Diskusi Muslimah Menjelaskan Kepentingan Hijrah Pada Zaman Sekarang

Bangi, Ahad 9 November 2014- Khilafah Centre dengan kerjasama Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) Selangor meneruskan lagi aktiviti sempena Kempen Ihya’ Hijrah dengan menganjurkan Diskusi Muslimah yang bertajuk “Masihkah Ada Hijrah Setelah Hijrah Rasulullah S.A.W.?”.
Diskusi pada kali ini menampilkan dua orang ahli panel iaitu Ustazah Ita Zulaikha  (Ahli Lajnah Tsaqafiyah MHTM) dan Ustazah Ummu Hajar (Ahli Lajnah Mubalighah MHTM) serta Ustazah Hidayah Anas (Ahli Lajnah I’lamiyah MHTM) selaku moderator.

Diskusi Muslimah dimulakan dengan sesi interaktif bersama para peserta. Respon dan kerjasama positif yang diberikan oleh mereka mewujudkan suasana ceria dan kondusif sepanjang program diskusi berlangsung.

Ita Zulaikha terlebih dahulu menjelaskan kekeliruan definisi Hijrah dalam kalangan masyarakat dan memberikan definisi sebenar Hijrah menurut pandangan Islam. Selanjutnya beliau menjelaskan hukum Hijrah yang terbeban kepada umat Islam mengikut keadaan dan situasi mereka. Ummu Hajar pula mengupas peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dan seterusnya menjelaskan tindakan yang perlu diambil oleh umat Islam dalam rangka meneladani peristiwa besar ini.

Dalam pusingan seterusnya, Ita Zulaikha mengupas persoalan utama diskusi pada kali ini iaitu adakah umat Islam masih perlu berhijrah lagi? Hadirin dibawa merenung keadaan masyarakat pada ketika ini dari segi politik, akidah dan ekonomi seterusnya membandingkannya dengan keadaan masyarakat sebelum hijrah Rasulullah saw. Terbukti keadaan masyarakat kita pada ketika ini mempunyai banyak persamaan dengan keadaan masyarakat arab Jahiliyyah di Mekah sebelum Rasulullah saw berhijrah ke Madinah dan menegakkan Daulah Islamiyah yang pertama.

Seterusnya Ummu Hajar menjelaskan langkah-langkah dan tindakan yang perlu dilakukan oleh umat Islam khususnya para Muslimah untuk merealisasikan kewajipan Hijrah dengan kembali menegakkan semula Daulah Islamiyah atau Khilafah Islamiyah.

Para hadirin diseru untuk meneladani Hijrah Rasulullah SAW dengan bersama-sama memperjuangkan syariah dan kembali menegakkan Daulah Islam.

MHTM merakamkan setinggi- tinggi penghargaan kepada semua yang hadir memeriahkan majlis ini.

{gallery}muslimah/AKSI-MUSLIMAH/Diskusi_Muslimah_Menjelaskan_Kepentingan_Hijrah_Pada_Zaman_Sekarang{/gallery}