Bantahan Fatwa Johor – 4.3g

Muat turun PDF
Isi Kandungan

(g) Menyatakan jika sebuah negeri dihuni oleh orang Islam dan berhukum dengan bukan Islam, orang Islam wajib memerangi pemimpinnya hingga mereka berhukum dengan hukum Islam. (al-Nabhani: al-Shaksiah al-Islamiyyah jilid 2, cetakan kelima, tahun 2003, halaman 126).

Seperti biasa, kami menyemak muka surat yang dirujuk bagi memastikan sama ada yang diperkatakan oleh JFNJ adalah benar atau sebaliknya. Setelah melakukan semakan, ternyata perkara yang dikatakan dalam Butiran (g) di atas tidak terdapat pada muka surat yang diberikan. Kami paparkan di sini muka surat yang berkenaan (muka surat 126) untuk perhatian:

Terjemahan:

“..shahih bahawa Umar bin Khaththab berkata: “Jika kalian bertiga dalam perjalanan, maka angkatlah salah seorang di antaranya untuk menjadi amir kalian. Itulah amir yang diperintahkan oleh Rasulullah (saw).” Al-Bazzar juga mengeluarkan dari hadis Ibnu Umar dengan sanad yang shahih, bahawa Rasulullah (saw) bersabda: “Jika mereka bertiga dalam perjalanan, maka hendaklah mereka mengangkat salah seorang di antaranya untuk menjadi amir mereka.” Juga, berdasarkan hadis Abu Sa’id al-Khudri: “Jika tiga orang keluar dalam perjalanan, maka hendaklah mereka mengangkat salah seorang di antaranya untuk menjadi amir mereka.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud). Hadis-hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa disyariatkan bagi setiap kelompok yang mencapai tiga orang atau lebih agar mengangkat salah seorang di antaranya untuk menjadi amir mereka. Sabda Nabi (saw) dalam hadis-hadis tersebut: “di padang sahara” dan “dalam perjalanan”, menunjukkan bahawa mereka berkelompok untuk melakukan urusan bersama di padang sahara, atau melakukan perjalanan, atau pekerjaan-pekerjaan bersama yang sejenis dengannya. Sehingga, masuk di dalamnya parti atau persekutuan, pasukan, perkampungan, perkotaan, daerah dan lainnya. Jika hal ini disyariatkan bagi tiga orang yang berada di padang sahara atau melakukan perjalanan, maka lebih disyariatkan lagi bagi jumlah yang lebih besar atau pekerjaan yang lebih agung dari itu. Jadi, hadis-hadis di atas bersifat umum, mencakup keadaan di padang sahara, dalam perjalanan, dan hal-hal lain yang lebih besar dan lebih agung dari kedua-duanya. Kerana, mafhum al-muwafaqah menunjukkan hal itu. Kaedah ushul menetapkan pemberlakuan fahwal khithab. Jika sesuatu diperintahkan atau dilarang, maka mafhum (sesuatu yang tersirat) dari apa yang diperintahkan dan yang dilarang itu masuk bersama manthuq (sesuatu yang tersurat) dalam perintah dan larangan, tidak hanya yang manthuq sahaja. Ertinya, jika sesuatu diperintahkan atau dilarang, maka perintah dan larangan tersebut akan lebih utama lagi untuk diterapkan pada apa yang lebih banyak dan lebih besar darinya. Misalnya pengharaman mencaci dan memukul kedua orang tua yang diambil dari dalalah (petunjuk) firman Allah (swt).: “Dan janganlah kamu mengatakan uff (ahh) kepada keduanya” [Al-Isra’ (17): 23]. Juga, pengharaman membinasakan harta anak yatim yang diambil dari dalalah (petunjuk) firman Allah (swt): “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim” [An-Nisa` (4): 10]; Dan wajibnya mengembalikan sesuatu yang menjadi hak orang lain, baik sesuatu itu jumlahnya banyak mahupun sedikit. Hal ini diambil dari firman Allah (swt): “Dan di antara ahli kitab ada orang yang jika kamu mempercayakan kepadanya harta yang banyak, dikembalikannya kepadamu; dan di antara mereka ada orang yang jika kamu mempercayakan kepadanya satu dinar, tidak dikembalikannya kepadamu” [Ali ‘Imran (3): 75]. Demikian juga, Rasul memerintahkan untuk mengangkat seorang amir ketika sedang dalam perjalanan dan ketika berada di…

