Hukum Wanita Haid Membaca al-Quran Melalui Internet dan Telefon Pintar (Smart Phone)
Jawapan al-Syeikh al-Alim Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah (Amir Hizbut Tahrir) atas pertanyaan pengikut di laman akaun Facebook beliau “Fiqhiyun”.
بسم الله الرحمن الرحيم
Daripada Raheeq Em Yousif
Pertanyaan:
Assalamu‘alaikum wa rahmatullah wa barakatuh…Saya ingin minta penjelasan tentang hukum syarak untuk saya pilih. Adakah wanita haid boleh membaca al-Quran melalui internet dan telefon pintar (smart phone)? Saya berharap mendapat jawapan…wassalam ‘alaikum wa rahmatullah wa barakatuh.
Jawapan:
Wa‘alaikum salam wa rahmatullah wa barakatuh.
Bagi menjawab persoalan tersebut perlu dijelaskan tiga hal / keadaan, iaitu:
(1) Membaca al-Quran secara lisan dari hafalan iaitu bukan dari mushaf
(2) Menyentuh mushaf dan membaca dari mushaf
(3) Membawa tablet atau telefon pintar yang di dalamnya ada program al-Quran al-Karim dan membaca melaluinya.
Berkenaan keadaan (1), terdapat perbezaan pendapat antara ahli fiqh berkenaan hukum wanita haid yang membaca al-Quran secara lisan melalui hafalan. Ada yang membenarkannya dan ada juga yang mengharamkannya.
Menurut pendapat saya, yang rajih bagi masalah ini adalah wanita haid tidak boleh melafazkan atau membaca ayat al-Quran.
Al-Hakim telah mengeluarkan di al-Mustadrak dari Sulaiman bin Harb dan Hafshin bin Amru bin Murrah dari Abdullah bin Salamah, ia berkata: Kami menemui Ali ra, saya dan dua orang lelaki, lalu Ali ra berkata:
«كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْضِي الْحَاجَةَ، وَيَقْرَأُ الْقُرْآنَ، وَيَأْكُلُ اللَّحْمَ، وَلَمْ يَكُنْ يَحْجُبُهُ عَنْ قِرَاءَتِهِ شَيْءٌ لَيْسَ الْجَنَابَةُ.»
“Rasulullah SAW membuang hajat, membaca al-Quran dan baginda memakan daging. Tidak ada yang menghalangi baginda dari membaca al-Quran sesuatu pun selain janabah.”
Al-Hakim berkata, “ini hadis sahih al-isnad” dan al-Dzahabi mensahihkannya. Jelas dari hadis tersebut bahawa Rasulullah SAW membaca al-Quran secara lisan dari hafalan kecuali jika baginda dalam keadaan junub. Maksudnya, orang yang sedang dalam keadaan junub tidak dibenarkan membaca al-Quran.
Keadaan orang yang berjunub sama juga dengan keadaan wanita yang sedang haid (dalam keadaan berhadas) darihal membaca al-Quran.
Oleh itu, pada pandangan saya, pendapat yang kuat dan rajih adalah wanita haid tidak boleh membaca al-Quran.
Berkenaan keadaan (2), menyentuh mushaf al-Quran adalah tidak dibenarkan bagi orang yang berjunub dan wanita yang sedang haid.
Hukumnya adalah haram sesuai dengan firman Allah SWT,
(لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ)
“Tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yang disucikan” [TMQ al-Waqi’ah (56):79].
Juga terdapat hadis mulia yang dikeluarkan oleh Imam Malik dalam al-Muwatha’, dari Abdullah bin Abu Bakar bin Hazmin, bahawa di dalam surat yang ditulis oleh Rasulullah SAW untuk Amru bin Hazmin:
«أَنْ لَا يَمَسَّ الْقُرْآنَ إِلَّا طَاهِرٌ»
“Tidak menyentuh al-Quran kecuali orang yang suci.”
Juga dalam riwayat yang lain oleh Imam Mallik di dalam al-Muwatha’ secara lengkap nama Abdullah sebagai berikut, “dari Abdullah bin Abiy Bakar bin Muhammad bin Amru bin Hazmin…al-Thabarani telah mengeluarkan di Mu’jam al-Kabir dan Mu’jam al-Shaghir dari Salim bin Abdullah bin Umar dengan lafaz, “dari Sulaiman bin Musa, aku mendengar Salim bin Abdullah bin Umar menceritakan hadis dari bapanya, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda,
«لَا يَمَسُّ الْقُرْآنَ إِلَّا طَاهِرٌ»
“Tidak menyentuh al-Quran kecuali orang yang suci.”
