Fikratul Ummah – Mei 2013

FU-Cover-April2013
                         

MUQADDIMATUL KALAM

 
Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh….
 
Menemui para pembaca FU yang dimuliakan, semoga berada dalam lindungan rahmatNya. Syukur kepadaNya yang masih memberikan kita peluang untuk membuat kebaikan di dunia sehingga hari ini.
 
Para pembaca yang dihormati,

Bulan Rejab 1434H akan menemui kita pada pertengahan bulan Mei ini. Dalam masyarakat kita, bulan Rejab sinonim dengan puasa sunat dan sambutan Isra’ dan Mi’raj. Namun, tahukah kita bahawa dalam bulan ini juga telah berlaku satu peristiwa pahit bagi umat manusia, khususnya yang hidup pada akhir zaman ini? Tepatnya pada malam 28 Rejab 1342 Hijrah iaitu hampir seabad lalu, berlakulah pemecatan Khalifah terakhir umat Islam, Khalifah Abdul Majid II. Peristiwa ini menandakan berakhirnya kewujudan institusi Khilafah, iaitu satu-satunya negara Islam yang menjadi perisai bagi umat Islam di seluruh dunia. Maka FU bulan ini menyiarkan artikel khas Rejab sebagai kesinambungan daripada FU keluaran Mac yang lalu. Setelah kita mengetahui kepentingan adanya Khilafah dan dalil-dalil kewajipan menegakkannya, kali ini mari kita sama-sama memahami ruang lingkup aktiviti menegakkannya.
 
Bukan itu sahaja, FU bulan ini juga menghidangkan kepada pembaca sekalian isu-isu pendidikan bersempena sambutan hari guru.  Renunglah firman Allah S.W.T,
 
Dan Dia telah mengajarkan kepada (Nabi) Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar [TMQ al-Baqarah (2): 31].
 
Ayat ini memberitahu kita bahawa manusia diberikan tanggungjawab mentadbir bumi, hanya kerana kelebihannya yang dapat mempergunakan akalnya untuk menerima maklumat, menyimpan dan memprosesnya untuk menjadi ilmu yang bermanfaat. Semoga dengan ini kita insaf akan tanggungjawab kita memanfaatkan akal dan mempergunakannya untuk melaksanakan perintah Allah di muka bumi ini dengan sebaik-baiknya.

Semoga perkongsian kami kali ini bukan sahaja memberi masukan berguna kepada pembaca sekalian, malahan juga membangunkan pemikiran kita dan terus diterjemahkan kepada tindakan. Dan hanya Allah sahajalah Pemberi taufiq dan hidayah.  Amin.
 
Wassalamu `alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

[FU/Bil.55/Mei 2013]

 


 
DOA DIPERMUDAHKAN SEGALA URUSAN
 
 
Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)”  [TMQ al-Kahfi (18): 10].
 

 


ARTIIKEL KHAS:
DAULAH KHILAFAH DAN AKTIVITI MENEGAKKANNYA


Muqaddimah

Pengutusan Muhammad S.A.W sebagai Rasulullah lebih 1400 tahun yang lalu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menzahirkan Islam sebagai agama yang bersifat praktikal serta tiada tandingannya.  Baginda membuktikan bagaimana kehebatan Islam melalui gandingan kekuatan pemikiran (fikrah) dan metode (thariqah)  sehingga berjaya mendirikan Daulah Islamiyah.  Selepas kewafatan Rasulullah S.A.W, Abu Bakar r.a kemudian dilantik dan dibai’ah untuk memimpin Daulah Khilafah sekaligus menjadi Khalifah yang pertama dalam sejarah pemerintahan Khilafah.  Kenapa Daulah Khilafah dan bukan yang lain?  Ini kerana, menerapkan Islam secara menyeluruh merupakan suatu  kewajipan dan kewajipan ini tidak akan dapat dijalankan sepenuhnya tanpa kekuasaan dan Khilafah Islamiyyah merupakan satu-satunya bentuk kekuasaan yang sah di sisi syarak.
 
Kewujudan Daulah Khilafah telah menjadi perisai umat selama lebih 13 abad, ia menjaga kesatuan umat dan menerapkan hukum Allah yang menjadi rahmat bagi sekalian alam. Sayangnya, tanggal 28 Rejab 1342H, segalanya lenyap.  Kehidupan umat Islam menjadi tidak keruan. Umat hidup dalam kesempitan, kehinaan dan penuh penderitaan. Sungguh benar firman Allah S.W.T,
 
Dan barangsiapa berpaling daripada peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit”  [TMQ Thaha (20): 124].
 
“..barangsiapa yang menjadikan  syaitan sebagai pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata”  [TMQ an-Nisa’ (4): 119].
 
Sehubungan dengan itu, keadaan hina dan derita ini sudah tentu perlu diakhiri dengan segera. Realiti dunia akhir-akhir ini banyak menunjukkan petanda bahawa sistem kapitalisme banyak menimbulkan bencana kemanusiaan yang amat dahsyat. Kuasa besar dunia, Amerika Syarikat sedang menghadapi keadaan ‘nazak’nya dalam segala aspek, kebangkitan rakyat di dunia Arab, masalah kemiskinan dan penindasan terhadap Muslim minoriti yang tidak berkesudahan dan sebagainya. Keadaan ini membuatkan umat Islam semakin sedar.  Arus deras perubahan sedang melanda dan sudah tidak terbendung lagi. Kaum Muslimin tidak lagi diam dalam isu-isu yang menyentuh saudara-saudaranya.  Perasaan seperti satu tubuh yang satu sudah menjalar ke dalam umat.  Isu Gaza, Rohingya, Selatan Thailand, Mesir, Syria sudah dirasakan sebagai isu bersama.  Maka, penulisan artikel ini adalah bagi memberi penjelasan kepada semua pembaca agar memilih thariqah (jalan) yang benar untuk bangkit dan berubah, iaitu dengan mendirikan Daulah Khilafah.
 
Mendirikan Daulah Khilafah adalah sebuah aktiviti yang wajib dilaksanakan berdasarkan dalil syarak.  Apabila ditelusuri dengan cermat, maka akan ditemukan di dalam kitab-kitab sirah nabawiyyah bentuk-bentuk aktiviti Rasulullah S.A.W dalam rangka mendirikan pemerintahan Islam untuk pertama kalinya.  Allah S.W.T berfirman,
 
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat”  [TMQ al-Ahzaab (33): 21].
 
Mendakwahkan Islam
Umat Islam di seluruh dunia memiliki satu persamaan yang unik iaitu aqidah Islamiyah yang memancarkan pelbagai sistem kehidupan yang sempurna. Persamaan aqidah ini menuntut agar umat Islam bersatu, termasuklah kesatuan di bawah satu negara dan di bawah seorang pemerintah iaitu Khalifah. Berbekalkan semangat kesatuan itu, maka apabila munculnya aktiviti apa pun di suatu negeri akan memberi pengaruh kepada negeri yang lain. Untuk itu, agar terwujudnya kesatuan yang benar seperti mana yang diperintahkan oleh Islam, masyarakat perlu sentiasa  dibekalkan `haba panas’ mabda’   (ideologi) Islam sehingga menghasilkan kesedaran Islami yang mampu mendorong masyarakat untuk bergerak dan bertindak. Tidak ada thariqah lain yang wajib diikuti dalam melakukan hal ini kecuali dengan mengikuti thariqah dakwah Rasulullah S.A.W. Thariqah hendaklah diikuti dengan benar dan tidak boleh diubah, namun uslub (teknik) boleh dipelbagaikan selama mana tidak bertentangan dengan syarak.
 
