Fikratul Ummah – Jun 2013

FU-Cover-April2013
MUQADDIMATUL KALAM

Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh….

Alhamdulillah, bertemu kembali dalam wadah dakwah pena dan tinta Fikratul Ummah. Kehangatan umat berbicara tentang PRU 13 masih belum reda, malah mungkin tidak akan reda sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun akan datang. Semangat warga FU untuk meneruskan agenda dakwah di tengah-tengah umat juga tidak putus. Justru, FU tanpa putus asa akan mengajak para pembaca untuk membongkar kerosakan-kerosakan yang terjadi hasil daripada pelaksanaan sistem demokrasi dalam kehidupan umat manusia.

Sidang pembaca yang dirahmati semoga dimuliakan Allah S.W.T,

Ramai yang tidak menyedari bagaimana sistem demokrasi yang beraqidahkan sekularisme menyebarkan racun dan virus ke dalam tubuh umat Islam sehingga imunisasi umat sudah tidak mampu menahan lagi. Lebih menyedihkan lagi apa-bila umat Islam sudah hilang semangat untuk menempatkan diri mereka sebagai umat yang terbaik sebagaimana yang telah dijanjikan melalui firman Allah S.W.T, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah….” [TMQ Ali-‘Imran (3):110]

Umat Islam hari ini diserang dari berbagai penjuru oleh musuh-musuhnya. Jika umat Islam di belahan Timur Tengah diasak dengan ledakan bom dan peluru, umat Islam di belahan lain pula diserang dengan pemikiran sekular yang men-jauhkan mereka daripada ajaran Islam. Keluaran FU bulan ini akan membongkar satu lagi virus yang sedang mengancam umat Islam saat ini, khususnya di Malaysia, iaitu satu budaya kehidupan berkeluarga yang bertukar portfolio antara suami dan isteri, satu budaya yang dikenali sebagai Mr Mama -vs- Mrs Papa. FU akan mengupas fakta-fakta terkait punca kepada budaya ini dan peringatan agar umat menghadapinya dengan benar berdasarkan syariat Islam.

Semoga pembahasan kali ini dapat difahami dengan baik untuk dijadikan panduan kehidupan dan menjadi pemikiran yang sama-sama didakwahkan. Selamat membaca…

Wassalamu `alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
 


DOA MOHON KEBAHAGIAAN KELUARGA

Wahai Tuhanku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai, dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam (yang tunduk dan patuh kepadamu) [TMQ al-Ahqaf (46): 15].


ARTIKEL PILIHAN: MR. MAMA VS MRS. PAPA

Muqaddimah

Dalam arus kemodenan hari ini, muncul satu budaya songsang yang mula diterima berdasarkan justifikasi akal manusia. Budaya ini malah semakin popular dan teradaptasi dengan mudah. Budaya yang dimaksudkan ialah wanita atau isteri menjadi ketua keluarga atau pencari nafkah utama malah diangkat sebagai pemangkin utama ekonomi negara. Realiti hari ini menunujukkan wanita telah menyaingi lelaki dalam sumbangan tenaga professional seperti dalam bidang perubatan, perundangan, ahli akademik dan lain-lain. Tidak terkecuali dalam bidang separa profesional dan sokongan, di mana golongan wanita turut menjadi tunjang utama penjana ekonomi misalnya di sektor perkilangan, pentadbiran, domestik (pembantu rumah) dan sebagainya. Ironinya, si suami kemudian secara rela menjadi surirumah sepenuh masa dengan mengambil alih fungsi asal isteri/wanita tadi dan kemudian digelar Mrs. Papa.

Tidak dapat dinafikan Barat merupakan perintis kepada budaya ini. Ukuran material berdasarkan pertimbangan akal semata-mata sentiasa menjadi alasan utama dalam pemikiran Barat. Apabila pendapatan si isteri lebih lumayan dan terjamin maka isterilah yang lebih layak mengambil alih tanggungjawab sebagai pencari nafkah keluarga dan digelar super women. Super women ini kemudian diberi gelaran “Mr. Mama”!Persoalannya, di manakah kewajaran budaya ini?

Mengetahui dan Mengenali Tugas Hakiki
Islam meletakkan tanggungjawab suami sebagai pencari nafkah keluarga. Maha Suci Allah S.W.T yang telah mencipta manusia lengkap dengan pengaturannya yang hebat. Sebagaimana firman Allah S.W.T,

Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada isterinya dengan cara ma’ruf ….” [TMQ al-Baqarah (2): 233].

Dari Jabir r.a, Rasulullah S.A.W bersabda ketika Haji Wida’,

Bertakwalah kepada Allah pada (menunaikan hak-hak) wanita, kerana kalian sesungguhnya telah mengambil mereka dengan amanah Allah……. Kewajipan kalian bagi isteri kalian adalah memberi mereka nafkah dan pakaian dengan cara yang ma’ruf [HR. Muslim no. 1218].

Inilah tanggungjawab ataupun taklif hukum yang telah dikhususkan buat seorang lelaki yang bernama suami iaitu sebagai pencari nafkah. Mencari nafkah dari sumber rezeki yang halal (memenuhi yg wajib keperluan asas isteri dan juga wanita yang berada di bawah tanggungannya). Namun hal ini tidak mungkin terjadi secara semulajadi atau automatik kerana di dalam Islam, antara asas yang penting ialah pendidikan, lebih-lebih lagi pendidikan dari seorang ibu. Dengan kata lain, ia merupakan satu proses pembelajaran yang berterusan dan bermula seawall peringkat usia kanak-kanak.

Misalnya, bagaimana seorang anak dipupuk untuk mengenal tanggungjawab yang harus dia laksanakan bila dia dewasa? Dalam hal ini, ibu adalah sekolah awal bagi seorang anak di mana ibu akan mendidik anak-anak melalui proses pembelajaran berterusan di yang dimaksudkan di atas. Sifat bertanggung-jawab ini perlu dipupuk, diasuh dan diberi kefahaman mengenainya sejak dari usia seawal mungkin, malah mungkin juga sejak dari dalam kandungan lagi.