Nah, ternyata tidak ada apa-apa dalam muka surat ini yang merujuk kepada apa yang JFNJ fatwakan dalam Butiran 4.3 (g) ini! Untuk ke sekian kalinya JFNJ telah membuat rujukan pada muka surat yang salah, yang tidak seharusnya berlaku dalam pengeluaran sesebuah fatwa. Bagaimana pun kami tetap berusaha untuk mencari muka surat yang betul berdasarkan kepada frasa yang dinyatakan, walau pun kami terpaksa menghabiskan banyak waktu untuk mencarinya. Setelah diperiksa, kami menduga bahawa muka surat yang dimaksudkan ialah muka surat 269, dan ingin kami katakan di sini bahawa perbezaan (kesalahan) rujukannya amat jauh sekali. Bagaimana mungkin JFNJ melakukan kesalahan rujukan yang berulang-ulang kali dalam hal yang sepenting (fatwa) ini? Hal ini menunjukkan tidak lain, kecuali kegopohan JFNJ dalam usaha untuk memfitnah dan mengada-adakan pendustaan terhadap Hizbut Tahrir!

Kami paparkan di sini muka surat 269.

Terjemahan:

Dan jika negeri itu dihuni oleh umat Islam yang tidak menerapkan hukum-hukum Islam, tetapi sistem kufur, maka wajib bagi kaum Muslim untuk memerangi para pemimpinnya sampai mereka memberlakukan hukum-hukum Islam…

Sekali lagi di sini JFNJ yang tidak memahami pembahasan dalam tajuk yang berkenaan telah membuat kesimpulan sendiri dalam rangka mereka-reka pendustaan terhadap Hizbut Tahrir. Jika tidak memahami pembahasan, seharusnya JFNJ merujuk dan meminta penjelasan daripada kami selaku orang yang mempelajari kitab yang berkenaan. Malangnya hal itu tidak dilakukan kerana hati yang sudah dilitupi oleh kekotoran itu amat sukar untuk dibersihkan, kecuali jika masih ada sisa-sisa keikhlasan yang tertinggal. Namun, kami juga tidak menolak kemungkinan yang JFNJ sebenarnya bukanlah tidak memahami pembahasan, kerana ahli-ahlinya bukanlah calang-calang orang, tetapi JFNJ sengaja tidak mahu memahami!

JFNJ sekali lagi hanya memetik secebis daripada ayat yang diinginkan lalu memaparkannya kepada orang ramai bahawa itulah pegangan Hizbut Tahrir! Sungguh amat mudah untuk melakukan pemesongan fakta bagi menyebabkan orang ramai salah faham. Sebagaimana yang kami katakan di awal, bahawa daripada perbincangan yang panjang mengenai keharaman babi yang dibincangkan oleh si fulan bin si fulan, lalu terdapat frasa yang dinyatakan oleh si fulan bin si fulan bahawa babi itu halal dalam keadaan tertentu, maka apa yang dipetik oleh JFNJ Ialah “babi itu halal” menurut si fulan bin si fulan!

Wahai JFNJ! Dengarlah penjelasan kami ini baik-baik, dan semoga Allah memasukkan kefahaman serta keikhlasan kepada anda. Tajuk bab berkenaan ialah ‘Hijrah Dari Darul Kufur Menuju Darul Islam’, dan dalam bab ini, Hizbut Tahrir membincangkan mengenai makna Hijrah, dan hukum Hijrah yang masih lagi berjalan sampai sekarang, malah sampai kiamat.

Dalam bab tersebut, Hizbut Tahrir telah menjelaskan yang hukum Hijrah boleh dilihat dalam dua situasi yakni ke atas orang yang mampu dan orang yang tidak mampu:-

(i) Bagi orang yang tidak mampu untuk melakukannya, Allah membebaskan (mengampunkan) mereka daripada kewajipan hijrah dan orang tersebut tidak dituntut untuk melakukannya. Ini adalah kerana kelemahannya untuk melakukan hijrah, sama ada kerana sakit, atau dipaksa untuk menetap atau dhaif (lemah) seperti kaum wanita dan anak-anak dan yang seumpama mereka. Ini adalah seperti yang dinyatakan di akhir ayat tentang hijrah (An-Nisa’ ayat 97-99).

