Bantahan Fatwa Johor – 4.6a

Muat turun PDF
Isi Kandungan

4.6 Mengancam keharmonian dan keselamatan negara, antaranya:

(a) Penolakan terhadap sistem pilihan raya, akan mendatangkan kesan negatif terhadap peratusan keluar mengundi orang Islam yang boleh mengancam kelangsungan penguasaan politik umat Islam.

Dalam keseluruhan Butiran 4.6 ini, niat jahat JFNJ terzahir umpama matahari di siang hari apabila cuba mengaitkan Hizbut Tahrir dengan ancaman keharmonian dan keselamatan negara. Tuduhan palsu penuh pendustaan ini menunjukkan betapa tebalnya debu yang menutupi hati JFNJ, dan betapa rapatnya JFNJ menutup mata terhadap fakta dan kebenaran, apabila berbicara tentang Hizbut Tahrir. Kalaulah ada sekelumit keikhlasan dalam diri JFNJ terhadap Hizbut Tahrir, nescaya pembohongan seperti ini tidak akan pernah keluar daripada sebuah badan agama seperti ini.

Dari sudut lain, kami ingin bertanya sejak bilakah urusan keharmonian dan keselamatan negara berada di bawah autoriti JFNJ?

Untuk menjawab Butiran 4.6 (a) ini, kami ingin membahagikan Butiran ini kepada tiga poin kecil, dan kami akan menjawabnya satu per satu:

(i) Benarkah Hizbut Tahrir menolak sistem pilihan raya?

Kami telah pun menerangkan sejak sekian lama pendirian kami mengenai pilihan raya, dan kami ulangi lagi di dalam jawapan 4.3 (d). Jika JFNJ telah membaca jawapan kami di Butiran 4.3 (d), kami yakin JFNJ telah memahaminya. Bagaimana pun, sebagai tambahan, kami perjelaskan lagi di sini. Kami tidak pernah menolak sistem pilihan raya secara mutlak, tetapi apa yang kami tolak ialah sistem demokrasi secara mutlak. Penolakan kami terhadap sistem pilihan raya hanyalah kepada sistem pilihan raya dalam sistem demokrasi sejauh mana ia bertentangan dengan syarak. Kami telah jelaskan bahawa Islam memperbolehkan pilihan raya, dan dalam sistem Islam (sistem Khilafah), pilihan raya mungkin sahaja akan diadakan untuk memilih Khalifah dan memilih anggota Majlis Umat. Apa yang perlu difahami ialah pilihan raya dalam sistem Islam berbeza sama sekali dengan pilihan raya dalam sistem demokrasi.

Dalam sistem demokrasi, pilihan raya diadakan untuk memilih wakil (atau memilih ketua negara, di sesetengah negara) untuk pergi ke Parlimen yang merupakan Majlis Tasyri’ (tempat pembuatan undang-undang). Boleh dikatakan kesemua calon yang bertanding adalah bertujuan untuk melakukan hal ini, iaitu pergi ke Parlimen dan membuat undang-undang. Majlis Tasyri’ itu sendiri merupakan suatu keharaman dalam Islam, kerana dalam Islam, manusia tidak boleh (haram) untuk membuat hukum. Hak tasyri’ (membuat hukum) hanya ada pada Allah (swt). Dialah satu-satunya Musyarri’ (Legislator) dan Dia tidak pernah memberikan hak ini kepada mana-mana manusia!

Atas dasar itulah, siapa pun yang bertanding dalam rangka menunaikan fungsi ini (menjadi Legislator), maka ia merupakan satu keharaman, dan siapa yang mengundinya juga adalah haram apabila mengetahui bahawa calon yang diundi itu akan pergi ke Parlimen untuk menjalankan fungsi tasyri’. Manusia tidak boleh (haram) membuat undang-undang, jadi manusia juga tidak boleh mewakilkan kepada manusia lain untuk membuat undang-undang. Maka berdasarkan kaedah syarak, al-wasilatu ila al-haram, haram (apa-apa jalan yang menuju kepada haram hukumnya juga haram), ini bermaksud menjadi calon atau mengundi/mewakilkan calon yang diketahui akan melakukan keharaman, adalah juga haram. Inilah hakikat sistem pilihan raya dalam sistem demokrasi. Atas dasar itulah kami katakan bahawa ia adalah haram. Pengecualian hanya berlaku dengan syarat-syarat sebagaimana yang telah kami sebutkan dalam jawapan 4.3 (d).