Di antara teknik (uslub) yang boleh digunakan dalam berdakwah adalah melalui penerbitan (buku-buku, artikel-artikel, pamplet-pamplet), memanfaatkan seluruh prasarana dakwah dan tak kurang penting adalah membentuk pelbagai jaringan hubungan. Justeru timbul persoalan, apakah yang perlu didakwahkan kepada umat dalam merealisasikan usaha penegakan Khilafah ini? Berikut adalah senarai panduannya:
   
i) Menjelaskan kepalsuan pemikiran-pemikiran yang tidak Islami termasuk bahaya-bahaya yang akan ditimbulkannya.
ii) Menonjolkan aspek politik melalui penyampaian tsaqafah Islam.
iii) Membongkar aktiviti dan perancangan licik penjajah kepada para penguasa, para pegawai serta masyarakat umum sehingga jelas keburukan mereka.
iv) Membina para pemuda-pemudi di luar sekolah dan institusi pengajian tinggi dengan pembinaan umum dan khusus bagi membentuk keperibadian Muslim sejati.
v) Menjelaskan bahawa ilmu sosial, pendidikan dan teori-teori psikologi boleh membentuk tsaqafah yang mengelirukan dalam menyelesaikan masalah kehidupan.
vi) Menjelaskan struktur negara dan masyarakat, kaedah kehidupan, pembentukan pola fikir (aqliyah) dan pola sikap (nafsiyah) yang layak dijadikan penentu hukum oleh seseorang Muslim.
vii) Menggambarkan kepada mereka kehidupan indah yang bakal mereka jalani di bawah penerapan Islam yang kaffah (menyeluruh).
viii) Menjelaskan kerosakan sistem kapitalisme dan sosialisme yang menimbulkan pelbagai musibah dahsyat kepada manusia.
 
Sehubungan itu, aktiviti dakwah perlu dijalankan dengan strategi dan perencanaan yang rapi. Mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah, dakwah perlu dibatasi pada satu atau beberapa negeri yang menjadi titik fokus dakwah. Di situlah dakwah dilakukan dengan intensif sehingga masyarakat yang dibina mampu menghidupkan Islam dalam dirinya dan hidupnya hanya demi Islam. Selain itu tercipta juga suasana keimanan dengan kesedaran umum (wa’yul am) dan pendapat umum (ra’yul ‘am / public opinion) yang sentiasa berpihak pada Islam. Keadaan ini seterusnya mencetuskan terjadinya dialog-dialog yang membawa kepada tindakan dan gerakan untuk mencapai hasil di kemuncak tertinggi perjuangan iaitu berdirinya Daulah Khilafah.
 
Aktiviti dakwah secara fikriyyah yang dilakukan oleh baginda S.A.W bagi berjaya ‘membakar’ masyarakat Semenanjung Arab daripada keadaan beku dengan kejahilan kepada panas membara dengan Islam. Tidak pernah jemu baginda berdakwah kepada penduduk Mekah dan seluruh bangsa Arab setiap kali musim haji. Pergolakan antara pemikiran Islam dengan jahiliyah Quraisy amat jelas sehingga membangkitkan tanda tanya seluruh masyarakat Arab. Walaupun bermula di Mekah, akhirnya sayap dakwah sampai ke Madinah sehingga terbentuk Daulah Islam yang pertama di sana. Ketika itu, api dakwah dan kemenangan Islam berhasil mendidihkan bangsa Arab sehingga manusia berbondong-bondong memeluk Islam.
 
Menerapkan Islam
Ternyata setelah Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah, kaum Ansar yang memberikan nusrah (pertolongan) bersedia untuk mempertahankan baginda dengan kemampuan semaksimum mungkin dengan tampuk pemerintahan diserahkan kepada baginda. Dengan berdirinya Daulah Islam, dakwah telah beralih daripada tahap fikriyyah (pemikiran) menuju ke tahap benar-benar wujud dalam masyarakat secara praktikal. Bermula dari zaman Rasulullah S.A.W sehinggalah ke zaman keKhilafahan, Khalifah yang mendapat bai’at daripada umat segera menjalankan pemerintahan sesuai dengan aturan Allah sepenuhnya. Daulah Khilafah melaksanakan syari’at Islam ke atas seluruh warganegaranya, baik Muslim mahupun non-Muslim dan Islam terus tersebar dan menjadi rahmat bagi sekalian alam, sesuai dengan firman Allah S.W.T,
 
Dan tiadalah kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”  [TMQ al-Anbiya’ (21): 107].
 
Dengan jalan dakwah dan jihad, Islam membuka (futuhat) satu demi satu negara yang ada di dunia ketika itu dan menggabungkannya ke dalam satu pemerintahan sehingga Islam menguasai hampir dua per tiga dunia. Begitulah juga apa yang akan dilakukan oleh Khilafah yang bakal tegak nanti di mana Daulah Khilafah akan menyatukan wilayah-wilayah kaum Muslimin yang lain dan akan membuka wilayah-wilayah yang baru. Saat ini, jika dilihat pada anggota Organization of Islamic Cooperation (OIC), terdapat lebih 50 wilayah umat Islam yang wajib disatukan kerana Islam tidak membenarkan perpecahan ini. Kesemuanya wajib menjadi satu. Segala undang-undang peninggalan penjajah kuffar yang diterapkan oleh penguasa-penguasa kaum Muslimin yang merupakan boneka Barat selama ini wajib segera dibatalkan. Tidak cukup dengan itu, garis sempadan palsu rekaan penjajah yang menjadi pemisah antara negara-negara kaum Muslimin akan dihapuskan dan pintu Daulah Islam sentiasa terbuka bagi masyarakat dunia menyaksikan secara langsung penerapan dan keindahan pelaksanaan Islam.
 
Kejayaan ini tidaklah bermakna dakwah terus terhenti. Malah dakwah semakin gencar kerana tanggungjawabnya dipikul oleh Khilafah sendiri di bawah polisi luar negerinya. Adapun kaum Muslimin pula wajib berusaha keras untuk menjadikan mana-mana negeri mereka yang masih belum bergabung, bersatu di bawah Daulah Islam. Maka, dengan usaha dakwah daripada Khalifah dan juga umat, akan terwujudlah Daulah Khilafah yang besar yang akan menjadi kuasa dunia, sekali gus membuktikan kepimpinan ideologi Islam yang universal. Tiba masanya, Daulah Khilafah menjadi negara yang memiliki kewibawaan dan kedudukan yang memungkinkannya untuk mengembangkan Islam dan menjadi penyelamat dunia daripada kejahatan.
 
Bayangkan jika semua umat Islam bersatu, kita akan memiliki kekuatan yang luar biasa berbanding pihak musuh laknatullah. Dunia Islam memiliki lebih daripada 60% bekalan minyak dunia, 55% gas dunia, hampir 37% emas serta hampir 25% kekuatan tentera dunia dengan populasi kaum Muslimin yang kali berlipat ganda. Kaum Muslimin tinggal di tempat-tempat paling baik di atas muka bumi dari segi kekayaan alam, kedudukan geografi serta mempunyai mabda’ yang terbaik dan benar. Maka, tidak diragukan lagi tidak ada sedikit pun keraguan yang kaum Muslimin, tatkala bersatu di bawah Khilafah, akan membentuk negara yang jauh lebih kuat berbanding negara besar saat ini dalam segala aspeknya. Justeru, kelemahan umat Islam hari ini bukanlah kerana kekurangan sumber daya dan kekuatan, tetapi hanya kerana satu sebab iaitu tidak ada Daulah Khilafah yang menyatukan negeri-negeri kaum Muslimin, yang menerapkan hukum Allah di dalam negara dan melakukan dakwah dan jihad ke luar negara.
 
