Good Governance: Realiti Atau Hanya Harapan ?

Kerajaan dengan urus tadbir yang baik (good governance), bebas rasuah, adil, mempunyai semak dan imbang yang mantap tentu sahaja diiginkan oleh mana-mana rakyat sesebuah negara. Tiada manusia yang waras akal fikirannya menginginkan sebuah kerajaan yang zalim, rasuah, menindas dan sebagainya. Bahkan, para pemerintah yang pada masyarakat umum melihat mereka sebagai seorang pemerintah diktator yang zalim dan rasuah, tetap sahaja merasakan diri mereka sebagai seorang pemerintah yang adil dan disukai oleh rakyatnya, hanya pihak-pihak tertentu yang bermusuhan dengan mereka yang membuat tuduhan-tuduhan tersebut.

Laungan atau komitmen yang diberikan melalui kata-kata terhadap sesuatu perkara bukanlah jaminan perkara itu akan dilaksanakan seperti yang dilaungkan. Misalnya, prinsip keadilan sejagat, demokrasi, kebebasan, mutual respect dan hak asasi yang sering dilaung dan diperjuangkan oleh negara-negara barat seperti Amerika Syarikat dan Eropah sering kali dimanipulasi untuk kepentingan tertentu. Para ahli politik dan NGO di Amerika sering kali bercakap dan mempromosikan keamanan sejagat serta kebebasan, namun pada masa yang sama Amerika Syarikat adalah negara yang telah membunuh ratusan  ribu rakyat Iraq dan Afganistan. Bukan itu sahaja Amerika Syarikat juga adalah negara yang paling sibuk masuk campur dalam urusan dalaman negara-negara lain. Negara-negara Eropah yang sering dijadikan contoh oleh para ahli politik di Malaysia sebagai negara yang mempunyai sistem demokrasi yang matang, good governance dan sebagainya, adalah negara yang mengamalkan undang-udang yang bersifat perkauman serta menindas bangsa dan penganut agama lain. Begitulah sikap hipokrasi Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah serta negara-negara barat yang lain, apa yang mereka laungkan tidak diterjemahkan dalam polisi negara mereka, sebaliknya licik memanipulasi slogan-slogan indah untuk kepentingan mereka.

Oleh itu, walaupun seruan untuk membentuk sebuah negara yang mempunyai urus tadbir yang baik, bebas rasuah, adil dan sebagainya adalah satu perkara yang baik. Namun ia tidak semestinya dapat diterjemahkan seperti yang diserukan. Ini kerana ia hanya akan dapat diterjemahkan dalam realiti sebenar jika sesebuah negara mempunyai sistem pemerintahan yang dapat mereliasasikan seruan tersebut. Sistem pemerintahan merupakan penentu utama yang akan mencorak urustadbir dan kehidupan rakyat di sesebuah negara. Jika sistem pemerintahannya adalah berasaskan sekular dan kebebasan, maka sudah tentu yang lahir adalah urus tadbir dan masyarakat serta tolok ukur baik buruk sesuatu perkara berasaskan kepada cara pandang pemikiran sekular.  Adakah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat membentuk Malaysia baharu yang adil, bebas rasuah, good governance dan sebagainya? Persoalan ini dapat dijawab dengan mendalami pengaruh atau kekuatan sistem pemerintahan yang diamalkan di Malaysia ketika ini.

Sistem pemerintahan yang diamalkan oleh Malaysia ketika ini adalah sebuah sistem pemerintahan yang diadaptasi daripada sistem pemerintahan demokrasi yang diamalkan di barat. Maka segala prinsip-prinsip yang menjadi tunjang kepada demokrasi seperti pengasingan kuasa, kebebasan, hak asasi, suara majoriti, semak dan imbang didefinasikan menurut dan cara pandang barat. Istilah demokrasi terpimpin yang diperkenalkan oleh sesetengah ahli politik Islam hanyalah sekadar untuk menutup kepincangan dalam demokrasi yang banyak bercanggah dengan ajaran Islam. Realiti Malaysia terdiri daripada ramai ahli politik yang berbeza agama dan kepercayaan, maka sudah tentu definasi prinsip asas dalam demokrasi harus dikembalikan kepada definasi asal yang telah diberikan oleh barat. Perkara ini juga dapat dibukitkan, apabila terdapat percangahan pemahaman dalam pelaksanaan atau ingin melakukan penambahbaikan dalam sistem demokrasi, maka rujukannya adalah bagaimana demokrasi diamalkan di negara-negara barat.

