Etika Berpakaian non-Muslim Dalam Negara Islam

Setelah tular kes seorang wanita non-Muslim yang di kompaun oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) kerana berseluar pendek, beberapa orang menteri berbangsa Cina telah mengkritik tindakan MPKB tersebut, malah sebuah parti yang majoriti Cina turut menawarkan bantuan guaman percuma kepada wanita tersebut.

Wanita tersebut dikatakan melanggar Seksyen 34(2)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019 yang memperuntukkan bahawa pemilik lesen perniagaan mesti memastikan mereka yang bekerja di premis berkenaan berpakaian sopan atau menutup aurat jika mereka beragama Islam.

Kita mungkin tertanya-tanya jika yang dikompaun itu adalah seorang wanita berbangsa India atau berbangsa Melayu yang melakukan kesalahan yang sama, apakah menteri yang berbangsa Cina tersebut akan mengeluarkan kritikan yang sama?

Di samping persoalan tersebut, ada beberapa hal yang agak menarik untuk diperhatikan dengan beberapa kritikan yang dilontarkan dalam isu ini. Antaranya ialah, tidak salah untuk wanita non-Muslim berkenaan berseluar pendek kerana ia dilakukan di dalam premis persendirian iaitu di dalam kedainya sendiri, dan tidak salah untuk dia berseluar pendek kerana hal itu tidak salah menurut kepercayaan atau agamanya.

Ada yang mengatakan bahawa wanita tersebut masih memakai seluar, bukannya telanjang. Kalau telanjang barulah wajar untuk diambil tindakan. Ada pula yang mempersoalkan mengenai tafsiran “berpakaian sopan” yang bagi mereka tidak boleh ditafsirkan secara sama rata di antara penganut agama yang berbeza. 

Kemudian, apa yang menjadi isu seterusnya ialah apabila menteri menyatakan bahawa kompaun ke atas wanita berkenaan telah dibatalkan selepas satu sesi perbincangan diadakan antara Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan bersama MPKB. Sedangkan dalam masa yang sama bapa wanita berkenaan mengesahkan bahawa beliau telah pun membayar kompaun berkenaan bagi pihak anaknya.

Pakaian non-Muslim Dalam Khilafah

Sebelum menjawab kesemua persoalan di atas, biarlah kita faham dan jelas terlebih dahulu bagaimanakah etika berpakaian seorang wanita non-Muslim dalam sebuah Negara Islam. Di dalam kitab Muqaddimah ad-Dustur Au al-Asbab al-Mujibah Lahu, di Fasal ke-7, Hizbut Tahrir menjelaskan:

Negara menerapkan hukum syarak atas seluruh rakyat yang berkewarganegaraan (Khilafah), baik Muslim mahu pun non-Muslim dalam bentuk-bentuk berikut ini:

(d) Terhadap orang-orang non-Muslim, dalam hal makanan, minuman dan pakaian, diperlakukan sesuai dengan agama mereka, sebatas apa yang diperbolehkan hukum-hukum syarak.

Dalam siri soal jawab di facebooknya, Amir Hizbut Tahrir, Syeikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah menjelaskan fasal ini dan memperincikan lagi cara berpakaian non-Muslim seperti berikut:

[Fasal yang disebutkan itu (Fasal 7) telah menentukan dua batasan untuk pakaian:

Batasan pertama ialah “sesuai dengan agama mereka”. Jadi diperbolehkan untuk mereka (non-Muslim) memakai pakaian yang sesuai dengan agama mereka. Pakaian yang sesuai dengan agama mereka (maksudnya) ialah pakaian agamawan atau agamawati mereka, yakni pakaian rahib dan pendeta mereka (sama ada lelaki atau wanita). Ini adalah pakaian yang disetujui dalam agama mereka. Maka, lelaki dan wanita non-Muslim boleh mengenakan pakaian ini. Ini berkaitan dengan batasan pertama.

Adapun batasan kedua ialah “apa yang diperbolehkan oleh hukum-hukum syarak” iaitu hukum-hukum al-hayat al-am (kehidupan umum) yang mencakup seluruh rakyat, baik Muslim mahu pun non-Muslim, lelaki mahu pun wanita.

Jadi pengecualian adalah untuk pakaian yang sesuai dengan agama mereka.

Adapun selain pakaian agama mereka, maka diterapkan ke atas mereka hukum-hukum syarak (mengenai pakaian) dalam al-hayat al-am dan ini terpakai untuk lelaki dan wanita.

Cara berpakaian ini dijelaskan secara rinci di dalam kitab an-Nidzam al-Ijtima’ie Fi al-Islam (Sistem Pergaulan Dalam Islam) yang mana ia terpakai atas seluruh individu rakyat baik Muslim mahu pun non-Muslim. Tiada pengecualian untuk non-Muslim kecuali pakaian sesuai agama mereka seperti yang telah kami sebutkan di atas.