Sekiranya anak mendapat pendidikan sempurna dari seorang ibu yang solehah dan beriman, maka mereka akan membesar dengan rasa penuh tanggungjawab yang mana ibunya telah memperkenalkannya dengan tanggungjawab ini sejak dari awal. Sebagai contoh, tidak keterlaluan jika dikatakan ramai lelaki hari ni tidak sedar bahawa selain dari isteri, dia juga wajib menafkahi wanita mahramnya yang lain sekiranya tiada sesiapa lagi yang mampu melaksanakan tanggungjawab itu melainkan dirinya sahaja. Ini termasuklah ibunya, kakak dan adik perempuannya, hatta ibu saudaranya juga.

Hal ini jelas, apabila Allah S.W.T telah menetapkan bahawa dalam pembahagian harta warisan, bahagian lelaki lebih banyak berbanding wanita kerana lelaki mempunyai wanita yang akan dinafkahi sedangkan wanita tidak perlu menafkahi orang lain, jadi bahagian wanita hanya untuk kegunaan sendiri tanpa ada taklif lain ke atasnya. Ini jelas berdasarkan maksud firman Allah S.W.T:

“Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembagian pusaka untuk) anakanakmu. Iaitu, bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan… [TMQ an Nisaa’(4): 11]

Sementara itu, Allah S.W.T telah menetapkan bahawa secara fitrahnya, tugas hakiki wanita adalah sebagai ibu dan pengurus rumahtangga (ummun wa rabbatul bayt). Namun, ini tidak bermakna wanita tidak dibenarkan bekerja kerana hukum bekerja bagi wanita adalah HARUS (mubah). Tiada halangan untuk seseorang wanita bekerja, asalkan mendapat izin dari walinya bagi yang masih bujang dan mendapat izin dari suami bagi yang telah berkahwin dengan syarat utamanya ialah mematuhi segala hukum syarak.

Bertitik tolak dari keharusan hukum ke atas perempuan keluar bekerja, musuh Islam (Barat) tidak pernah sunyi dari mengintai peluang untuk memesongkan pemahaman umat Islam.  Seterusnya melemahkan taraf berfikir umat Islam dan yang lebih penting, agar umat Islam meninggalkan tugas hakiki mereka.

Kenapa Mrs Papa dan Mr. Mama Wujud?
Terlalu banyak persoalan berangkai yang perlukan penguraian, antaranya, mengapa golongan wanita yang disasarkan oleh Barat dalam rangka meningkatkan dan memakmurkan ekonomi sesebuah negara? Malah, turut diletakkan suatu indeks pencapaian yang perlu dipenuhi iaitu dengan 30% wanita perlu berada dalam pasaran tenaga kerja negara?  Ke manakah hilangnya tenaga perkasa makhluk yang bernama lelaki?  Adakah benar pelajar perempuan lebih pintar dari pelajar lelaki sehinggakan hampir di semua pusat pengajian tinggi, jumlah pelajar perempuan lebih tinggi dari pelajar lelaki? Juga, adakah benar pelajar lelaki lebih malas berbanding pelajar perempuan yang justru membawa kepada masa depan yang gelap dan malap?  Kesemua persoalan ini merupakan masalah kepada satu masalah besar iaitu sistem kehidupan yang diterapkan di tengah-tengah masyarakat. Sistem kehidupan yang rosaklah yang melahirkan sistem ekonomi, sosial, pendidikan dan sistem-sistem lain yang rosak.  Sistem yang dimaksudkan di sini ialah sistem kapitalisme.

Sebahagian masyarakat memahami kapitalisme sebagai secubit sistem yang mengatur masalah ekonomi sahaja. Hakikatnya, kapitalisme adalah sebuah ideologi yang “sempurna” yang mengatur sesebuah negara. Kapitalisme beraqidah sekularisme iaitu menolak kuasa Tuhan dalam pengaturan hidup manusia. Maka, ia meletakkan nilai material, keuntungan serta modal kewangan sebagai matlamat hidup seseorang individu dan aspek yang dominan dalam sesebuah masyarakat, bukannya untuk beribadah kepada Allah agar mendapat redhaNya seperti yang digariskan Islam. Di bawah sistem yang materialistik ini, manusia (termasuk wanita) hanya dipandang sebagai alat yang boleh digunakan untuk meningkatkan hasil keuntungan bagi syarikat-syarikat dan negara, bukannya sebagai manusia yang wajib dijaga maruah dan dirinya oleh manusia yang lain serta dipenuhi keperluannya oleh negara.

Rosaknya sistem kapitalisme kerana mengamalkan prinsip-prinsip seperti peluang perkerjaan yang berasaskan tahap kelulusan serta model kewangan yang berasaskan faedah dan pasaran bebas yang menyebabkan negara terjerumus dalam perangkap hutang. kekayaan tertumpu pada sebahagian kecil tangan manakala menjerumuskan ramai orang dalam kemiskinan yang parah. Maka, diperkenalkanlah dasar negara bahawa pemberdayaan wanita dalam sektor pekerjaan akan membangun ekonomi negara.

Kapitalisme juga mengamalkan konsep kebebasan pemilikan di mana syarikat-syarikat besar bebas membeli dan memiliki aset umum seperti air, minyak, gas dan elektrik. Maka, rakyat hanya boleh membelinya malah pada harga yang sangat tinggi kerana syarikat-syarikat ini menetapkan harga untuk mendapatkan keuntungan semaksimum mungkin. Ini meningkatkan kos sara hidup seterusnya ‘memberatkan’ dan ‘menyukarkan’ lagi umat memenuhi keperluan asas keluarganya sehingga ‘mendesak’ wanita turut terjun berkerja.