Khatimah
Misi menegakkan semula Khilafah adalah tugas satu misi yang mulia. Justeru, thariqah (jalan) yang mesti ditempuhi mestilah satu thariqah yang benar. Untuk ini, tidak ada satu thariqah pun yang benar kecuali yang telah ditunjuki oleh Rasulullah S.A.W. Ini bermakna thariqah selain itu adalah batil dan tertolak sama sekali. Misalnya, mendapatkan kekuasaan melalui demokrasi dengan memperbanyak suara majoriti di Parlimen. Selain merupakan thariqah yang batil, jalan ini boleh membawa kepada kesyirikan apabila manusia mengambil hak Allah sebagai pembuat hukum. Melalui demokrasi, manusialah (bukan Allah) yang menentukan apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh; apa yang halal dan apa yang haram; serta apa yang baik dan apa yang buruk. Hukum Allah dicampakkan dan hukum manusia menjadi pengganti. Inilah hakikat demokrasi berparlimen!
 
Selain thariqah demokrasi, mengambil thariqah mencegah kemungkaran dengan ‘tangan’ seperti mengangkat senjata, tindakan kekerasan dan sebagainya, juga bukan merupakan thariqah yang benar dalam usaha untuk menegakkan Khilafah. Malah, lebih berbahaya sekiranya memilih jalan menegakkan Negara Islam melalui perjuangan perkara-perkara cabang seperti ibadah atau akhlak atau pendidikan semata-mata. Ini kerana, ruang lingkup ajaran Islam yang syumul dan kaffah, dijadikan sempit dan terpisah daripada aktiviti politik dan kenegaraan.
 
Walau bagaimanapun, mendirikan Daulah Khilafah bukanlah usaha yang mudah dan ringan semudah yang tercatat di atas kertas. Tujuan yang sangat besar ini wajib ditempuh di lapangan dengan keberanian menanggung segala risiko di sepanjang perjuangan dan jalan yang dilalui ini. Setiap pengembang dakwah hendaklah mencurahkan segenap kemampuan di samping sentiasa bertawakkal dan berdoa kepada Allah tanpa mengharapkan ganjaran apa pun selain untuk redha Allah S.W.T dan syurgaNya. Hizbut Tahrir sebagai  sebuah parti politik Islam global, sedang melakukan usaha mulia untuk mendirikan Khilafah ini di seluruh dunia. Justeru, marilah bersama-sama kami, dalam usaha merealisasikan khabar gembira daripada Rasulullah S.A.W dan yakinlah kepada janji Allah,
 
“….kemudian akan kembali khilafah di atas manhaj kenabian”  [HR Ahmad].
 
Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu [TMQ Muhammad (47):7].
 
Wallahu a’lam.
 

 
Rujukan:
 
•    Bab Rintangan-rintangan Mendirikan Daulah Islam, Daulah Islam, Taqiyuddin An-Nabhani
•    Bab Bagaimana Mendirikan Daulah Islam, Daulah Islam, Taqiyuddin An-Nabhani

[FU/Bil.55/Mei 2013]

 


ARTIKEL PILIHAN:
APABILA PENDIDIKAN DIDEMOKRASIKAN

 
Muqaddimah
 
1Aspirasi 1Agenda”, begitulah tema sambutan hari guru tahun ini. Guru sememangnya sinonim dengan pendidikan. Mutakhir ini isu pendidikan seakan diberi lebih perhatian apabila beberapa aspek tertentu diberi penekanan. Antara lain adalah dasar pendemokrasian pendidikan. “Pendidikan merupakan alat paling berkesan untuk mengubah kedudukan sosio-ekonomi sesuatu bangsa, kumpulan atau komuniti”, kata Datuk Seri Najib Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dalam ucapannya sempena Himpunan Perdana Warga Orang Asli di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM). Menurutnya lagi, prinsip pendemokrasian pendidikan yang diamalkan oleh kerajaan telah membuka ruang dan peluang yang luas kepada rakyat termasuk golongan minoriti orang asli untuk mendapat akses pendidikan berkualiti [http://www.bharian.com.my/ (15/2/2013), diakses pada 1/4/2013].
 
Hakikat Pendemokrasian Pendidikan
Apa sebenarnya pendemokrasian pendidikan? Pendemokrasian pendidikan adalah kesamarataan hak bagi setiap individu dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang disediakan oleh sesuatu sistem pendidikan di sesebuah negara.  Ini secara langsung bermaksud tidak harus wujud sebarang diskriminasi dalam bidang pendidikan di semua peringkat individu atau masyarakat. Dasar pendemokrasian pendidikan ini telah bermula pada tahun 1962 dengan memberi penekanan kepada pendidikan percuma untuk semua pelajar.
 
Persoalannya, adakah konsep pendemokrasian pendidikan ini dimanifestasi dan diterjemahkan dengan sebenar-benarnya? Melihat kepada senario sistem pendidikan pada masa kini, apa yang dikatakan oleh PM itu hanyalah jauh panggang dari api. Ini kerana sejak ia diperkenalkan 51 tahun yang lalu, masih terlalu banyak kekurangan serta kelemahan dalam perlaksanaannya. Sebagai contoh walaupun Perdana Menteri mengumumkan bayaran yuran persekolahan untuk sesi 2012 bagi sekolah rendah dan menengah melibatkan jumlah RM150 juta dimansuhkan, hakikatnya bayaran tambahan lain yang dikenakan kepada pelajar begitu membebankan. Ini termasuklah bayaran berkaitan aktiviti kokurikulum, ko-akademik, yuran persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta pelbagai bayaran tambahan lain yang terpaksa dikenakan oleh pihak sekolah.
 
Ironinya di sini, pihak sekolah justeru diharapkan dapat mempamerkan prestasi yang cemerlang dengan meningkatkan prestasi akademik para pelajar yang dinilai daripada keputusan peperiksaan semata-mata. Untuk merealisasikan matlamat tersebut, pelbagai aktiviti bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran perlu diwujudkan dan ini semua melibatkan peruntukan yang tinggi. Natijahnya peruntukan ini mahu tidak mahu terpaksa dikongsikan dengan ibu bapa dan penjaga para pelajar bagi menjayakannya.
 
Bagi ibu-bapa yang berpendapatan rendah, mereka terpaksa bergolok gadai untuk membayar pelbagai bayaran tambahan yang dikenakan oleh pihak sekolah. Ini belum lagi mengambil kira sejumlah wang yang perlu disediakan oleh seseorang itu jika berjaya melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi seperti kolej, institusi latihan mahupun universiti.
 
Aneh tetapi benar, dalam keterujaan pemimpin tertinggi negara memperkatakan mengenai dasar pendemokrasian pendidikan dengan memberi penekanan kepada peluang akses pendidikan yang berkualiti, laporan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 (RMK-9) adalah seperti berikut:
 
1. Sebanyak 767 (10.1%) sekolah rendah dan 28 (1.4%) sekolah menengah terutama di luar bandar tidak mempunyai bekalan elektrik 24 jam. Bagi sesetengah sekolah yang menggunakan jana kuasa elektrik berkuasa rendah, mereka kerap menghadapi kesukaran ketika hendak menggunakan peralatan ICT seperti televisyen dan komputer.

2. Penyediaan bekalan air bersih belum dibekalkan sepenuhnya. Dilaporkan sebanyak 1,517 (20.0%) sekolah rendah dan 68 (3.4%) sekolah menengah terutama sekolah di luar bandar masih tidak mempunyai bekalan air awam.

3. Selain daripada prasarana dan infrastruktur yang tidak lengkap, kadar penyertaan pelajar dalam sistem persekolahan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) masih rendah di peringkat menengah. Malah masih ada murid sekolah rendah yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

4. Penyertaan dan pencapaian pelajar kurang upaya, anak orang asli dan kaum Penan di Sarawak masih belum boleh dibanggakan.