Selain itu, maka wanita (Muslim dan non-Muslim) wajib menutup aurat dan tidak bertabarruj, dan wajib memakai jilbab dan kerudung. Oleh kerana memakai seluar panjang adalah termasuk tabarruj, maka tidak diperbolehkan bagi wanita untuk memakainya dalam al-hayat al-am, meski pun itu menutup aurat.

Adapun tentang fakta sejarah, maka di sepanjang masa Khilafah, para wanita baik Muslim mahu pun non-Muslim, mereka memakai jilbab, yakni pakaian yang labuh di atas pakaian dalam, dan mereka menutup kepala mereka (memakai kerudung). Terdapat banyak kampung yang di situ adanya wanita Muslim dan non-Muslim yang pakaian mereka tidak dapat dibezakan…Walaupun setelah runtuhnya Khilafah, pengaruh cara berpakaian seperti itu masih dapat disaksikan hingga ke batas tertentu. Oleh itu, jika anda bertanya kepada wanita yang sudah lanjut usia, atas tujuh puluh tahun atau lapan puluh tahun, nescaya mereka akan memberitahu anda tentang kesaksian mereka atas sebahagian kampung di Palestin, yang para wanita Kristian dan Muslimah memakai pakaian yang sama di kampung-kampung tersebut].

Demikianlah etika berpakaian non-Muslim dalam sebuah Negara Islam (Khilafah). Mereka wajib memakai pakaian yang menutup aurat sebagaimana Muslim. Wanita mereka wajib memakai pakaian sebagaimana Muslimah. Tidak ada pengecualian dari segi cara berpakaian untuk mereka, atau dengan kata lain mereka wajib menutup aurat sebagaimana Muslim, kecuali jika mereka ingin memakai pakaian sesuai agamawan atau agamawati mereka.

Non-Muslim Terikat Dengan Hukum Islam

Sebelum kedatangan Islam, wanita dipandang rendah dan hina dalam masyarakat Jahiliah. Kedatangan Islam telah memuliakan wanita dan mengangkat martabat mereka. Jika kita meneliti sejarah dunia pun, kita akan mendapati bahawa dunia Barat juga sangat memandang rendah pada wanita. Malah banyak agama ciptaan manusia juga turut meletakkan wanita pada kelas kedua atau ketiga dalam masyarakat.

Islam memandang wanita sebagai aurat yang perlu dijaga dan meletakkan harga diri mereka di tempat yang tinggi Tubuh badan mereka, malah sehelai rambut mereka pun sangat berharga sehingga tidak boleh dilihat kecuali oleh mahram mereka sahaja. Islam hanya membenarkan wajah dan kedua telapak tangan wanita untuk didedahkan, manakala kesemua anggota tubuh lainnya adalah aurat yang haram untuk diperlihatkan.

Sebagai agama yang sempurna, Islam telah mengatur cara berpakaian wanita iaitu mereka wajib memakai jilbab dan kerudung. Hukum ini bukan sahaja terpakai kepada wanita Muslim, tetapi ia merupakan hukum yang terpakai dalam sebuah Negara Islam. Kedudukannya sama seperti hukum-hukum lainnya dalam Islam, yang merupakan hukum negara yang wajib dipatuhi oleh Muslim mahu pun non-Muslim.

Contohnya, perzinaan dan hukuman sebat/rejam bukan sahaja dikenakan ke atas Muslim, tetapi non-Muslim yang berzina juga akan turut dikenakan hukuman yang sama. Begitu juga dengan riba yang bukan sahaja haram ke atas Muslim, tetapi mana-mana non-Muslim yang melakukan interaksi ribawi dalam sebuah Negara Islam akan turut dihukum. Ibnu Umar menuturkan bahawa Rasulullah (saw) pernah bersabda:

أَنَّ اليَهُودَ جَاؤُوْا إِلىَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِرَجُلٍ مِنْهُمْ وَامْرَأَةٍ زَنَيَا، فَأَمَرَ بِهِمَا فَرُجِمَا

“Sesungguhnya kaum Yahudi pernah datang kepada Rasulullah (saw) dengan membawa seorang lelaki dan seorang perempuan dalam kalangan mereka, yang kedua-duanya telah berzina, lalu Rasulullah (saw) memerintahkan untuk merejam kedua-duanya”

[HR Bukhari]

Rasulullah (saw) pernah menulis surat kepada penduduk Najran yang beragama Kristian seperti berikut:

 إِنَّ مَنْ بَايَعَ مِنْكُمْ بِالرِّباَ فَلاَ ذِمَّةَ لَهُ

 “Siapa saja daripada kalian yang berjual-beli dengan riba maka tidak ada zimmah (perlindungan) lagi untuknya” [HR Ibn Abi Syaibah].

Banyak lagi nas lainnya yang menjelaskan bahawa non-Muslim adalah terikat dengan hukum Islam, kerana hukum Islam adalah hukum negara yang terkena ke atas setiap warganegara.