Berdasarkan tuduhan anda ini (bahawa Hizbut Tahrir menolak sistem pilihanraya), jelas menunjukkan yang anda hanya mengeluarkan fatwa yang bersifat separuh masak, atau hanya suku masak sahaja, terhadap pandangan Hizbut Tahrir. Kelalaian anda untuk mengkaji dengan mendalam dan menyeluruh, serta penolakan anda untuk melakukan tabayyun yang diwajibkan oleh Islam, telah meletakkan diri anda ke dalam kubang kesalahan setiap kali anda berbicara tentang Hizbut Tahrir.

Berhubung dengan perbezaan antara pilihan raya dalam sistem demokrasi dan sistem Khilafah, kami telah lama menghuraikannya dan telah banyak kali menjelaskannya. Berikut ini kami paparkan sedutan daripada Sautun Nahdhah Siri ke-346 yang dikeluarkan pada 11/04/2013, mengenai perbezaan antara kedua-duanya. Antaranya ialah:-

(1) Asas – Pilihan raya dalam sistem demokrasi diasaskan pada falsafah dasar demokrasi itu sendiri, iaitu pemisahan agama dari kehidupan (faslu deen anil hayah – secularism). Sedangkan pilihan raya dalam sistem Islam didasarkan pada akidah Islam yang tidak pernah mengenal pemisahan agama dari kehidupan.

(2) Prinsip – Pilihan raya dalam sistem demokrasi didasarkan kepada prinsip as-siyadah li asy-sya’bi (kedaulatan di tangan rakyat) sehingga rakyat, di samping mempunyai hak memilih penguasa, juga berhak membuat hukum. Sebaliknya pilihan raya dalam sistem Islam didasarkan kepada prinsip as-siyadah li asy-syar’ie (kedaulatan di tangan syarak), bukan di tangan rakyat. Jadi, meskipun rakyat berhak memilih pemimpinnya, namun kehendak rakyat wajib tunduk pada syarak (hukum al-Quran dan as-Sunnah). Rakyat (melalui wakilnya) sama sekali tidak boleh membuat hukum sebagaimana yang berlaku dalam demokrasi.

(3) Pilihan raya sebagai thariqah (metodologi) – Dalam sistem demokrasi, pilihan raya menjadi thariqah (metode) yang tetap untuk meraih kekuasaan dan mewujudkan kedaulatan rakyat. Sedangkan dalam sistem Islam, pilihan raya hanya merupakan salah satu uslub (cara/sarana) untuk memilih penguasa yang dibaiat untuk menjalankan hukum Allah (swt). Dalam sistem Islam, pilihan raya juga menjadi uslub untuk memilih wakil rakyat ke Majlis Umat @ Majlis Syura yang berfungsi sebagai tempat untuk menyampaikan muhasabah dan memberi input kepada penguasa.

(4) Keterlibatan rakyat dalam pilihan raya – Demokrasi menetapkan syarat umur tertentu (yang bercanggah dengan Islam) untuk membolehkan rakyat mengundi dan mereka berhak memilih wakil rakyat tidak kira Muslim mahupun kafir, sehinggakan berapa ramai non-Muslim yang memenangi pilihan raya dan seterusnya dilantik menduduki jawatan pemerintah, suatu hal yang jelas haram menurut Islam. Sedangkan dalam sistem Islam, seluruh rakyat yang mencapai umur baligh (15 tahun) berhak mengundi, manakala non-Muslim hanya berhak mengundi wakil mereka (yang non-Muslim sahaja) ke Majlis Umat dan terhad kepada hal memuhasabah penguasa dalam perkara yang menyangkut kezaliman penguasa ke atas mereka. Orang-orang kafir tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan pemerintahan, dan tidak dibenarkan memberi apa-apa pendapat tentang hal-ehwal Islam.

