Bantahan Fatwa Johor – 4.5a

Muat turun PDF
Isi Kandungan

4.5 Fahaman-fahaman lain yang terkandung dalam ajaran Hizbut Tahrir iaitu:

(a) Berpegang dengan pemikiran Tabanni iaitu mewajibkan penganut akur dengan sebarang fatwa yang dikeluarkan oleh parti tanpa diketahui siapa yang mengeluarkannya.

Butiran ini bukan sahaja menunjukkan ketidakfahaman JFNJ terhadap kedudukan ‘tabanni’ dalam Hizbut Tahrir, malah JFNJ sebenarnya cuba ‘memandai’ untuk bercakap mengenai isu dalam Hizbut Tahrir yang tidak anda kuasai dan tidak layak pun untuk anda bincangkan. Sedarlah dan ketahuilah wahai JFNJ, bahawa anda bukan ahlinya untuk membincangkan isu tabanni dalam Hizbut Tahrir! Tidak ada orang yang lebih memahami dan lebih layak untuk membincangkan isu tabanni dalam Hizbut Tahrir, kecuali anggota Hizbut Tahrir sendiri. Kami tidak mempunyai masalah untuk anda bincangkan isu ini dengan syarat anda telah bertanya kami terlebih dahulu, dan anda betul-betul telah memahaminya, sebagaimana kami memahaminya. Berdasarkan fatwa anda, kami katakan tanpa berlapik bahawa anda sebenarnya tidak memahami kedudukan tabanni dalam Hizbut Tahrir.

Untuk memberikan kefahaman kepada anda, dan berdasarkan fatwa anda dalam Butiran ini, kami ingin memecahkan perbincangan dalam Butiran ini kepada tiga bahagian:

  • Pemikiran tabanni dalam Hizbut Tahrir.
  • Benarkah setiap penganut diwajibkan akur dengan sebarang fatwa yang dikeluarkan oleh parti?
  • Benarkah kami tidak mengetahui siapa yang mengeluarkan fatwa dalam Hizbut Tahrir?

Kami akan membahaskan ketiga-tiga bahagian satu per satu.

(i) Pemikiran Tabanni Dalam Hizbut Tahrir

Ya benar kami akui bahawa Hizbut Tahrir mempunyai pemikiran yang ditabanni, yang kami akan jelaskan mengenainya di bawah ini. Namun kami terlebih dahulu ingin katakan bahawa melalui Butiran 4.5 (a) di atas, JFNJ telah meletakkan konsep tabanni yang ada dalam Hizbut Tahrir dalam bentuk yang cukup negatif. Pertanyaan kami kepada anda wahai JFNJ, jika anda benar-benar faham mengenai konsep tabanni, adakah salah bagi sesebuah parti politik untuk mempunyai pemikiran yang ditabanni? Di manakah nas di dalam al-Quran mahu pun as-Sunnah, atau Ijma’ as-Sabahat atau Qiyas yang menyatakan bahawa pemikiran tabanni adalah satu kesalahan dan keharaman? Sila berikan kepada kami pandangan ulama Ahlu Sunnah yang manakah yang menyatakan bahawa pemikiran tabanni yang dipegang oleh sesebuah parti politik adalah menyalahi akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sila berikan segala bukti yang anda ada, yang didasarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah, bahawa parti politik yang mempunyai pemikiran tabanni adalah haram dan menyalahi akidah Islam!

Bacalah penjelasan kami ini baik-baik wahai JFNJ agar anda memahami apakah yang dimaksudkan oleh Hizbut Tahrir dengan “tabanni”, dan setelah anda memahaminya, silalah jelaskan kepada kami di mana salahnya hal ini dari segi akidah, sehingga anda sanggup memfatwakan pegangan Hizbut Tahrir sebagai menyalahi akidah Ahlu Sunnah!

Dalam pandangan, Hizbut Tahrir, “tabanni” (adoption) ertinya “Pengambilan seorang Muslim akan pendapat tertentu dalam perkara yang masih diperselisihkan, di mana pendapat tersebut selanjutnya menjadi pendapatnya, mengikatnya untuk diamalkan, untuk mengajarkannya kepada orang lain, dan untuk menyeru kepadanya ketika menyeru kepada hukum-hukum Islam dan pemikiran-pemikirannya.” Inilah maksud “tabanni”.

