“Glamping With Pride”: Di mana kerajaan dan pihak berkuasa agama?
Nampaknya golongan songsang semakin hari semakin berani menonjolkan diri dengan pelbagai aktiviti, yang sengaja diiklankan secara terbuka walaupun mereka tahu akan mengundang kemarahan dan penolakan orang ramai. Mereka nampaknya sudah tidak peduli dengan semua itu, bukan kerana kekuatan yang mereka miliki atau kerana besarnya komuniti mereka, tetapi kerana mereka ada agenda yang ingin diperjuangkan dan mereka sudah sanggup menanggung segala risikonya. Mereka tahu bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjuangan ini, dan adanya kabel kuat, malah ‘kuasa besar’ yang mendukung mereka – inilah yang melahirkan keberanian mereka walaupun memperjuangkan suatu kejijikan.
Penganjuran program “Glamping With Pride” yang dijadualkan pada 17–18 Januari 2026 di Hulu Langat yang dibalut dengan “acara rekreasi” adalah usaha berterusan komuniti pelangi di negara ini untuk menormalisasikan agenda songsang mereka dengan cara santai tetapi mesejnya sampai. Inilah cara dan agenda mereka, yang cuba memaksa penerimaan sosial terhadap sesuatu yang jelas bertentangan dengan fitrah dan hukum Allah.
Mereka mengulangi usaha mereka dan terus mengulanginya walaupun agak sering berakhir dengan kegagalan. Jika aktiviti gagal diadakan sekalipun, mereka telah meraih propaganda dan populariti yang mereka mahukan, dan ini merupakan satu kejayaan bagi mereka. Mereka berjaya kerana cukup dengan hanya satu iklan, satu Malaysia telah kecoh dan terpaksa memberi perhatian kepada mereka. Mereka inginkan perhatian tersebut, kerana mereka tidak lagi mahu bergerak secara sembunyi. Mereka bahkan mahu memasarkan aktiviti mereka secara terbuka sebagai sebuah mesej dan tuntutan perjuangan untuk diketahui (dan akhirnya diterima) oleh semua orang.
Sebagai Muslim, kita hendaklah faham bahawa isu ini perlu dilihat pada akar, bukan pada kosmetik. Munculnya golongan terkutuk ini adalah natijah arus liberalisme Barat yang masuk ke dunia Islam yang menjadikan “kebebasan” dan “hak asasi” seolah-olah sebagai sebuah agama baharu di mana manusia itu sendiri menjadi penentu kepada baik dan buruk, halal dan haram untuk dirinya, dan orang lain perlu menghormatinya tanpa boleh mempertikaikannya.
Atas dasar itu, mereka sering menuntut, malah memperjuangkan habis-habisan agar masyarakat menerima perbuatan atau aktiviti mereka. Masyarakat tidak dibenarkan untuk “menghakimi” mereka, kerana tindakan menghakimi ini adalah suatu yang salah. Mereka ingin merubah kemungkaran menjadi suatu yang normal, dan siapa yang menolak hal ini akan dituduh ekstrem.
Selain itu, golongan keji itu berusaha menormalisasi perbuatan dan tindakan mereka melalui strategi “simpati”. Mereka sering memposisikan diri mereka sebagai “mangsa diskriminasi”. Dalam konteks ini, masyarakat dipaksa menerima naratif bahawa isu mereka ialah isu kemanusiaan dan hak individu. Mereka menilai masyarakat sebagai kejam apabila tidak menerima kehadiran mereka dalam masyarakat. Inilah strategi licik mereka. Mereka tidak mahu “hidup sendiri” lagi dan mahu masyarakat mengiktiraf mereka, dan masyarakat hendaklah menerima mereka atau setidaknya memberi ruang kepada mereka untuk bergerak dengan cara mereka. Mereka akan menyalahkan masyarakat jika masyarakat menolak mereka. Dengan cara ini, mereka cuba meraih simpati masyarakat dengan “play the victim”.
