Jurucakap HTM perjelas Khilafah sebagai “Ahammul Wajibat” sempena Rajab 1447H

Buletin HTM – Sempena masuknya bulan Rajab 1447H yang menandakan genap 105 tahun runtuhnya Khilafah, program “Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM” bertajuk “Khilafah: Ahammul Wajibat” telah dilangsungkan dengan Jurucakap HTM menekankan peri pentingnya kewajipan menegakkan Khilafah sebagai sebuah ahammul wajibat (kewajipan yang paling utama).
Sebagai mukadimah, Ustaz Umar Hussein menekankan bahawa masuknya Rajab tahun ini bukan sekadar penanda masa, tetapi peringatan besar kepada umat Islam bahawa sudah 105 tahun institusi Khilafah diruntuhkan. Beliau turut menjelaskan bahawa Khilafah kini semakin kerap disebut dalam wacana umat Islam di seluruh dunia, namun masih ada yang memandangnya sekadar “sejarah silam” atau “isu sampingan”.
Seterusnya, Ustaz Abdul Hakim Othman telah menyampaikan beberapa kitab Ulama yang menyifatkan peristiwa pengangkatan Abu Bakar (ra) sebagai Khalifah pengganti Rasulullah (saw) sejurus selepas kewafatan baginda sebagai sebuah ahammul wajibat.
Ramai ulama berpendapat sedemikian kerana para Sahabat telah mendahulukan pengangkatan Khalifah berbanding mengebumikan jenazah Rasulullah (saw), yang menjadikan kewajipan mengangkat Khalifah lebih utama (ahammu) berbanding kewajipan lainnya hatta berbanding kewajipan mengebumikan jenazah Rasulullah (saw) sendiri.
Ustaz Abdul Hakim seterusnya menekankan mengenai hukum yang diambil berdasarkan Ijma’ as-Sahabat bahawa tempoh masa kewajipan mengangkat Khalifah tidak boleh melebihi tiga hari dari berlakunya kekosongan jawatan tersebut. Umar al-Khattab (ra) dengan tegas dan jelas memerintahkan supaya dilantik Khalifah dalam masa tiga hari (sejak kekosongan) dan sekiranya masuk hari ke-4 masih belum terlantik seorang Khalifah untuk kaum Muslimin, Umar memerintahkan agar dibunuh semua yang tidak bersetuju.
Penegasan para ulama ini menunjukkan bahawa ahammul wajibat bukan sekadar istilah kosong, tetapi penetapan hukum yang meletakkan pengangkatan Imam/Khalifah sebagai keutamaan tertinggi demi memastikan syariat dapat diterapkan secara menyeluruh.
Ustaz Hakim menegaskan bahawa kewajipan menerapkan hukum Allah (swt) secara kaffah tidak mungkin terlaksana tanpa wujudnya negara yang menerapkannya. Apatah lagi bukti-bukti di lapangan menunjukkan yang umat Islam sangat memerlukan Khilafah sebagai institusi pemersatu dan penyelamat mereka serta pembebas wilayah-wilayah mereka yang sedang dijajah oleh kuasa kafir sekarang.
Menutup perbincangan, Jurucakap HTM itu menegaskan bahawa menegakkan Khilafah merupakan Sunnah terbesar kerana tanpa Khilafah, hukum Allah tidak dapat dilaksanakan dan umat Islam hidup terpecah-belah serta berada di bawah dominasi kuasa kafir. Hanya Khilafah yang akan dapat mengembalikan semula kemuliaan umat Islam dan menyebarkan rahmat ke seluruh alam.
Sempena 105 tahun kejatuhan institusi politik agung umat Islam itu, Abdul Hakim menyeru agar umat Islam berganding bahu dengan Hizbut Tahrir atau setidaknya mendukung perjuangan Hizbut Tahrir di seluruh dunia untuk menegakkannya kembali, kerana kewajipan mengembalikan Khilafah adalah sebuah kewajipan yang terletak di bahu setiap Muslim.