5. Kelemahan ini ditambah lagi dengan bilangan guru terlatih dalam bidang kritikal (Matematik dan Sains) belum mencukupi khususnya di kawasan pedalaman serta masih terdapat guru berstatus kontrak dan tidak terlatih.

Laporan di atas hanyalah secebis daripada sekian banyak implikasi penerapan sistem pendidikan dalam bingkai demokrasi kapitalis. Tidak keterlaluan untuk disimpulkan bahawa sistem pendidikan seperti ini, akhirnya hanya melahirkan output seperti sebuah mesin layaknya. Bijak dalam akademik namun buta dalam pemahaman agamanya. Hebat berketrampilan namun jengkel keperibadian Islamnya. Ini adalah output umum daripada sistem pendidikan saat ini. Buktinya, paparan media yang tidak putus-putus melaporkan sekian banyak generasi muda yang terjebak dengan pelbagai masalah sosial. Ternyata sistem pendidikan dengan asas sekularisme ini telah melahirkan individu yang pola fikir dan pola sikapnya cenderung menjadi seorang yang materialistik, individualistik, hedonistik dan sekularistik.
 
Kegemilangan Pendidikan di Zaman Kekhilafahan
Pendidikan merupakan satu perkara yang penting dalam Islam. Ia merupakan hak rakyat yang perlu dipenuhi dan dijamin, selain aspek kesihatan dan keselamatan. Negara Islam memastikan setiap warganegaranya terjamin keperluan pendidikannya dengan mewajibkan mereka menuntut ilmu. Dalam masa yang sama, Islam mewajibkan negara untuk memberikan layanan kelas pertama kepada rakyatnya dalam bidang pendidikan tanpa membezakan martabat, usia  mahupun jantina seseorang (Abdurrahman Al-Maliki, 2001.hal 186). Tambahan lagi, hak rakyat untuk mendapatkan pendidikan ini mesti disediakan secara percuma sehingga Negara wajib berusaha bersungguh-sungguh mengumpul pendapatan untuk memenuhi keperluan tersebut. Perkara ini berdasarkan pada sabda Rasulullah S.A.W,
 
Imam (Khalifah) adalah pemelihara rakyat dan ia akan diminta bertanggungjawab atas pemeliharaan (rakyat)nya”  [HR al-Bukhari dan Muslim].
 
Rasulullah S.A.W merupakan pemimpin bagi Negara Islam pertama di dunia. Sebagai pemimpin, baginda S.A.W telah menunjukkan contoh terbaik berkaitan tanggungjawab negara dalam pendidikan. Ini jelas termaktub dalam sirah ketika baginda S.A.W menetapkan para tawanan Perang Badar perlu mengajar membaca dan menulis kepada sepuluh orang penduduk Madinah. Dengan kata lain, baginda S.A.W memberikan upah kepada para pengajar (tawanan perang itu) dengan harta benda yang diambil biaya daripada milik Baitul Mal sebelum mereka dibebaskan.
 
Dilihat daripada sudut sejarah kekhalifahan Islam pula, dicatatkan bahawa betapa besarnya perhatian para Khalifah terhadap pendidikan rakyatnya. Contohnya pada masa   Khalifah Umar bin al-Khathab, beliau memberikan gaji kepada setiap guru pada waktu itu sejumlah 15 dinar (1 dinar = 4.25 gram emas). Mengikut harga emas semasa, nisbah yang paling rendah adalah 1 gram emas = RM99.02. Jadi, 15 dinar = RM6,312.53. Perhatian para Khalifah tidak hanya tertumpu kepada gaji para guru semata, malah prasarana pendidikan seperti perpustakaan, auditorium, makmal sains dan infrastruktur ilmu pengetahuan lainnya yang berkualiti turut tidak diabaikan.
 
Selain itu, pembinaan sekolah dan kampus dipergiatkan untuk memberi peluang dan akses bagi mereka yang ingin melanjutkan penyelidikan dan pengkajian dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan seperti fikih, ushul fikih, tafsir termasuk juga bidang pemikiran, kedoktoran, teknikal, kimia, penemuan dan inovasi. Sehingga di tengah-tengah umat telah lahir sekelompok mujtahid, saintis dan pakar teknologi yang unggul dalam segenap bidang. 
 
Di sisi lain, para Khalifah juga memberikan penghargaan yang sangat   besar terhadap para penulis buku iaitu dengan memberikan imbalan emas seberat buku yang ditulisnya. Subhanallah, begitu besarnya perhatian para Khalifah (pemimpin negara) terhadap pendidikan. Sistem pendidikan Islam bukan sahaja memastikan setiap individu wajib menuntut ilmu dan berhak mendapat akses pendidikan yang berkualiti tetapi juga memastikan kurikulumnya sesuai dengan syariah Islam dan didasarkan pada aqidah Islam.
 
Dalam sistem pendidikan Islam, kurikulum dan mata pelajaran disusun dengan mensasarkan dua tujuan utama iaitu:
 
•    Pertama, membentuk syakhsiyyah (keperibadian) Islam iaitu pola fikir (aqliyah) dan pola sikap (nafsiyah) bagi umat dengan cara menanamkan tsaqafah Islam berupa aqidah, pemikiran, dan    perilaku Islami ke dalam akal dan jiwa anak didik. Oleh itu kurikulum Negara Khilafah disusun bagi merealisasikan tujuan tersebut.

•    Kedua, mempersiapkan anak-anak kaum Muslimin agar di antara mereka menjadi ulama-ulama yang pakar di setiap aspek kehidupan baik berkaitan ilmu-ilmu keIslaman (ijtihad, fiqih, undang-undang dll) mahupun ilmu-ilmu berbentuk  kemahiran dan pengetahuan (teknik, kimia, fizik, kedoktoran dll).

•    Negara Khilafah juga menetapkan strategi pendidikan Islam adalah untuk menghasilkan output yang berkeupayaan sesuai dengan visi dan misi Negara Khilafah iaitu menjadi negara yang siap untuk memimpin peradaban dunia dengan Islam.

Justeru, ketuk minda dan tanya kepada diri sendiri dengan pemikiran yang terbuka di manakah duduknya Dasar Pendemokrasian Pendidikan yang dicanangkan pada saat ini? Minda yang jernih sudah pasti akan menjawab, amat jauh sekali bezanya dasar tersebut dengan dasar pendidikan Islam. Hakikatnya kita tidak memerlukan dasar pendemokrasian pendidikan hasil daripada sistem demokrasi yang rosak kerana sesungguhnya hanya Islamlah sistem kehidupan yang lengkap dan sempurna serta mampu menjamin setiap hak dan keperluan manusia. Istilah ‘pendemokrasian pendidikan’ itu sendiri sudah menunjukkan satu konsep yang bertentangan dengan Islam kerana demokrasi merupakan sebuah sistem kufur yang  datangnya dari Barat dan langsung tidak ada kena mengena dengan Islam.
 
Khatimah
 
Perahu sudah di air, dayung sudah di tangan. Adakah masih tetap ingin mempertahankan sistem yang sedia ada? Ataukah sebaliknya? Jawablah dengan penuh keyakinan dan keimanan bahawa setiap daripada umat mahu menggantikan dasar palsu ini yang hanya kelihatan elok namun hakikatnya amat buruk dan rosak kepada suatu yang jauh lebih baik, iaitu dasar pendidikan Islam. Satu-satunya dasar yang mampu menjamin guru-gurunya tidak stress, para pelajarnya menjadi pelajar yang cemerlang tanpa seorang pun tercicir dalam pelajarannya, pendidikan duniawi dan ukhrawi yang seimbang dan dilimpahkan kemuliaan dan keredhaan hidup di dunia dan akhirat. Minda yang jernih akan menjawab, hanya dasar pendidikan Islam sahajalah yang benar-benar mampu membawa perubahan! Itulah satu-satunya dasar pendidikan yang dari segi sejarahnya telah terbukti keunggulannya dan diakui oleh seluruh dunia baik Barat mahupun Timur!!
 