Pengecualian hanya diberikan kepada non-Muslim dalam hal-hal tertentu sahaja seperti akidah, nikah-kahwin dan makan-minum, yang mana mereka dibenarkan mengikuti dan mengamalkan kepercayaan mereka dalam hal-hal tersebut, tetapi tetap tertakluk kepada hukum syarak. Contohnya, mereka dibenarkan meminum arak atau makan babi di kediaman mereka atau dalam komuniti mereka, tetapi mereka sama sekali tidak dibenarkan untuk menjual arak atau babi secara terbuka.

Menjawab Persoalan

Berbalik kepada soal berpakaian, sebagaimana telah dijelaskan di atas, wanita non-Muslim wajib menutup aurat di tempat-tempat awam yang merupakan al-hayat al-am. Perlu difahami di sini bahawa wanita Muslim juga wajib melakukan hal yang sama. Jika wanita Muslim tidak menutup aurat atau bertabarruj di tempat awam, maka mereka wajib dikenakan uqubat (hukuman).

Premis perniagaan adalah termasuk al-hayat al-am, bukannya al-hayat al-khas. Beza antara al-hayat al-am dan al-hayat al-khas ialah izin masuk. Premis perniagaan tidak memerlukan izin masuk kerana ia memang merupakan tempat untuk orang-ramai keluar-masuk. Jadi, hukum bagi wanita di tempat ini wajib memakai jilbab dan kerudung.

Makanya, dalam sebuah Negara Islam, bukan sahaja wanita non-Muslim yang berseluar pendek akan dihukum, tetapi wanita Muslim yang berseluar pendek juga akan dihukum jika berbuat demikian di tempat awam. Malah jika wanita Muslim berseluar panjang sekali pun, juga akan dihukum kerana ini merupakan tabarruj. Pakaian yang wajib bagi mereka dalam al-hayat al-am hanyalah jilbab dan kerudung, tidak boleh selainnya.

Sekiranya Muslim dan non-Muslim dihukum atas kesalahan yang sama, maka tidak timbul isu pilih bulu atau tidak adil ke atas warganegara.

Malangnya sekarang ini, oleh kerana kita hidup dalam sebuah negara demokrasi-sekular, ramai wanita Muslim yang tidak berjilbab dan bertudung, dan ramai yang masih bertabarruj, semuanya tidak dikenakan hukuman. Sebaliknya wanita non-Muslim yang berseluar pendek diambil tindakan. Oleh itu, tidak hairanlah jika Islam dilihat tidak adil oleh non-Muslim. Padahal yang salah ialah negara (pemerintah) yang tidak menerapkan Islam, bukannya agama Islam itu sendiri.

Kewajipan memakai jilbab dan kerudung dalam Negara Islam ini sekali gus menjawab persoalan sejauh manakah satu-satu pakaian itu dikatakan “tidak sopan”. Pokoknya ialah siapa sahaja wanita yang tidak memakai jilbab dan kerudung di tempat awam, maka mereka wajib dikenakan hukuman, kerana telah melanggar undang-undang negara. 

Isu seterusnya ialah, bolehkah hukuman yang telah dikenakan itu dibatalkan? Jika dalam negara demokrasi-sekular, orang atasan hanya perlu berbincang dengan pihak berkuasa, lalu dengan mudah hukuman tersebut dibatalkan, tetapi tidak begitu di dalam Negara Islam. Tidak ada seorang pun yang kebal daripada hukuman dalam Islam. Sabda Rasulullah (saw):

إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الْحَدَّ وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا

“Sesungguhnya kebinasaan atas umat-umat sebelum kalian, jika orang yang mulia dalam kalangan mereka mencuri, mereka membiarkannya, akan tetapi jika orang yang rendah dalam kalangan mereka mencuri, mereka potong tangannya. Demi Dzat yang jiwaku ada dalam genggaman-Nya, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya akan aku potong tangannya”  [HR Bukhari].

Kesimpulan

Telah berganti beberapa kerajaan di Malaysia yang masing-masing mendakwa bahawa mereka adalah kerajaan yang terbaik. Namun hakikatnya, semuanya hanya mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi-sekular yang meneruskan Perlembagaan dan undang-undang yang diberi oleh kafir penjajah. Tidak ada satu kerajaan pun yang menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai perlembagaan dan undang-undang negara. Hasilnya, ketidakadilan dan ketidakpuasan berlaku di mana-mana. Orang-orang kafir bukan sahaja tidak dapat melihat keindahan Islam, malah sebaliknya mempersalahkan Islam sebagai agama yang menindas dan menafikan hak-hak mereka. Tidak ada cara lain untuk menempatkan Islam di tempatnya yang sebenar kecuali dengan berdirinya semula Khilafah, yang mana di bahu kitalah terbebannya kewajipan untuk mendirikannya.

Wallahu a’lam.