Islam Menyelesaikan Pokok Permasalahan.
Syariat Islam telah ditetapkan Allah kepada manusia sesuai dengan fitrah penciptaannya. Allah S.W.T berfirman,

Di antara tanda-tanda kekuasaanNya adalah Dia telah menciptakan untuk kamu sekalian isteri-isteri dari diri kamu sekalian agar kamu merasa tenteram (tenang-senang) kepada mereka dan Dia menjadikan di antara kamu (suami dan isteri) mawaddah dan rahmah (aman bahagia dan saling berkasih sayang)  [TMQ ar-Rum (30): 189].

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa dalam sesebuah perkahwinan, antara yang dituntut adalah, pasangan suami isteri seharusnya sedar bahawa Islam bukan sekadar agama spiritual malah lebih dari itu. Ia juga merupakan sebuah cara hidup (the way of life). Justru, adakah di saat ini, umat mahu terus menjadi lalang yang hanya mampu mengikut lengkok angin tiupan Barat atau mahu berfikir berpandukan iman untuk mencari penyelesaian sebenar dalam Islam?

Islam adalah agama fitrah dan menjadi rahmatan lil’alamin (memberi rahmat keseluruh alam). Sesungguhnya untuk menegakkan syariat Islam, ianya memerlukan tiga tiang utama yang saling mengukuhkan antara satu sama lain. Kesyumulan Islam hanya akan terserlah setelah ketiga-tiga tiang ini tegak berdiri.

Tiang yang dimaksudkan ialah tiang pelaksanaan syariat oleh individu, tiang pelaksanaan syariat oleh masyarakat dan tiang pelaksanaan syariat oleh negara. Tiang yang jelas runtuh pada hari ini ialah tiang pelaksanaan syariat oleh negara. Pelaksanaan syariat Islam oleh negara amat penting kerana dalam banyak perkara, negara perlu mengatur kehidupan rakyatnya menurut apa yang diperintahkan oleh Islam secara keseluruhan. Firman Allah S.W.T,

“...Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam seluruhnya...” [TMQ al-Baqarah (2):208]

Pengaturan ini termasuk hal-hal sosial, politik, perundangan, pendidikan dan ekonomi. Isu Mr Mama-vs-Mrs Papa ini terkait pengaturan oleh negara dari sisi sosial, pendidikan dan lebih penting ekonominya. Negara Islam wajib menjamin kesejahteraan ekonomi rakyatnya. Setiap individu dalam negara dijamin segala hak dan keperluannya dipenuhi. Dengan kata lain, dalam negara yang ditadbir dengan ekonomi Islam, tidak akan timbul isu budaya songsang Mr Mama vs Mrs Papa ini.

Untuk memastikan syariat Islam tidak dilaksanakan, Barat tidak henti-henti menyuntik budaya songsang ini dan berbagai virus ke dalam diri umat Islam agar terus lemah dan tidak mampu lagi untuk melihat di manakah mereka seharusnya berada. Barat terus berusaha untuk melenyapkan status umat terbaik yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T ini dari menjadi milik umat Islam. Antaranya ialah dengan menyibukkan kaum perempuan (muslimah) dengan tugas-tugas yang bukan hakiki, pekerjaan duniawi dengan menjanjikan keutuhan ekonomi, status, pangkat dan bermacam lagi imbuhan material kepada wanita Islam yang sememangnya telah lamamenderita menyakit ‘wahn’. Natijahnya wanita melupakan tugas hakiki yang telah Allah S.W.T amanahkan ke atas diri mereka iaitu menjadi ibu dan mendidik anak-anaknya menjadi generasi Islam yang unggul!.

Wanita bukan hanya meninggalkan kewajipan mereka di rumah, malah mereka meninggalkan satu lagi kewajipan yang paling kritikal bagi mereka saat ini iaitu tugas mendakwahkan Islam agar Deen yang mulia ini kembali ditegakkan sepenuhnya di muka bumi Allah S.W.T. Inilah saat yang paling ditakuti dan digeruni oleh Barat, saat kembalinya umat Islam memimpin dunia!!

Khatimah
Tanpa sebuah negara yang menerapkan sistem Islam, maka tidak mungkin masalah rumahtangga dan pelbagai masalah lain yang dihadapi oleh masyarakat saat ini akan dapat diselesaikan. Kalau pun ia mampu diselesaikan, ia cuma penyelesaian sementara dan bukan penyelesaian yang bersifat menyeluruh. Apa yang penting sekarang ialah tugas menegakkan negara Islam kerana melalui Daulah Islamiyah ini, pemerintah akan mentadbir dengan penerapan syariat Islam sepenuhnya dan segala permasalahan akan diselesaikan secara tuntas. Justru, adalah wajib ke atas setiap umat Islam untuk mengakkan Daulah Islamiyyah demi kelangsungan syariat Islam di muka bumi.

Wallahu a’lam.


NAFSIYAH: SEBELUM AJAL DATANG MENJEMPUT

Muqaddimah
Ketika berada dalam majlis tazkirah atau program motivasi spiritual yang penuh dengan inspirasi dan sentuhan ke- taqwaan, setiap diri pasti merasa imannya bertambah kuat, sedu dan tangis mengiringi penyesalan ke atas dosa-dosa melengahkan amanah Allah S.W.T. Tidak kurang juga timbul rasa rindu pada kehidupan akhirat (syurga) ditambah pula rasa dekatnya dengan Allah S.W.T. Namun sedihnya, sebaik melangkah keluar dari majlis ilmu, diri yang tadinya penuh dengan tadayyun dan rasa kehambaan, kembali menjadi seperti biasa yang rata-ratanya meletakkan urusan dunia menjadi fokus utama dan akhirat dilupakan.

