Isi Rumah Miskin: Salah Wanita atau Negara?

Berita:

Peningkatan jumlah wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa dikhuatiri menjadi punca kadar kemiskinan isi rumah semakin meningkat di Malaysia. Apabila wanita terutama yang memiliki kelayakan akademik memilih menjadi suri rumah sepenuh masa ia akan menyebabkan pendapatan isi rumah berkurangan dan boleh menjerumuskan keluarga mereka di kancah kemiskinan. Presiden Kongres ­Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, ketidakseimbangan ekonomi akan wujud apabila wanita tidak bekerja dan pendapatan isi rumah hanya bergantung kepada lelaki. Katanya, ini sekali gus me­ningkatkan jurang kemiskinan dan menjejaskan kesejahteraan keluarga.

Sumber: Utusan Malaysia, 3/1/2025

Komentar:

Pendapat yang mengatakan meningkatnya jumlah wanita yang memilih menjadi surirumah menjadi punca meningkatnya kemiskinan isi rumah di Malaysia adalah pendapat yang keliru yang cuba untuk meletakkan punca masalah pada wanita bukannya pemerintah yang bertanggungjawab mengurus ekonomi negara. Seperti peribahasa asli Indonesia, buruk muka cermin dibelah, begitulah yang sedang berlaku dalam isu ini.

Padahal, bertambahnya pendapatan isi rumah tidak menjamin sebuah keluarga akan keluar dari kancah kemiskinan. Sebuah tinjauan yang dijalankan UNICEF mendapati bahawa walaupun pendapatan isi rumah melonjak tetapi kemiskinan masih ketara. Yang menjadi punca kepada tekanan kewangan yang ketara kepada isi rumah adalah kenaikan harga barang dan makanan. Sejumlah 90 peratus isi rumah sedang bergelut dengan kesan kenaikan kos sara hidup, terutamanya harga makanan.

Dapatan tinjauan bertajuk ‘Ranjau Sepanjang Jalan: Tinjauan berulang tentang impak kos sara hidup pasca pandemik terhadap isi rumah berpendapatan rendah di Kuala Lumpur’, itu dijalankan dari 14 Oktober 2023 hingga 16 November 2023. [astroawani.com, 8/5/2024].

Tidak cukup dengan itu, yuran taska yang tinggi menyebabkan ramai isteri memilih untuk menjadi suri rumah. Bagi wanita yang berpendapatan rendah, menghantar anak ke taska dengan yuran yang tetap tinggi masih tidak berbaloi.  Kadar yuran pusat jagaan kanak-kanak juga dijangka naik antara 15 hingga 30 peratus tahun ini susulan peningkatan kadar gaji minimum kepada RM1,700 seperti diumumkan kerajaan dalam belanjawan tahun lalu. [Malaysiagazette.com, 24/10/2024].

Jika yuran taska naik, memang tidak berbaloi jika wanita bekerja kerana gaji akan dihabiskan untuk membayar pengasuh di samping kos-kos sampingan yang lain. Masalah kewangan tetap akan membelenggu isi rumah walaupun kedua-dua suami dan isteri bekerja.

Jadi, adakah dengan meningkatnya jumlah wanita berkerja dan bertambahnya pendapatan isi rumah akan mengurangkan kadar kemiskinan jika masalah harga barang dan makanan serta kos sara hidup yang lain tidak diselesaikan dengan benar oleh pemerintah? Sudah tentu tidak.

Siapakah yang bertanggungjawab mengurus ekonomi negara sehingga terpenuhi keperluan asas setiap individu, kalau bukan negara? Siapakah yang bertanggungjawab menangani masalah kemiskinan dalam kalangan rakyat, kalau bukan pemerintah? Sungguh tidak adil jika wanita dibebankan dengan tanggungjawab besar yang sepatutnya dipikul oleh pemerintah. Rasululah SAW bersabda,

“Seorang iman (pemimpin) adalah bagaikan penggembala, dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas gembalaannya (rakyatnya).” [HR. Bukhari dan Muslim].

Semua ini menunjukkan bukti bahawa pemerintah gagal mencari punca kemiskinan sekaligus menanganinya secara benar. Kemiskinan dalam kalangan rakyat hari ini adalah kemiskinan yang disebabkan oleh kelemahan dan kerosakan sistem yang digunapakai oleh para pemimpin dalam mengurusi umat (kemiskinan berstruktur). Kemiskinan berstruktur sangat identik dengan sistem kapitalisme iaitu sistem yang melaksanakan agihan kekayaan yang tidak seimbang kepada masyarakat.  Selama pemerintah menggunakan sistem kapitalisme ini dan mencari penyelesaian dalam kerangka sistem yang sama, selama itulah kemiskinan sifar hanyalah sebuah mimpi dan ilusi.

Berbeza dengan sistem kapitalisme, Islam sebagai agama yang syumul (menyeluruh) menyediakan mekanisme yang lengkap untuk mencegah dan mengatasi masalah kemiskinan. Secara umumnya, ada empat langkah yang digariskan oleh syariat Islam. Pertama, negara wajib memastikan rakyatnya terpenuhi keperluan asas (primary needs) iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Kedua, negara wajib memastikan pengaturan pemilikan individu, masyarakat dan negara secara adil. Ketiga, negara wajib menyediakan pekerjaan bagi seluruh rakyatnya. Keempat, negara wajib memberi jaminan pendidikan yang sama kualitinya secara percuma dan tanpa diskriminasi atas dasar apa pun.

Kesimpulannya, peningkatan jumlah wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa bukanlah menjadi punca kadar kemiskinan isi rumah semakin meningkat, melainkan berpunca daripada kepercayaan dan ketundukan pemerintah kepada sistem ekonomi kapitalisme. Masalah kemiskinan hanya boleh diselesaikan dengan penerapan sistem Islam kaffah yang sistematik dan efektif.

Syamsiyah Jamil

Sumber Berita:

  1. https://www.utusan.com.my/nasional/2025/01/kemiskinan-meningkat-jika-wanita-tidak-bekerja/?fbclid=IwY2xjawHx1sxleHRuA2FlbQIxMQABHdfrg4QmvFgv9I5lfFLH9JscKVgEHS_rIZaFDVsE2-gFXXmiDddnlwtrwg_aem_5Y3B4NE-2XepK-uwRDUfVw
  2. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kajian-unicef-pendapatan-isi-rumah-melonjak-kemiskinan-masih-ketara-469667
  3. https://malaysiagazette.com/2024/10/24/yuran-taska-naik-tak-berbaloi-kerja-gaji-habis-bayar-pengasuh/