Jika diteliti secara menyeluruh, kehidupan masyarakat barat yang ada ketika ini sangat jauh daripada kehidupan yang manusiawi walaupun mereka mengecapi kemodenan pembangunan yang sangat pesat. Mereka dilanda dengan pelbagai masalah kehidupan seperti keruntuhan institusi kekeluargaan, tidak percaya kepada ikatan perkahwinan, ateis, sifat individualisik yang sangat menebal, keganasan rumah tangga dan sebagainya. Pada masa yang sama, disebalik kemajuan ekonomi yang mereka kecapi, jurang pendapatan antara golongan kaya dengan golongan miskin semakin membesar. Segelintir golongan kaya raya menguasai sebahagian besar kekayaan negara sebaliknya sebilangan kecil kekayaan negara terpaksa dikongsi oleh sebahagian besar rakyatnya. Kesimpulannya barat adalah tamadun era moden yang gagal memberikan kesejahteraan hidup yang hakiki kepada kehidupan manusia, dan sudah tentu tidak layak langsung untuk dijadikan contoh untuk diikuti. Good governance, demokrasi matang, kebebasan, hak asasi dan sebagainya hanyalah satu ‘jampi’ yang memukau yang sering dilaungkan oleh mereka, namun pada hakikatnya kehidupan mereka jauh daripada kehidupan yang manusiawi.

Oleh itu sebenarnya, cita-cita PH untuk membentuk Malaysia Baharu dengan memperkasakan prinsip-prinsip seperti yang disebutkan di atas tidak akan dapat membawa kehidupan rakyat Malaysia kepada kehidupan yang lebih baik. Ini kerana, akar kepada masalah ialah pada sistem yang diterapkan iaitu sistem demokrasi dan kapitalisme. Kedua-duanya merupakan sistem yang berasal daripada kepercayaan memisahkan kehidupan daripada agama iaitu sekularisme. Kedua-dua sistem ini percaya bahawa, hanya manusia yang layak dan berhak untuk menentukan urusan hidupnya, tidak boleh ada campur tangan daripada Tuhan. Maka segala ukuran baik-buruk, betul atau salah tiada yang bersifat mutlak dan ia akan sentiasa berubah mengikut pihak mana yang berkuasa dan bijak memanipulasi ukuran-ukuran tersebut. Apa yang paling penting juga, sebagai umat Islam apalah ertinya jika sesebuah negara mendapat pengiktirafan sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai urus tadbir yang baik, bebas rasuah, adil dan sebagainya, tetapi penilaiannya adalah berdasarkan cara pandang serta standard yang ditetapkan oleh pemikiran sekular. Dan apalah ertinya pengiktirafan tersebut, jika hukum hakam Allah SWT tidak diterapkan secara kaffah sebagai undang-undang tertinggi negara.

Tiada cara lain yang paling berkesan untuk membentuk sebuah pemerintahan yang baik dan dapat memberikan kesejahteraan hidup yang hakiki, melainkan urusan kehidupan manusia ini diatur dengan sistem hidup yang diturunkan oleh Pencipta sekalian alam yang Maha Bijaksana dan Mengetahui iaitu Allah SWT. Sistem Khilafah adalah sistem pemerintahan yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai undang-undang tertinggi negara. Ia telah dilaksanakan semasa Rasulullah SAW mendirikan Negara Islam yang pertama di Kota Madinah, sehinggalah Khilafah yang terakhir diruntuhkan oleh Mustafa Kamal Attartuk pada 3 Mac 1924.

Kesimpulannya, good governance dan sebagainya dalam sebuah pemerintahan sekular-demokrasi adalah sebuah harapan yang mungkin akan dapat direalisasikan oleh kerajaan PH, namun ia tercapai menurut kaca mata pemikiran sekular, namun tidak akan ada kesejahteraan hidup yang hakiki dalam pemerintahan berasaskan pemikiran sekular. Hanya dengan sistem pemerintahan Khilafah yang akan dapat memberikan kesejateraan hidup yang hakiki dan menjadikan dunia ini sebagai tempat yang makmur dan adil kepada keseluruhan umat manusia.

Mus’ab
Pimpinan Pusat HTM