Hukum Wanita Yang Sedang Haid Berdiam Di Masjid

Soalan:  Bolehkah wanita haid yang sudah memakai tuala wanita berdiam di dalam masjid?  Kawasan apakah yang termasuk masjid?  Adakah tingkat bawah masjid (basement) termasuk masjid?

Jawapan:
1. Hukum Wanita Haid Duduk di Masjid
Jumhur ulama, antaranya imam mazhab yang empat, sepakat bahawa wanita yang haid tidak boleh berdiam (al-lubts) di dalam masjid, kerana ada hadith Nabi Saw yang mengharamkannya. Meskipun Imam Dawud Azh-Zhahiri membolehkan wanita haid dan orang junub berdiam di masjid [1], namun pendapat yang kuat adalah pendapat jumhur yang mengharamkannya [2].  Dalilnya ialah sabda Rasulullah SAW:
Sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid bagi wanita yang haid dan orang junub.”  [HR. Abu Dawud] [3].

Yang dimaksudkan berdiam (Bahasa Arab: al-lubtsu, atau al-muktsu) ialah berdiam atau tinggal di masjid, misalnya duduk untuk mendengar pengajian, atau tidur di dalam masjid.  Tidak ada bezanya sama ada dia duduk, berdiri, atau berjalan mundar-mandir (at-taraddud) di dalam masjid, semuanya tidak dibolehkan bagi wanita haid.

Akan tetapi jika seorang wanita haid sekadar melalui atau melintasi (al-murur) masjid kerana sesuatu  keperluan, maka itu tidak mengapa.  Dengan syarat wanita itu tidak berasa khuatir akan mengotorkan masjid [5].  Dalilnya, Nabi SAW pernah memerintahkan ‘A`isyah untuk mengangkat khumrah (seakan sejadah) yang berada di dalam masjid. Lalu ‘A`isyah memberitahu, “Sesungguhnya aku sedang haid.” Rasul bersabda, “Sesungguhnya haidmu itu bukan berada di tanganmu.” [HR. Muslim] [6].  Selain itu, ada riwayat lain bahawa Maimunah RA pernah berkata, “Salah seorang dari kami pernah membawa sejadah ke masjid lalu membentangkannya, padahal dia sedang haid.”  [HR. An-Nasa`i]. [7].

Berdasarkan penjelasan di atas, sesungguhnya hukum syara’ dalam masalah ini telah jelas, iaitu wanita haid haram hukumnya berdiam di masjid.  Adapun jika sekadar lalu atau melintas, hukumnya boleh dengan syarat tidak ada kekhuatiran akan mengotorkan masjid.

Sebahagian  ulama memang ada yang membolehkan wanita haid berdiam di masjid asalkan ia berasa aman (tidak khuatir) akan mengotorkan masjid, misalnya dengan memakai tuala wanita.8*).  Dalam Syarah Al-Bajuri Juz I hal. 115 dikatakan, bahawa kalau wanita haid tidak khuatir akan mengotorkan masjid, atau bahkan berasa aman, maka pada saat itu tidak diharamkan baginya masuk masjid, tetapi hanya makruh saja.*9)

Menurut pemahaman kami, pendapat itu tidak dapat diterima. Sebab pendapat tersebut tidak mempunyai landasan syar’i yang kuat.  Pendapat tersebut menjadikan “kekhuatiran mengotorkan masjid”, sebagai illat (alasan penetapan hukum) bagi haramnya wanita berdiam di masjid.  Jadi, jika kekhuatiran itu sudah lenyap (dengan memakai tuala wanita), maka hukumnya tidak haram lagi.  Padahal, hadith yang ada tidak menunjukkan adanya illat bagi haramnya wanita haid untuk berdiam di masjid.  Jadi tidak dapat dikatakan bahawa keharamannya disebabkan adanya kekhuatiran akan menajiskan masjid.  Sehingga jika kekhuatiran itu lenyap (dengan memakai tuala wanita) maka hukumnya tidak haram. Tidak boleh dikatakan demikian, kerana nas yang ada tidak menunjukkan adanya illat itu. Nabi SAW hanya mengatakan, “Sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid bagi wanita yang haid dan orang junub.”  Nas ini jelas tidak menunjukkan adanya illat apa pun, baik illat secara sarahah (jelas), dalalah (penunjukan), istinbat, atau qiyas.