Bagi setiap Muslim, apa pun statusnya, semestinya ia melakukan tabanni (mengambil dan mengikat dirinya dengan suatu hukum, lalu mengamalkannya dan mendakwahkannya), sebab dalam setiap urusannya ia diperintahkan agar terikat dengan hukum syarak. Sehingga, ketika ia sedang melakukan setiap perkara, ia wajib terikat dengan satu hukum. Setelah ia melakukan tabanni, maka hukum itu menjadi hukum Allah baginya, manakala hukum-hukum yang lain yang tidak ditabanninya (dalam perkara yang sama), tidak menjadi hukum Allah baginya. Tidak boleh bagi seorang Muslim beramal dengan selain pendapat (hukum) yang telah ditabanninya, baik ia mentabanninya melalui ijtihadnya sendiri (sekiranya dia adalah seorang mujtahid) mahupun melalui taqlid (mengikuti pendapat orang lain) dengan mengetahui dalilnya (muqallid muttabi’), atau melalui taqlid tanpa mengetahui dalilnya (muqallid ‘ami).

Berdasarkan semua itu, sesungguhnya tabanni (tentang hukum) hanya dilakukan terkait dengan perkara-perkara yang masih diperselisihkan dan memiliki banyak pendapat. Sebab, perkara-perkara yang telah pasti dan jelas, mustahil untuk dilakukan tabanni, kerana dalam perkara-perkara ini tidak ada perselisihan dan perdebatan, sehingga, tidak ada tabanni tentang perkara keimanan kepada Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw), tidak ada tabanni tentang wajibnya solat, zakat dan sebagainya. Dari penjelasan ini, perlu difahami bahawa tabanni hanya diwajibkan atas seseorang Muslim dalam perkara-perkara yang terjadi dan diamalkan, dan jika tidak, maka tidak wajib dilakukan tabanni.

Persoalan seterusnya yang ingin kami jelaskan ialah, apakah karakteristik perkara-perkara yang ditabanni oleh Hizbut Tahrir dan bagaimana caranya:-

Memandangkan sesebuah pemikiran Islam itu tidak hanya dikhususkan untuk Hizbut Tahrir, namun seluruh umat Islam dan organisasi-organisasi Islam juga perlu bersandar padanya, maka Hizbut Tahrir tidak cukup bersandar kepada pemikiran Islam secara global semata-mata. Setelah Hizbut Tahrir melakukan pengkajian dan penelitian terhadap realiti umat Islam dan apa yang menimpanya; realiti masyarakat di negeri-negeri kaum Muslimin; realiti di masa Rasulullah (saw), masa Khulafa ar-Rasyidin, masa Tabi’in dan masa sesudahnya; dan dengan merujuk kepada sirah (perjalanan hidup) Rasulullah (saw) serta cara baginda mengembang dakwah sejak baginda diangkat oleh Allah (swt) sebagai Rasul sehingga baginda berhasil mendirikan Negara Islam di Madinah; kemudian mengkaji corak perjalanan hidup Rasulullah (saw) di Madinah; dan dengan merujuk pada al-Quran, as-Sunnah, serta merujuk pada Ijma’ as-Sahabat dan Qiyas; dan dengan penjelasan daripada pendapat-pendapat para Sahabat, Tabi’in serta pendapat-pendapat para Imam Mujtahid – setelah melakukan semua itu, maka Hizbut Tahrir melakukan tabanni terhadap pemikiran-pemikiran, pendapat-pendapat dan hukum-hukum yang terperinci berhubung pemikiran Islam serta metode penerapannya.

Hizbut Tahrir menyifatkan semua yang ditabanninya sebagai pemikiran-pemikiran, pendapat-pendapat dan hukum-hukum Islam. Tidak ada di dalamnya sesuatu apa pun selain Islam, dan tidak pula disandarkan kecuali kepada dasar-dasar Islam dan nas-nasnya, serta tidak terpengaruh dengan sesuatu apa pun selain Islam. Dalam mentabanni pendapat-pendapat, pemikiran-pemikiran dan hukum-hukum tersebut, Hizbut Tahrir senantiasa menyandarkan kepada kekuatan dalil, serta berdasarkan ijtihad dan pemahamannya, sehingga Hizbut Tahrir menduga kuat bahawa apa yang telah ditabanninya itulah yang paling benar, walaupun tidak mustahil salah.