Bersegera dalam Beramal
Kehidupan dunia yang sememangnya penuh dengan nikmat membuatkan manusia alpa dengan tujuan hidupnya di dunia iaitu untuk beribadah (taat) kepada Allah S.W.T. Tidak kurang juga nuansa kehidupan yang jauh daripada roh Islam membuatkan manusia sibuk dengan urusan dunia masing-masing sehingga lupa untuk beramal sebanyak mungkin demi mengejar tempat tertinggi di syurga kelak. Walaupun kerap menghadiri majlis ilmu untuk menambah bekalan ilmu di dada namun roh Islam tidak akan kekal jika ilmu yang diperolehi itu tidak dihayati untuk diamalkan.

Jadi, untuk memastikan rasa penyesalan terhadap dosa-dosa lalu dan perasaan rindu pada syurga terus semarak dalam jiwa, seseorang itu haruslah bersegera kepada melaksanakan syariat Allah S.W.T seperti yang telah dipelajari dan difahami dari beberapa firman Allah S.W.T,

Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orangorang yang bertaqwa [TMQ Ali‘Imran (3): 133].

“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin bila mereka dipanggil kepada Allah dan RasulNya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, ialah ucapan: “Kami mendengar dan kami patuh.” Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepadaNya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan”  [TMQ an-Nuur (4): 51-52].

Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak (pula) perempuan mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan RasulNya maka sungguh dia telah sesat, sesat yang nyata  [TMQ al-Ahzab (33): 36].

Rasulullah S.A.W pula bersabda,

Bersegeralah beramal sebelum datang berbagai fitnah laksana potongan-potongan dari hari yang gelap. (Saat itu) di waktu pagi seorang manusia beriman tapi di petang harinya ia menjadi kafir. Di petang hari seorang manusia beriman tapi di pagi harinya ia kafir. Ia menjual agamanya dengan harta dunia  [HR Muslim dari Abi Hurairah].

Mencontohi Rasulullah S.A.W dan Generasi Sahabat
Sesungguhnya orang-orang yang bersegera menuju ampunan Allah S.W.T dan SyurgaNya dijanjikan nikmat di dunia dan di akhirat berupa kemenangan dan syurga. Sebaliknya, orang-orang yang lalai dari bersegera melaksanakannya akan terjerumus dalam kesesatan. Terdapat banyak kisah Rasulullah S.A.W bersama para Sahabat yang dimuliakan, yang boleh dijadikan contoh kerana sentiasa bergegas melaksanakan perintah Allah S.W.T dan mengorbankan diri mereka, semata-mata untuk mencari redha Allah S.W.T.

Dalam hadis yang ditakhrij oleh Bukhari dan Muslim dari Jabir, diungkapkan bahawa:

“Ada seorang lelaki mendatangi Rasulullah S.A.W ketika peperangan Uhud: Bagaimana pandanganmu Ya Rasulallah S.A.W jika aku terbunuh saat ini, di manakah tempatku (setelah kematian)? Rasulullah S.A.W bersabda: Engkau akan berada di syurga. Mendengar sabda Rasulullah S.A.W tersebut, maka lelaki itu serta-merta melemparkan buah kurma yang ada di tangannya, kemudian ia maju untuk berperang hingga terbunuh di medan perang”.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik yang ditakhrij oleh Imam Muslim disebutkan,

Kemudian nabi S.A.W berangkat bersama para sahabatnya hingga mendahului kaum musyrikin sampai ke telaga Badar. Dan setelah itu kaum musyrikin pun datang. Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda: Berdirilah kalian menuju syurga yang luasnya seluas langit dan bumi.  Anas bin Malik berkata: Maka berkatalah Umair bin al Hamam al Anshary:  Wahai Rasulullah! Benarkah yang kau maksudkan itu syurga yang luasnya seluas langit dan bumi? Rasulullah S.A.W menjawab: Benar. Umair berkata:  Bakh- bakh (ehm-ehm..). Rasulullah S.A.W bertanya kepada Umair: Wahai Umair, apa yang mendorongmu untuk berkata bakh- bakh (ehm-ehm)? Umair berkata tidak ada apa-apa Ya Rasulullah, kecuali aku ingin menjadi penghuninya. Rasulullah S.A.W bersabda: Sesunguhnya engkau termasuk penghuninya, Wahai Umair! Anas bin Malik berkata: Kemudian Umair bin Al Hamam mengeluarkan beberapa kurma dari wadahnya dan ia pun memakannya. Kemudian berkata: Jika aku hidup hingga aku memakan kurma-kurma ini sesungguhnya itu adalah kehidupan yang lama sekali. Anas berkata: Maka Umair pun melemparkan kurma yang dibawanya, kemudian maju untuk memerangi kaum musyrikin hingga terbunuh”.

Imam Bukhari meriwayatkan dari Anas bin Malik, ia berkata:

Suatu hari aku memberi minum Abu Thalhah al Anshary, Abu Ubaidah bin al Jarrah, dan Ubay bin Ka’ab dari Fadhij, iaitu perahan kurma. Kemudian ada seseorang yang datang, ia berkata: Sesunggunya Khamr telah diharamkan. Maka Abu Thalhah berkata: Wahai Anas berdirilah dan pecahkanlah kendi itu!Anas berkata: Maka akupun berdiri mengambil tempat penumbuk biji-bijian (Al Mihras) milik kami, maka kami memukul kendi itu dengan bahagian bawahnya (Al Mihras), hingga pecahlah kendi itu.

Imam Bukhari meriwayatkan dari ‘Aisyah r.a. berkata:

Semoga Allah merahmati kaum wanita yang hijrah pertama kali, ketika Allah menurunkan firmanNya: Dan hendaklah mereka mengenakan kain tudung mereka dihulurkan ke kerah baju mereka [TMQ an-Nuur (24): 31]. Maka kaum wanita itu mengoyak kain sarung mereka (untuk dijadikan tudung) dan menutup kepala mereka dengannya”.

