Bauksit: Kerakusan Kapitalis memang tiada batas
Perlombongan Bauksit di Pahang semakin menjadi-jadi sehingga kini dilaporkan bukan sahaja sungai telah bertukar warna merah, malah laut pun telah mengalami kesan yang sama. Walaupun sudah lama dibantah oleh penduduk dan pelbagai usaha telah mereka lakukan untuk menghalang kerja-kerja perlombongan bauksit tersebut, namun setakat ini tiada usaha serius dari kerajaan negeri untuk menanganinya.
Penduduk sekitar kawasan perlombongan memang terjejas teruk dengan pencemaran yang berlaku sehingga ramai yang sudah tidak tahan dengannya. Tndakan menutup jalan yang mereka lakukan sendiri dan ada yang terlalu marah sehingga membakar lori pengangkut bauksit, semuanya tidak berkesan. Komplen mereka semuanya ‘dibakul sampahkan’ oleh pihak berkuasa, walaupun bermacam-macam janji diberikan.
Kerajaan negeri seolah-olah langsung tidak mempedulikan masalah kesihatan dan keselamatan mereka, walaupun ternyata telah ramai yang mengalami masalah sesak nafas hasil pencemaran yang berlaku. Beberapa badan bukan kerajaan yang ditubuhkan untuk menangani hal ini juga seperti sudah tidak boleh berbuat apa-apa. Ini semua gara-gara kerajaan negeri yang hanya pejam mata seolah-olah “melindungi” para pengusaha bauksit ini.
Perusahaan bauksit di Pahang ini membuktikan bagaimana kerakusan para pemilik modal (kapitalis) yang tidak pernah mempedulikan batas sempadan. Kebersihan alam sekitar dan kesihatan orang ramai, malah keselamatan nyawa manusia sekalipun, langsung tidak ada dalam kamus kapitalis kerana golongan pemilik modal ini hanya mengerti satu kata sahaja iaitu “keuntungan”. Selagi ada keuntungan, selagi itulah mereka tidak akan berhenti mengautnya, kerana hidup mereka hanya untuk itu.
Ini juga merupakan sifat pemerintahan yang ada di Malaysia pada hari ini. Pemerintahan kapitalis memang tidak pernah mengenal penderitaan dan kesengsaraan rakyat. Malah, dalam kebanyakan kes, merekalah yang menjadi penyebab kepada segala penderitaan tersebut. Mereka bukanlah pemerintah sebagaimana yang disebutkn oleh Rasulullah SAW,
“Imam (pemimpin) itu adalah pemelihara dan dia akan dipertanggungjawabkan dari apa yang dipeliharanya (rakyatnya)” [HR Bukhari].
Di tangan pemerintah adanya kekuasaan yang dengannya mereka boleh menyuruh dan menghalang apa sahaja. Mereka sepatutnya menyuruh kepada yang makruf (kebaikan) dan menghalang/mencegah segala yang mungkar (keburukan). Malah apabila berlakunya kemungkaran, di tangan merekalah kuasa untuk menghukum kemungkaran tersebut bagi menghalangnya dari terus berlaku. Malangnya pemerintah hari ini bukan sahaja membenarkan kemungkaran, bahkan merekalah yang melakukannya. Mereka bukan lagi menjadi pemelihara kepada rakyat, sebaliknya merekalah yang menjadi penyebab kepada segala kesusahan dan kesengsaraan rakyat.
Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh para pengusaha bauksit itu dengan mengakibatkan pencemaran yang serius itu merupakan sebuah keharaman yang nyata. Banyak nas yang menghalang kerosakan dari dilakukan di muka bumi ini, antaranya sabda Rasulullah SAW,
“Elakkan tiga perbuatan yang akan membawa kepada laknat manusia, mencemarkan sumber air, jalan dan tempat berteduh” [HR Abu Daud & Ibnu Majah].
Rasulullah SAW juga melarang apa sahaja yang boleh memudharatkan manusia. Sabda baginda,
“Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh memudharatkan” [HR Daruquthni].
Segala hasil bumi yang ada, termasuklah bauksit, memanglah boleh dimanfaatkan oleh manusia. Namun, apabila jumlahnya banyak sehingga menjadi seperti “ma’ul id” (air yang mengalir yakni tidak putus) sepertimana disfiatkan dalam hadis, maka ia akan menjadi milik umum, bukan lagi milik mana-mana individu atau syarikat. Jika ia memerlukan pengelolaan dalam skala yang besar seperti juga minyak dan gas, maka pemerintah wajib mengelolanya dan dipulangkan segala hasil (keuntungannya) kepada rakyat.
Dalam melakukan pengelolaan tersebut, pemerintah bukan sekadar wajib menjaga hak-hak manusia (rakyatnya), malah hak alam sekitar juga wajib dijaga sehingga kebaikan dan rahmat Allah itu tercurah di muka bumi.
Namun, hal ini memang tidak akan dapat dirasai dalam pemerintahan kapitalis pada hari ini kerana pemerintahan kaitalis hanyalah sebuah pemerintahan yang bertujuan mendapat sebanyak mungkin keuntungan duniawi. Segala kebaikan dan pematuhan kepada hukum Allah itu hanya dapat dirasakan di bawah pemerintahan Negara Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah yang wajib kita usahakan bersama-sama untuk mendirikannya.
Wallahu a’lam.