Bapa Ayam: Cerminan kerosakan masyarakat di bawah kapitalisme
Kerosakan masyarakat sememangnya sudah lama berlaku dan hingga kini tidak pernah ada solusi tuntas, dan sesungguhnya tidak mungkin ada solusi tuntas di bawah pemerintahan yang mengamalkan sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan). Jika sebelum wujudnya sosmed, kerosakan ini hanya dapat disaksikan di lapangan atau melalui dengar-cakap, atau melalui berita-berita yang tersiar, namun kini setiap orang sudah dapat menyaksikan sendiri secara langsung kerosakan demi kerosakan setiap saat melalui telefon bimbit masing-masing.
Kerosakan ini sebenarnya sudah tidak terbendung, dan semakin hari semakin melampaui batas, apatah lagi apabila tidak ada penguatkuasaan undang-undang, atau penguatkuasaan yang lemah, atau penguatkuasaan yang salah oleh pihak berwajib.
Terbaru, kita menyaksikan bagaimana seorang yang sudah tidak punya maruah dan perasaan malu, mempromosikan aktiviti persundalan melalui sebuah aplikasi sosmed. Lebih dari itu, ada pula pihak yang sanggup menjemput “bapa ayam” tersebut untuk sebuah rancangan bual bicara, dan terdapat pula peminat yang berbangga apabila dapat berfoto bersama bapa ayam tersebut.
Tidak dinafikan bahawa kerosakan yang melampaui batas seumpama ini merupakan kesalahan individu terbabit yang telah mengenepikan agama dalam hidupnya, tetapi di sebalik itu ia sesungguhnya mencerminkan kerosakan sistem yang mengatur negara dan masyarakat pada hari ini.
Sistem yang baik sudah pasti akan menghasilkan masyarakat yang baik dan sebaliknya sistem yang buruk sudah pasti akan menghasilkan masyarakat yang buruk. Masyarakat yang hidup dalam sistem komunisme sudah pasti akan menjadi komunis, dan tidak mungkin untuk mereka menjadi masyarakat Islam. Cara berfikir mereka adalah komunis, segala tindakan mereka adalah berasaskan fahaman komunisme, dan cara hidup (way of life) mereka akan mengikut ideologi komunisme, kerana mereka lahir, tumbuh dan membesar dalam sistem tersebut.
Begitu juga dengan masyarakat yang hidup dalam sistem kapitalisme. Sudah pasti cara berfikir mereka ialah kapitalis, dan segala tindakan mereka adalah berasaskan fahaman kapitalisme, dan way of life mereka akan mengikut ideologi kapitalisme, kerana mereka lahir, tumbuh dan membesar dalam sistem tersebut.
Begitulah lumrahnya kerana masyarakat itu terdiri daripada sekumpulan manusia yang diatur oleh sistem, dan ia akan berkembang biak serta beraktiviti berdasarkan sistem yang mengaturnya.
Maka demikianlah halnya jika kita ingin mewujudkan sebuah masyarakat yang Islami, maka tidak boleh tidak, sistem yang mengatur masyarakat juga hendaklah Islam.
Negara merupakan pihak yang mengatur masyarakat. Oleh itu, apabila negara menerapkan peraturan komunisme, masyarakat akan menjadi masyarakat komunis. Apabila negara menerapkan peraturan kapitalisme, maka masyarakat akan menjadi masyarakat kapitalis. Apabila negara menerapkan peraturan Islam, maka masyarakat akan menjadi masyarakat Islam. Begitulah sifirnya secara umum.
Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan kapitalisme. Oleh itu, masyarakat yang terhasil juga adalah sebuah masyarakat yang mengikuti cara hidup kapitalisme, sama sebagaimana di Barat. Apabila negara tidak mempedulikan halal dan haram, begitu jugalah dengan masyarakatnya, walaupun tidak dinafikan terdapat individu-individu yang masih taat kepada agama.
Sebagai sebuah mabda’ buatan manusia yang bukannya dibina atas halal dan haram, maka masyarakat yang hidup dalam sistem kapitalisme adalah sebuah masyarakat yang juga tidak mempedulikan halal dan haram, kerana kapitalisme adalah sebuah mabda’ (ideologi) yang berasaskan manfaat. Apa sahaja yang mendatangkan manfaat, walaupun haram di sisi agama, maka akan dilakukan oleh penganut ideologi ini, walaupun mereka mengaku beragama Islam. Ini kerana Islam hanya sekadar menjadi “agama” bagi mereka, tetapi bukannya mabda’ atau waf of life. Hanya segelintir sahaja individu-individu dalam masyarakat ini yang mengamalkan mabda’ Islam.
