Campur Tangan AS Di Mesir Kian Terserlah
WASHINGTON 4 Feb. – Pentadbiran Obama kini sedang mengadakan perbincangan dengan pihak Mesir tentang kemungkinan peletakan jawatan segera Presiden, Hosni Mubarak dan pembentukan kerajaan interim, kata pegawai pentadbiran Amerika Syarikat (AS).
Pembentukan kerajaan yang disokong oleh tentera antara idea yang dibincangkan ketika tunjuk perasaan anti Mubarak terus memuncak di Kaherah dan beberapa bandar lain di Mesir.
Tunjuk perasaan lebih besar dijangka diadakan selepas solat Jumaat hari ini dan dikhuatiri mencetus tindakan ganas, melainkan kerajaan Mesir memenuhi tuntutan penunjuk perasaan supaya Mubarak meletak jawatan.
Pegawai berkenaan menekankan bahawa AS bukan memaksa Mesir melaksanakan cadangan tersebut, tetapi melihat satu-satunya jalan aman untuk penyelesaian krisis itu adalah dengan peletakan jawatan Presiden oleh Mubarak. – Agensi
Sumber: Utusan Online 04/02/2011
Hentikan Pengkhianatan ke Atas Umat Islam Wahai Pemimpin!
Sudah terang lagi bersuluh, krisis di Mesir semakin menampakkan wajah sebenar para pemimpin umat Islam. Mesir yang dikenali sebagai sekutu rapat Amerika di Timur Tengah memang mendapat peruntukan ketenteraan daripada bapa kerosakan dunia, Amerika. Oleh itu, adalah satu yang tidak dapat diterima akal sekiranya Amerika membiarkan pelaburan mereka yang sekian banyak selama ini diraih oleh orang lain yang membawa agenda yang bertentangan dengan ideologi kapitalis mereka.
Israel pula tidak ketinggalan dengan menghantar “bantuan” peralatan untuk menyuraikan rusuhan kepada kerajaan Mesir yang umpama telur di hujung tanduk masa ini dan kerajaan Mubarak dengan berlapang tangan menerimanya. Demonstrasi rakyat Mesir yang sudah masuk hari ke-10 ini menjadikan Israel seperti cacing kepanasan. Malahan ada laporan menyatakan mereka telah mengerahkan agen- agen mereka di Mesir dan Israel untuk melakukan keganasan terhadap rakyat Mesir yang berkumpul di Dataran Tahrir.
Campur tangan Amerika untuk menentukan siapakah pengganti Mubarak sememangnya menampakkan betapa selama ini pemimpim Mesir telah mengkhianati umat Islam dengan menyerahkan urusan mereka kepada musuh Allah dan Rasul. Sikap pemimpin Mesir yang sanggup berkesedudukan dengan Amerika dan Israel tetapi menekan serta menindas umat Islam adalah satu perbuatan keji yang dilaknat oleh Allah. Rasulullah telah mengingatkan bahawa :
“Bahawasanya Imam itu bagaikan perisai, dari belakangnya umat berperang dan dengannya umat berlindung.” [HR. Muslim]
Dalam hadis lain Rasulullah mengingatkan:
“Setiap kamu adalah pengembala dan setiap kamu diminta bertanggungjawab keatas gembalaannya. Maka seorang pemimpin yang memimpin orang ramai adalah pengembala yang diminta bertanggungjawab atas gembalaannya. Seorang suami adalah pengembala dalam keluarganya dan dia diminta bertanggungjawab atas gembalaannya. Isteri adalah pengembala dalam rumah suaminya, dan dia diminta bertanggungjawab atas gembalaannya. Hamba sahaya adalah gembala terhadap harta tuannya dan dia wajib bertanggungjawab atas jagaannya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan masing-masing kamu diminta pertanggungjawaban dalam pimpinannya.” [Riwayat Al-Bukhari & Muslim].
Namun perisai dan pengembala yang khabarkan oleh Rasulullah ini sudah tiada. Malahan pemimpin umat Islam dewasa ini yang bersikap lembut dengan musuh umat Islam serta bergantung nasib dengan mereka merupakan suatu pengkhianatan terhadap amanah yang sepatutnya mereka jaga sebaik- baiknya.
Wahai kaum muslimin, wahai umat Mesir khususnya! Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan buangkanlah pemimpin- pemimpin yang telah mengkhianati kalian. Jadikan mereka sebagai sejarah busuk yang akan menjadi tauladan umat selepas kalian. Ayuh bersegeralah melakukan perubahan sebenar iaitu dengan menggantikan sistem ciptaan manusia yang telah diterapkan ke atas kalian selama ini dengan sistem yang telah diwariskan oleh para sahabat iaitu sistem Khilafah. InsyaAllah, dengan diterapkan sistem ini ke atas kalian, ia akan menerangi bumi Mesir dan pastinya akan menerangi seluruh alam. Wallahu a’lam.