(5) Orang yang berhak dipilih, fungsi dan tugasnya – Syarat atau kriteria orang yang berhak dipilih dalam sistem demokrasi ditentukan oleh undang-undang buatan manusia seperti mencapai umur tertentu, tidak bankrap, tidak pernah dipenjarakan, pemegang kad pengenalan biru dan seumpamanya. Oleh kerana pilihan raya dalam sistem demokrasi merupakan manifestasi kedaulatan rakyat, maka wakil-wakil yang dilantik akan bertugas membuat hukum atau undang-undang mengikut (kononnya) kehendak rakyat. Dengan kata lain, orang yang dilantik akan bertindak sebagai ahli lembaga legislatif. Sedangkan dalam sistem Islam, syarat kelayakan wakil rakyat ditentukan oleh hukum syarak yang digali dari nas. Majlis Umat bukanlah lembaga legislatif, melainkan hanya lembaga perwakilan, yang akan menyalurkan muhasabah dan masukan dari umat kepada penguasa. Majlis Umat (Majlis Syura) tidak boleh (haram) membuat undang-undang kerana ia adalah hak Allah (swt) semata-mata.

(6) Ketua negara yang akan dipilih – Setelah memenangi pilihan raya dalam sistem demokrasi, parti yang menang majoriti akan melantik ketua kerajaan yang dikenali sebagai Perdana Menteri atau Presiden, yang akan menerapkan hukum buatan manusia. Demokrasi membenarkan seseorang menjadi ketua negara walaupun dia terkenal fasiq atau zalim, seorang perempuan mahu pun seorang kafir. Sedangkan pilihan raya dalam sistem Islam adalah untuk memilih ketua negara yang bergelar Khalifah, yang akan menerapkan hukum Allah (swt). Islam juga telah menetapkan syarat Khalifah iaitu hendaklah seorang Muslim, lelaki, baligh, berakal, adil, merdeka dan mampu. Hal ini ditambah dengan syarat-syarat keutamaan seperti seorang yang pakar dalam peperangan, mujtahid, berasal dari keturunan Quraisy, pemberani dan sebagainya. Islam menetapkan bahawa ketua negara tidak boleh seorang perempuan, apatah lagi orang kafir. Orang kafir tidak boleh (haram) memegang apa sahaja jawatan pemerintahan dan mereka juga tidak diberikan hak mengundi (untuk melantik) Khalifah.

Nah, adakah anda nampak sekarang wahai JFNJ, bahawa kami tidak menolak sistem pilihan raya secara mutlak, tetapi kami menolak apa jua sistem yang haram dan wasilah kepada yang haram! Pertanyaan kami kepada anda ialah, adakah dengan kami menolak segala perkara yang haram ini, kami telah menyalahi akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah?

(ii) Benarkah Hizbut Tahrir mendatangkan kesan negatif terhadap peratusan keluar mengundi orang Islam?

Sebelum menjawab poin ini lebih lanjut, kami ingin bertanya JFNJ beberapa soalan. Pertama: Pernahkah JFNJ bertanya kepada setiap Muslim yang tidak keluar mengundi, atas sebab apakah mereka tidak keluar mengundi? Apakah disebabkan oleh pengaruh Hizbut Tahrir? Kedua: Pernahkah JFNJ  membuat kajian statistik berapa ramai dan berapa peratus daripada Muslim yang tidak keluar mengundi, berbuat demikian akibat mengikuti pendapat Hizbut Tahrir? Ketiga: Pernahkah JFNJ membuat statistik daripada 222 kawasan Parlimen dan 505 kawasan DUN (PRU-14), berapa ramaikah anggota Hizbut Tahrir yang berada di setiap kawasan, yang tidak keluar mengundi, sehingga telah memberi kesan negatif kepada undi orang Islam?

Pernahkah JFNJ melakukan semua itu sehingga JFNJ mendakwa Hizbut Tahrir telah memberi kesan negatif terhadap peratusan keluar mengundi orang Islam?

Jika JFNJ telah melakukannya dan terbukti benar, setidak-tidaknya ada juga sedikit kebenaran dengan fatwa JFNJ dalam poin ini. Namun, jika kajian tidak pernah dilakukan, dan kami yakin memang tidak pernah dilakukan, maka fatwa JFNJ ini sebenarnya tidak lebih daripada andaian semata-mata, andaian yang dibuat dalam rangka ingin memburukkan Hizbut Tahrir. Jadi soalan kami seterusnya, bagaimana sebuah fatwa dikeluarkan hanya atas andaian semata-mata?

