apabila telah menampakkan kekufuran nyata yang dapat dibuktikan di sisi Allah – yakni apabila ia benar-benar memerintah dengan hukum-hukum kufur.

Inilah muka surat yang kami rasakan yang ingin dirujuk oleh JFNJ.

Namun malangnya, JFNJ tidak merujuk keseluruhan pembahasan yang terdapat dalam risalah tersebut. JFNJ seharusnya menukil dengan jujur apa yang ditulis dalam risalah berkenaan, iaitu dengan menukilkan secara keseluruhan perbincangan yang berkaitan. Dengan menukilkan sebahagian sahaja, jelas terlihat niat jahat JFNJ untuk melakukan pembohongan dan memfitnah Hizbut Tahrir dalam isu ini. Pada perenggan selanjutnya, risalah tersebut telah menjelaskan pemahaman terhadap hadis yang disebutkan, dengan konteks yang sebenar. Di bawah ini adalah terjemahan selanjutnya dalam muka surat yang berkenaan (muka surat 22), yang sengaja tidak dipedulikan oleh JFNJ:

Terjemahan:

Hanya saja, kewajipan mengangkat senjata dan melawan penguasa pada saat telah menampakkan kekufuran nyata, sesungguhnya hanya dapat dilakukan apabila negara tersebut termasuk kategori Darul Islam, di mana hukum-hukum Islam ditegakkan tetapi penguasanya menerapkan hukum-hukum kufur. Ini kerana, hadis ‘Ubadah ibn Shamit menyatakan:

“… kecuali apabila kalian melihat kekufuran yang nyata (kufran bawaahan)…”

atau menurut riwayat ath-Thabrani:

“… kecuali apabila kalian melihat kekufuran yang jelas (kufran shuraahan).”

Iaitu apabila kalian melihat kekufuran yang nyata dan jelas, yang sebelumnya kalian tidak pernah melihatnya. Dengan kata lain, hukum-hukum Islam sebelumnya telah ditegakkan, kemudian muncul penguasa yang menerapkan hukum-hukum kufur yang jelas dan nyata.

Sedangkan apabila negara itu termasuk kategori Darul kufur, di mana hukum-hukum Islam tidak diterapkan, maka cara yang harus ditempuh kaum Muslimin untuk menukar penguasa ialah dengan thalabun nushrah sesuai dengan sirah Rasulullah (saw) iaitu mencari pertolongan dan perlindungan untuk menegakkan Daulah dan menerapkan hukum Islam.

Nah, inilah perenggan yang sengaja “ditinggalkan” oleh JFNJ, hanya satu perenggan sahaja selepas pembahasan di atas, di mana Hizbut Tahrir menjelaskan maksud sebenar kebolehan memerangi penguasa yang dinyatakan dalam hadis yang berkenaan.

Wahai JFNJ! Kami telah pun mengakui pegangan dan pendirian kami sebelum ini, bahawa di dunia pada hari ini tidak ada satu pun Darul Islam, termasuklah Malaysia. Kesemuanya adalah Darul Kufur. Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa kita tidak boleh memerangi penguasa, kerana apa yang dibenarkan oleh hadis untuk memerangi penguasa hanya berlaku di Darul Islam. Dengan kata lain, hadis itu berlaku tatkata wujudnya Darul Islam, lalu pemerintah menerapkan kekufuran secara nyata dalam Darul Islam tersebut, barulah ia boleh diperangi. Dalam keadaan sekarang di mana tidak ada Darul Islam, dan semua yang ada hanyalah Darul Kufur (termasuk Malaysia), maka kita tidak boleh memerangi pemerintah, atau mengangkat senjata terhadap pemerintah, atau menggunakan kekerasan terhadap pemerintah atau seumpamanya.

Inilah pegangan Hizbut Tahrir, berdasarkan kefahaman kami terhadap hadis tersebut. Atas dasar itu, kami tidak pernah memerangi pemerintah atau mengangkat pedang terhadap pemerintah kerana perbuatan tersebut adalah menyalahi hadis. Malah kami katakan kepada mana-mana individu atau gerakan bahawa siapa sahaja yang mengangkat senjata terhadap pemerintah, hal ini adalah haram dan berdosa, kerana menyalahi hadis dan menyalahi thariqah dakwah Rasulullah (saw).

Kami ulangi, oleh kerana kesemua negara umat Islam pada hari ini merupakan Darul Kufur kerana tidak menerapkan hukum Islam, maka kita tidak boleh memerangi pemerintah. Satu-satunya jalan untuk menukar pemerintahan ini ialah dengan melakukan dakwah secara politik dan intelektual serta melakukan thalabun nusrah (mencari pertolongan), sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah (saw). Dalam muka surat 29, Hizbut Tahrir menegaskan lagi sebagaimana berikut:

Terjemahan:

3 – Aktiviti Hizbut Tahrir adalah mengembang dakwah Islam untuk mengubah realiti masyarakat yang rosak di negeri-negeri kaum Muslimin saat ini, menjadi masyarakat Islam – melalui perubahan pemikiran yang tidak Islami menjadi pemikiran yang Islami – sehingga dapat membentuk pendapat umum di tengah masyarakat dan menjadi pemahaman yang cemerlang, yang mampu mendorong mereka untuk mengamalkannya; selain mengubah perasaan yang tidak Islami di antara anggota masyarakat yang ada, menjadi perasaan yang Islami, di mana ia akan redha terhadap apa yang diredhai oleh Allah dan Rasul-Nya serta akan marah dan benci terhadap apa yang dimurkai dan dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya; serta mengubah hubungan yang tidak Islami di antara mereka menjadi hubungan yang bersifat Islami sesuai dengan hukum dan penyelesaian Islam.

Seluruh aktiviti yang dilakukan Hizbut Tahrir adalah aktiviti politik, di mana Hizbut Tahrir senantiasa memperhatikan dan selalu memelihara urusan masyarakat agar sesuai dengan hukum syarak lalu diselesaikan berlandaskan hukum-hukum syarak. Sebab, pengertian politik tidak lain adalah memelihara dan mengatur urusan masyarakat dengan hukum-hukum Islam kemudian diselesaikan sesuai dengan syariat Islam.

Nah, demikian jelas apa yang diceritakan oleh Hizbut Tahrir dalam Risalah Manhaj Hizb at-Tahrir fi Taghyir ini. Jika JFNJ ada secebis kejujuran dalam membuat rujukan dan nukilan, nescaya JFNJ tidak akan melakukan pembohongan dan fitnah sekeji ini. Lebih malang, apabila kami telah menjelaskan sebelum ini bahawa berapa banyak daripada kandungan fatwa JFNJ adalah fitnah dan pembohongan, JFNJ tetap tidak mahu mengakuinya, tidak mahu menarik balik, malah terus-menerus menggunakan pihak berkuasa agama untuk mencari dan menangkap anggota Hizbut Tahrir. Subhanallah! Betapa beraninya JFNJ dan pihak berkuasa agama Johor memfitnah dan melakukan kejahatan ke atas para pengembang dakwah!