Dialog Negara Islam di Kelantan
Dialog Negara Islam di negeri Serambi Mekah ini telah menghadirkan dua orang ahli panel iaitu Ustaz Abdul Hakim Othman yang juga presiden HTM dan Ustaz Abu Hafiz Ibrahim selaku AJK Pusat HTM manakala Sdr Wan Hisyam Wan Salleh bertindak sebagai moderator.
Di samping menjawab pelbagai soalan, kedua-dua ahli panel menjelaskan peri pentingnya perjuangan untuk menegakkan Khilafah sebagai sebuah Negara Islam yang wajib ke atas kaum Muslimin. Ahli panel turut menegaskan bahawa demokrasi adalah sistem kufur dan haram bagi umat Islam mengambilnya atau memperjuangkannya. Umat Islam wajib berusaha menegakkan Daulah Khilafah dengan thariqah (jalan) yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan bukannya dengan jalan demokrasi sebagaimana diajar oleh Lord Reid di dalam Perlembagaan Persekutuan, demikianlah penekanan dan peringatan yang diberikan oleh ahli panel kepada hadhirin.
Salah seorang yang hadir menyatakan ingin terus berjuang bersama HTM dan seorang pekerja di hotel tersebut yang turut mendengar dialog pun melahirkan hasrat yang sama dengan penuh teruja.
Di samping dialog, HTM juga turut mengadakan pameran Khilafah dan terdapat penjualan buku-buku Islam di luar dewan. Majlis berjalan dengan baik dari awal hinggalah ke penghujungnya.