Drebar baru bas lama
‘Drebar baru, bas lama’, itulah analogi yang sesuai menggambarkan isu peralihan kuasa dari Perdana Menteri Malaysia kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk seri Najib Tun Razak, yang dirancang pada 2010 nanti.
Apa guna pemimpin berubah jika sistemnya masih sama? Masih sistem kufur, masih sekular, masih Kapitalis, masih bersifat mengkayakan sekelompok tertentu dan menindas rakyat? Apa guna wajah pemimpin berubah, namun wajah duka rakyat tetap seperti dulu? Apakah gerenti atau janji yang ada yang pemimpin baru ini akan menerapkan Islam dan membuang segala sistem kufur sekular sekarang? Apakah janji yang ada bahawa pemimpin baru nanti akan mencampakkan Perlembagaan kufur yang dibuat oleh Lord Reid dan menggantikannya dengan Perlembagaan Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah?
Betapa seorang Perdana Menteri yang ada sekarang yang “sekepala” dengan timbalannya, tidak mampu atau lebih tepatnya, tidak mahu menyelesaikan masalah rakyat, jadi apakah janji yang ada bagi rakyat bahawa Timbalan Perdana Menteri ini nanti akan merubah nasib rakyat? Apatah lagi dalam keadaan kes pembunuhan kejam, ‘skandal’ yang melanda negara yang membabitkan orang yang akan mengambil alih kepimpinan tertinggi ini?
Bagi mereka yang telah bergelumang dengan sistem demokrasi yang penuh penipuan ini, banyak pihak melihat peralihan kuasa ini suatu yang demokratik, mulia, ‘gentleman’ dan pelbagai tanggapan positif yang lainnya. Mereka hanya melihat kepada perubahan “orang’ tanpa memperhatikan perubahan ‘sistem’. Walhal Malaysia masih lagi tetap mengamalkan sistem kufur warisan penjajah, dasar-dasar ekonomi kapitalisme, sistem pemerintahan demokrasi dan pelbagai sistem kehidupan yang lahir dari akal manusia yang serba buruk, serba kurang dan serba salah.
Berhubung dengan peralihan kuasa ini, umat Islam di Malaysia juga perlu bertanya, apakah “proses peralihan” yang berlaku ini selaras dengan Islam? Dengan kata lain, apakah dibolehkan di dalam Islam, seseorang pemimpin itu “memperturunkan” kuasanya kepada penggantinya? Dalam sistem demokrasi Kapitalis, semuanya memang boleh dijalankan kerana “hukum” itu terletak di tangan manusia, bukan di tangan Allah. Mereka tidak perlu melihat sama ada ia sesuai dengan Islam atau tidak. Mereka hanya melihat sama ada sesuai dengan “kehendak aku” atau tidak.
Di dalam struktur pemerintahan Islam, seseorang Khalifah tidak boleh mewariskan pemerintahannya kepada siapa sahaja yang diperkenan olehnya. “Jawatan tertinggi” yakni Khalifah, adalah dipilih dan dibai’at oleh Majlis Umat (Majlis Syura) yang ada di dalam Negara Islam (Daulah Khilafah). Seorang Khalifah boleh sahaja “mencalonkan” penggantinya, tetapi sekadar pencalonan sahaja. Pencalonan tidak mensahkan atau menjadikan seseorang itu berkuasa. Sahnya seseorang itu menjadi pemimpin tertinggi umat Islam (Khalifah) adalah dengan pemilihan dan bai’ah. Pemilihan itu pula hendaklah dilakukan oleh ahli halli wal aqdi, manakala syarat bai’ah pula hendaklah secara sukarela dan dengan kebebasan memilih (tanpa paksaan).
Setelah dibai’ah pula, tugas seorang ketua negara adalah untuk menerapkan hukum Allah, bukannya menerapkan hukum kufur (sebagaimana sekarang). Seorang Khalifah itu adalah pelaksana hukum syara’ yang datangnya dari Allah, bukannya pelaksana hukum kufur yang di buat oleh tangan-tangan manusia. Khalifah juga bertanggungjawab untuk mengembangkan agama Allah ke seluruh pelosok dunia dengan jalan dakwah dan jihad.
Umat Islam di Malaysia mesti sedar bahawasanya apa yang diharapkan dengan sebuah peralihan kuasa ialah perubahan dari situasi yang buruk kepada satu situasi yang lebih baik, dari sistem yang buruk kepada sistem yang baik. Dan umat Islam mesti sedar bahawa tidak akan ada situasi dan tidak akan ada sistem yang lebih baik dari situasi dan sistem Islam. Justeru, jika kita inginkan perubahan, ini bermaksud kita mahu perubahan dari situasi dan sistem kufur yang ada sekarang kepada situasi dan sistem Islam. Inilah yang kita mahukan, walaupun “pemimpin”nya masih tetap orang yang sama.