Di sebalik ujian bom hidrogen Korea Utara
Korea Utara (KU) dilaporkan berjaya meledakkan bom hidrogen (hydrogen nuclei fusion) yang kedua pada awal bulan September 2017 ini, yang mempunyai kuasa ledakan sepuluh kali ganda berbanding dengan bom hidrogen yang diledakkan pada 2016. Terdahulu, KU pertama kalinya meledakkan bom atom (uranium 235 fission) pada 2006, jenis yang sama dengan bom yang diledakkan di Hiroshima dan Nagasaki oleh Amerika Syarikat (AS) sejurus sebelum tamat Perang Dunia Kedua.
Bom hidrogen yang diledakkan baru-baru ini berbeza daripada bom atom yang diledakkan pada 2006 oleh KU, kerana proses peledakan bom tersebut memerlukan suhu dan tekanan yang sangat tinggi sepertimana proses yang berlaku pada permukaan matahari dan bintang. Bahkan kuasa ledakan bom hidrogen adalah jauh lebih kuat daripada bom atom. Sebagai perbandingan bagi menggambarkan keamatan ledakan ini, proses yang berlaku di permukaan matahari memakan 620 juta tan metrik bahan hidrogen dalam masa satu saat sahaja.
Sesebuah negara yang sudah mempunyai kepakaran membangun bom atom secara automatiknya sudah memiliki kepakaran yang sama untuk membangun bom hidrogen walaupun mungkin mengambil masa lebih sepuluh tahun seperti kes KU. Pembangunan bom hidrogen adalah langkah seterusnya selepas sesebuah negara itu berjaya membangun bom atom. Kesemua negara kuasa nuklear seperti AS, Rusia, China, Perancis, Britain, India, Pakistan, Israel dan KU telah berjaya membangun bom hidrogen selepas mereka membangun bom atom mereka sendiri.
Namun begitu, ujian bom hidrogen oleh KU kali ini mendatangkan reaksi dan kutukan seluruh dunia sebagaimana ujian ledakan bom atom KU pertama pada tahun 2006. AS, sebuah kuasa besar yang pernah berperang di Semenanjung Korea dan mempunyai pangkalan tentera di Korea Selatan, kepulauan Okinawa di Jepun dan juga di Taiwan, merupakan negara yang paling lantang mengutuk tindakan KU ini.
Ujian ledakan oleh KU kali ini jelas menunjukkan bahawa AS dan Barat tidak lagi mempunyai monopoli terhadap senjata pemusnah besar-besaran. Lebih-lebih lagi, KU merupakan negara anti-AS, bukan seperti negara Asia lain seperti Pakistan dan India yang merupakan negara sekutu atau lebih tepatnya agen AS.
Persoalannya, mengapa KU begitu bersungguh-sungguh membangunkan senjata pemusnah besar-besaran, sedangkan penduduknya berdepan dengan krisis makanan dan sekatan ekonomi? KU adalah sebuah negara yang mengalami kemusnahan yang teruk semasa Perang Korea pada tahun 1950-an yang turut didalangi oleh musuh ketatnya iaitu AS. Dilaporkan sejumlah 2.5 juta penduduk semenanjung Korea terbunuh sepanjang perang tersebut, iaitu sebanyak 20% daripada populasi penduduk semenanjung Korea pada masa itu.
Dalam pada itu, pemimpin KU telah menyaksikan bagaimana Iraq diceroboh oleh AS dengan alasan untuk menghapuskan senjata pemusnah besar-besaran yang terbukti palsu kerana hakikatnya tidak terdapat program pembangunan senjata pemusnah besar-besaran di Iraq pada masa itu. Selain itu, KU juga belajar daripada tragedi penggulingan Muammar Ghaddafi oleh AS dan pakatan NATO. Pemimpin Libya itu pernah merancang untuk membangunkan senjata nuklear di Libya, meskipun program tersebut ditinggalkan sebelum ia digulingkan [1].
Oleh itu penguasa KU telah menyedari bahawa cara terbaik untuk melindungi keberlangsungan pemerintahan KU daripada digulingkan adalah dengan membangunkan senjata pemusnah besar-besaran seperti bom atom dan bom hidrogen.