Hukum-hukum dan pemikiran-pemikiran dalam Hizbut Tahrir tidak diambil kecuali daripada para mujtahid, baik mujtahid itu daripada kalangan anggotanya sendiri, mahu pun daripada selain mereka; baik mereka yang masih hidup mahu pun yang telah meninggal…dan dalam mentabanninya, Hizbut Tahrir tidak mendasarkannya kepada apa-apa kepentingan…Hizbut Tahrir mengambil dan mentabanninya hanya kerana sifatnya sebagai wahyu, atau digali dari penjelasan wahyu. Oleh kerana itu, Hizbut Tahrir mentabanninya hanya berdasarkan kuatnya dalil, bukan yang lain. Jika dalilnya kuat, maka Hizbut Tahrir mentabanninya, dan sebaliknya jika dalilnya lemah, maka Hizbut Tahrir meninggalkannya meski pun hal itu telah tersebar dalam kalangan umat, boleh menyelesaikan masalah, dan ada maslahat (kebaikan) dalam mentabanninya. Ini kerana tabanni Hizbut Tahrir terhadap pemikiran-pemikiran dan hukum-hukum Islam hanya berdasarkan kepada kuatnya dalil, yakni kewujudan pemikiran-pemikiran dan hukum-hukum itu dijelaskan oleh wahyu, atau digali dari penjelasan wahyu.

Ketika kami menyebutkan bahawa Hizbut Tahrir tidak cukup bersandar pada pemikiran Islam secara global semata-mata, tetapi pada pemikiran Islam yang terperinci, maka ini bukannya bermaksud bahawa Hizbut Tahrir mentabanni setiap perkara. Hizbut Tahrir hanya mentabanni sebatas apa yang diperlukan sebagai sebuah parti politik yang beraktiviti mengembalikan kehidupan yang Islami (isti’naf al-hayah al-islamiyah), dan mengembang dakwah Islam dengan mendirikan Negara Khilafah. Apa yang paling ketara dalam aspek tabanni Hizbut Tahrir ini ada dua perkara:

Pertama: Menyatukan institusi Hizbut Tahrir dan menampakkannya dengan gambaran yang membezakannya dari institusi yang lain. Hizbut Tahrir tidak dikatakan sebagai sebuah parti sehingga ia memiliki satu pendapat dalam setiap pemikiran, pandangan, atau hukum syarak yang mengikatnya. Selama ia tidak memiliki kesatuan pemikiran, maka jangan harap ia memiliki kesatuan institusi yang utuh, yang berbeza dari yang lain. Bahkan sebaliknya akan membawa kepada perbezaan pemikiran, pendapat dan hukum, serta perpecahan sikap dan perasaan, yang akhirnya akan memecahkan parti dan organisasi, yang sebelumnya satu. Jika ini terjadi, mustahil bagi Hizbut Tahrir untuk menjalankan apa yang menjadi misi dan kewajipannya. Atas dasar itu, bagi setiap anggota Hizbut Tahrir, melakukan tabanni terhadap pemikiran dan hukum yang ditabanni oleh Hizbut Tahrir merupakan syarat yang sangat penting dan vital. Dengan berbuat demikian, barulah bermakna ia menjadi sebahagian daripada Hizbut Tahrir.

Kedua: Bahawa Islam merupakan mabda’ (ideologi) bagi kehidupan yang berisikan akidah dan sistem yang akan menyelesaikan seluruh masalah manusia dalam menjalani hidup ini. Berdasarkan hal ini, Hizbut Tahrir melakukan tabanni terhadap sistem pemerintahan, sistem ekonomi, sistem pergaulan (antara lelaki dan perempuan) dan lain-lain.

Terkait dengan hal ini, Hizbut Tahrir telah menjelaskan setiap pemikiran, pendapat dan hukum yang telah ditabanninya dengan disertai dalil-dalilnya secara terperinci, di dalam buku-bukunya dan juga nasyrah-nasyrahnya yang jumlahnya sangat banyak, yang diterbitkan dan disebarkan kepada masyarakat. Atas dasar ini, semua -pemikiran, pendapat dan hukum yang telah ditabanni oleh Hizbut Tahrir dikenal sebagai pemikiran-pemikiran dan pendapat-pendapat Hizbut Tahrir, baik di dunia Islam mahupun di seluruh dunia.

