Forum Ramadhan Merungkai Perbezaan Antara Muslimah Ramadhan dan Muslimah Dambaan

13 Julai 2014, Kuala Lumpur – Sempena kedatangan Ramadhan, bulan yang penuh barakah dan kemuliaan, Khilafah Centre dengan kerjasama Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia menganjurkan Forum Ramadhan yang bertajuk “Muslimah Ramadhan vs. Muslimah Dambaan”. Forum yang menampilkan tiga orang ahli panel iaitu Ustazah Ummu Najahah (AJK Pusat MHTM), Saudari Nurul Syifa’ Bukhari (Aktivis MHTM) dan Saudari Izzah Zul (Aktivis MHTM) serta Puan Zulaikha (Aktivis MHTM) selaku moderator telah berlangsung sebanyak dua pusingan.

Dalam pusingan pertama, Ustazah Ummu Najahah telah menjelaskan definisi Muslimah Ramadhan iaitu Muslimah yang melaksanakan amalan taqarrub ila Allah (mendekatkan diri kepada Allah) ketika tibanya bulan Ramadhan sahaja. Saudari Nurul Syifa’ pula menerangkan maksud Muslimah Dambaan iaitu Muslimah yang berlumba-lumba melakukan amalan taqarrub ila Allah  dengan sentiasa melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan Allah SWT dan RasulNya sepanjang masa dan bukan terhad pada bulan-bulan tertentu sahaja.  Saudari Izzah Zul pula menjelaskan hakikat penyucian diri (tazkiyah an-nafs). Seringkali berlaku kekeliruan dalam kalangan umat Islam bahawa penyucian diri sebatas ritual, spiritual dan individual sahaja. Namun begitu, hakikat penyucian diri adalah melaksanakan ketaatan secara total kepada Allah SWT dengan menyucikan diri daripada kekufuran, meninggalkan perbuatan-perbuatan mungkar dan melakukan perbuatan-perbuatan makruf. 

Dalam pusingan kedua, Ustazah Ummu Najahah seterusnya menjelaskan bagaimana kita dituntut melaksanakan ibadah wajib melebihi ibadah sunat atau seiring kedua-duanya dengan tidak melebihkan yang sunat berbanding yang wajib. Umat Islam seharusnya boleh membezakan ibadah yang wajib dan sunat supaya tidak berlaku kekeliruan dan seterusnya dapat melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna. Inilah syakhsiyah (keperibadiaan) seorang Muslimah dambaaan. Saudari Nurul Syifa’ pula mengajak  peserta berfikir tentang alangkah ruginya apabila kita melaksanakan kewajipan berpuasa tetapi hakikatnya hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. Ini kerana terdapat kalangan umat Islam yang hanya fokus untuk melakukan ibadah puasa sahaja tetapi tidak menitikberatkan ibadah wajib yang lain. Amalan-amalan yang menjuruskan kepada dosa juga tidak diberi perhatian serius.Saudari Izzah Zul seterusnya menegaskan bahawa negara seharusnya memainkan peranan yang penting dalam membentuk Muslimah dambaan. Ini adalah kerana negaralah pihak mempunyai kuasa untuk menerapkan hukum Islam ke atas rakyatnya supaya kehidupan masyarakat sentiasa berada dalam nuansa taqwa kepada Allah SWT.

Peserta forum memberikan respon yang sangat positif apabila beberapa soalan diajukan kepada ahli panel. Ini jelas menunjukkan Muslimah  memahami isi-isi yang dibincangkan oleh ahli panel dan mereka benar-benar ingin mengetahui dan ingin menjadi Muslimah dambaan sepanjang masa dan bukan muslimah di bulan ramadhan sahaja. Oleh itu, MHTM menggesa para muslimah untuk berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah sebagai amalan dalam kehidupan serta melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya sebagai bukti kita adalah hambaNya yg taat semata-mata untuk mendapat redhaNya.
  
MHTM merakamkan setinggi- tinggi penghargaan kepada semua yang hadir memeriahkan majlis ini.