Abu Daud telah mentakhrij hadis dari Shofiyyah binti Syaibah dari ‘Aisyah r.a.:

“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W menuturkan kaum wanita Anshar, kemudian Baginda memuji mereka, dan berkata tentang mereka dengan baik. Beliau S.A.W berkata: Ketika diturunkan surat an-Nuur ayat 31 (tentang kewajipan memakai penutup kepala/tudung), maka mereka mengambil kain sarung mereka kemudian mereka koyak dan menjadikanya sebagai kain penutup kepala”.

Yang terakhir adalah kisah Handzalah bin Abi Amir ra. yang wafat dan dimandikan oleh malaikat setelah beliau menyahut seruan untuk jihad di medan Uhud. Apabila beliau mendengar seruan berperang, beliau pun bergegas pergi dan mati syahid dalam perang tersebut. Ibnu Ishak berkata, Rasulullah S.A.W bersabda,

Sesunguhnya sahabat (Handzalah) dimandikan oleh malaikat maka tanyakanlah bagaimana khabar keluarganya? Maka aku pun (Ibnu Ishak) bertanya kepada isterinya. Handzhalah pada malam itu adalah pengantin baru. Isterinya berkata: Ketika mendengar panggilan untuk berperang, suamiku keluar padahal dalam keadaan junub. Rasulullah S.A.W bersabda: Begitulah ia telah dimandikan oleh malaikat(Ibnu Hisyam, As-Sîrah an-Nabawiyah li Ibni Hisyâm).

Khatimah
Semoga keperibadiaan mereka ini mengkristal dalam diri kita sebagai seorang muslim iaitu hamba kepada Allah S.W.T dan dapat mencetuskan mafhum kepada kita semua bahawa tiada satu alasan pun untuk tidak bersegera melaksanakan syariat melainkan menyegerakan atas dorongan mencari redha Allah S.W.T dan syurgaNya. Sesungguhnya kita hidup di dunia ini hanya sekali, maka bersegeralah beramal sebelum ajal datang menjemput…

Wallahu a’lam.

Sumber Rujukan:
•    Pilar-pilar Pengukuh Nafsiyah Islamiyah , Hizbut Tahrir , 2004
•    Ariel B. Iskandar , Hikmah-hikmah Bertutur , 2010.
•    Za’faran , Menggenggam Bara Islam , 2010.
 



SERIKANDI TELADAN:  FATIMAH AZ-ZAHRA’ BINTI MUHAMMAD: PEMIMPIN WANITA PENGHUNI SYURGA

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda,

“…Tidakkah engkau redha (wahai Fatimah) bahawa engkau adalah saidatinnisa fil-Jannah (pemimpin wanita di syurga) atau pemimpin wanita seluruh alam…”  [HR Bukhari].

Insan mulia yang dinyatakan dalam hadis di atas adalah Fatimah binti Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muththalib bin Hasyim bin Abdi Manaf Al-Qursyiyah Al-Hasyimiyah. Beliau merupakan puteri bongsu kepada pemimpin manusia serta kekasih Allah S.W.T iaitu Rasulullah S.A.W. Ibunya merupakan pendamping setia ayahnya dan menjadi orang yang pertama masuk Islam, iaitu Khadijah binti Khuwalid r.a. Datuk saudaranya, Hamzah bin Abdul Muththalib r.a adalah pemimpin para syuhada’ serta singa Ar-Rahman.  Datuk saudaranya yang lain adalah pemimpin Bani Hasyim yang sentiasa melindungi tetangga, mengorbankan harta, memberi pakaian dan makanan kepada orang-orang yang tidak mampu iaitu ‘Abbas bin Abdul Muththalib r.a. Suaminya sendiri merupakan Amirul Mukminin yang ke-empat dalam era Khulafa’ Ar-Rasyidin iaitu Ali bin Abi Thalib r.a dan dua orang antara anakanaknya diberi kedudukan yang mulia sebagai pemimpin para pemuda penghuni syurga iaitu Al-Hasan r.a dan Al-Husain r.a.

Barisan Terdepan
Subhanallah, sesungguhnya kita dapat melihat kedudukan Saidatina Fatimah ini sentiasa berada dalam ruang lingkup kepimpinan dan kemuliaan sehingga wajarlah beliau mendapat didikan yang sempurna sekaligus menjadi bahagian daripada Nubuwah yang suci ini. Allah S.W.T telah berkehendak supaya beliau dapat melihat urusan risalah ayahnya semenjak beliau berusia kanak-kanak lagi agar beliau dapat berjuang bersama menyebarkan dakwah Islam kepada seluruh manusia. Keislaman keluarga Nabi Muhammad S.A.W, isteri-isteri dan puteri-puteri baginda merupakan keislaman fitrah yang suci, yang disusuli dengan keimanan dan kemuliaan akhlak mereka. Az-Zurqany telah menjelaskan tentang keislaman puteri-puteri Nabi Muhammad S.A.W dengan berkata,

Tidak perlu ada nas yang menjelaskan keislaman mereka dalam kelompok yang terdepan kerana mereka membesar dalam asuhan kemuliaan dan kasih sayang kedua orang tua, mereka mewarisi daripada ayah mereka kemuliaan yang paling mulia, mewarisi ketajaman akal daripada ibu mereka yang tidak dapat disaingi akal wanita mana pun sehingga mereka termasuk kelompok orang-orang yang lebih dahulu masuk Islam dan bukan dalam kelompok orang-orang yang terbelakang”.

Pemimpin wanita semesta alam ini bukan sahaja menjadi antara insan yang terawal memeluk agama Islam, malah beliau sentiasa menyaksikan penghinaan demi penghinaan yang dilakukan oleh kaum Quraisy terhadap ayahnya kerana beliau sentiasa berada di samping baginda ketika detik-detik yang menyulitkan ini.

