Bantahan Fatwa Johor – 4.4a

Muat turun PDF
Isi Kandungan

4.4 Mengambil pemikiran Taqiyuddin dan beberapa karya asal Hizbut Tahrir yang dijadikan rujukan dalam penulisan di Sautun Nahdhah (suara kebangkitan). Antara kenyataan dalam Sautun Nahdhah:

(a) Malaysia adalah negara kufur kerana tidak melaksanakan hukum Islam dan mempunyai perlembagaan kufur.

Dalam keseluruhan Butiran 4.4 ini, JFNJ tidak mengemukakan sebarang rujukan pun. Seharusnya diberikan rujukan Sautun Nahdhah siri ke berapa dan perenggan yang berkenaan, bagi membuktikan hujah JFNJ, sekali gus memudahkan kami untuk membuat rujukan dan jawapan balas!

Namun demikian, sebagaimana yang telah kami katakan dalam jawapan kami yang lebih awal, kami akan mengakui apa sahaja yang benar, dan kami tidak akan sesekali berbohong dengan pegangan kami, tidak sebagaimana JFNJ yang telah berbohong dalam banyak Butiran sebagaimana yang telah kami dedahkan dalam jawapan kami sebelum-sebelum ini.

Mengenai Malaysia sebagai Negara Kufur (Darul Kufur), hal ini telah pun kami jawab pada Butiran 4.3 (c), dan kami sebut sekali lagi di sini sebagai sedikit pengulangan, bahawa untuk menjadikan sesebuah negara itu sebagai Darul Islam, ia hendaklah memenuhi dua syarat:

(i) Diterapkan hukum-hukum Islam di dalamnya secara sepenuhnya; dan

(ii) Keamanannya di dasarkan pada keamanan Islam, yakni dijaga oleh kaum Muslimin.

Kedua-dua syarat hendaklah dipenuhi dan tidak boleh hanya salah satu. Oleh kerana Malaysia dengan cukup jelas tidak memenuhi syarat pertama, maka Malaysia bukanlah Darul Islam, tetapi Malaysia adalah Darul Kufur. Bagaimana pun, Malaysia tetap merupakan Bilad al-Muslimin (negeri umat Islam) dan termasuk dalam sebahagian daripada dunia Islam.

Ada pun dari segi perlembagaan, ya kami mengatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan itu adalah perlembagaan kufur. Kenapa? Kerana Perlembagaan Persekutuan adalah sebuah perlembagaan yang digubal dan diberikan oleh kuffar British kepada kita. British adalah penjajah kafir yang menjajah Tanah Melayu, dan merekalah yang bertanggungjawab menggubal perlembagaan sebelum mereka memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Lord Reid, yang merupakan hakim yang berasal dari British telah mengetuai Suruhanjaya Reid untuk menggubal perlembagaan Malaysia. Justeru, tidak mungkin Lord Reid yang kafir itu menggubal sebuah “perlembagaan Islam” untuk Tanah Melayu!

Walaupun tidak dinafikan adanya penglibatan Raja-raja Melayu dan parti-parti Melayu dalam proses penggubalan tersebut, tetapi peranan mereka hanyalah sekadar memberi input yang tidak bersifat mengikat pun kepada Suruhanjaya Reid. Ini kerana, Tanah Melayu pada waktu itu masih berada dalam jajahan British, di bawah pemerintahan British dan segala sistem dan undang-undangnya juga adalah di bawah dominasi British! Jadi, kuasa menggubal perlembagaan tersebut berada sepenuhnya di tangan kuffar British. British pada waktu itu adalah penjajah dan musuh Islam, dan ramai para ulama yang berjuang untuk kemerdekaan telah dibunuh oleh mereka. Mana mungkin musuh Islam membuat satu “perlembagaan Islam” untuk negeri umat Islam?

Atas dasar itulah kami katakan bahawa perlembagaan Malaysia adalah perlembagaan kufur, yang bermaksud perlembagaan yang digubal oleh orang kafir atas mandat yang diberi oleh negara kafir, yang merupakan musuh Islam.

Perlembagaan kufur juga bermaksud sebuah perlembagaan yang tidak diasaskan kepada al-Quran dan as-Sunnah, atau perlembagaan yang langsung tidak merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah dalam kandungannya, selaku dua sumber utama akidah dan syariat Islam.

Malah, Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi Persekutuan dan mana-mana undang-undang yang diluluskan yang tidak selaras dengan perlembagaan adalah terbatal. Ini sekali gus memberi maksud bahawa kedudukan perlembagaan tersebut lebih tinggi berbanding al-Quran dan as-Sunnah! Selain Perkara 4(1), kami boleh buktikan satu per satu peruntukan dalam perlembagaan tersebut yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah. Maka, atas dasar itu kami katakan bahawa Perlembagaan Persekutuan ialah perlembagaan kufur.