Wahai JFNJ! Setelah kami menjelaskan semua ini, kami ingin bertanya anda, adakah anda sebelum ini memahami konsep tabanni dalam Hizbut Tahrir sebagaimana penjelasan kami di atas? Itu pun sebenarnya masih banyak lagi yang kami belum jelaskan berhubung dengan kedudukan tabanni dalam Hizbut Tahrir dan perkara-perkara yang terkait dengannya. Kami merasa cukuplah setakat itu dulu untuk memberi kefahaman kepada anda.

Sekarang adakah anda bersetuju dengan kami bahawa anda tidak layak untuk membincangkan konsep tabanni dalam Hizbut Tahrir kerana anda bukanlah ahlinya? Bukanlah niat kami untuk merendahkan anda, tetapi kami ingin katakan bahawa anda boleh sahaja bertanya dan meminta penjelasan daripada kami tentang konsep tabanni dalam Hizbut Tahrir, dan kami sangat berbahagia untuk menjelaskannya. Namun malangnya, anda memilih untuk mengeluarkan fatwa dengan memburuk-burukkan kami dengan konsep tabanni kami, tanpa anda memahaminya!

(ii) Benarkah setiap penganut diwajibkan akur dengan sebarang fatwa yang dikeluarkan oleh parti?

Sebelum menjawab persoalan ini, kami ingin memberi sedikit komen berhubung istilah “penganut” yang digunakan oleh JFNJ. Dengan menggunakan istilah ini, ia menunjukkan yang JFNJ seolah-olah tidak mengetahui hakikat bahawa Hizbut Tahrir adalah sebuah parti politik. Ya memang benar Hizbut Tahrir mempunyai pendirian, pandangan dan pegangan tertentu dalam banyak isu baik yang melibatkan akidah, politik, ekonomi, fiqh (hukum syarak) dan sebagainya, dan ini merupakan hal yang biasa untuk mana-mana pertubuhan atau gerakan pun. Namun untuk menisbahkan atau menggelar “penganut” kepada mereka yang bersama dengan Hizbut Tahrir, atau mana-mana pertubuhan pun, merupakan istilah yang sangat tidak kena. Perkataan “ahli” lebih tepat digunakan untuk sesebuah pertubuhan atau gerakan, bukannya “penganut”.

Kita tidak pernah mendengar JFNJ (atau siapa sahaja) menggelar ahli-ahli PAS sebagai “penganut PAS”, atau ahli-ahli UMNO sebagai “penganut UMNO”, atau ahli-ahli Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai “penganut Amanah”, atau ahli-ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sebagai “penganut ISMA”, pengikut Jemaah Tabligh sebagai “penganut Tabligh” dan sebagainya. Anda gagal meletakkan Hizbut Tahrir sebagai sebuah parti politik (gerakan Islam) yang sama seperti PAS, ISMA dan lain-lain. Anda telah tersilap apabila menganggap dan meletakkan Hizbut Tahrir sebagai sebuah “ajaran” sehingga anda menggelar ahli-ahli Hizbut Tahrir sebagai “penganut”. Inilah kesilapan anda wahai JAINJ. Anda gagal memahami bahawa Hizbut Tahrir adalah sebuah parti politik, bukannya “ajaran” walaupun benar kami mempunyai pegangan dan pendirian dalam perkara-perkara tertentu. Namun pegangan dan pendirian ini tidak ubah sebagaimana pegangan dan pendirian tertentu yang juga dimiliki oleh setiap gerakan Islam yang lain.

Manakala istilah “fatwa” yang diguna oleh anda juga adalah kurang tepat dan tidak menepati beberapa perkara. Ini kerana, sebagaimana yang kami akui bahawa Hizbut Tahrir mempunyai pemikiran dan pandangan yang ditabanni., namun tidak semua perkara yang Hizbut Tahrir tabanni itu termasuk dalam kategori hukum syarak. Contohnya Hizbut Tahrir mentabanni beberapa isu atau kejadian-kejadian politik, yang tidak ada kena mengena dengan persoalan fiqh; Hizbut Tahrir juga mentabanni segala undang-undang dan peraturan pentadbiran yang dikeluarkan oleh parti untuk mengatur ahli-ahlinya, yang juga tidak ada kena mengena dengan persoalan fiqh. Kesemua perkara ini bukannya “fatwa” yang dikeluarkan oleh Hizbut Tahrir, kerana ia tidak termasuk dalam ruang lingkup perkara yang perlu “difatwakan” oleh Hizbut Tahrir pun.

