Bantahan Fatwa Johor – 4.5c
(c) Mana-mana dakwah yang tidak berjaya selepas 23 tahun merupakan dakwah yang salah dan perlu menukar caranya.
Butiran ini juga merupakan satu Butiran yang luar biasanya ajaibnya! Kami merasa sungguh ajaib dengan fitnah JFNJ ini, kerana JFNJ sanggup mereka-reka satu pendustaan yang tidak dapat diterima oleh mana-mana akal yang waras! Jika kami cabar JFNJ untuk membuktikan hal ini, nescaya sampai kiamat pun JFNJ tidak akan dapat membuktikannya!
Kami tidak pernah tahu daripada mana sumber kenyataan JFNJ ini, dan kami sungguh hairan dari manakah cerita rekaan seperti ini boleh diambil oleh JFNJ dan bagaimana mungkin pendustaan tak bersumber ini boleh dimasukkan ke dalam sebuah fatwa!? La haula wa la quwwata illa billah.
Ketahuilah wahai JFNJ bahawa Hizbut Tahrir tidak pernah menetapkan tempoh waktu dalam dakwahnya dan thariqah (jalan) dakwahnya tidak pernah, dan tidak akan berubah sampailah Hizbut Tahrir mencapai objektifnya! Hizbut Tahrir meneladani thariqah (metodologi) Rasulullah (saw) dalam dakwahnya, dan dalam meneladani thariqah tersebut, Hizbut Tahrir tidak pernah meletakkan tempoh dan had masa tertentu, baik secara keseluruhannya mahupun dalam setiap marhalah (tahapan) dakwahnya. Dakwah wajib dilakukan dan diteruskan dengan thariqah yang tetap, walaupun uslub (aspek teknikal)nya boleh berbeza-beza, sehinggalah tercapainya kemenangan, dan Islam dapat diterapkan secara kaffah dengan tertegaknya Daulah Khilafah.
Kenapa Hizbut Tahrir tidak pernah menetapkan tempoh masa, atau merubah thariqahnya? Ini kerana thariqah dakwah Hizbut Tahrir adalah mencontohi thariqah dakwah Rasulullah (saw), dan tidak pernah ada riwayat yang menyatakan Rasulullah (saw) menetapkan tempoh masa atau merubah thariqahnya.
Manakala untuk mengukur benar atau salah setiap perbuatan, termasuklah dalam melaksanakan kewajipan dakwah menegakkan Khilafah, ia tidak diukur atau disandarkan kepada tempoh waktu sama sekali, tetapi disandarkan kepada nas.
Hizbut Tahrir telah ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1953. Dengan kata lain dakwah Hizbut Tahrir telah bermula sejak tahun 1953 lagi, dan masih diteruskan hingga kini (sudah melebihi 23 tahun) dengan thariqah yang sama. Walaupun realitinya Hizbut Tahrir masih belum berjaya mencapai objektifnya hingga ke hari ini, namun Hizbut Tahrir tidak pernah merubah thariqahnya sedikit pun, dan hakikat ini diketahui oleh seluruh dunia. Justeru, fatwa JFNJ di atas sungguh luar biasa anehnya!
Cara JFNJ mengeluarkan fatwa terhadap Hizbut Tahrir menunjukkan bahawa fitnah merupakan ciri-ciri utama di dalamnya. JFNJ bukan sahaja tidak mahu bertabayyun, malah tidak mengkaji dengan secukupnya mengenai Hizbut Tahrir, tetapi tetap mahu mengeluarkan fatwa atas dorongan hawa yang tidak dapat dibendung. Maka, keluarlah bermacam jenis fitnah, cerita rekaan dan pendustaan yang tidak masuk akal, yang dikeluarkan tanpa malu oleh JFNJ.