(ii) Bagi mereka yang mampu untuk berhijrah dan tidak mampu menzahirkan agamanya serta melaksanakan hukum-hakam Islam yang dituntut darinya (di Darul Kufur tersebut), maka hukum berhijrah ke atasnya adalah wajib, sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat hijrah Surah an-Nisa’ ayat 97-99. Kalimat ikhbar (berita) dalam ayat ini bermakna perintah, iaitu merupakan sighah al-talab (bentuk tuntutan), seakan-akan Allah berfirman, hajiru fiha (berhijrahlah padanya). Tuntutan dalam ayat ini disertai dengan ta’kid (penekanan) dan disertai juga dengan ancaman yang besar jika meninggalkan hijrah sehingga ia menjadi thalab jazm (tuntutan yang tegas). Ini menunjukkan bahawa hijrah dalam keadaan ini hukumnya fardhu ke atas kaum Muslimin, dan berdosa apabila tidak berhijrah.

(iii) Adapun bagi orang yang mampu untuk berhijrah dan dalam masa yang sama dia masih mampu menzahirkan agamanya serta mampu melaksanakan hukum syarak yang dituntut darinya (di Darul Kufur tersebut), maka hukum hijrah dalam keadaan seperti ini adalah sunat dan bukan fardhu. Hukum sunat ini diambil dari hakikat bahawa Rasulullah (saw) telah mendorong kaum Muslimin agar berhijrah dari Mekah sebelum terjadinya penaklukan, ketika ia masih lagi berstatus negeri kufur. Banyak ayat yang secara tegas menyatakan perkara tersebut seperti al-Baqarah (2) ayat 218, Surah al-Anfal (8) ayat 72, 75 dan Surah at-Taubah (9) ayat 20. Kesemua ayat ini dengan jelas memerintahkan kaum Muslimin agar berhijrah. Namun begitu, hijrah menjadi tidak wajib kerana Rasulullah (saw) telah berdiam diri terhadap orang Islam yang tetap tinggal di Mekah sebagaimana yang terjadi ke atas Nu‘aim al-Nuhham.

(iv) Bagi orang yang mampu untuk menzahirkan agamanya serta mampu melaksanakan hukum syarak yang dituntut darinya dan sekiranya dia mempunyai kemampuan untuk mengubah Darul Kufur yang didiaminya menjadi Darul Islam, seterusnya menggabungkannya ke dalam Daulah Islam (sama ada mempunyai kemampuan kerana kekuatannya sendiri ataupun kerana bergabung dalam kumpulan kaum Muslimin yang ada di Darul Kufur tersebut, atau dengan bekerjasama dengan Daulah Islam, atau dengan sarana lainnya) maka dia wajib berusaha untuk menjadikan (menukar) Darul Kufur tadi menjadi Darul Islam, dan haram baginya pada ketika itu untuk berhijrah dari sana. Alasannya adalah kerana, negara di mana dia tinggal, jika dihuni oleh orang-orang kafir dan menggunakan sistem kufur, maka wajib bagi kaum Muslimin untuk memerangi penduduknya sebelum mereka masuk Islam, atau membayar jizyah dan menerapkan hukum-hukum Islam. Kewajipan itu, tentu saja, berlaku bagi dia sebagai orang Islam dan sebagai orang yang berada di sekitar dan dekat dengan musuh. Dan jika negeri itu dihuni oleh umat Islam yang tidak menerapkan hukum-hukum Islam, tetapi sistem kufur, maka wajib bagi kaum Muslim untuk memerangi para pemimpinnya sampai mereka memberlakukan hukum-hukum Islam.