Jadi, kenyataan JFNJ bahawa Hizbut Tahrir mewajibkan penganutnya akur dengan sebarang fatwa yang dikeluarkan oleh parti, jelas tidak tepat dan dari satu sudut, telah keluar dari konteks, kerana ada perkara-perkara yang diwajibkan (ditabanni) oleh Hizbut Tahrir ke atas ahlinya, yang tidak ada kaitan langsung dengan “fatwa”.

Justeru, biar kami perbetulkan persoalan yang sewajarnya dibangkitkan oleh JFNJ, agar kami dapat menjawabnya dengan konteks yang betul, iaitu “benarkah Hizbut Tahrir mewajibkan ahlinya akur dengan sebarang perkara yang ditabanni oleh parti?”. Inilah persoalan yang lebih tepat untuk kami jawab. Maka berikut adalah jawapan kami:-

Sebagai sebuah parti politik yang berpegang kepada konsep tabanni, Hizbut Tahrir mengikat setiap anggotanya agar mentaati dan melaksanakan apa yang telah ditabanni. Untuk perkara-perkara yang ditabanni selain daripada peraturan pentadbiran, maka setiap anggota Hizbut Tahrir bukan sahaja perlu berpegang dengannya, malah mesti mengembangkannya kepada masyarakat. Ahli Hizbut Tahrir tidak boleh menyeru kepada perkara yang menyalahi tabanni, dan tidak boleh mengembangkan sesuatu yang bertentangan dengan yang ditabanni. Ini kerana, setiap ahli itu sendiri telah bersetuju untuk mengikat dirinya dengan apa yang ditabanni oleh parti, setelah sebelumnya ia mengkaji apa yang dibawa oleh Hizbut Tahrir sama ada dari aspek akidah, tsaqafah dan apa jua pemikiran yang telah ditabanni, sehingga ia harus menerimanya tidak kira secara terperinci atau global, sebab kewujudannya dalam Hizbut Tahrir sebagai satu kesatuan yang tidak terpisah.

Ketahuilah oleh anda wahai JFNJ, walaupun Hizbut Tahrir amat menjaga dan tegas dengan apa yang ditabanni, namun ia tidaklah jumud sehingga tiada ruang untuk ahlinya memberi pandangan untuk parti mengubah apa yang ditabanni. Siapa pun yang menjadi Amir Hizbut Tahrir, maka dialah yang menetapkan apa yang ditabanni oleh parti, dan dia juga mempunyai solahiyyah (autoriti) untuk mengubah apa yang ditabanni oleh Amir sebelumnya, atau mengubah tabanninya sendiri dalam keadaan tertentu. Memandangkan banyak perkara yang ditabanni termasuk dalam perkara ijtihadiyyah, maka setiap ahli mempunyai hak untuk menyampaikan pandangan yang berlainan sekiranya dia merasakan ada ijtihad lain yang lebih kuat. Setelah pandangan tersebut disampaikan, maka Amir Hizbut Tahrir akan mengkajinya dan jika ternyata ia lebih kuat daripada apa yang ditabanni oleh parti, maka nescaya Amir Hizbut Tahrir akan mengikuti yang lebih kuat itu dan menjadikannya sebagai tabanni yang baru. Selagi Amir Hizbut Tahrir tidak mengubah apa yang ditabanni, maka selagi itulah setiap ahli wajib berpegang dengannya dan mendakwahkannya.

Dalam konteks ini, Hizbut Tahrir juga tidak pernah menyekat mana-mana orang luar untuk mengkritik ijtihad parti, sekiranya mereka mempunyai ijtihad yang dirasakan lebih kuat atau lebih betul, berbanding ijtihad Hizbut Tahrir. Malah Hizbut Tahrir tidak mempunyai masalah untuk menukar apa yang ditabanni oleh parti jika ada ijtihad lain yang ternyata lebih kuat daripada ijtihad parti. Namun setakat ini, apa yang ditabanni oleh Hizbut Tahrir merupakan pandangan yang terkuat daripada segala pandangan yang ada. Sungguh pun demikian, Hizbut Tahrir sentiasa terbuka dan bersedia untuk berhujah mengenai apa jua pandangan. Perlu difahami bahawa Hizbut Tahrir tetap berpandangan bahawa sesuatu pandangan itu masih lagi syarie, selagi mana pandangan tersebut didasarkan kepada nas. Walaupun kami menganggap pandangan tersebut lemah, tetapi kami tidak menafikan kemungkinan terdapat kebenaran di dalamnya. Inilah pegangan Hizbut Tahrir.