Antara kisah penderitaan tersebut adalah apabila salah seorang daripada kaum Quraisy iaitu Uqbah bin Abu Mu’aith telah melemparkan kotoran (isi perut binatang) ke belakang Rasulullah S.A.W ketika baginda sedang sujud. Orang-orang Quraisy yang hina ini menyaksikan kejadian itu dengan rasa puas dan ejekan yang sangat menyakitkan hati sehingga ada sebahagian daripada mereka yang ketawa terbahak-bahak. Rasulullah S.A.W tetap dalam keadaannya yang bersujud sehinggalah Saidatina Fatimah datang dan menyingkirkan serta menyucikan kotoran itu daripada belakang ayahnya. Lalu, dengan beraninya beliau mendatangi orang-orang Quraisy tersebut lantas mencela dan mencaci perbuatannya yang tidak beradab itu.

Sejak kewafatan ibunya yang tercinta, Saidatina Khadijah r.a pula, menyebabkan Saidatina Fatimah menjadi semakin rapat dengan ayahnya. Beliau selalu menyertai ayahnya dalam memikul tugas dan beban kehidupan dakwah sehingga Allah S.W.T mengizinkannya bersama-sama berhijrah ke Madinah al-Munawwarah.

Sabar Menempuh Ujian
Kesabaran dan ketaqwaan Fatimah jelas terpancar ketika beliau menempuh alam perkahwinan. Pada tahun kedua Hijrah, setelah Perang Badar Kubro, Saidina Ali bin Abi Thalib telah menikahi Saidatina Fatimah. Perkahwinan mereka hanya bermaharkan baju besi Saidina Ali r.a. Walaupun Saidina Ali r.a bukanlah seorang pemuda berharta yang dapat menjanjikan kemewahan dunia kepada Fatimah, perkahwinan yang diberkahi ini disambut dengan penuh kesyukuran dan gembira oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat.

Hadis sahih daripada Ibnu Abbas mengisahkan bahawa tatkala Ali akan mengahwini Fatimah, beliau tidak mempunyai barang untuk dijadikan mahar. Lalu Rasulullah S.A.W menyuruhnya menjadikan nilai baju besi Huthaimahnya iaitu empat dirham sebagai mahar. Hadis tentang ini direkodkan dalam Abu Dawud (nombor 2118), An-Nasai (nombor 3375, 3376), Ibnu Hibban dalam Sahihnya (Nombor 6945), dan Ad-Dhiya’ dalam Al-Mukhtarah (2/231).

Sejarah tidak mengenal seorang wanita yang mampu menghimpun kesabaran dan ketaqwaan sebagaimana yang ada pada Saidatina Fatimah.  Bermula hari pertama pernikahannya dengan Saidina Ali, beliau harus mengerjakan semua tugas rumahtangga yang cukup berat. Beliau harus menggiling bahan makanan untuk membuat adunan roti sehingga rambutnya terkena percikan percikan tepung serta menimbulkan bekas di tangannya.  Sementara ketika itu, Ali tidak mampu untuk mengupah pembantu bagi isterinya dalam menyelesaikan kerja-kerja rumahtangga. Ali juga pernah berpesan kepada ibunya, Fatimah binti Asad agar tidak membebani isterinya lagi dengan pekerjaan di luar rumah.

Pada suatu hari, mereka terdetik untuk meminta bantuan daripada Rasulullah S.A.W agar diberi seorang pembantu daripada para tawanan perang untuk meringankan kerja-kerja Fatimah. Dengan rasa rendah diri, bimbang, ragu-ragu dan malu, kedua-duanya bertemu Rasulullah dan menyatakan hasrat hati mereka. Namun demikian, permintaan mereka di tolak oleh Rasulullah S.A.W kerana baginda ingin mendahulukan umatnya yang masih belum cukup keperluan asas. Berita itu diterima dengan redha oleh pasangan yang mulia ini.

Setelah itu, Rasulullah S.A.W berkunjung ke rumah mereka disaat keduanya sedang beristirehat.
Rasulullah S.A.W berkata kepada keduanya,

Bagaimana jika kuberitahukan kepada kalian berdua tentang sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kalian minta kepadaku?”. “Baiklah” Jawab keduanya. Lalu Rasulullah bersabda, “Ada beberapa kalimat yang diajarkan Jibril kepadaku, hendaklah kalian bertasbih kepada Allah di hujung solat sebanyak sepuluh kali, bertahmid sepuluh kali, bertakbir sepuluh kali. Jika kalian beranjak ke tempat tidur, hendaklah kalian bertasbih tiga puluh tiga kali, bertahmid tiga puluh tiga kali dan bertakbir tiga puluh tiga kali[Ditakhrij Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi dan Abu Daud].

Kalimah-kalimah ini merupakan bekal Rabbani yang sentiasa mereka ucapkan sehingga ke akhir hayat mereka. Kalimah-kalimah yang berkah ini juga membuatkan mereka berasa lega dan puas dengan rezeki yang dikurniakan walaupun bukan dalam keadaan yang bermewah-mewahan.

Khatimah
Sirah sahabiyah ini memberi gambaran kepada kita semua bahawasanya Allah S.W.T memberi ujian kepada setiap hambaNya tanpa mengira darjat kemuliaannya serta pangkat kedudukannya. Hal ini kerana dengan ujian yang dilimpahkan inilah dapat menilai tahap keimanan seseorang samada kita membenarkan segala apa yang datang daripada Allah S.W.T atau mendustakannya. Benarlah firman Allah S.W.T dalam Surah al-‘Ankabut ayat 2-3 yang bermaksud,

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman” dan mereka tidak diuji? Dan sungguh Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang berdusta”.

Ujian-ujian sepanjang kehidupan ini juga pasti dibalas dengan sebaik-baik ganjaran daripada Allah S.W.T seperti yang dinikmati Saidatina Fatimah iaitu diiktiraf sebagai pemimpin wanita di dunia dan akhirat.

Wallahu a’lam.

