Ingin Terap Dasar Manhaj Rabbani Dalam Sistem Sekular?

Kerajaan bakal melaksanakan Dasar Manhaj Negara sebagai satu polisi baharu bagi memastikan segala urusan pentadbiran negara sentiasa menepati prinsip-prinsip Islam. Dasar yang diberi nama sebagai Dasar Manhaj Rabbani itu diperkenalkan oleh Menteri Hal Ehwal Agama setelah dikritik kerana gagal mengemukakan apa-apa dasar dan hala tuju sejak lebih 10 bulan menjadi menteri.

Seperti biasa, setiap kali pertukaran kerajaan atau perubahan wajah menteri pasti akan ada gagasan atau slogan baru yang diperkenalkan. Sebelum ini kita pernah di dendangkan dengan slogan Rahmatan Lil Alamin, Islam Hadhari, 1Malaysia, Wawasan 2020 dan pelbagai laungan slogan dan dasar bagi mencantikkan pemerintahan sekular di Malaysia ini. Kini tiba giliran untuk satu lagi slogan kosong yang berbunyi Dasar Manhaj Rabbani.

Slogan yang berbunyi Islamik sangat perlu bagi sebuah kerajaan yang tidak menerapkan Islam, kerana dengan slogan itulah mereka berharap rakyat dapat diperbodohkan dengan melihat kerajaan ini sebagai sebuah kerajaan yang patuh syariah.

Mengikut Tafsir Pimpinan ar-Rahman, perkataan “Rabbani” bermaksud orang yang menyembah Allah (swt) dengan ilmu dan amal sempurna. Manakala dalam Tafsir Fi Zilalil Quran, Syed Qutb berkata, “Rabbani” bermaksud orang menghubungkan dirinya kepada Allah (swt) dengan amalan ibadat. Profesor Dr Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA) pula mentafsirkan kalimah “Rabbani” sebagai orang yang rapat dengan Tuhan dalam urusan kerohanian [Tafsir al-Azhar]. Manakala Ibn Manzur telah memecahkan perkataan “Rabbani” kepada tiga definisi iaitu manusia yang menyembah Allah (swt), manusia yang memahami ilmu ketuhanan dan orang yang dalam ilmu agama dan beramal dengan ilmunya.

Berdasarkan penjelasan di atas, istilah “Rabbani” bukanlah istilah yang sesuai untuk digabungkan dengan istilah “Negara”, kerana ia lebih merujuk kepada individu yang mentaati Allah (swt). Apa pun, kesesuaian itu adalah perkara kedua kerana perkara pokoknya ialah konsep atau intipati yang ingin dibawa dengan slogan yang bunyinya penuh ‘bombastik’ itu.

Persoalannya, apakah negara ini merupakan negara yang mentaati Allah (swt)? Apakah negara ini merupakan negara yang menerapkan hukum Allah (swt)? Apakah negara ini merupakan negara yang tunduk patuh sepenuhnya kepada ketetapan Allah (swt)…sehingga layak dikaitkan dengan manhaj Rabbani?

Adakah wujud manhaj Rabbani apabila pemerintahan negara ini berpaksikan Perlembagaan dan undang-undang yang datangnya dari kuffar Barat? Adakah wujud manhaj Rabbani apabila ahli-ahli politik khususnya daripada parti pemerintah dipenuhi skandal, hidup dengan rasuah, penyelewengan kuasa, tamak haloba, menzalimi dan menipu rakyat dan melakukan pelbagai kemaksiatan kepada Allah (swt)? Adakah wujud manhaj Rabbani apabila mereka yang memegang pemerintahan mengkhianati amanah yang diletakkan oleh Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw)? Adakah wujud manhaj Rabbani apabila ahli-ahli Parlimen mengambil hak Allah (swt) dalam membuat hukum? Sungguh aneh dan lucu apabila sebuah negara yang mencampakkan hukum Allah (swt), tetapi mendakwa dirinya menerapkan manhaj Rabbani dalam pemerintahan.

Rasulullah (saw) tidak pernah menerapkan apa jua “slogan” dalam pemerintahan, tetapi menerapkan hukum Allah (swt) sepenuhnya, kerana inilah yang diperintahkan oleh Allah (swt), yakni menerapkan hukum-Nya. Hakikatnya, semua slogan atau gagasan apa sekali pun atas nama Islam yang cuba dilakukan oleh pemerintah hanyalah usaha untuk menyembunyikan kezaliman dan keburukan sistem demokrasi yang dipaksakan ke atas umat Islam pada hari ini.

Cukuplah usaha “menipu” rakyat dengan pelbagai slogan gempak yang berbunyi Islamik, tetapi realitinya kosong dari hukum wahyu. Apa yang wajib dilakukan oleh pemerintah ialah menerapkan hukum Allah (swt) secara kaffah, bukannya melaungkan slogan-slogan kosong yang bersifat kosmetik dalam rangka menyembunyikan segala kurap dan kudis yang terdapat pada wajah hodoh pemerintahan demokrasi yang berteraskan sekularisme ini.