Semoga Allah menjadikan setiap daripada para pembaca sekalian termasuk dalam golongan mereka yang berusaha kuat dan berjuang bersungguh-sungguh demi mewujudkan sebuah Daulah Khilafah Islamiyah. Daulah Khilafah Islamiyah inilah yang mampu merealisasikan tujuan hidup manusia iaitu menggapai keredhaan Allah dengan menerap dan melaksanakan serta membawa risalah Islam ke setiap penjuru dunia agar seluruh alam merasakan kemuliaan dan keberkatan sistem Islam.
 
Wallahu a’lam.
 
 
Rujukan:
 
•    http://www.kmns.matrik.edu.my/pipp/2007ppp_bab2.pdf
•    Abu Yasin, Usus at-Ta’lim fi Daulah al Khilafah (Strategi Pendidikan Khilafah) Pustaka Thariqul Izzah (PTI) 2004
•    Abdul Rahman Al-Maliki, Politik Ekonomi Islam, 2001, hal 186
•    Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 (RMK-9)

[FU/Bil.55/Mei 2013]
 


TAFSIR AL-QURAN:
DARJAT ORANG BERILMU

﴿يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمْ
وَالَّذِينَ أُوتُواْ الْعِلْمَ دَرَجَـتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ﴾

Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”  [TMQ al-Mujadilah (58): 11].
 

Tafsir Ayat
Mengenai ayat di atas, diterangkan dalam Tafsir Ibn Kathir bahawa Imam Ahmad telah meriwayatkan bahawa Abu At-Tufayl `Amir bin Wathilah berkata bahawa Nafi` bin `Abdul-Harith telah bertemu Umar bin Al-Khattab semasa berada di wilayah `Usfan. Umar telah melantik Abu At-Tufayl menjadi Amir di Mekah. Umar bertanya kepada beliau,
 
Siapakah yang telah anda lantik  sebagai Penolong bagi (mengatur urusan) penduduk di lembah itu (Mekah)”. Amir berkata, “Aku telah melantik Ibn Abza, seorang daripada hamba-hamba yang telah kita merdekakan sebagai penolongku”. Umar berkata lagi, “Engkau telah menjadikan seorang hamba merdeka sebagai Amir mereka semasa ketiadaanmu?!”. Amir menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, dia telah menghafaz Kitab Allah dan dia mempunyai ilmu mengenai harta pewarisan di samping berupaya menjadi seorang hakim yang berwibawa”. Kata Umar, “Sungguh, Nabimu telah bersabda, “Sesungguhnya Allah mengangkat darjat suatu kaum kerana kitab ini (al-Quran) dan merendahkan kaum lainnya dengannya”  [HR Muslim].
 
Hadis ini sesungguhnya menerangkan mengenai keutamaan orang-orang yang berilmu. Dalam Sunan Abu Daud pula ada diriwayatkan bahawa Abu Ad-Darda berkata,
 
“Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, “Barangsiapa meniti jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahkannya jalan ke syurga. Sungguh, para Malaikat merendahkan sayapnya sebagai keredaan kepada penuntut ilmu. Orang yang berilmu akan dimintakan maaf oleh penduduk langit dan bumi hingga ikan yang ada di dasar laut. Kelebihan seorang alim di bandingkan dengan ahli ibadah seperti keutamaan rembulan pada malam purnama atas seluruh bintang. Para ulama adalah pewaris para nabi, dan para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, mereka hanya mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya maka ia telah mengambil bahagian yang banyak”.
 
Ciri-ciri ‘Ulama Pewaris Nabi
Secara bahasa, ‘ulama merupakan bentuk jamak dari kata ‘alim yang bererti orang yang berilmu. Orang yang berilmu ini termasuklah guru kerana mereka merupakan individu yang telah menimba ilmu dalam bidang masing-masing dan diajarkan kepada pelajar-pelajar. Secara syarie, Allah S.W.T dan RasulNya telah menjelaskan pelbagai sifat dan ciri-ciri orang yang layak disebut sebagai ‘ulama. Di antara ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut:
 
Pertama,
‘ulama adalah orang-orang yang merupakan lambang iman dan harapan umat, memberikan tunjuk ajar dengan hanya berpegang kepada syariat Islam. Mereka mewarisi keperibadian Nabi dalam keterikatannya terhadap wahyu Allah S.W.T. Rasulullah S.A.W bersabda,
 
Sesungguhnya perumpamaan ‘ulama di bumi adalah seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk di dalam kegelapan bumi dan laut. Apabila dia terbenam maka jalan akan kabur”  [HR Ahmad].
 
Dalam hadis lain baginda S.A.W bersabda,
 
Sesungguhnya kedudukan seorang alim sama mulianya dengan bulan di tengah-tengah bintang. Sesungguhnya ‘ulama itu adalah pewaris para nabi”  [HR Abu Daud dan Tirmidzi].
 
Seorang ‘ulama sejati tidak akan menyatakan sesuatu yang bertentangan dengan Islam. Misalnya, dia tidak akan menghalalkan darah sesama Muslim tanpa hak. Rasulullah S.A.W bersabda,
 
Mencaci maki seorang Mukmin itu fasik dan membunuhnya adalah perbuatan kufur”  [HR Abu Daud].

Kedua
, ‘ulama itu berjuang di jalan Allah S.W.T serta sentiasa memberikan nasihat kepada para penguasa. Mereka tabah dan sabar menghadapi segala macam tentangan dan halangan, demi memperjuangkan Islam dan umatnya, bukannya membela kepentingan peribadi, pemimpin atau kelompoknya. Mereka sentiasa ingat akan sabda Rasulullah S.A.W,
 
Barang siapa yang melihat penguasa zalim dengan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah S.W.T, melanggar janji Allah dan menyalahi sunnah RasulNya, berbuat kejam dan aniaya terhadap hamba-hamba Allah dengan sewenang-wenangnya dan orang itu tidak mencegahnya baik dengan lidah ataupun dengan perbuatannya, maka sudahlah patut orang itu menempati tempat yang   telah disediakan oleh Allah S.W.T baginya  [HR Thabrani].
 
Ketiga,
‘ulama selalu menegakkan kewajipan dan melarang kemungkaran. Mereka tidak menyembunyikan, apalagi memutarbalikkan   kebenaran syariat Islam. Mereka yakin akan firman Allah S.W.T,
 
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Quran, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat pula oleh semua makhluk yang dapat melaknat”  [TMQ al-Baqarah (2): 159].

Keempat, ‘ulama itu benar-benar takut kepada Allah S.W.T dalam hati, ucapan dan perbuatannya dan sentiasa berpegang kepada perintah Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T,
 
“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah ‘ulama
  [TMQ Fathir (35): 28].
 
Keempat
, ‘ulama Tidak Berpihak Kepada Kezaliman
 
Salah satu ciri utama hamba Allah S.W.T, terlebih-lebih lagi ‘ulama, adalah tidak mendiamkan, tidak menyetujui dan tidak mendukung kezaliman dan siapa pun yang melakukan kezaliman. Allah S.W.T telah berfirman dengan tegas dalam surah Hud ayat 113 menyangkut hal ini,
 
Dan janganlah kalian cenderung kepada orang-orang zalim yang menyebabkan kalian disentuh api neraka..” 
 