Jika JFNJ merasakan yang Malaysia adalah Negara Islam, dan perlembagaan Malaysia adalah perlembagaan Islam, maka datangkanlah hujah, bukannya dengan mendatangkan fatwa ke atas Hizbut Tahrir! Buktikanlah dengan hujah (berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah) bahawa Malaysia adalah negara Islam, dan perlembagaan Malaysia adalah perlembagaan Islam. Buktikan satu per satu bahawa peruntukan dalam perlembagaan adalah menepati al-Quran dan as-Sunnah. Inilah yang sepatutnya anda buktikan wahai JFNJ.

Apa pun kami ingin bertanya anda, sekiranya ada undang-undang yang ingin diterapkan di Malaysia, yang selaras dengan al-Quran dan al-Hadis, tetapi bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, maka undang-undang mana satukah yang akan terpakai di Malaysia? Jawablah soalan kami dengan jujur wahai JFNJ?

Banyak pihak yang berhujah bahawa dengan adanya Perkara 3 (1) dalam perlembagaan yang menyatakan bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan, maka ini menunjukkan yang Malaysia adalah negara Islam, dan sekali gus perlembagaan Malaysia adalah selaras dengan Islam. Maka kami katakan di sini bahawa hujah ini sungguh dangkal, baik dilihat dari sudut perbincangan akademik apatah lagi jika dilihat dari sudut nas (al-Quran dan al-Hadis). Adakah dengan hanya meletakkan lambang Mercedes pada Proton Saga, maka akan menjadikan Proton Saga tersebut Mercedes?

Tidakkah anda mengkaji kedudukan undang-undang di Malaysia wahai JFNJ, sebelum anda mengeluarkan fatwa ini? Tidakkah anda tahu bahawa Perkara 3 (1) sebenarnya telah diberi terjemahan dan tafsiran yang konklusif dan secara kehakiman yang mengikat (binding) menerusi keputusan Mahkamah Agung di dalam kes Che Omar bin Che Soh v Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 55? Keputusan yang dibuat adalah secara sebulat suara (unanimous) oleh lima orang hakim yang bersidang yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara sendiri (ketika itu) iaitu Tun Salleh Abbas LP, Wan Suleiman SCJ, George Seah SCJ, Hashim Yeop Sani SCJ dan Syed Agil Barakbah SCJ.

Secara ringkasnya dalam kes ini, tertuduh dibicarakan dan berhadapan dengan hukuman mati mandatori atas kesalahan mengedar dadah. Tertuduh berhujah bahawa, memandangkan Islam adalah agama bagi Persekutuan berdasarkan Perkara 3 (1) dan memandangkan Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara sebagaimana diperuntukkan di dalam Perkara 4 (1), jadi pengenaan (imposition) hukuman mati terhadap kesalahan tersebut, yang bukan merupakan hukuman hudud atau qisas di bawah undang-undang Islam, adalah bertentangan dengan hukuman Islam dan ini adalah tidak mematuhi Perlembagaan (unconstitutional) dan terbatal. Keputusan Mahkamah Agung, yang dibaca oleh Tun Salleh Abbas, adalah seperti berikut:-

“Perkara pertama yang perlu dipertimbangkan di sini adalah maksud yang harus diberikan terhadap perkataan ‘Islam’ atau ‘agama Islam’ di dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan. Jika perkataan ‘agama Islam’ di dalam konteks itu bermaksud perbuatan yang berkaitan dengan ritual dan majlis (rituals and ceremonies), maka hujah yang dibawa tidak akan mengandungi apa-apa asas. Namun, jika perkataan ‘agama Islam’ atau ‘Islam’ itu bermaksud kesemua konsep yang dianut (all an embracing concept) sebagaimana yang biasanya difahami, yang mengandungi bukan sahaja aspek ritual tetapi keseluruhan sistem hidup yang komprehensif, termasuk fiqh dan akhlak, maka penggulungan hujah (submission) di sini akan mempunyai implikasi yang besar di mana setiap satu hujah mesti diuji berdasarkan kayu ukur ini”

Tun Salleh Abbas meneruskan,

“Persoalan di sini adalah, adakah maksud ini yang diniatkan oleh penggubal rangka (framers) Perlembagaan? Untuk tujuan ini, adalah perlu untuk melihat kembali sejarah Islam di negara ini selepas penjajahan/campurtangan British ke atas hal-ehwal Negeri-negeri Melayu di akhir abad yang lepas.”

