Belasungkawa HTM Atas Pemergian Muhammad Al-Naimuddin Bin Ahmad
Keluarga besar Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) mengucapkan takziah atas pemergian salah seorang anggotanya, Sdr. Muhammad Al-Naimuddin Bin Ahmad yang telah meninggal dunia pada 8.36 malam, 14hb Julai 2023 yang lalu pada usia 36 tahun (1987 – 2023). Jenazahnya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Markom, Benut, Pontian, Johor pada keesokan harinya. Beliau meninggalkan seorang balu dan seorang anak berusia 4 tahun.
Beliau mula menyertai HTM sekitar tahun 2005 dan sangat berpegang teguh pada kebenaran yang telah sampai kepadanya dan telah bersungguh-sungguh memperjuangkannya. Pelbagai ujian dan cabaran telah dilalui sepanjang perjuangan beliau bersama dengan Hizbut Tahrir. Namun, kesemuanya itu tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk terus istiqamah memperjuangkan kebenaran.
Beliau banyak terlibat dengan aktiviti dakwah Hizbut Tahrir dan antaranya adalah dengan turut serta menjayakan Kempen 100 Tahun Keruntuhan Khilafah. kempen, seminar, pameran dan street dakwah.
Setelah bertahun-tahun berpegang teguh dengan kebenaran di dalam jalan perjuangan, akhirnya takdir Allah SWT telah menentukan segala-galanya. Setelah mengalami sesak nafas pada 14hb Julai 2023 beliau telah dikejarkan ke Hospital Besar Kluang untuk mendapatkan rawatan. Namun, keadaan semakin kritikal sehinggalah menghembuskan nafas terakhir pada sebelah malamnya.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas arwah dan menerima segala amal beliau serta menempatkan beliau bersama-sama para anbiya, para syuhada dan orang-orang yang soleh. Kepimpinannya pasti akan sentiasa dirindui oleh para pejuang khilafah.
Amiin ya rabbal ‘alamin