Larangan kecenderungan tersebut ditujukan kepada orang-orang Mukmin agar tidak berpihak kepada orang-orang yang melakukan tindakan kezaliman. Allah S.W.T melarang  kecenderungan kepada mereka kerana dalam perbuatan tersebut menunjukkan pengakuan atas kekufuran, kezaliman dan kefasikan mereka. Kezaliman oleh penguasa Muslim yang dimaksudkan di sini adalah perbuatannya yang tidak menerapkan peraturan Islam dalam pemerintahannya seperti mana firman Allah S.W.T,
 
Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang zalim”  [TMQ al-Maaidah (5): 45].
 
Ayat di atas ditujukan kepada manusia secara umum, termasuk juga seorang penguasa Muslim yang tidak memerintah dengan apa yang diturunkan Allah S.W.T, yakni tidak menerapkan hukum-hukum Islam seluruhnya atau menerapkan sebahagian sahaja dan meninggalkan sebahagian lainnya. (Taqiyyuddin an-Nabhani, Nizhamul Hukmi fil Islam, hal. 228). Berdasarkan ayat ini, seorang Mukmin, terlebih-lebih lagi ‘ulama tidak akan mendukung kezaliman tersebut. Mereka takut kepada Allah S.W.T yang akan membakarkan api neraka pada orang yang berbuat demikian.
 
Rosaknya ‘Ulama dan Penguasa Penyebab Hancurnya Umat
 
Rasulullah S.A.W bersabda,
 
“Dua macam golongan manusia yang apabila keduanya baik maka akan baiklah masyarakat. Tetapi, apabila keduanya rosak maka akan rosaklah masyarakat itu. Kedua golongan manusia itu adalah ‘ulama dan penguasa
[HR Abu Na’im].
 
Lebih tegas lagi, Nabi S.A.W menyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi,
 
Akan datang penguasa-penguasa fasik dan zalim. Barang siapa percaya kepada kebohongannya dan membantu kezalimannya maka dia bukan dari golonganku dan aku bukan dari golongannya dan dia tidak akan masuk syurga.”
 
Berkaitan dengan hal ini, Imam al-Ghazali (Ihya ‘Ulumiddin, juz 7, hal. 92) menyatakan,
 
“Dulu tradisi para ‘ulama menjaga penguasa untuk menerapkan hukum Allah S.W.T. Mereka mengikhlaskan niat dan pernyataannya membekas di hati. Namun sekarang, terdapat penguasa yang tamak, ‘ulama malah hanya diam sahaja. Andaikan mereka berbicara, pernyataannya berbeza dengan perbuatannya sehingga tidak mencapai sebarang hasil. Kerosakan masyarakat itu akibat kerosakan penguasa dan kerosakan penguasa akibat kerosakan ‘ulama. Adapun kerosakan ‘ulama akibat digenggam cinta harta dan jawatan. Siapa sahaja yang digenggam oleh cinta dunia nescaya tidak mampu menguasai ‘kerikilnya’, bagaimana lagi dapat mengingatkan penguasa dan para pembesar.
 
Jika keadaan sebahagian ‘ulama pada zaman Imam al-Ghazali adalah seperti yang dinyatakan, tidaklah menghairankan apabila keadaan ‘ulama dewasa ini lebih parah, lebih-lebih sejak hancurnya Khilafah Islamiyah tahun 1342 H (1924 M).

Khatimah
Berdasarkan perbincangan di atas, setiap individu terutamanya ‘ulama (termasuk juga guru) perlu memuhasabah diri supaya tidak tergolong menjadi ‘ulama su’ (ulama buruk) yang membantu kezaliman atau ia membantu penguasa yang zalim hingga berakhir kepada kehancuran umat. Kini telah tiba saatnya ‘ulama sekalian kembali merebut darjat orang berilmu yang dijanjikan oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T memerintahkan untuk mengikuti seluruh apa yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W dan menjauhi apa saja yang dilarang baginda. Kebenaran Islam daripada mana pun datangnya tidak boleh ditolak. Sebaliknya, kebatilan daripada mana pun asalnya, siapa pun yang menyatakannya, wajib ditentang.
 
 
Rujukan:
 
•    Terjemahan Al-Quran oleh Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Al-Quran Menteri Agama Indonesia. 
•    English Translation Tafsir Ibn Kathir (Abridged), Darussalam.
•    Taqiyyuddin An Nabhani, Nizhamul Hukmi fil Islam (Terjemahan)
•    Taqiyyuddin An Nabhani, Daulah Islam (Terjemahan).
•    Al Badri, Peranan ‘Ulama dan Penguasa.
•    Abdul Rahman al Baghdadi, Islam Bangkitlah, Gema Insani Press.
•    Arief Iskandar, Ulama Sejati, Majalah al Waie Edisi No 61
 
 
[FU/Bil.55/Mei 2013]

 


SERIKANDI TELADAN:
ASY-SYIFA’ BINTI ABDULLAH AL-`ADAWIYAH: GURU WANITA PERTAMA

 
Sesungguhnya ilmu Allah S.W.T itu maha luas berupa didikan dan pengajaran yang pasti memberi kesejahteraan dan kebaikan kepada jiwa, akal dan jasmani manusia. Segala ilmu yang telah diwahyukan kepada kekasihNya, Nabi Muhammad S.A.W kini sudah tercatat di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi panduan bagi umat Islam. Di sepanjang sejarah Islam, ramai tokoh ilmuwan yang telah berjaya menempatkan diri mereka di mata dunia. Justeru dalam ruangan serikandi teladan kali ini, kita akan menelusuri perjalanan seorang sahabiyah yang merupakan antara tokoh ilmuwan wanita yang mendapat kedudukan tersendiri di sisi Rasulullah S.A.W dan para sahabat.
 
Beliau r.a adalah Asy-Syifa’ binti Abdullah ibn Abdi Syams al-Qurasyiah al-‘Adawiyah. Menurut Ahmad bin Soleh Al-Misri, nama sebenarnya ialah Laila tetapi lebih dikenali sebagai Asy-Syifa’. Kunniyah (nama julukan) beliau Ummu Sulaiman dan suaminya adalah Abu Hathmah ibn Ghanim al-Qurasyi al-‘Adawi. Sahabiyah ini telah melakarkan sejarah hidupnya dengan penuh kemuliaan. Selain menjadi antara wanita yang awal memeluk Islam iaitu sebelum berlakunya penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W ke Madinah, beliau juga termasuk golongan wanita yang berhijrah pada gelombang pertama.
 
Bukan itu sahaja, beliau adalah seorang wanita yang terkenal dengan kepintaran dan kebaikannya sejak  zaman jahiliah lagi. Pada ketika itu, hanya segelintir sahaja wanita Quraisy yang boleh menulis dan membaca. Dengan kebolehannya, beliau menawarkan dirinya untuk menjadi guru bagi kaumnya. Setelah beliau masuk Islam, beliau meneruskan pekerjaan mulianya dengan memberikan pendidikan kepada wanita-wanita Islam dengan tujuan untuk menggapai pahala dan redha Allah S.W.T. Lantaran itu, nama beliau telah tercatat dalam lipatan sejarah sebagai guru wanita pertama dalam dunia Islam.
 
Selain daripada mahir dalam ilmu membaca dan menulis, Asy-Syifa’ juga mahir dalam bidang ruqyah iaitu berubat dengan memohon doa. Diriwayatkan bahawa selepas memeluk Islam, Asy-Syifa’ kerana ketaqwaannya berhenti melakukan ruqyah sehingga Rasulullah S.A.W mengizinkannya meneruskannya semula. Bahkan Rasulullah S.A.W juga menyuruh Asy-Syifa’ untuk mengajarkannya kepada salah seorang isteri baginda, Hafsah binti Umar bin Khathab r.a. Hal ini telah tercatat  dalam Musnad Imam Ahmad dari   Hafsah,
 
Bahawa Nabi S.A.W datang menziarahinya (Hafsah) sedang bersamanya seorang wanita yang dikenali sebagai Syifa’ yang melakukan ruqyah untuk mengubati “an-namlah”. Lalu berkata Nabi S.A.W, ajarkanlah ia kepada Hafsah”. [Musnad Ahmad no. 25910]. An-namlah ialah sejenis masalah kulit.
 