Namun demikian, jika benar sekali pun ada Muslim yang tidak keluar mengundi kerana terpengaruh dengan pendapat Hizbut Tahrir, maka kami mengucap syukur ke hadrat Allah (swt) kerana telah memberikan kesedaran kepada mereka.

Wahai JFNJ, ketahuilah bahawa piawai kami ialah hukum syarak (halal dan haram), bukannya kesan positif atau negatif dari sesuatu perbuatan. Jika sesuatu perbuatan itu memberi kesan positif sekalipun, tetapi ia bercanggah dengan hukum syarak, atau dengan kata lain ia adalah suatu yang haram, maka kami tidak akan melakukannya. Bahkan, kami akan menasihati kaum Muslimin untuk tidak melakukannya. Inilah piawai kami, dan inilah piawai yang wajib ada pada setiap Muslim setiap kali ingin melakukan suatu perbuatan. Piawainya mudah sahaja, iaitu halal atau haram. Jika halal atau mubah, maka silakan, tetapi jika haram, maka jangan dilakukan.

Hizbut Tahrir melihat semuanya dari pandangan syarak semata-mata, bukan dari pandangan manfaat, bukan dari kesan positif atau negatif. Ketahuilah wahai JFNJ bahawa riba itu mungkin bermanfaat untuk perkembangan ekonomi negara, dan mungkin sahaja banyak kesan positif lainnya untuk ekonomi, namun kami tetap akan menyatakannya haram, kami tidak akan mengambilnya, dan kami akan menasihati kaum Muslimin agar jangan mengambilnya, walau manfaatnya setinggi gunung Kinabalu sekali pun!

Kami yakin anda masih ingat bahawa pada tahun 2007, PAS telah memboikot pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam (Pahang) dan DUN Machap (Melaka). Kerusi Machap akhirnya dimenangi oleh orang kafir. Ini belum lagi mengambil kira berapa banyak ugutan yang telah dikeluarkan oleh parti politik itu dan ini, yang mereka akan memboikot pilihan raya di kawasan itu dan ini.

Berdasarkan fatwa anda, bukankah apa yang telah dilakukan oleh PAS itu mendatangkan kesan negatif kepada peratusan mengundi orang Islam? Bahkan dengan berbuat demikian, orang kafir telah berjaya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri! Di manakah fatwa anda pada waktu itu untuk memutuskan bahawa akidah PAS telah menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana memboikot pilihan raya? Di manakah fatwa anda bahawa PAS telah mengancam keharmonian dan keselamatan negara, kerana telah memboikot pilihan raya? Apa pun, masih belum terlambat untuk anda mengeluarkan fatwa anda sekarang ke atas PAS, bahawa PAS telah menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana pendirian mereka pada tahun 2007 tersebut!

(iii) Benarkah Hizbut Tahrir mengancam kelangsungan penguasaan politik umat Islam?

Menurut JFNJ, hasil dari penolakan Hizbut Tahrir terhadap sistem pilihanraya, ia membawa kepada kesan negatif terhadap peratusan keluar mengundi umat Islam, dan akhirnya mengancam kelangsungan penguasaan politik umat Islam. Benarkah ancaman kepada kelangsungan penguasaan politik umat Islam adalah angkara Hizbut Tahrir?

Ini satu lagi fitnah yang cukup terang benderang ke atas Hizbut Tahrir, yang dalam masa sama menunjukkan kebejatan intelektual pihak yang memfitnah! Tidakkah JFNJ pernah membaca ribuan penulisan kami atau mendengar ribuan ceramah kami, di mana kami menyatakan dengan jelas, tanpa berlapik dan tanpa berkias, bahawa haram hukumnya bagi umat Islam memilih atau melantik orang kafir sebagai pemimpin?