KU juga telah dilabelkan sebagai salah sebuah negara di dalam “Paksi Kejahatan” (Axis of Evil) oleh pentadbiran Bush dalam agenda Perang Anti-Keganasan (War on Terror) bersama-sama Iran dan Iraq. Tambahan pula, KU belum pernah mempunyai hubungan sejarah, sama ada baik dan buruk, dengan mana-mana negara umat Islam.
Malah media KU, iaitu The Korean Central News Agency (KCNA) pada 2 September 2014, membidas pentadbiran Obama yang memerangi Islamic State Iraq Syam (ISIS), dengan mengatakan bahawa tujuan sebenar AS adalah untuk meningkatkan dominasi AS di Iraq dan Syria, malah mengatakan langkah AS itu adalah satu bentuk keganasan (terrorism) [2].
Apa yang menjadi kekhuatiran AS dan Barat adalah munculnya suatu kuasa politik Islam yang juga menjadi kuasa nuklear seperti KU dalam masa yang singkat, yang boleh mendapatkan kepakaran membangun senjata pemusnah besar-besaran daripada KU, disebabkan KU tidak pernah menjadi musuh kepada umat Islam sebelum ini.
Sejarah telah menunjukkan bahawa sebelum Sultan Muhammad al-Fatih membuka kota Constantinople (kini Istanbul) pada 1453 Masihi (857 Hijrah), beliau telah mengupah Orban, seorang pakar pembuat meriam besar untuk meruntuhkan tembok Constantinople. Walau bagaimanapun tembok kota Istanbul tersebut tidak dapat dirobohkan oleh kekuatan meriam buatan Orban. Selepas itu Uthmaniyyah telah membangunkan meriam-meriam besar buatan sendiri berdasarkan meriam Orban, dan akhirnya berjaya menggugat benteng kota Constantinople. Teknologi meriam tersebut menjadikan Uthmaniyyah sebagai kuasa besar pada masa itu, sehinggakan meriam tersebut dihantar ke Acheh untuk memerangi penjajah Portugis dan Belanda.
Kini, KU merupakan sebuah negara yang dikenakan sekatan, dan umat Islam boleh sahaja menjadikan KU sebagai negara sandaran untuk mendapatkan teknologi senjata pemusnah besar-besaran. Di samping itu, KU merupakan sebuah negara kecil yang hanya mahu mempertahankan wilayahnya daripada dicerobohi dan setakat ini dilihat tidak mempunyai cita-cita untuk menguasai dan menindas negara umat Islam.
Kesimpulannya ujian nuklear KU telah memecahkan dominasi dan hegemoni AS dan Barat. Peristiwa ini memungkinkan kemunculan beberapa negara kuasa baru di dunia yang juga boleh memecahkan dominasi dan hegemoni AS dan Barat.
Namun dengan hanya berbekalkan kekuatan senjata sahaja masih tidak mencukupi bagi sesebuah negara untuk berkembang menjadi kuasa besar. India, Pakistan dan Israel adalah negara yang juga mempunyai senjata pemusnah besar-besaran, tetapi bukan merupakan negara berideologi mahupun pengembang ideologi seperti Amerika atau Britain. Ideologi yang dianut oleh sesebuah negara menjadi faktor penting kepada pengembangan kekuasaan negara tersebut, kerana dengan ideologilah, sesebuah negara akan terdorong untuk menguasai dunia selain mempertahankan kelestarian dirinya.
Justeru, sudah tiba masanya bagi umat Islam untuk berusaha kembali menegakkan sebuah entiti politik Islam yang agung iaitu Khilafah, sebuah entiti berideologi Islam yang akan bangkit semula menjadi sebuah kuasa besar dunia, yang dengannya Islam dapat dikembangkan ke seluruh pelosok dunia Insya Allah. Dengannya juga, nasib umat ini akan kembali terbela daripada menjadi bidak-bidak catur dalam perebutan geopolitik kuasa-kuasa besar lain, kepada pengatur dunia. Wallahu a’lam.
Rujukan:
[1] http://edition.cnn.com/2017/08/06/asia/north-korea-asean/index.html, North Korea defends nuke program as sanctions tighten, 9 Aug 2017
[2] https://www.nknews.org/2014/09/north-korea-slam-u-s-over-military-action-against-isis/, North Korea slam U.S. over military action against ISIS. State media calls plans for U.S. military action against ISIS, “terrorism”, 2 Sep 2014.