Kedudukan Asy-Syifa’ tidak hanya istimewa pada mata Rasulullah S.A.W dan isteri-isteri baginda sahaja, malah dihormati oleh para sahabat Nabi S.A.W. Saidina Umar al-Khathab r.a. berusaha untuk mengikut jejak langkah Rasulullah S.A.W dalam memuliakan Asy-Syifa’, tambahan pula Asy-Syifa’ adalah guru kepada puterinya Hafsah. Asy-Syifa’ bukan sahaja sentiasa diberi keutamaan dalam melontarkan pandangan, malahan Saidina Umar r.a. mempercayakan beliau untuk menjadi   qadhi hisbah di Madinah, iaitu seorang yang mengawas dan menjatuhkan hukuman jika berlaku pelanggaran hak umum di pasar. Selain itu, Umar al-Khathab juga adalah seorang yang suka membimbing Asy-Syifa’ sekeluarga di dalam melaksanakan Sunnah Rasulullah S.A.W.
 
Direkodkan di dalam kitab Al-Muntaqa Syarah Muwatta’ Malik, Asy-Syifa’ pernah bertutur, “Satu hari, Umar al-Khathab datang ke  rumahku sedangkan bersamaku ada dua orang lelaki sedang tidur (iaitu suaminya Abu Hathmah dan puteranya Sulaiman). Umar al-Khathab bertanya, ‘Tidakkah dua lelaki ini solat Subuh?’ Aku menjawab, ‘Mereka berdua solat malam sehingga subuh, kemudian solat subuh lalu tidur.’ Lalu Umar al-Khathab menjawab, ‘Sesung-guhnya aku bersaksi bahawa solat subuh berjemaah lebih baik bagiku daripada solat sepanjang malam.” Jelas di sini bahawa Umar al-Khathab, dengan ilmu yang ada padanya, memastikan keluarga Asy-Syifa juga turut mendapat ilmu yang sama.
 
Banyak hadis Rasulullah S.A.W yang telah diriwayatkan oleh Asy-Sifa’ secara terus daripada Rasulullah S.A.W sendiri dan juga daripada Umar al-Khathab. Adapun orang yang     meriwayatkan hadis Rasulullah S.A.W daripada As-Syifa’ adalah anaknya sendiri, Sulaiman, dua cucunya Abu Bakar bin Sulaiman dan Usman bin Sulaiman, bekas hambanya Abu Ishaq dan Hafsah Ummul Mukminin. Beliau terus menerus mendidik umat Islam dengan tsaqofah Islam serta bergiat sama mendakwahkan risalah Islam kepada manusia lain sehingga ajal datang menjemputnya pada era kekhalifahan Umar al-Khathab sekitar tahun 20H. Al-Bukhari mencatatkan riwayat daripada beliau di dalam Kitab al-Adab dan Kitab Af’al al-Ibad, begitu juga Abu Dawud dan al-Nasai. Dalam penulisan komentari, antaranya Syarah Sunan Abi Dawud dan Al-Albany, mereka mengambil peng-ajaran daripada sebahagian hadis daripada Asy-Syifa’ bahawa Islam menghendaki kaum wanita celik ilmu dan Islam membenarkan perubatan yang tidak mensyirikkan Allah.
 
Subhanallah! Benarlah firman Allah S.W.T dalam surah al-Mujadilah ayat 11 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu berlapang-lapanglah dalam majlis-majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan berdirilah kamu, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan (darjat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”.  
 
Sesungguhnya wanita pertama dalam Islam yang menjadi guru dan qadhi hisbah, serta pengamal dan pengajar perubatan ini telah dimuliakan Allah S.W.T dalam kalangan penduduk dunia kerana ilmunya sekaligus ketaqwaannya kepada Allah. Firman Allah S.W.T lagi,
 
Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Pakar” [TMQ al-Hujurat (49): 13].
 
Ya akhawatul kareemah!
 
Sesungguhnya ilmu yang berguna itu adalah ilmu yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T sehingga kita menjadi orang yang bertaqwa. Namun, kita tidak akan dapat mencapai kebaikan ini pada zaman sekarang kerana telah meresapnya  ideologi sekular-kapitalis ke dalam salur darah sehingga menjadi darah daging dalam tubuh umat Islam kini. Malah, terdapat sekelompok masyarakat kini yang semakin berilmu tetapi semakin jauh dari Allah S.W.T., na’udzubillahimindzalik.
 
Ingatlah wahai Muslimah sekalian, sesungguhnya Islam itu adalah agama yang sempurna, yang meliputi ajaran rohani (aqidah ruhiyah) dan ajaran kehidupan (aqidah siyasiyah). Namun, kesempurnaan Islam itu telah dinodai dengan najis-najis sekular apabila runtuhnya Daulah Khilafah Uthmaniyah pada 3 Mac 1924M. Ya, hanya dengan Daulah Khilafahlah yang dapat mengembalikan semula ketamadunan masyarakat Islam  apabila mereka dididik dengan dasar pendidikan Islam, yang teras utamanya adalah aqidah Islamiyah serta tsaqofah Islamiyah.
 
Wallahu a`lam.
 
Sumber Rujukan:
 
•    ‘Aun Al-Ma’bud Syarah Sunan Abi Dawud kitab At-Thibb – Ruqyah An-Namlah. Ms 298-301.
•    Al-Muntaqa Syarah Muwatta’    Malik kitab Solat Al-Jama’ah. M/s 471-472
•    Sunan Abi Dawud kitab At-Thibb. No 3887.
•    Musnad Ahmad – Baqi Musnad Al-Ansar. No 25910 dan 25911.
•    Hawla Ar-Ruqyah li Asy-Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani. http://www.alalbany.net/misc039.php. Dicapai pada 8 April 2013.
•    70 Wanita Terbilang Di Zaman Nabi Muhammad S.A.W. Abu Azka Al Madani dan Harun Arrasyid Hj Tuskan. Al-Hidayah. Cetakan I. 2010. M/s 359-365.
•    Terjemahan singkat Tafsir Ibnu Katsier. H. Salim Bahreisy dan H. Said Bahreisy. Victory Agencie. Jilid I. 1988. M/s 83.
•    Islam Politik dan Spiritual. Hafidz Abdurrahman. Lisan Ul-Haq.     Cetakan I. 1998. M/s 17-27.
 

[FU/Bil.55/Mei 2013]

 



FIKIH:
HUKUM MENYAMBUT HARI GURU

 
Soalan:

Bagaimanakah Islam memuliakan profesion perguruan dan bolehkah guru diraikan melalui sambutan hari guru?
 
Jawapan:
 
Keutamaan Guru
 
Guru ialah orang berilmu yang berusaha menyampaikan pelajaran kepada anak muridnya. Guru merupakan profesion yang sangat mulia dalam Islam. Sesiapa yang mendidik, menasihati dan memberi ilmu kepada kita, dialah guru. Selain itu, bertepatan dengan kewajipan menuntut ilmu ke atas setiap umat Islam, Allah meninggikan darjat hambaNya yang mempunyai ilmu. Daripada Anas bin Malik r.a, katanya Rasulullah S.A.W bersabda,
 
Menuntut ilmu adalah satu kefardhuan atas tiap-tiap Muslim   [HR Ibnu Majah].
 