Atas dasar itu, tidak pelik apabila negara Malaysia ini dipenuhi dengan segala jenis keharaman, kemaksiatan dan kemungkaran. Judi yang diharamkan oleh Islam menjadi halal apabila “dihalalkan” oleh negara (melalui lesen). Kilang-kilang arak yang diharamkan oleh Islam menjadi halal. Konsert-konsert maksiat juga menjadi halal. Segala jenis cukai yang diharamkan oleh Islam juga menjadi halal.
Sistem perbankan ribawi yang diperangi oleh Allah dan Rasul-Nya menjadi halal. Penerapan hukum kufur yang datangnya daripada penjajah yang jelas-jelas haram, juga menjadi halal. Pendek kata, apa sahaja yang diharamkan oleh Islam boleh menjadi halal apabila dihalalkan oleh negara, dan negara menghalalkan semua perkara itu tidak lain tidak bukan adalah kerana manfaat. Inilah sifat ideologi kapitalisme.
Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan bahawa rosaknya masyarakat adalah hasil daripada penerapan mabda’ kapitalisme oleh negara. Keadaan ini bertambah buruk apabila wujudnya ulama atau golongan agamawan yang diberi gaji oleh kerajaan yang sentiasa mendukung dan membenarkan segala tindakan haram kerajaan. Benarlah kata Imam al-Ghazali:
وبالجملة إنما فسدت الرعية بفساد الملوك وفساد الملوك بفساد العلماء فلولا القضاة السوء والعلماء السوء لقل فساد الملوك خوفاً من إنكارهم
“Secara umum, rosaknya rakyat itu adalah kerana rosaknya para penguasanya, dan rosaknya para penguasa itu tidak lain adalah kerana rosaknya para ulamanya. Kalaulah bukan kerana para hakim dan para ulama su’ (jahat), nescaya kerosakan para penguasa itu hanya kecil, lantaran mereka (penguasa) takut akan mendapatkan penentangan daripada mereka (para ulama).” [Al-Ghazali, Ihya’ ’Ulumuddin]
Inilah apa yang kita saksikan sekarang. Di saat sosmed yang menjurus kepada kerosakan dibiarkan begitu sahaja oleh kerajaan, dalam masa yang sama sosmed yang memuhasabah kerajaan atau membawa kebenaran ditutup.
Sekiranya Islam memerintah negara, maka insya Allah masyarakat secara umumnya akan menjadi baik, kerana sistem yang mengatur masyarakat adalah sistem yang baik, sistem yang datangnya dari Dzat Yang Maha Mengatur.
Jadi, sekiranya wujud bapa ayam yang berani melakukan aktiviti persundalan di sosmed, negara (Khilafah) bukan sahaja akan menutup sosmed tersebut, tetapi akan memanggil bapa ayam terbabit dan akan diheret ke hadapan qadhi. Setelah melalui perbicaraan dan jika didapati bersalah dengan kesalahan zina, maka si bapa ayam tadi akan dihukum rejam (jika muhsan) dan akan disebat 100 kali (jika bukan muhsan). Manakala jika kesalahannya bukan zina, dia akan dihukum dengan ta’zir yang berat berdasarkan kesalahan yang dia lakukan.
Hukuman rejam atau sebat ke atas pesalah akan dijalankan di khalayak ramai, yang di samping menjadi jawabir (penebus dosa) baginya di akhirat, hukuman itu juga akan menjadi zawajir (pencegah) kepada orang lain jika ada yang berani untuk melakukan kesalahan yang sama.
Itulah secebis daripada penyelesaian Islam terhadap isu yang berlaku. Perlu difahami bahawa aspek pelaksanaan hukuman dalam Islam adalah perkara terakhir yang akan berlaku, selepas sebelumnya berlaku penerapan hukum Islam secara kaffah, yang telah menutup segala ruang kemaksiatan daripada berlaku.
Inilah yang membezakan mabda’ Islam dengan kapitalisme di mana kapitalisme membuka segala pintu kemaksiatan, dan apabila ia berlaku, aspek pelaksanaannya pula bukan sekadar lemah, bahkan tidak pernah bersifat mencegah. Hasilnya kemaksiatan sentiasa merajalela dalam sistem kapitalisme, kerana puncanya (yakni sistem) itu sendiri merupakan sebuah kemaksiatan.
Wallahu a’lam wa ahkam.