Pemerintahan negara wajib berada di tangan orang Islam sepenuhnya, dan haram bagi umat Islam memberikan kekuasaan atau menjadikan orang kafir menguasai kita. Hal ini sekali gus bermaksud bahawa segala urusan politik wajib dikuasai oleh orang Islam. Ada pun orang-orang kafir, mereka dibenarkan untuk terlibat (dan boleh menjadi ketua) dalam perkara yang bersifat administratif sahaja, yakni yang tidak melibatkan pemerintahan. Itu pun jika mereka mempunyai kelayakan profesional untuk jawatan tersebut. Perkara ini diulang oleh Hizbut Tahrir ribuan kali tanpa jemu dalam banyak penerbitan Hizbut Tahrir. Sayangnya JFNJ tidak pernah membacanya, atau telah membacanya tetapi hawa telah menguasai JFNJ untuk tetap memfitnah Hizbut Tahrir!

Sesungguhnya Hizbut Tahrir berpegang kepada firman Allah (swt):

﴿وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا﴾

“Allah sekali-kali tidak akan memberikan jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang beriman” [An-Nisa’ (4): 141].

Menyerahkan kepemimpinan kepada orang kafir sama ertinya dengan memberi mereka jalan untuk menguasai kaum Muslimin, dan ini adalah haram. Pemerintahan (kekuasaan) merupakan jalan yang paling kuat untuk menguasai orang-orang yang diperintah. Lafaz “لَنْ” dalam ayat di atas yang berfungsi untuk menyatakan selamanya (li ta’bid) merupakan qarinah (indikasi) berupa larangan tegas untuk orang kafir memegang kekuasaan ke atas orang Islam, baik jawatan rendah, apatah lagi jawatan tinggi (dalam bidang pemerintahan). Hal ini kerana Allah (swt) telah mengharamkan sebarang jalan bagi orang kafir untuk menguasai kaum Mukmin. Oleh itu, adalah haram hukumnya bagi umat Islam menjadikan orang kafir sebagai penguasa atas mereka.

Selain daripada itu, dalam Islam “pemerintah” juga disebut dengan istilah wali al-amri dan Allah (swt) telah mensyaratkan bahawa wali al-amri wajib daripada kalangan kaum Muslimin sahaja. Firman-Nya:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul serta ulil amri di antara kalian” [An-Nisa’ (4): 59].

﴿وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ ۖ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ﴾

“Apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Kalau saja mereka menyerahkannya kepada Rasul dan ulil amri di antara mereka…” [An-Nisa’ (4): 83].

Penggunaan kata ulil amri dalam ayat al-Quran tidak digunakan kecuali merujuk kepada kaum Muslimin sahaja. Hal ini menunjukkan bahawa wali al-amri wajib seorang Muslim. Oleh kerana itu, dalam Islam, pemerintahnya wajib Muslim. Selain jawatan ketua negara, jawatan lain yang terkait dengan pemerintahan juga wajib dipegang oleh Muslim seperti Mu’awin Tafwidh (pembantu Khalifah dalam pemerintahan), wali (pemerintah di peringkat wilayah) dan amil (pemerintah di peringkat kawasan yang lebih kecil) dan seterusnya. Selain itu, Qadhi (Hakim) juga wajib Muslim, sama seperti Amirul Jihad (Ketua Tentera) serta banyak lagi jawatan lainnya yang syaratnya adalah Muslim.

Cukuplah sekadar dalil-dalil tersebut untuk kami nyatakan, kerana jika kami ingin paparkan segala penulisan kami mengenai perkara ini sahaja, nescaya akan memakan beratus-ratus muka surat.

Sekarang kami ingin bertanya JFNJ, apakah mata anda, dan hati nurani anda langsung tidak nampak bahawa sepanjang sejarah pilihan raya dan pemerintahan di Malaysia siapakah yang telah memilih, melantik dan menaikkan orang kafir ke pemerintahan?

Siapakah yang selama lebih 60 tahun melantik menteri-menteri daripada kalangan orang kafir, jika bukan UMNO yang merupakan parti pemerintah? Siapakah yang telah melantik orang-orang kafir ke jawatan-jawatan penting dalam negara sehingga mereka (orang-orang kafir tersebut) berada dalam posisi menguasai orang-orang Islam, jika bukan UMNO?

Siapakah yang selama puluhan tahun lamanya memberi sokongan bermati-matian kepada calon-calon kafir dalam pilihanraya di Malaysia, berkempen untuk mereka, dan mengundi mereka sehingga calon-calon kafir ini menang?