Jika JFNJ ada sedikit perasaan malu kepada Allah (swt), nescaya JFNJ akan mengkaji bagaimanakah thariqah Hizbut Tahrir dalam menegakkan Khilafah. Jika JFNJ tidak memahaminya atau menginginkan kepastian, maka JFNJ dengan mudah boleh berjumpa dan bertanyakan kami sendiri akan hal itu, dan kami sangat sukacita untuk menjelaskannya. Sayangnya JFNJ tidak berbuat demikian dan memilih jalan singkat dalam rangka untuk memfitnah Hizbut Tahrir.
Wahai JFNJ, ketahuilah bahawa thariqah dakwah Hizbut Tahrir sudah tertuang dalam ribuan penulisan dan ucapan kami di seluruh dunia, yang boleh dibaca dan didengar oleh setiap orang yang mempunyai penglihatan dan pendengaran. Kami tidak pernah menyembunyikannya dan kami tidak pernah berbohong mengenainya. Tidak pernah wujud dalam penulisan mahupun ucapan kami yang menyatakan bahawa dakwah kami akan ditukar caranya, dan merupakan dakwah yang salah, jika tidak berjaya selepas 23 tahun. Cukuplah pendustaan anda wahai JFNJ! Malulah sedikit kepada Allah (swt) dengan pendustaan yang anda lakukan!
Kami ulangi dan kami ringkaskan di sini akan thariqah dakwah yang diambil oleh Hizbut Tahrir untuk perhatian anda, dan anda juga seharusnya mengambil thariqah yang sama dan turut sama berjuang untuk menegakkan Khilafah, kerana ia merupakan thariqah Rasulullah (saw) dalam menegakkan Daulah Islam:-
Thariqah (metode) yang ditempuh oleh Hizbut Tahrir dalam memikul dakwah adalah berdasarkan hukum-hakam syarak yang diambil dari thariqah perjalanan dakwah Rasulullah (saw), kerana Rasulullah (saw) itu merupakan suri teladan yang wajib diikuti sebagaimana perintah Allah (swt) di dalam al-Quran. Melihat kepada realiti di mana kaum Muslimin pada hari ini (setelah kejatuhan Khilafah) hidup di dalam Darul Kufur kerana para penguasa mereka menerapkan hukum selain daripada apa yang diturunkan oleh Allah (swt), maka keadaan negeri kaum Muslimin pada hari ini sama sahaja seperti Makkah, yang merupakan Darul Kufur ketika Rasulullah (saw) diutus. Oleh yang demikian, dalam aspek kewajipan mendirikan Negara Islam, Hizbut Tahrir telah menjadikan fasa Makkah sebagai acuan dalam dakwah dan menjadikan segala aktiviti Rasulullah (saw) pada waktu itu sebagai teladan.
Dengan meneladani dan mendalami sirah Rasulullah (saw) semasa di Makkah sehingga baginda berjaya mendirikan Daulah Islamiyah di Madinah, akan tampak jelas bahawa baginda menjalankan dakwahnya melalui beberapa peringkat yang sangat nyata ciri-cirinya. Baginda juga melakukan aktiviti-aktiviti tertentu yang amat jelas tujuan-tujuannya. Daripada jejak langkah Rasulullah (saw) inilah, Hizbut Tahrir mengambil thariqah dakwah dan tahapan-tahapannya berserta aktiviti-aktiviti yang wajib dilakukan pada seluruh tahapan ini iaitu dengan menjadikan seluruh aktiviti Rasulullah (saw) sebagai teladan pada seluruh tahapan dakwah. Berdasarkan apa yang dilakukan oleh Rasulullah (saw) tersebut, Hizbut Tahrir menetapkan thariqah dakwahnya dalam tiga marhalah (tahapan) berikut:
Pertama: Marhalah tasqif wa taqwin (tahapan pembinaan dan pengkaderan), untuk mewujudkan kader-kader yang memegang pemikiran dan metode Hizbut Tahrir untuk membentuk kerangka dan bergerak dalam sebuah parti;
Kedua: Marhalah tafa’ul ma’al ummah (tahapan interaksi dengan umat), agar umat turut memikul kewajipan dakwah Islam sehingga umat menjadikan Islam sebagai permasalahan utamanya serta supaya umat berjuang untuk mewujudkannya dalam realiti kehidupan.