Selepas menceritakan bagaimana British memisahkan Islam dari pemerintahan negara dan menjadikan negara ini sekular, Salleh Abbas kemudian menyambung penghakimannya,

“Oleh itu, dapat disaksikan bahawa semasa era penjajahan British, melalui sistem pemerintahannya secara tak langsung dan melalui penubuhan sebuah institusi sekular, undang-undang Islam telah dipisahkan dan disempitkan kepada undang-undang perkahwinan, perceraian dan harta pusaka sahaja….Dalam pandangan kami, di dalam suasana kontra inilah (it is in this sense of dichotomy), para penggubal rangka Perlembagaan memahami maksud ‘Islam’ di dalam konteks Perkara 3 (1). Jika tidak demikian, sudah tentu ada peruntukan lain di dalam Perlembagaan yang membawa kesan bahawa mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan hukum Islam akan terbatal. Jauh dari membuat peruntukan sebegini, Perkara 162 malah dengan sengaja menjaga kelangsungan undang-undang sekular yang wujud sebelum Perlembagaan lagi, di mana undang-undang Islam akan terbatal jika bertentangan dengan undang-undang sekular.”

Nah, begitulah kedudukan Perkara 3 (1) mengikut tafsiran yang dibuat dalam kes tersebut dan ia kekal menjadi undang-undang Malaysia sampai sekarang. Apa yang jelas, Tun Salleh Abbas turut menyatakan secara implisit bahawa Malaysia merupakan negara sekular, bukannya negara Islam. Jauh lebih awal dari keputusan Tun Salleh Abbas ini, kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara sekular telah dibincangkan dengan hangat semasa proses penggubalan Perlembagaan, dan para pembentuk negara ini rata-rata mengakui bahawa negara ini dibina atas asas sekular, bukannya atas asas Islam. Malah, Tunku Abdul Rahman sendiri, yang dianggap sebagai ketua ‘arkitek’ kemerdekaan negara mengakui bahawa negara yang beliau “bina” ini bukanlah Negara Islam. Hal ini boleh dilihat dalam penulisan Hussin Mutalib dari Jabatan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Singapura, yang memetik kata-kata Tunku Abdul Rahman sebagaimana berikut:

“Malaysia cannot practise Islam fully because about half of the population are not Muslim. They have a different culture and different ways of life, and they don’t want Islam. Malaysians are generally a peace-loving people. We don’t want big changes to the values and traditions which we all practise. In the past, and I know this since I have been through all this since Independence, Malays, Chinese and Indians had no problems because we stuck to our constitutional bargain and we don’t want to impose our values on other people…So, there is no way we should have an Islamic State here. I’ve stated this before and I can say this again, since many of my Chinese friends want me to say this. The nature of our political parties, our coalition government, our democracy, and our multiracial life are sufficient foundations which can be used to build a prosperous and peaceful Malaysia. Why must we look to Iran and other Islamic States?”

Terjemahan:

“Malaysia tidak boleh melaksanakan Islam sepenuhnya kerana lebih kurang separuh daripada penduduknya merupakan non-Muslim. Mereka mempunyai budaya yang berbeza dan cara hidup yang berbeza, dan mereka tidak mahukan Islam. Rakyat Malaysia secara umumnya merupakan orang yang sukakan keamanan. Kami tidak mahu wujudnya perubahan besar kepada nilai-nilai dan tradisi yang kita amalkan. Dahulu, dan saya tahu hal ini kerana saya telah melalui semuanya sejak kemerdekaan, kaum Melayu, Cina dan India tidak mempunyai masalah kerana kita tersepit dengan proses tawar-menawar terhadap perlembagaan, dan kita tidak mahu mengenakan nilai-nilai kita kepada orang lain…Jadi, kita tidak boleh mempunyai Negara Islam sama sekali di sini. Saya telah menyatakan hal ini sebelum ini, dan saya boleh menyatakannya lagi, memandangkan ramai kawan-kawan saya dari kaum Cina ingin saya menyatakannya. Sifat parti politik kita, kerajaan perpaduan kita, demokrasi kita dan kehidupan pelbagai bangsa kita, merupakan asas yang cukup, yang boleh digunakan untuk membina Malaysia yang sejahtera dan maju. Kenapa kita perlu melihat kepada Iran dan lain-lain Negara Islam?” [Hussin Mutalib,  Islam in Malaysia: From Revivalism to Islamic State, hal. 94-95]

Untuk rekod, pengisytiharan Malaysia sebagai ‘Negara Islam’ telah dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 (Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed), pada 29/11/2001 semasa ucapan pembukaan beliau di perhimpunan Agung parti Gerakan yang ke-30, yang mana pengisytiharan ini kemudiannya mengundang pelbagai kritikan dan kontroversi.

Kami yakin yang JFNJ mengetahui bahawa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) juga terkenal dengan pandangannya yang menyatakan Malaysia bukanlah sebuah Negara Islam, walaupun nada mereka sudah berlainan sekarang, dan hal ini tidak pernah pula dikeluarkan fatwa oleh anda! Apa yang ingin kami katakan ialah, isu sama ada Malaysia Negara Islam atau Negara Kufur seharusnya dibincangkan secara ilmiah berdasarkan realiti, untuk diletakkan hukum ke atasnya. Masing-masing perlu mengemukakan realiti dan nas untuk membenarkan hujah masing-masing, tetapi bukannya dengan mengeluarkan fatwa, memfitnah dan menangkap mereka yang berbeza pandangan!