Tambahan pula nas tersebut bersifat mutlak, bukan muqayyad. Jadi yang diharamkan berdiam di masjid adalah wanita haid, secara mutlak.  Baik wanita haid itu akan mengotorkan masjid, atau tidak akan mengotorkan masjid. Memakai tuala wanita atau tidak memakai tuala wanita.  Jadi, selama tidak ada dalil yang memberikan taqyid (batasan atau sifat tertentu) —misalnya yang diharamkan hanya wanita haid yang dapat mengotorkan masjid— maka dalil hadith tersebut tetap berlaku untuk setiap wanita haid secara mutlak. Hal ini sesuai dengan kaedah usul fiqh:
Al-muthlaqu yajriy ‘ala ithlaaqihi maa lam yarid daliil at-taqyiid
(Lafaz) mutlak tetap berlaku dalam kemutlakannya selama tidak ada dalil yang menunjukkan adanya taqyid (pemberian batasan/sifat tertentu).”*10)

2. Batasan Masjid
Setelah jelas wanita haid tidak boleh berdiam di masjid, maka pertanyaan berikutnya adalah, apakah batasan masjid itu?  Masjid adalah tempat yang ditetapkan untuk mendirikan solat berjamaah bagi orang umum.*11).  Yang dimaksudkan solat berjamaah ialah terutamanya solat berjamaah lima waktu dan solat Jumaat.  Namun termasuk juga solat sunat berjamaah seperti solat Tarawih dan solat Aidil Fitri atau Aidil Adha.

Di Malaysia, jika hanya untuk berjamaah lima waktu tetapi tidak digunakan solat Jumaat, tempat itu biasanya tidak disebut masjid, tapi disebut surau.  Manakala istilah masjid atau masjid jami`, biasanya digunakan untuk tempat yang digunakan untuk solat Jumaat. 

Sebenarnya, semua itu termasuk kategori masjid, menurut definisi di atas.  Kerana yang penting tempat itu digunakan solat berjamaah untuk orang umum.  Maka, terhadap surau, berlaku juga hukum-hukum untuk masjid, misalnya wanita haid tidak boleh berdiam di dalamnya.  Walaupun tidak dinamakan masjid. 

Adapun jika sebuah tempat disiapkan untuk solat berjamaah, tapi hanya untuk orang tertentu (misal penghuni sesuatu  rumah), maka tempat itu tidak dinamakan masjid, dan tidak diterapkan hukum-hukum masjid padanya. Demikian pula jika sebuah tempat hanya digunakan untuk solat secara sendiri, bukan untuk solat jamaah, maka itu juga bukan dinamakan masjid.

Definisi di atas adalah definisi umum, iaitu untuk membezakan masjid dengan bangunan yang bukan masjid.  Ada definisi khusus, iaitu masjid dalam pengertian tempat-tempat yang digunakan untuk solat (mawadhi’ ash-salat), atau tempat-tempat yang digunakan untuk sujud (mawdhi’ as-sujud).*12).  

Definisi khusus ini untuk membezakan berlakunya hukum masjid bagi sebuah kompleks bangunan masjid yang luas dan terdiri dari beberapa bangunan atau ruang untuk pelbagai keperluan.  Sebab adakalanya sebuah kompleks masjid itu memiliki banyak ruang, atau mungkin mempunyai dua tingkat, mempunyai bilik khusus untuk penjaga masjid, mempunyai bilik seminar / mesyuarat, kedai,parking dan sebagainya.  Bahkan ada masjid yang tingkat bawahnya kadang-kadang digunakan untuk acara kenduri pernikahan, pameran, dan sebagainya. 

Apakah semua ruangan itu disebut masjid dan berlaku hukum-hukum masjid?  Menurut pemahaman kami, jawapannya tidak.  Dalam keadaan ini, berlakulah definisi khusus masjid, iaitu masjid sebagai mawadhi` ash-solat (tempat-tempat solat).*13)

Maka dengan itu, basement (ruang legar/lobi)  masjid bukanlah masjid, jika ruang itu memang tidak digunakan untuk solat jamaah.  Jika digunakan untuk solat berjamaah, maka termasuk masjid.  Demikian pula bahagian masjid yang lain, misalnya bilik mesyuarat, bilik seminar, bilik penjaga masjid, tempat parkir (tempat letak kereta) dan sebagainya.  Semuanya bukan masjid jika tidak digunakan untuk solat berjamaah.  Ringkasnya, semua tempat atau ruang yang tidak digunakan untuk solat berjamaah, tidak dinamakan masjid, meski pun merupakan sebahagian dari keseluruhan bangunan masjid.

