Cikgu Fadli tidak bersalah, adakah beg sekolah akan jadi ringan?

Kuasa “mahkamah rakyat” ternyata telah “mengalahkan” Lembaga Tatatertib Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)  apabila Mohd Fadli Salleh atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli diputuskan tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan ke atasnya.

Cikgu Fadli telah mengkritik kerajaan secara terbuka setelah segala saluran rasmi yang digunakannya tidak diendahkan sejak beberapa tahun lalu. Hasilnya, kesnya telah menjadi tular hingga mendapat perhatian Menteri Pendidikan dan Perdana Menteri sendiri.

Cikgu Fadli telah diberi surat tunjuk sebab oleh KPM yang “mengugut” untuk memecat atau menurunkan pangkat beliau, namun ternyata netizen menyokong beliau sepenuhnya dan turut “menghentam” KPM, Pejabat Pendidikan Daerah dan lain-lain pihak yang cuba menyalahkan beliau.

Tidak ada siapa boleh menafikan hakikat bahawa hasil suara rakyat Malaysia yang begitu ramai menyokong Cikgu Fadli-lah menyebabkan Lembaga Tatatertib KPM berubah “nada” apabila memutuskan yang beliau tidak bersalah.

Antara isu yang dibangkitkan Cikgu Fadli ialah isu beg berat yang membahayakan murid-murid, silibus tinggi dan padat yang syok sendiri, bilangan murid yang ramai dalam kelas, subjek pembelajaran yang banyak, masa belajar untuk subjek teras yang tak mencukupi dan adanya Little Napoleon dalam sistem pendidikan negara yang menyebabkan rosaknya sistem pendidikan.

Apa yang penting sekarang ialah rakyat Malaysia ingin melihat setelah Cikgu Fadli diputuskan tidak bersalah, apakah kesemua masalah yang beliau bangkitkan serta kritikan beliau terhadap sistem pendidikan negara akan berubah?

Secara mudahnya, kita ingin melihat apakah beg sekolah anak-anak kita selepas ini menjadi ringan?

Kita ingin melihat apakah Little Napoleon akan “terhapus” daripada sistem pendidikan negara, dan kita ingin melihat apakah semua perkara yang dibangkitkan oleh guru matematik Sekolah Kebangsaan (1) Gombak itu akan diselesaikan?

Kita telah melihat track record kerajaan yang tidak menerapkan Islam ini, bahawa “keputusan politik” dalam isu-isu viral biasanya tidak akan merubah apa-apa. Ia hanya dibuat untuk meredakan kemarahan rakyat buat sementara waktu sahaja, kemudian segalanya pi mai pi mai tang tu..

Wallahu a’lam.