Rujukan:
•    Wanita yang Dijamin Surga. Ahmad Khalil Jam’ah. Penerbit Buku Islam Kaffah. 267-305
•    Al-Quran dan terjemahan.
 



FIKIH:  HUKUM PERTUKARAN PERANAN SUAMI-ISTERI

SOALAN:
Apakah hukum seorang suami menyerahkan tugas me- nafkahkan keluarga kepada isteri dan isteri pula menyerahkan tugas mengasuh anak dan menguruskan rumahtangga kepada suami?

JAWAPAN:

Untuk memperoleh jawapan bagi persoalan di atas, perlulah kita fahami pandangan Islam dalam peranan suami dan isteri dan penyelesaian Islam bagi masalah yang berbangkit. Perbincangan ini boleh membantu kita memperoleh jawapan bagi persoalan di atas.

Peranan Suami dan Isteri
Sesungguhnya Islam menetapkan bahawa setiap individu wajib menjalankan tugas masing-masing sesuai dengan kedudukannya, termasuklah dalam urusan rumahtangga. Ini dinyatakan dalam satu hadis,

“Daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Setiap daripada kamu adalah pemelihara dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipeliharanya. Seorang pemimpin adalah pemelihara dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemelihara keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang wanita adalah pemelihara dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap apa yang menjadi tanggungjawabnya. Seorang khadam adalah pemelihara harta tuannya dan ia bertanggungjawab terhadap pemeliharaannya.”   [HR Al-Bukhari dan Muslim].

Untuk mencapai tujuan utama dalam kehidupan berumahtangga, Islam datang dengan seperangkat aturan yang mengatur hak dan kewajipan masing-masing suami dan isteri sebagaimana firman Allah Ta’ala bermaksud:

“Isteri-isteri itu mempunyai hak (daripada suami mereka) sebagaimana pada diri mereka terdapat kewajipan (terhadap suaminya) dengan ma’ruf”  [TMQ al-Baqarah (2): 228].

Kewajipan suami ialah memberi nafkah kepada isterinya, baik makanan, minuman, pakaian mahupun tempat tinggal secara ma’ruf iaitu menurut kebiasaan masyarakat sekitarnya selari dengan kadar kemampuannya. berdasarkan pada sabda Rasulullah S.A.W,

Engkau harus memberinya makan jika engkau makan dan memberinya pakaian jika engkau berpakaian, janganlah engkau memukul wajahnya, janganlah engkau menghinanya, jangan pula asingkannya (ketika nusyuz) kecuali di dalam rumah”  [HR Ahmad, Abu Dawud, ibn Hibban].

Kewajipan seorang isteri pula mengurus rumah tangga suaminya dan anak-anak. Ringkasnya semua aktiviti yang harus dilakukan di dalam rumah menjadi kewajipan si isteri untuk mengerjakannya. Dalilnya ialah Rasulullah S.A.W menyuruh isterinya melakukan kerja rumah antaranya,

Wahai Aisyah, bawakan kami makanan” [HR Abu Daud] dan “Wahai Aisyah, ambilkan untukku
pisau dan asahkannya pada batu
  [HR Muslim].

Haruslah difahami bahawa pembahagian peranan ini bukanlah ijarah. Isteri melakukan kerja rumah bukan untuk mendapatkan nafkah suami, dan kadar nafkah suami juga tidak pelu disepadankan dengan kadar kerja rumah yang dilakukan isteri. Sebaliknya ini adalah pembahagian tugas yang ditetapkan sebagai kewajipan masing-masing untuk melakukannya dengan ma’ruf.

Jika tidak mampu memenuhi semua kewajipan.
Ada lelaki yang menyara keluarganya kemudian ditimpa sesuatu yang menyebabkan kemampuannya menafkahkan diri apa lagi keluarga terhalang secara kekal (contohnya penyakit yang menghalangnya mencari nafkah) atau sementara (contohnya perniagaan rugi atau dihentikan kerja). Bagi orang ini, kewajipan untuk memberi nafkah kepada diri dan keluarganya beralih (secara kekal atau sementara) kepada ahli keluarga terdekatnya yang lelaki, berdasarkan ayat,

Kewajipan ayah memberikan makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma’ruf. Seseorang tidak di bebani, selain menurut kadar kemampuannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan pewaris pun berkewajipan demikian”   [TMQ al-Baqarah (2): 233].

Jika orang ini tiada atau tidak mampu juga menjamin nafkahnya, maka kewajipan itu beralih kepada negara, dalam hal ini Khalifahlah yang menjamin keperluan asas umatnya agar mencukupi berdasarkan. Rasulullah S.A.W bersabda,

Siapa sahaja yang meninggalkan orang yang sebatang kara, maka ia menjadi kewajipan kami[HR Muslim].

(Nota: Pembaca disarankan membaca ruangan Fiqh Wanita dalam Fikratul Ummah Edisi Januari 2013 yang menghuraikan isu nafkah ini secara lebih menyeluruh dan mendalam.)

Ringkasnya, tugas menafkahi keluarga tetap tidak akan jatuh ke bahu isteri jika suami tidak mampu, apa lagi jika suami mampu. Ini kerana, hukum bekerja mencari pendapatan bagi seorang wanita tetap juga mubah manakala ia tetap wajib.bagi seorang lelaki mukallaf yang mempunyai tanggungan.

Dalam konteks kewajipan seorang isteri pula, isteri yang tidak mampu menyempurnakan tugasan rumahnya bolehlah diberikan pembantu oleh suaminya jika mampu, jika tidak, hendaklah mereka berlapang dada dan saling bekerjasama seperti Saidatina Fatimah r.a. yang dibantu oleh suaminya Saidina Ali r.a. melakukan pekerjaan di luar rumah berdasarkan hadis,

Rasulullah S.A.W telah memutuskan atas puteri beliau, Fatimah, mengerjakan pekerjaan-pekerjaan di dalam rumah, dan atas Ali mengerjakan pekerjaan-pekerjaan di luar rumah [HR Al-Juzjani].