Ketiga: Marhalah istilam al-hukm (tahapan mengambil alih kekuasaan dan menerapkan Islam secara menyeluruh dan sempurna) serta menyebarkan risalah Islam ke seluruh dunia.
Tahapan pertama telah dirintis oleh Hizbut Tahrir di al-Quds, Palestin pada tahun 1372 H (1953 M) melalui tangan pengasasnya yang alim lagi dihormati, seorang pemikir besar serta ahli politik yang ulung yang juga seorang qadhi di Mahkamah Rayuan al-Quds iaitu Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani (rahimahullah). Pada masa itu Hizbut Tahrir telah melakukan hubungan secara langsung dengan anggota-anggota masyarakat, mengetengahkan kepada mereka fikrah dan thariqah Hizbut Tahrir secara per individu. Sesiapa yang menerima dakwahnya, diatur untuk melakukan pengajian intensif dalam halqah-halqah (kelas) hingga ia menyatu dengan pemikiran Islam serta hukum-hakamnya. Pemikiran dah hukum-hakam ini kemudian diambil dan dijadikan pedoman yang seterusnya menjadikannya seorang Muslim yang memiliki syakhsiyyah Islamiyyah (keperibadian Islam) dan akhirnya bergerak memikul dakwah Islam kepada umat manusia.
Selepas Hizbut Tahrir berjaya membentuk kelompok parti dan masyarakat mula merasakan serta mengenalnya berserta pemikiran-pemikirannya dan merasai apa yang diserukan oleh Hizbut Tahrir kepada masyarakat, maka Hizbut Tahrir beralih ke tahapan yang kedua iaitu tahapan berinteraksi dengan umat agar umat turut memikul dakwah Islam. Dalam tahapan ini, Hizbut Tahrir berusaha membentuk wa’yu wa ra’yul am (kesedaran dan pandangan umum) mengenai pemikiran dan hukum-hakam Islam yang telah ditabanni oleh Hizbut Tahrir hingga dijadikan sebagai pemikiran umat yang seterusnya (umat) akan berusaha mewujudkannya ke dalam realiti kehidupan serta ia (umat) berjalan bersama dengan Hizbut Tahrir untuk mendirikan Daulah Khilafah, melantik seorang Khalifah untuk mengembalikan semula kehidupan Islam dan memikul dakwah Islam ke seluruh penjuru alam.
Pada tahapan ini, Hizbut Tahrir mula beralih kepada penyampaian yang lebih menyeluruh dan kolektif dengan melakukan aktiviti-aktiviti berikut:
(1) Tasqif murakkazah (pembinaan intensif) melalui halqah-halqah yang diadakan untuk individu-individu (yang bergabung dengan Hizbut Tahrir) dalam rangka mengembangkan tubuh parti, meramaikan penyokong serta mewujudkan individu-individu yang bersyakhsiyah Islam yang mampu memikul dakwah, mengharungi medan dakwah dengan pergolakan pemikiran dan perjuangan politik.
(2) Tasqif jama’iyyah (pembinaan massa), yang disampaikan kepada umat secara umum dengan pemikiran serta hukum-hakam Islam yang telah ditabanni oleh Hizbut Tahrir. Ini dilakukan dalam pengajian-pengajian umum di masjid-masjid atau di forum-forum, seminar-seminar dan tempat-tempat berkumpul, juga melalui media massa, buku-buku dan nasyrah-nasyrah, penerbitan dan termasuklah internet, bagi mewujudkan kesedaran umum pada diri umat dan berinteraksi dengan mereka.