Siapakah yang selama puluhan tahun lamanya telah memberi sumbangan undi yang begitu banyak dalam satu-satu kawasan pilihan raya, kepada calon-calon kafir sehingga mereka menang dalam pilihan raya, jika bukan daripada kalangan pengundi Muslim itu sendiri? Hatta di kawasan majoriti pengundi Muslim pun, calon-calon kafir boleh menang. Persoalannya, siapakah yang telah memberi undi kepada mereka sehingga mereka boleh menang? Adakah Hizbut Tahrir yang memberi undi kepada mereka?

Kami ingin bertanya anda wahai JFNJ, apakah pendirian anda bila suatu kawasan pilihanraya itu hanya ditandingi oleh calon-calon kafir sahaja, dan hakikatnya banyak kawasan seperti ini. Apakah nasihat anda kepada pengundi Muslim di situ? Adakah anda pernah mengeluarkan fatwa bahawa Muslim mana pun yang keluar mengundi dan mengundi orang kafir di kawasan tersebut, maka mereka berdosa kerana kesannya ialah mereka akan meletakkan kelangsungan politik Islam di tangan orang kafir? Mereka bukan sekadar berdosa, malah mereka telah menyalahi akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah! Dan bukan sekadar itu, mereka juga telah mengancam keharmonian dan keselamatan negara! Pernahkah anda mengeluarkan fatwa seperti ini, jika benar anda mahu meletakkan kelangsungan penguasaan politik di tangan orang Islam?

Kami yakin anda juga tahu bahawa PAS seringkali mengarahkan ahlinya untuk mengundi calon kafir, khususnya tatkala mereka bertahaluf dengan DAP suatu waktu dahulu. Di setiap tempat yang PAS tidak bertanding, dan DAP yang bertanding, maka PAS akan mengarahkan ahlinya untuk mengundi calon DAP walaupun calon itu seorang kafir. Malah dalam perkembangan kebelakangan ini PAS juga telah mengarahkan ahli-ahli mereka mengundi calon kafir dari parti komponen BN, apabila mereka (PAS) tidak bertanding di kawasan tersebut.

Di manakah fatwa anda terhadap PAS wahai JFNJ, tatkala PAS secara terang-terangan menyokong dan mengarahkan ahlinya menyokong calon kafir, sehingga calon kafir tersebut akhirnya menang? Bukankah ini telah mengancam kelangsungan politik umat Islam, dan bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana dakwaan anda? Di manakah fatwa anda terhadap PAS wahai JFNJ?

Kami juga ingin bertanya kepada anda wahai JFNJ, dan silalah jawab soalan kami dengan jujur, adakah anda tidak pernah mengundi calon kafir? Jika tidak, baguslah…namun soalan kami seterusnya, parti manakah yang anda sokong dan dukung selama ini, jika bukan parti yang menyokong dan memberi jawatan kepada orang kafir dalam pemerintahan?

Lalu, kenapa anda tidak mengeluarkan fatwa ke atas UMNO yang selama ini menyokong dan mendukung calon kafir daripada Barisan Nasional, yang telah menyebabkan kelangsungan penguasaan politik umat Islam terancam?

Kenapa anda tidak mengeluarkan fatwa ke atas UMNO, sedangkan selama ini UMNO-lah yang telah melantik dan meredhai orang-orang kafir ke jawatan-jawatan pemerintahan dalam negara, sehingga menjadikan orang-orang kafir tersebut menguasai orang-orang beriman? Kenapakah tiada fatwa daripada anda ke atas UMNO bahawa UMNO telah menyalahi akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah?

Lihatlah sejarah Malaysia, lihatlah sejarah Pulau Pinang dan Sabah yang mana Ketua Menteri mereka adalah non-Muslim yang direstui pelantikannya oleh UMNO, sedangkan ini jelas merupakan jawatan pemerintahan, yang Allah (swt) haramkan ke atas orang Islam. Lalu di mana fatwa anda wahai JFNJ? Di mana fatwa anda untuk menyatakan bahawa UMNO telah menyalahi akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, kerana telah memberikan kekuasaan kepada orang kafir, yang telah mengancam kelangsungan penguasaan politik umat Islam?