Oleh yang demikian, pada pendapat saya, hukum bagi membaca dan memegang mushaf al-Quran bagi wanita haid adalah haram bersandarkan hadis-hadis di atas.
Berkenaan keadaan (3), membawa tablet atau telefon pintar yang telah dimuat turun program al-Quran al-Karim, ahli-ahli fiqh telah membahas masalah tersebut sebagai berikut:-
Jika kita membawa mushaf yang berada di dalam kotak atau beg – dalam masalah ini ahli fiqh mempunyai perbezaan pendapat tentangnya.
Hanafiyah dan Hanabilah berpendapat bahawa tidak menjadi masalah bagi orang yang berjunub, wanita haid atau berhadas untuk membawa atau memegang mushaf al-Quran secara tergantung atau mempunyai pelapik yang terpisah atau tidak melekat dengan mushaf al-Quran.
Ini dibolehkan kerana tidak ada sentuhan dengan mushaf dan yang diharamkan ialah jika berlaku sentuhan dengan mushaf.
Hanafiyah berkata, “Seandainya ia membawa mushaf dengan penutup yang tidak melingkupinya atau di dalam beg atau seumpama dengannya, maka ia tidak makruh (la yukrahu)…Malikiyah dan Syafi’iyah dan dalam satu riwayat dari Ahmad, berpendapat bahawa hal itu tidak dibenarkan.
Malikiyah berkata, “Orang yang tidak suci tidak boleh membawa mushaf walaupun mushaf dibawa di atas bantal atau seumpamanya seperti kerusi atau di dalam penutup atau dengan cara tergantung.”
Syafi’iyah berkata dalam riwayat yang lebih sahih pada pandangan mereka, “Tidak boleh membawa dan menyentuh kain pelapik atau kotak yang terdapat mushaf al-Quran di dalamnya, iaitu jika memang disiapkan untuk membawa mushaf itu.
Namun, dibolehkan jika menyentuh atau membawa kotak yang mempunyai barang-barang lain beserta mushaf al-Quran.
Jelas bahawa dalam isu ini terdapat perbezaan pendapat secara fiqh.
Namun, pendapat yang saya kuatkan adalah boleh membawa telefon pintar dalam keadaan junub atau haid walaupun terdapat aplikasi al-Quran di dalamnya kerana itu tidak dikira sebagai hukum mushaf al-Quran.
Fakta bahawa penyimpanan al-Quran di dalam memori telefon pintar bukanlah seperti tulisan. Di samping itu, terdapat aplikasi-aplikasi lain yang turut dimuatkan di dalamnya untuk tujuan kegunaan seharian yang lain. Oleh sebab itu ia tidak digelar sebagai mushaf al-Quran.
Namun begitu, terdapat dua keadaan yang dikecualikan dari perkara ini:
(i) Apabila aplikasi al-Quran itu dibuka dan teks al-Quran muncul di layar/skrin telefon pintar:
Dalam keadaan ini maka teks yang tertulis itu dianggap seperti mushaf kerana keadaan itu di kategori sebagai tulisan teks. Haram menyentuh skrin tertulis ayat al-Quran kecuali orang yang suci kerana keadaannya sama seperti tulisan di atas kertas, lembaran dan kulit yang di atasnya tertulis mushaf. Atas dasar itu maka, jika orang yang membawa telefon pintar itu ingin membaca al-Quran dari aplikasinya, maka ia tidak boleh membacanya kecuali dalam keadaan suci.
Begitu juga jika skrin telefon pintar itu terpapar dan terdapat teks al-Quran maka ia tidak boleh dibawa kecuali oleh orang yang suci.
Namun, jika telefon pintar itu tidak terpapar teks al-Quran di skrin, dalam keadaan ini orang yang sedang junub atau haid boleh memegang atau membawa telefon pintar tersebut. Sebab tahqiq manath (hakikat fakta) telefon pintar itu, jika tidak ada teks al-Quran yang terpapar di skrin, maka kedudukannya berbeza dari manath (fakta) mushaf.
(ii) Jika telefon pintar itu hanya mempunyai aplikasi al-Quran sahaja, di mana telefon tersebut hanya diguna untuk membaca ayat-ayat al-Quran sahaja, atau dengan kata lain telefon pintar itu tidak digunakan untuk hal-hal lain selain untuk membaca al-Quran di dalamnya sahaja, maka ia haram disentuh atau dibawa oleh orang yang sedang junub.
Ini yang saya rajihkan dalam masalah ini. Wallahu a’lam wa ahkam.
Wassalam ‘alaikum wa rahmatullah wa barakatuh.
Saudaramu,
Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
17 Dzulhijjah 1436 H
01 Oktober 2015 M