Atas dasar itulah, kami sering katakan bahawa jika JFNJ atau sesiapa sahaja mempunyai hujah yang berlainan dengan Hizbut Tahrir, dan merasakan hujah mereka kuat, maka sila datangkan nas untuk melawan hujah kami. Ya sila datangkan hujah anda, bukannya dengan mendatangkan fitnah dan pembohongan ke atas Hizbut Tahrir; dan bukan juga dengan mengeluarkan fatwa untuk menyekat pandangan Hizbut Tahrir, atau untuk menangkap anggota Hizbut Tahrir, hanya semata-mata kerana pandangan Hizbut Tahrir yang berbeza dengan pandangan anda!

(iii) Benarkah penganut Hizbut Tahrir tidak mengetahui siapakah dalam parti yang mengeluarkan fatwa?

Sama seperti penjelasan kami di atas, sebelum memberikan jawapan untuk poin ini, kami ingin katakan bahawa istilah “fatwa” yang digunakan oleh JFNJ adalah tidak tepat. Oleh kerana isu yang anda bangkitkan ialah isu perkara yang ditabanni, maka ayat yang wajar digunakan oleh anda ialah “benarkah ahli Hizbut Tahrir tidak mengetahui siapakah dalam parti yang mengeluarkan perkara yang ditabanni?

Kami tidak tahu perkataan apa lagi yang lebih tepat untuk ditujukan kepada anda wahai JFNJ, kecuali “ajaib”! Bagaimana mungkin orang yang berada di luar parti boleh menyampaikan kepada orang ramai bahawa ahli parti tersebut tidak tahu siapa yang mengeluarkan fatwa dalam partinya?! Sungguh ajaib kenyataan anda ini! Ia umpama rakyat Amerika Syarikat yang tidak pernah memasuki Johor, menyatakan kepada orang ramai bahawa, “sesungguhnya rakyat Johor itu tidak mengetahui siapakah yang mengeluarkan fatwa di negerinya!”.

Wahai JFNJ! Mana mungkin kami tidak mengetahui siapa yang mengeluarkan perkara yang ditabanni (termasuk fatwa) dalam Hizbut Tahrir!? Adakah anda, atau kami, yang lebih mengetahui tentang urusan kami? Berlaku waraslah wahai JFNJ!

Biar kami terangkan, bahawa solahiyyah melakukan tabanni dalam Hizbut Tahrir, mengubah dan menggantinya serta solahiyyah mengambil keputusan-keputusan, hanya diberikan kepada Amir Hizbut Tahrir. Atas kedudukannya sebagai seorang Amir, beliau merupakan pemilik perintah dan keputusan terakhir. Justeru, melakukan tabanni ke atas berbagai pendapat, pemikiran, hukum serta peraturan parti, semuanya adalah Amir Hizbut Tahrir. Hal ini sungguh amat jelas bagi setiap anggota Hizbut Tahrir, dan tidak ada seorang anggota pun yang tidak mengetahuinya! Jadi, bagaimana mungkin anda boleh menyatakan yang anggota Hizbut Tahrir tidak mengetahuinya. Sungguh ajaib fatwa anda ini wahai JFNJ!

Alangkah mulianya jika anda bertanya kepada kami akan hal yang mudah ini, dan kami akan menjawabnya juga dengan cukup mudah, tanpa berselindung. Namun sayangnya anda memilih untuk tidak mahu bertanya dan tidak mahu bertabayyun, sebaliknya anda memilih untuk memfitnah dan melakukan pembohongan. Subhanallah!

Akhir sekali kami ingin bertanya anda, jika kami tidak mengetahui siapa yang mengeluarkan fatwa dalam Hizbut Tahrir sekali pun, lalu kami mengikutinya, apakah hal ini menyalahi akidah Ahli Sunnah wa Jamaah? Apakah kita mesti melihat kepada ‘siapa’ yang mengeluarkan fatwa untuk mengukur kebenaran fatwa tersebut, atau melihat kepada nas-nas yang digunakan dalam fatwa tersebut? Adakah Ahli Sunnah Wal Jamaah mewajibkan setiap Muslim untuk mengetahui daripada siapakah fatwa tersebut dikeluarkan, barulah boleh mengikutinya? Jika tidak, maka akidahnya telah terpesong. Adakah begitu akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang anda pegang wahai JFNJ?