Kami ingin tegaskan di sini bahawa bukanlah kami gembira dan sukacita dengan hakikat dan pendirian kami bahawa Malaysia ini adalah Darul Kufur, sebaliknya kami amat sedih dan berdukacita, dan atas dasar itulah kami berjuang untuk menegakkan Negara Islam (Khilafah). Hizbut Tahrir ingin mengubah Malaysia (dan lain-lain negeri kaum Muslimin) kepada Darul Islam dan kita ingin menerapkan hukum Allah (swt) secara kaffah di dalamnya. Kita sebagai umat Islam dan Malaysia sebagai sebuah Bilad al-Muslimin (negeri umat Islam), maka sewajibnya kita berhukum dengan hukum Islam secara kaffah, bukannya berhukum degan hukum kufur warisan penjajah kafir. Maka, apakah salah perjuangan Hizbut Tahrir untuk menegakkan Negara Islam, dan untuk menerapkan hukum Islam sepenuhnya di bumi ini?

Dalam perjuangannya untuk menegakkan Khilafah, Hizbut Tahrir telah pun menyediakan sebuah Perlembagaan [rujuk: Muqaddimah Ad-Dustur au al-Asbab al-Mujibah Lahu] yang mengandungi 191 Fasal yang keseluruhan fasal-fasal dan perbincangannya diistinbath (digali) daripada al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ as-Sahabat dan Qiyas. Hizbut Tahrir menawarkan Perlembagaan ini kepada kesemua pemimpin umat Islam untuk mengambilnya dan menerapkannya di dalam pemerintahan negara.

Terkait dengan perbincangan agama bagi negara, Hizbut Tahrir telah meletakkan di dalam Fasal Pertama lagi bahawa akidah Islam wajib menjadi dasar bagi negara dan kesemua kehidupan individu, masyarakat dan negara hendaklah diatur oleh Islam yang bersumber daripada akidah yang benar ini. Fasal Pertama tersebut berbunyi:

“Akidah Islam adalah asas negara di mana tidak boleh wujud sesuatu pun dalam entitinya atau strukturnya atau proses muhasabahnya atau apa sahaja yang bersangkut dengan semua ini kecuali mesti dibangun berdasarkan akidah Islam. Akidah Islam hendaklah menjadi asas Perlembagaan dan undang-undang. Segala sesuatu yang berkaitan dengan Perlembagaan dan undang-undang hendaklah terpancar (terbit) dari akidah Islam”

Dalam menjelaskan fasal ini, Hizbut Tahrir menerangkan bahawa Negara Islam adalah sebuah negara yang berdiri di atas akidah Islam di mana sekumpulan mafahim (konsep), maqayis (standard) dan qana’ah (keyakinan) yang dipegang oleh umat Islam di dalamnya lahir daripada akidah Islam. Malah, sebelum wujudnya negara pun, umat Islam telah terlebih dahulu dibina untuk menerima penerapan akidah ini serta meyakininya dengan keyakinan yang berasaskan dalil yang qath’ie. Akidah Islam merupakan fikrah kuliyyah (pemikiran yang menyeluruh) mengenai kehidupan dan merupakan bentuk pandangan terhadap kehidupan (viewpoint of life) yang khusus dan berbeza dengan akidah lain/kufur. Rasulullah (saw) mendirikan Daulah Islam atas asas ini (akidah Islam) dan para Khalifah berserta umat Islam telah menjadikan asas yang sama bagi Negara Khilafah di sepanjang kewujudannya.

Justeru, kami sungguh hairan dengan anda wahai JFNJ, tatkala anda menyatakan yang anda berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, tetapi dalam masa yang sama anda berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan yang datangnya daripada orang kafir, di mana tidak ada satu pun rujukan di dalamnya yang dibuat kepada al-Quran dan as-Sunnah! Sedangkan setahu kami, Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah mereka yang berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah, dan menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai perlembagaan, sebagai undang-undang, dan sebagai pegangan tertinggi, baik dalam kehidupan individu mahu pun negara!

Atas dasar itu, kami sangat mengalu-alukan agar anda membaca, mengkaji dan membandingkan perlembagaan yang dibuat oleh Hizbut Tahrir ini, dengan perlembagaan yang dibuat oleh si kafir Lord Reid, dan nilailah sendiri yang mana satu perlembagaan Islam dan yang mana satu perlembagaan kufur, yang mana satu dibuat mengikut al-Quran dan as-Sunnah dan yang mana satu dibuat mengikut akal manusia!