Ibnul Qaiyim rh dalam kitabnya Az-Zad menyebut bahawa rentetan daripada permintaan Saidatina Fatimah r.a. terhadap seorang khadam yang tidak ditunaikan Rasulullah S.A.W, maka baginda membahagikan tugas iaitu Fatimah melakukan tugas batin (di dalam rumah) manakala suaminya ‘Ali menjalankan tugas zahir (di luar rumah). Meskipun demikian tugasan rumahtangga tetap tidak sampai menjadi kewajipan suami, melainkan penunjukan akhlak mulia suami membantu isteri. Begitu juga redhanya Rasulullah S.A.W terhadap Asma’ binti Abu Bakar r.a. yang menjaga dan memberi makan kuda milik Zubair suaminya di luar rumah menunjukkan bolehnya seorang isteri membantu suaminya di luar rumah jika ia mampu dan diizinkan suaminya.

Haruslah difahami bahawa Islam menggalakkan suami isteri saling berlapang dada dengan kekurangan pasangannya dalam memenuhi kewajipan rumahtangga. Isteri janganlah memaksa suami bekerja di luar kemampuannya agar dapat memberikannya nafkah melebihi daripada yang ma’ruf, manakala suami juga janganlah memaksa isterinya melakukan kerja rumah melebihi daripada kemampuannya. Dengan sikap ini, masing-masing suami dan isteri tidak akan terpaksa untuk melakukan tugasan di luar batas peranannya.

Suami di Rumah dan Isteri di Luar, apa hukumnya?
Topik di atas telah pun menjelaskan galakan suami dan isteri saling bantumembantu dalam melaksanakan tugas satu sama lain tanpa menjadikan tugas yang lain sebagai satu kewajipan kepadanya. Isteri boleh bekerja di luar rumah dengan izin suaminya sebagaimana sebahagian wanita zaman Rasulullah S.A.W yang memperoleh pendapatan daripada penghasilan barangan dan perniagaan. Suami juga boleh melakukan kerja rumahtangga di dalam rumah. Diriwayatkan oleh Al-Aswad bin Yazid,

Saya bertanya Aisyah “Apakah yang dilakukan Nabi di rumah?” Aisyah menjawab, “Beliau membuat kerja untuk keluarganya, dan apabila mendengar azan, beliau pun keluar.[HR Al-Bukhari no 272].

Meskipun demikian, peranan utama suami sebagai penyara keluarga dan isteri sebagai ibu dan pengurus rumahtangga tetap kekal, berdasarkan dalil-dalil terdahulu yang telah menetapkan peranan suami dan isteri. Apabila suami melakukan sebahagian kerja rumah, tidak bermakna isteri boleh berlepas tangan daripada urusan rumah. Demikian juga apabila isteri memperoleh pendapatan, yang diwajibkan menyara keluarga tetap si suami walau bagaimana besar pun pendapatan si isteri berbanding si suami. Dengan kata lain, Islam tidak membenarkan berlakunya pertukaran peranan antara suami dengan isteri.

Jika ketetapan Allah dilanggar
Ketetapan peranan ini adalah tanggungjawab secara syar’ie. Apabila Allah dan RasulNya telah meletakkan sesuatu tanggungjawab ke atas orang yang diamanahkan, maka seandainya amanah itu ditinggalkan atau diabaikan maka mereka akan menghadap Allah dengan tanpa hujah. Sabda Rasulullah S.A.W,

Tidak beriman orang yang tidak memegang amanat dan tidak ada agama bagi orang yang tidak menepati janji”  [HR. Adailami].

Besarnya tugas suami dan isteri dalam Islam hinggakan isteri berhak menuntut penceraian daripada suami yang sengaja tidak menafkahkannya manakala isteri yang sengaja lepas tangan daripada tugasnya sebagai isteri, ibu dan pengatur rumahtangga dikategorikan nusyuz dan boleh diajar oleh suaminya melalui nasihat, pengasingan dan pukulan.  Bayangkan apabila kedua-dua suami isteri mensiasiakan tugas masing-masing dengan bertukar peranan, bagaimanakah kedudukan mereka di sisi Allah?  Renungkanlah sabda Rasulullah S.A.W,

Cukup berdosa orang yang mensiasiakan tanggungjawab keluarganya”  [HR. Abu Dawud].

Khatimah
Perutukaran peranan suami dan isteri tidak boleh diredhai dan dibiarkan baik oleh si suami, isteri, mahupun orang lain yang mengetahuinya. Ia hendaklah dicegah dan diambil tindakan. Jika tindakan mengatasinya mengalami kebuntuan disebabkan keadaan sistem hidup kini yang tidak mewajibkan peranan pemberi nafkah kepada suami dan peranan ibu dan pengurus rumah kepada isteri, maka jelaslah bahawa sistem hidup kapitalisme yang berasaskan sekularisme inilah yang wajib diubah kepada sistem Islami yang membolehkan syariat Islam terlaksana dengan benar, berdasarkan kaedah syarak ‘Apa sahaja yang menghantarkan kepada wajib, ia juga wajib’.

Wallahu a’lam.

Rujukan
•    Al-Quran dan terjemahannya • 1100 Hadits Terpilih. Dr. Muhammad Faiz Almath. ms 247
•    Sistem Pergaulan dalam Islam (Edisi Mu’tamadah). Taqiyuddin anNabhani. ms 254
•    Fiqih Madzhab Syafi’i (edisi lengkap) Buku Dua.
•    Fikih Rumah Tangga. Syamsuddin Ramadhan. ms 81-82
• Fikratul Ummah Januari 2013. https://mykhilafah.com/fikratulummah/3850-fikratul-ummah-jan2013#NAFKAH_IBU_BAPA:_DILEMA_WANITA