Bagi menjayakan agenda dan strategi mereka, maka pelbagai program telah mereka rangka secara terbuka, termasuklah acara seperti “Glamping With Pride” ini. Mereka secara berterusan mengiklankan dan melakukan pelbagai aktiviti secara terbuka untuk test the market. Jika mereka berjaya melakukan aktiviti, mereka sudah tentu bergembira dan meraikannya. Namun, jika mereka gagal kerana halangan dari masyarakat atau kerajaan, mereka akan play the victim. Mereka akan menyeru masyarakat agar tidak mendiskriminasi mereka. Mereka akan terus-menerus menuntut masyarakat untuk mengiktiraf mereka, dan akhirnya kalau boleh mereka mahu masyarakat “meraikan” mereka.
Kerosakan sistemik
Munculnya iklan “Glamping With Pride” ini tidak ada bezanya dengan iklan-iklan maksiat yang lain seperti konsert-konsert maksiat artis luar dan dalam negeri, iklan Octoberfest dan pelbagai acara lainnya yang menyalahi Islam. Semua ini menyingkap kerosakan sistem sekular pada hari ini. Jika undang-undang dan dasar negara benar-benar memelihara masyarakat, acara songsang seperti ini tidak akan semudah itu mendapat ruang. Hakikatnya, sistem demokrasi-sekular menjadikan negara “neutral” terhadap kemungkaran – selagi tidak bercanggah dengan undang-undang negara atau selagi mengikut garis panduan Jabatan Agama. Akhirnya, maksiat semakin subur dengan keizinan daripada negara.
Dalam Islam, memelihara masyarakat bukan retorik; ia adalah tuntutan syarak. Kemaksiatan bukanlah satu “gaya hidup”, tetapi jenayah dari sudut hukum syarak yang wajib dihukum. Hak asasi manusia tidak boleh dijadikan tolok ukur benar-salah, dan masyarakat tidak boleh dibiarkan menerima kemungkaran atas alasan “mereka tidak ganggu orang lain”. Apa sahaja propaganda budaya songsang yang menghancurkan nilai dan institusi keluarga dan masyarakat, wajib dihukum dan dibanteras tanpa kompromi. Malah sekiranya sistem dan hukum Islam diterapkan, kesemua pintu maksiat akan ditutup sejak awal. Tidak sebagaimana sistem demokrasi-sekular pada hari ini yang bukan sahaja membuka segala pintu maksiat, malah pelaku maksiat sering terlepas daripada hukuman.
Sebagai Muslim, kita wajib menolak dan membantah acara “Glamping With Pride” ini, dan Alhamdulillah sentiasa ada segolongan Muslim yang membantahnya. Persoalannya, di manakah kerajaan, dan di manakah Jabatan Agama untuk menghalang acara jijik ini? Di manakah kerajaan dan Jabatan Agama yang selama ini mengaku sebagai penganut dan pejuang Ahlu Sunnah Wal Jamaah, apabila hanya menyaksikan dan membiarkan sahaja acara ini, sedangkan kuasa ada di tangan mereka untuk menghentikannya, malah membanterasnya dari akar umbi?
Ini bukan kali pertama acara seumpama ini cuba dilangsungkan. Sudah banyak kali, dan sudah banyak kali pula dibantah oleh masyarakat yang prihatin. Namun ternyata, kerajaan dan Jabatan Agama gagal bertindak…atau sengaja tidak mahu bertindak? Sungguh malang apabila Jabatan Agama tidak mengambil tindakan, malah tidak merasa “tertampar” dengan aktiviti kumpulan songsang ini, sebagai sebuah institusi yang mengaku “terpaling” Ahlu Sunnah Wal Jamaah dan seharusnya menjaga Islam!
Kesimpulan
Sesungguhnya acara “Glamping With Pride” ini hanyalah simptom kepada sebuah kerosakan sistemik. Umat Islam mesti sedar bahawa penyelesaian tuntas kepada isu ini bukan sekadar membatalkan satu program, tetapi mencabut akar sekularisme yang menjadikan negara membiarkan kemungkaran atas nama “hak”. Selagi Islam tidak diterapkan secara kaffah dalam pemerintahan negara dan pengurusan masyarakat, selagi itulah agenda liberal akan terus menekan, menguji had, dan memaksa penerimaan sedikit demi sedikit – hingga kemungkaran menjadi biasa dan teguran pula dianggap salah, apatah lagi apabila kita menegur kerajaan dan Jabatan Agama.
Wallahu a’lam.