Allah S.W.T berfirman,
 
Nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan, beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” [TMQ al-Mujadalah (8): 11].
 
Oleh itu, khidmat guru sangat signifikan dan penting dalam menyampaikan ilmu kepada mereka yang menuntut ilmu. Firman Allah Ta’ala,
 
“..bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berilmu berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya” [TMQ al-Anbiya’ (21): 7].
 
Allah S.W.T juga menjanjikan ganjaran pahala berpanjangan kepada orang-orang yang menyampaikan ilmu sepertimana hadis daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W bersabda,
 
Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan suatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak    pahala orang-orang yang mengikutinya, dengan tidak mengurangi (oleh Allah) sedikit pun pahala itu daripada pahala-pahala mereka; dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah dia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang mengikutinya, dengan tidak  mengurangi (oleh Allah) sedikit pun dosa itu dan dosa-dosa mereka”  [HR   Muslim, Abu Daud dan Tirmizi].
 
Oleh itu, Islam menjadikan pendidikan, tentunya dengan guru sebagai enjinnya, sebagai satu teras penting dalam melaksana, menjaga dan menyebarkan fikrah dan thariqah Islamiyyah.
 
Tradisi Perguruan Dalam Islam
Rasulullah S.A.W adalah guru utama dalam Islam. Selain daripada menyeru masyarakat kepada Islam di mana sahaja baginda berada, Rasulullah S.A.W menyampaikan pengajaran Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah dalam majlis-majlis ilmu, antaranya di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam pada fasa dakwah di Makkah dan masjid pada fasa Daulah Islam di Madinah. Para sahabat yang memperoleh tsaqafah Islam daripada Rasulullah S.A.W juga menjadi guru dengan meriwayatkannya kepada orang lain yang tidak hadir di majlis baginda. Riwayat yang diterima terus disampaikan hinggakan ilmu wahyu menjadi satu bidang ilmu yang amat luas dan mendalam kerana   tradisi penyampaian ilmu yang unik ini. Sebenarnya ini tidak lain sebagai sambutan terhadap sabda Rasulullah S.A.W,
 
Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”   [HR Bukhari].
 
Selain ilmu wahyu, ilmu praktikal lain juga diajar dan dipelajari oleh umat Islam sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi, antaranya ilmu membaca,   menulis dan mengira, ilmu perubatan, ilmu bahasa dan sastera, ilmu ketenteraan dan ilmu untuk membangunkan ekonomi seperti ilmu perdagangan, pertanian dan perindustrian.
 
Budaya penyampaian ilmu ini juga melibatkan kaum wanita, sama ada isteri-isteri Rasulullah S.A.W mahupun para sahabiyah. Bahkan sebahagian ilmu fiqh dan sunnah hanya dapat diperoleh daripada para isteri Rasulullah S.A.W kerana merekalah yang hidup bersama Rasulullah S.A.W di luar daripada kehidupan umum.
 
Tradisi pengembangan ilmu ini diteruskan selepas wafatnya Rasulullah S.A.W. Meskipun setiap individu mampu mengajarkan sebarang ilmu, namun orang berilmu yang menjadikan guru sebagai profesionnya diberikan perhatian yang lebih. Contohnya, Saidina ‘Umar r.a membayar gaji sebanyak 15 dinar sebulan kepada guru-guru profesional dalam Daulah Islam. Guru-guru disediakan prasarana pengajaran dan kemudahan hidup oleh Khulafa’ Islam. Hinggakan, tamadun Islamlah yang pertama sekali mendirikan universiti iaitu kompleks sekolah peringkat tinggi dan kemajuan Daulah Islam pula dipacu oleh perkembangan ilmu dan pemikiran, di samping jihad.
 
Daulah Islam tidak pernah memandang guru sebagai kerjaya berstatus rendah. Apabila umat Islam diajar agar menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad, menyebabkan umat Islam amat sebati dengan budaya keilmuan. Sejarah mencatatkan para pemimpin Islam seperti Khalifah Harun Al-Rasyid, Muhammad Al-Fatih dan ramai lagi yang suka menuntut ilmu dan sangat menghormati guru mereka dan menjadikan mereka sebagai penasihat utama untuk membuat keputusan penting dalam negara.
 
Demikianlah betapa Islam sebagai satu ‘aqidah aqliyah’ dan hadharah yang sangat mementingkan pembinaan pemikiran yang benar, memuliakan profesion guru dan menjadikannya sebagai agen penting dalam masyarakat. Perkembangan ilmu dalam Islam tidak lari daripada tunjangnya iaitu aqidah dan cabangnya iaitu syariah, pastinya dengan panduan wahyu. Rasulullah S.A.W bersabda,
 
Kelebihan seorang alim (ilmuan) berbanding seorang ‘abid (ahli ibadah) ibarat bulan purnama terhadap seluruh bintang”   [HR Abu Dawud].
 

Sambutan Hari Guru
Pada masa kini pula, hari guru disambut untuk menghargai jasa dan pengorbanan para guru dalam usaha dan kesungguhan mereka menyampaikan ilmu dan mendidik anak didiknya. Disebabkan Islam juga mengajar menghargai jasa guru, maka acara yang bertujuan menghargai dan mengingati jasa mereka adalah mubah (harus) dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja selagi tidak melanggar hukum syarak. Antara contoh perlanggaran hukum syarak ialah percampuran antara lelaki dan perempuan (ikhtilat), mewajibkan pelajar memberikan hadiah kepada guru, dan menetapkan tarikh tertentu agar menyambutnya selari dengan peristiwa penting yang disambut oleh hadharah bukan Islam.
 
Secara sejarahnya, pemerintah Malaysia memilih tarikh 16 Mei untuk menyambut hari guru sebagai memperingati bermulanya Dasar Pelajaran Kebangsaan iaitu pada 16 Mei 1956. Pada tarikh inilah dokumen cadangannya yang dikenali sebagai Penyata Razak diterima oleh Majlis Undang-Undang Tanah Melayu, yang ketika itu masih di bawah penjajahan British.
 
Sehubungan itu, janganlah kita meraikan guru hanya pada 16 Mei kerana meraikan tarikh bermulanya satu dasar pendidikan sekularisme ke dalam sebuah negara yang juga mengamalkan sistem kapitalisme. Sebagai Muslim, kita hendaklah memahami bahawa hanya aqidah Islam yang boleh menjadi dasar pendidikan negara dan hanya ini sahajalah yang mampu melahirkan umat yang sentiasa melaksanakan peranan mereka dengan benar di muka bumi ini. Justeru, yang menjadi kewajipan bagi kita ialah  menukar sistem pendidikan dan semua sistem lain yang berteraskan sekularisme dalam negara kepada sistem Islam yang  berasaskan aqidah Islam.
 
Khatimah
Sebagaimana jasa ibu bapa, penghargaan terhadap jasa guru juga selari dengan pandangan Islam. Malah Islamlah yang telah meletakkan guru di kedudukan yang sangat tinggi dan terhormat dalam negara. Mereka hendaklah sentiasa dihormati oleh masyarakat dan diberi keutamaan dalam Daulah Islam, sebagaimana yang berlaku pada zaman syariat Islam dilaksanakan dalam Daulah Islam. Namun begitu, kita seharusnya sentiasa memperhatikan kaedah sambutan hari guru tersebut agar tidak bertentangan dengan Islam. Kitaseharusnya menghapuskan amalan-amalan yang tidak selari dengan Islam yang acapkali dilakukan oleh masyarakat kita tanpa kita sedari terutamanya memuji sistem dan perlaksanaan pendidikan negara yang jelas-jelas sekular, malah menjadikan hari guru sebagai wadah kesinambungan sistem kapitalisme.
 
Wallahu a’lam.
 

[FU/Bil.55/Mei 2013]