Bantahan Fatwa Johor – 4.4c

Muat turun PDF
Isi Kandungan

(c) Menganggap penguasa yang tidak berhukum dengan hukum Islam adalah tidak layak untuk menjadi penguasa dan wajib diperangi atau diberhentikan dari jawatannya.

Setakat rekod dan ingatan yang ada pada kami, kami tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti ini di dalam Sautun Nahdah. Oleh itu, kami katakan bahawa poin ini jelas merupakan sebuah fitnah, apatah lagi dengan ketiadaan rujukan oleh JFNJ, yang sekali gus menunjukkan tiadanya bukti.

Namun, kami ingin menjelaskan juga hal ini dan kami ingin pecahkannya kepada beberapa poin berdasarkan frasa yang diberikan. Ini bagi menjernihkan lagi kefahaman JFNJ dan setiap pembaca.

Berkenaan tuduhan memerangi penguasa yang tidak berhukum dengan hukum Islam, kami telah pun menjawabnya secara panjang lebar dalam Butiran 4.3 (f). Kami ulangi di sini bahawa sekarang ini tidak ada Darul Islam. Jadi, dalam keadaan ini, tidak diperbolehkan bagi sesebuah gerakan Islam yang ingin menegakkan Darul Islam, untuk memerangi atau mengangkat senjata terhadap penguasa yang tidak berhukum dengan hukum Islam. Ini kerana, hal ini tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah (saw). Kami yakin penjelasan kami dalam Butiran 4.3 (f) sudah mencukupi.

Namun, sekiranya Butiran 4.4 (c) di atas dibaca secara berasingan, sebagai contoh:

Hizbut Tahrir “menganggap penguasa yang tidak berhukum dengan hukum Islam adalah tidak layak untuk menjadi penguasa.”

Atau:-

Hizbut Tahrir “menganggap penguasa yang tidak berhukum dengan hukum Islam adalah tidak layak untuk menjadi penguasa dan wajib diberhentikan dari jawatannya.”

Maka kami ingin bertanya JFNJ, di manakah salahnya dengan kenyataan ini? Di manakah salahnya, jika ada, di dalam Sautun Nahdhah pendapat seperti itu? Di manakah salahnya jika seseorang menganggap bahawa penguasa yang tidak berhukum dengan hukum Islam adalah tidak layak untuk menjadi penguasa? Di manakah salahnya jika seseorang menganggap bahawa penguasa yang tidak berhukum dengan hukum Islam adalah tidak layak untuk menjadi penguasa dan wajib diberhentikan dari jawatannya? Di manakah salahnya?

Apakah dengan hanya menganggap bahawa “penguasa yang tidak berhukum dengan hukum Islam adalah tidak layak untuk menjadi penguasa”, maka seseorang itu telah bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah?

Apakah dengan menganggap bahawa “penguasa yang tidak berhukum dengan hukum Islam adalah tidak layak untuk menjadi penguasa dan wajib diberhentikan dari jawatannya”, maka akidah seseorang itu telah terkeluar daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah?

Adakah anda berpegang bahawa penguasa yang tidak menerapkan Islam (yakni penguasa yang menerapkan sistem dan undang-undang kufur) adalah layak untuk menjadi pemerintah, dan tidak perlu diberhentikan dari jawatan mereka, atau dengan kata lain mereka boleh memerintah selam-lamanya, walaupun sudah jelas mereka memaksiati Allah (swt)? Adakah ini pendirian anda wahai JFNJ?

Jika beginilah berpendirian dan fahaman anda, maka kami katakan bahawa akal kami yang waras ini tidak dapat menerimanya, dan kami katakan bahawa setiap orang yang waras akalnya juga pasti tidak dapat menerimanya!

Bukankah kesemua ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendirian bahawa penguasa itu wajib berhukum dengan hukum Islam? Bukankah penguasa yang tidak berhukum dengan hukum Islam itu sekali gus bermaksud mereka telah berhukum dengan hukum selain Islam, dan sekali gus bermaksud mereka adalah orang-orang yang zalim dan fasik (sebagaimana Surah al-Maidah ayat 45 dan 47). Dan bukankah apabila penguasa itu zalim dan fasik, maka mereka sudah tidak layak untuk menjadi penguasa, kerana syarat untuk menjadi penguasa hendaklah adil?

Cukuplah di sini sahaja jawapan kami untuk Butiran ini kerana kami telah pun menjawabnya dalam Butiran 4.3 (f).