Bagaimana andaikata sesuatu  tempat di masjid (misalnya tingkat bawah) kadang-kadang digunakan untuk solat jamaah dan kadang-kadang tidak?  Jawapannya adalah seperti berikut.  Yang diperhatikan adakah sesuatu  tempat itu lebih kerap digunakan untuk solat berjamaah, atau lebih kerap tidak digunakan untuk solat berjamaah. Jika lebih kerap digunakan untuk solat berjamaah, maka dihukumi masjid.  Jika lebih kerap tidak, maka tidak dianggap masjid.

Yang demikian itu bertolak dari sesuatu  prinsip bahawa hukum syara’ itu didasarkan pada dugaan kuat (ghalabatuzh zhann).  Dan dugaan kuat itu dapat disimpulkan dari kenyataan yang lebih banyak/dominan (aghlabiyah).  Ini sebagaimana metod para fuqaha ketika menetapkan pensyariatan Musaqah (akad menyiram pohon) —bukan Muzara’ah (akad bagi hasil pertanian)— di tanah Khaybar. Mengapa?   Kerana tanah di Khaybar (sebelah utara Madinah) pada masa Nabi SAW sebahagian  besarnya adalah tanah-tanah yang berpohon kurma. Sedang di sela-sela pohon kurma itu, yang luasnya kurang, ada tanah-tanah kosong yang boleh ditanami gandum. Hal ini dapat diketahui dari riwayat Ibn Umar, bahawa hasil pertanian Khaybar yang diberikan Nabi kepada para isteri beliau, jumlahnya 100 wasaq, iaitu 80 wasaq buah kurma dan 20 wasaq gandum. [HR. Bukhari].*14)   Oleh sebab yang lebih banyak adalah hasil kurma, bukan gandum, maka akad yang ada di Khaybar  adalah Musaqah, bukan Muzara`ah.

Penjelasan di atas menunjukkan contoh kes bahawa hukum syara’ itu dapat didasarkan pada kenyataan yang lebih banyak (aghlabiyah).  Maka dari itu, ketika kita menghadapi fakta adanya ruang basement masjid yang kadang-kadang digunakan untuk solat dan kadang-kadang tidak digunakan untuk solat berjamaah, kita harus melihat dahulu, manakah yang aghlabiyah (yang lebih banyak/kerap).  Jika lebih kerap digunakan untuk solat berjamaah, maka basement itu dihukumi masjid.  Dan jika lebih kerap tidak digunakan untuk solat berjamaah, maka basement itu dianggap bukan masjid. Wallahu a’lam[. [Muhammad Shiddiq al-Jawi]
Catatan: 1 wasaq = 130,560 kg gandum.

Catatan Kaki:
1) Muhammad bin Abdurrahman, Rohmatul Ummah fi Ikhtilaf Al-A`immah, hal. 17.
2) Lihat Ash-Shan’ani, Subulus Salam, I/92.
3) Hadith ini sahih menurut Ibnu Khuzaimah. Lihat Subulus Salam, I/92. Menurut Ibn al-Qaththan, hadith ini hasan, Kifayatul Akhyar, I/80.
4) Taqiyuddin Al-Husaini, Kifayatul Akhyar, I/80.
5) Lihat As-Suyuhti, “Al-Qaul fi Ahkam Al-Masajid”, Al-Asybah wa An-Nazha`ir, hal. 241, dan “Bab Al-Haidh”, Al-Asybah wa An-Nazha`ir, hal. 247; As-Sayid A’lawi, Bughyatul Mustarsyidin, hal. 14.
6) Lihat Dr. Mustopha Diibul Bigha, Fiqih Syafi’i (At-Tahdzib), hal. 76; M. Shalih Al-Utsaimin, Al-Fatawa An-Nisa`iyah (Fatwa-Fatwa Tentang Wanita), hal. 44.
7) Lihat Dr. Mustopha Diibul Bigha, Fiqih Syafi’i (At-Tahdzib), hal. 77.
8) Taqiyuddin Al-Husaini, Kifayatul Akhyar, I/78.
9) KH. Moch Anwar, 100 Masail Fiqhiyah : Mengupas Masalah Agama yang Pelik dan Aktual, hal. 51.
10) Lihat Wahbah Az-Zuhaili, Ushul Al-Fiqh Al-Islami, I/208; Imam Asy-Syaukani, Irsyadul Fuhul, hal. 164.
11) Lihat Hasbi Ash-Shiddieqy, Pedoman Sholat, hal. 274-275; Koleksi Hadith-Hadith Hukum, III/368; Ibrahim Anis dkk, Al-Mu’jam Al-Wasith, hal. 416.
12) Lihat Ash-Shan’ani, Subulus Salam I/92 & 152.
13) Ibid.
14) Lihat Taqiyuddin An-Nabhani, Muqaddimah Ad-Dustur, hal. 319.