(3) Ash-shira’ al-fikri (pertarungan pemikiran), untuk menentang kepercayaan/ideologi kufur, sistem, undang-undang, peraturan serta semua akidah yang rosak, pemikiran yang keliru dan persepsi yang salah, dengan menjelaskan kepalsuan, kesalahan dan pertentangannya dengan Islam; juga membersihkan umat dari semua pengaruh dan implikasinya.
(4) Al-kifah as-siyasi (perjuangan politik), dalam bentuk perjuangan menghadapi negara-negara kafir penjajah yang menguasai dan mendominasi negeri-negeri Islam dan menghadapi semua bentuk penjajahan sama ada berupa pemikiran, politik, ekonomi mahupun ketenteraan, menyingkap agenda mereka dan membongkar persekongkolan mereka, demi membersihkan umat daripada kekuasaan mereka dan membebaskan umat daripada sebarang pengaruh dan dominasi mereka. Perjuangan politik juga dilakukan dalam bentuk penentangan terhadap penguasa-penguasa di negeri-negeri Arab dan negeri lainnya, membongkar kejahatan mereka, menyampaikan nasihat atau kritikan dan berusaha untuk mengubah mereka setiap kali mereka melahap hak-hak umat atau pada ketika mereka tidak melaksanakan kewajipan mereka terhadap umat atau ketika mereka mengabaikan salah satu urusan umat dan setiap kali mereka menyalahi hukum-hakam syarak. Perjuangan politik ini dilakukan oleh Hizbut Tahrir dalam rangka melenyapkan kekuasaan mereka, dan menggantikannya dengan kekuasaan Islam.
(5) Mengambil dan menetapkan kemaslahatan umat dan memelihara semua urusannya sesuai dengan hukum-hakam Islam. Hizbut Tahrir telah melaksanakan semua aktiviti ini dengan mengikuti jejak langkah yang dilakukan Rasulullah (saw) setelah turunnya ayat di mana baginda diperintah berdakwah secara terang-terangan. Rasulullah (saw) menyeru orang-orang Quraisy ke Bukit Safa dan memberitahu mereka bahawa baginda adalah seorang Nabi yang diutus dan meminta supaya mereka beriman kepadanya (mengakui kerasulannya). Rasulullah (saw) mula menyampaikan dakwahnya kepada kelompok-kelompok manusia mahupun kepada individu-individu secara terbuka. Baginda menentang orang-orang Quraisy, menentang sistem dan undang-undang Jahiliyah, menentang kepercayaan dan tuhan-tuhan mereka serta akidah dan pemikiran mereka, dengan menjelaskan kerosakan dan kesalahannya. Ayat-ayat al-Quran turun dan menyerang apa yang dilakukan oleh orang-orang Quraisy seperti menyembah berhala, memakan riba, membunuh anak perempuan hidup-hidup, mengurangkan timbangan, melakukan perzinaan dan lain-lain.
Demikianlah Hizbut Tahrir, dalam menyampaikan dakwah Islam dan menghadapi pemikiran-pemikiran lain yang menyimpang dari Islam, menghadapi kelompok-kelompok yang lain, serta dalam menghadapi negara-negara kafir penjajah dan para penguasa, sikap Hizbut Tahrir dalam perkara ini adalah menyampaikan pendapatnya secara terang-terangan, menyerang dan mencabar (dari segi pemikiran), tidak dengan cara nifaq (berpura-pura), mengampu, bermanis muka terhadap mereka, berbelit-belit dan tidak juga dengan cara mengutamakan jalan yang lebih selamat. Hal ini dilakukan oleh Hizbut Tahrir tanpa melihat lagi apakah akibat yang bakal ditanggung atau terpengaruh dengan situasi. Hizbut Tahrir menentang semua perkara mahupun pihak yang menyimpang dari Islam dan hukum-hakamnya, walaupun ternyata hal ini telah menyebabkan Hizbut Tahrir dan anggotanya menerima ujian yang pedih daripada para penguasa sama ada dipenjara, diseksa, dihalau, dipantau, diputuskan mata pencariannya dan diboikot kepentingannya serta dihalang keluar dari negara dan malah dibunuh.