Kami ingin bertanya anda lagi wahai JFNJ, apakah mata anda dan hati nurani anda langsung tidak nampak bahawa sistem yang membenarkan orang-orang kafir memegang jawatan pemerintahan adalah sistem demokrasi? Adakah anda langsung tidak nampak bahawa sistem demokrasi-lah yang sebenarnya membenarkan orang-orang kafir memegang jawatan, hatta jawatan tertinggi dalam sesebuah negara?

Adakah mata dan hati anda langsung tertutup sehingga anda tidak nampak bahawa sistem demokrasi-lah yang sebenarnya membenarkan orang-orang kafir bertanding dalam pilihan raya sehingga mereka boleh memegang jawatan dalam pemerintahan?

Adakah mata dan hati anda langsung tertutup untuk memahami bahawa sistem demokrasi-lah yang sebenarnya membenarkan orang-orang kafir terlibat dalam politik sehingga mereka boleh menguasai orang-orang Islam?

Adakah mata dan hati anda langsung tertutup bahawa sistem demokrasi-lah yang sebenarnya mengancam kelangsungan penguasaan politik umat Islam? Dan selagi sistem ini diamalkan, maka selagi itulah umat Islam akan sentiasa terancam dengan penguasaan oleh orang-orang kafir.

Malah, dengan penerapan sistem demokrasi itu sendiri sudah menjadikan umat Islam mengikuti orang-orang kafir, kerana sesungguhnya sistem itu sendiri berasal daripada orang-orang kafir!

Maka seharusnya fatwa anda ini ditujukan kepada sistem demokrasi, yang sebenar-benarnya menjadi ancaman kepada akidah dan kelangsungan penguasaan politik umat Islam!

Lalu kenapa anda tujukan fatwa anda kepada Hizbut Tahrir yang tidak pernah membenarkan orang kafir menguasai orang Islam, yang tidak pernah membenarkan orang kafir menjadi pemerintah, dan yang tidak pernah mengundi orang kafir pun!

Bukalah mata anda dan mata hati anda wahai JFNJ, dan ikhlaskanlah hati anda!

Ketahuilah oleh anda bahawa satu-satunya sistem yang benar, yang tidak akan membenarkan orang kafir menguasai orang Islam ialah sistem Khilafah, yang diwarisi oleh umat Islam daripada Rasulullah (saw). Lihatlah sejarah wahai JFNJ, tidak pernah sistem Khilafah meletakkan orang kafir dalam pemerintahan mahupun jawatan-jawatan penting lainnya dalam negara. Orang kafir benar-benar berada di bawah penguasaan orang Islam, malah orang-orang kafir semuanya tunduk kepada sistem Islam. Tidak pernah ada seorang Khalifah pun pada mana-mana zaman, yang membenarkan orang kafir terlibat dalam pemerintahan. Inilah sistem yang benar, yang datangnya daripada Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw), dan yang sedang diperjuangkan oleh Hizbut Tahrir sekarang ini. Maka, jika anda tidak mahu politik umat Islam dikuasai oleh orang-orang kafir, campakkanlah sistem demokrasi dan berjuanglah bersama Hizbut Tahrir untuk menegakkan Khilafah!

Akhir sekali kami ingin bertanya anda, apakah kaitan antara dakwaan anda,

“penolakan terhadap sistem pilihan raya, akan mendatangkan kesan negatif terhadap peratusan keluar mengundi orang Islam yang boleh mengancam kelangsungan penguasaan politik umat Islam”.

dengan..

“mengancam keharmonian dan keselamatan negara”?

Adakah dengan menolak sistem pilihan raya sehingga mendatangkan kesan negatif kepada peratusan keluar mengundi orang Islam, dan boleh mengancam kelangsungan politik umat Islam, hal ini mengancam keharmonian dan keselamatan negara?! Aneh sungguh bagaimana anda boleh mengaitkan kedua-dua hal ini?! Jika dakwaan anda ini benar, sudah lama Malaysia ini huru-hara wahai JFNJ, kerana peratusan keluar mengundi umat Islam tidak pernah penuh setiap kali pilihan raya!