Nah, itulah pembahasan dalam bab yang berkenaan, yang mana ingin kami tegaskan di sini bahawa dari perenggan pertama hingga perenggan terakhir tidak boleh dipisahkan, dan mesti dibaca secara keseluruhannya, kerana pembahasannya terkait secara langsung dari awal hingga akhir. Kami ulangi, untuk memahami bab ini, kesemua perenggan hendaklah dibaca sampai habis dan tidak boleh ditinggalkan satu pun, atau dengan kata lain tidak boleh dibaca secara terpisah. Dalam konteks inilah (secara keseluruhan) frasa yang dirujuk oleh JFNJ perlu difahami, bukannya difahami secara terpisah, sebagaimana yang dikerat-kerat oleh JFNJ semahunya.

Pembahasan mengenai kesemua hukum hijrah tersebut adalah berlaku tatkala wujudnya Darul Islam (Khilafah). Hukum hijrah dan segala yang terkait dengannya yang dibahaskan itu, tidak berlaku sekiranya tidak wujud Darul Islam. Hal ini termaktub dengan jelas dalam perbincangan tersebut dan hanya mereka yang membaca dengan hati yang kotor sahaja yang tidak akan memahaminya!

Wahai JFNJ! Jika anda masih tidak memahami penjelasan kami (walaupun sudah dijelaskan dengan terang lagi bersuluh), maka di bawah ini kami membuat rumusan, dan kami yakin jika anda menginginkan kebaikan, maka anda akan memahaminya dengan izin Allah (swt):-

(a) Kesemua hukum hijrah yang dibincangkan dalam bab ini, sebagaimana yang telah kami ringkaskan di atas, hanya berlaku ketika Darul Islam (Daulah Khilafah) sudah pun wujud; dan

(b) Muslim tersebut masih tinggal di Darul Kufur di mana sistem kufur dilaksanakan ke atasnya; dan

(c) Muslim tersebut berkemampuan untuk merubahnya.

Dalam keadaan seperti di atas sahajalah, maka Muslim yang berada/tinggal di Darul Kufur tersebut wajib memerangi penduduk (yang kafir) dan penguasa yang tidak berhukum dengan hukum Islam. Haram baginya untuk berhijrah. Jika Muslim itu berhijrah dari Darul Kufur yang menerapkan hukum kufur tersebut, sedangkan dia mampu merubahnya, maka dia dianggap sebagai melarikan diri daripada jihad di satu tempat yang diwajibkan ke atasnya, atau pun melarikan diri daripada memerangi orang yang memerintah dengan kekufuran yang nyata. Kedua-duanya adalah merupakan dosa besar di sisi Allah (swt). Oleh kerana itu, haram bagi orang yang berkemampuan untuk mengubah Darul Kufur kepada Darul Islam, untuk berhijrah dari sana, selagi dia mempunyai kemampuan untuk mengubahnya menjadi Darul Islam.

Sekali lagi kami ulangi wahai JFNJ, bahawa pembahasan dalam bab ini ialah berkenaan hukum hijrah, yakni hijrah daripada Darul Kufur ke Darul Islam. Dan hukum hijrah ini hanya akan berlaku jika wujud Darul Islam. Sedangkan sekarang tidak wujud Darul Islam! Jadi segala hukum mengenai memerangi penguasa yang dibincangkan di atas, adalah tidak terpakai dalam keadaan sekarang. Ia hanya terpakai sekiranya sudah wujud Darul Islam (Khilafah) dan Muslim tersebut memenuhi syarat yang ditetapkan seperti di (a), (b) dan (c).

Jadi, pembahasan dalam bab ini langsung tidak sama dengan apa yang anda fitnahkan! Anda berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari alasan bahawa Hizbut Tahrir membolehkan memerangi penguasa, dalam rangka melaksanakan niat jahat anda ke atas Hizbut Tahrir. Maka anda mereka-reka pendustaan dengan mengambil secebis frasa dan mentafsirkannya mengikut hawa anda, agar Hizbut Tahrir dilihat oleh orang ramai, sebagaimana yang anda kehendaki! Itulah apa yang anda lakukan! Seharusnya apa yang anda lakukan ialah berusaha bersungguh-sungguh untuk memahami pembahasan yang dibawa oleh Hizbut Tahrir, kerana pembahasan yang dibawa oleh Hizbut Tahrir itu merupakan pembahasan yang jelas, jernih, tiada keraguan kerana semuanya bersumberkan dan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, dan tidak lari sedikit pun daripada kedua-duanya.