Meskipun dalam menempuh perjalanannya, Hizbut Tahrir menyampaikan dakwah secara terang-terangan, mencabar sesuatu yang bertentangan dengan Islam, namun Hizbut Tahrir telah menghadkan aktivitinya dalam aspek politik tanpa menempuh jalan kekerasan/bersenjata) dalam menentang para penguasa atau menentang orang yang menghalang jalan Islam. Hal ini kerana Hizbut Tahrir adalah sebuah parti politik dan mengikuti thariqah dakwah Rasulullah (saw) di Makkah yang terhad kepada dakwah secara lisan/pemikiran tanpa melakukan apa jua aktiviti yang bersifat kekerasan atau mengangkat senjata sehinggalah baginda berhijrah dan berdirinya Daulah Islamiyyah di Madinah al-Munawwarah.
Tatkala masyarakat telah menjadi beku (statik) dengan seruan Hizbut Tahrir akibat hilangnya kepercayaan umat terhadap para pemimpin dan tokoh-tokoh mereka yang pernah menjadi tumpuan harapan mereka; juga akibat keadaan yang serba sukar yang sengaja dibuat oleh kaum penjajah supaya taktik penjajahan mereka tetap berlangsung; di samping akibat dominasi kekuasaan dan sikap keras dan kejam para penguasa yang menindas rakyatnya dan juga penganiayaan kejam yang dilakukan oleh para penguasa terhadap Hizbut Tahrir dan para anggotanya; pada masa masyarakat telah menjadi beku akibat keadaan ini, maka Hizbut Tahrir mula melakukan aktiviti thalab an-nusrah (mencari pertolongan) daripada ahlu al-quwwah (golongan yang memiliki kekuatan).
Perkara ini dilakukan untuk dua tujuan. Pertama: untuk tujuan himayah (membela Hizbut Tahrir bersama anggota-anggotanya), agar tetap mampu untuk memikul dakwahnya dalam keadaan aman. Kedua: sebagai perantara untuk meraih kekuasaan dengan mendirikan Khilafah dan menerapkan Islam.
Dengan nushrah (pertolongan) yang diberikan oleh ahlu al-quwwah, maka Insya Allah Hizbut Tahrir akan berjaya menegakkan kembali Daulah Khilafah. Hal ini sudah pasti berjalan seiring dengan kejayaan Hizbut Tahrir membentuk wa’yu dan ra’yul am dalam tubuh umat serta mendapat dukungan daripada umat, di samping persediaan rapi Hizbut Tahrir itu sendiri untuk memikul amanah pemerintahan sebagaimana yang dibebankan oleh Allah (swt).
Hizbut Tahrir mengakui bahawa usaha menegakkan Khilafah bukanlah mudah dan tidak ada jalan yang singkat untuk mencapai kemenangan, namun apa yang penting ialah untuk kita melakukan perjuangan yang bertepatan dengan syarak, yakni dengan mengikuti sepenuhnya thariqah yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) dan bukan mencipta thariqah kita sendiri dan bukan juga dengan mengikuti thariqah demokrasi yang diajarkan oleh Barat. Dengan izin Allah (swt), fajar Khilafah akan menyingsing tidak lama lagi melalui tangan para pejuangnya yang ikhlas, dan tiada siapa pun yang dapat menghalangnya, sebagaimana tiada siapa yang dapat menghalang terbitnya matahari di pagi hari.
Nah, begitulah dakwah Hizbut Tahrir wahai JFNJ, yang kami nyatakan dengan jelas lagi nyata dan sering kami ulang di mana pun jua. Adakah anda nampak di situ yang kami menyebut bahawa jika kami tidak berjaya setelah 23 tahun, maka kami akan menukar cara dakwah kerana cara dakwahnya salah?!