Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) : Agama Baru Yang Diseru Najib
PUTRAJAYA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton menyatakan sokongan kepada falsafah Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang diilhamkan Datuk Seri Najib Razak yang menurutnya berupaya membanteras golongan pelampau terutama terhadap agama. Beliau berkata, ini kerana sejarah membuktikan semua agama mempunyai golongan pelampau yang boleh mencetuskan konflik walaupun tidak berupaya menggugat kestabilan, keamanan dan demokrasi. “AS menyokong sepenuhnya seruan Perdana Menteri untuk memupuk kesederhanaan dalam agama (kerana) kita tahu golongan pelampau berada dalam mana-mana agama seperti yang dibuktikan sejarah. Malangnya, ekstremis bukanlah laluan untuk membina kestabilan, keamanan atau demokrasi, ia hanya menyebabkan konflik dan hati yang keras,” katanya pada sidang media bersama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, di Wisma Putra, semalam. Terdahulu Clinton mengadakan perbincangan dua hala dengan Anifah kira-kira sejam yang mencakupi pelbagai bidang kepentingan bersama seperti nuklear, pendidikan, perdagangan serta isu Afghanistan.
Beliau berkata, AS amat mengalu-alukan seruan Perdana Menteri dan akan terus memberi sokongan termasuk kepada pemimpin negara lain yang menyambutnya untuk menggalakkan dialog antara kepercayaan.
Pada majlis berasingan di Pejabat Perdana Menteri, Clinton mengunjungi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dengan AS berkaitan sains dan teknologi serta antara kerajaan dan Pratt and Whitney berkaitan pembekalan enjin pesawat A330 milik Penerbangan Malaysia (MAS).
Satu lagi ialah memorandum perjanjian kerjasama dan lesen antara Academic Medical Center Sdn Bhd dengan Universiti John Hopkins Medicine International, berkaitan penubuhan universiti dan hospital di negara ini.
“Jika kita berhasrat meningkatkan hubungan di kalangan penduduk, kita akan melebarkan hubungan dengan bahagian lain di dunia dan secara khasnya kami komited untuk mengukuhkan hubungan antara penduduk Malaysia dan AS,” katanya.
Clinton juga berkata, hubungan AS-Malaysia sudah sekian lama terjalin berdasarkan nilai bersama termasuk menghormati kepelbagaian budaya, majmuk, toleransi beragama selain menjadi rakan kongsi perdagangan dan pelaburan.
Beliau berkata, AS juga berminat dengan visi Najib untuk memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di negara ini dan pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Luar untuk menggandakan usaha membolehkan rakyat Malaysia mendapat pendidikan bahasa itu menerusi program yang berkualiti.
Anifah pula berkata, kunjungan Clinton ke Malaysia adalah yang pertama oleh Ahli Kongres AS sejak 1995 dan ia memperkukuhkan hubungan antara Najib dan Presiden Barack Obama.
“AS penting kepada Malaysia, pada 2009 AS adalah rakan dagang ketiga terbesar dan antara 2004 hingga 2009, ia negara kedua terbesar dari segi pelaburan di sini,” katanya.
Sumber: Berita Harian 03/11/10
Awas! Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) Adalah Agama Baru Yang Didakwahkan Oleh Najib, Suatu Bentuk Penyesatan Terhadap Islam.
Lihatlah bagaimana Hillary Clinton telah berjaya menghembuskan jampi serapahnya menyihir para pemimpin sekular umat Islam di Malaysia ketika ini dengan kata-kata beracunnya. Beliau dengan kalimah sihirnya telah menyatakan sokongan kepada falsafah Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang diilhamkan oleh Najib Razak yang menurutnya berupaya membanteras golongan pelampau terutama terhadap agama. Terbukti para pemimpin sekular umat Islam Malaysia hari ini adalah golongan yang tidak mengendahkan firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil menjadi teman kepercayaan orang-orang yang di luar dari kalangan kamu (kerana) mereka tidak henti-henti (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya”. [TMQ Ali- ‘Imran (3):118].
“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani sekali-kali tidak akan redha kepada kamu sehinggalah kamu mengikuti millah mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah ilmu (kebenaran) datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. [TMQ Al-Baqarah (2):120].
Dari ilham dan cetusan idea itu jelas bahawa sebenarnya Najib telah menjerumuskan dirinya ke dalam kelompok yang mengiyakan kehendak jahat Amerika, iaitu supaya umat Islam itu menjadi Islam yang moderat. Ia adalah satu konsep untuk mencampur adukkan antara Islam dengan kekufuran. Islam moderat itu sebenarnya adalah Islam sekular iaitu suatu pemahaman yang memisahkan agama dari kehidupan. Kita dapat melihat bagaimana Najib menerima idea “kesederhanaan” [dalam makna sekular] dengan penuh rela dan kesanggupan dan sebaliknya menjadikan golongan yang ingin berpegang kepada Islam secara kaffah dilabel sebagai ekstrim dan juga sebagai lawannya. Ini secara tidak langsung telah menjadikan umat Islam itu berpecah kepada dua. Di samping itu juga, pemahaman “sederhana” ini menyebabkan umat Islam itu sudah tidak lagi mengenal siapakah musuh mereka yang sebenar. Apakah Najib akan sanggup bersekongkol dengan Amerika semata-mata untuk memerangi golongan yang dilabelkan ekstrim oleh syaitan besar itu? Sedangkan Allah SWT telah berfirman:
“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaanNya, tanda-tanda mereka tampak pada wajah mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka (yang diungkapkan) dalam Taurat dan sifat-sifat mereka (yang diungkapkan) dalam Injil, iaitu seperti benih mengeluarkan tunasnya, kemudian tunas itu menjadi semakin kuat lalu menjadi besar dan tegak lurus di atas batangnya. Tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mu’min). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh di antara mereka keampunan dan pahala yang besar”. [TMQ Al-Fath (48):29].
Untuk itu, sudah tiba masanya umat Islam hari ini mencelikkan diri mereka dengan pemahaman politik Islam yang sebenarnya agar mereka tidak terus ditipu oleh para syaitan besar yang diketuai oleh Amerika yang sedang menguasai dunia saat ini. Yakinlah, hanya dengan kekuatan Khilafah sahajalah yang akan menjadi satu-satunya kuasa besar yang boleh melenyapkan kejahatan yang sedang diusung oleh Amerika laknatullah ketika ini.