Kedutaan Azerbaijan Enggan Terima Delegasi HTM Serah Memorandum Bantahan Sekatan Hijab

AMPANG 23 Oktober– Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) mengecam tindakan kerajaan Azerbaijan yang menyekat pemakaian hijab dalam institusi pendidikan sehingga menyebabkan pelajar dan guru Muslimah dilaporkan dihalang memasuki sekolah, sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai manifestasi permusuhan sistem sekular terhadap syariat Islam.
Bantahan itu disuarakan dalam demonstrasi aman di hadapan Kedutaan Republik Azerbaijan di Ampang, Selangor, pagi Jumaat, yang disertai kira-kira 100 orang. Demonstrasi yang bermula sekitar jam 10.30 pagi itu menyaksikan para peserta membawa sepanduk dan plakad membantah sekatan hijab serta menyatakan solidariti bersama Muslimah Azerbaijan.
Prof. Dr. Muhammad Abul ‘Ain memulakan program dengan membacakan memorandum bantahan dalam bahasa Inggeris yang ditujukan kepada kerajaan Azerbaijan. Memorandum tersebut mempersoalkan tindakan rejim yang menjadikan pemakaian hijab seolah-olah mengancam pendidikan, sedangkan ia merupakan kewajipan yang diperintahkan Allah (swt).
Memorandum itu turut mendesak agar sekatan hijab terhadap pelajar dan guru Muslimah ditarik balik segera, dan hak mereka dikembalikan tanpa perlu mengorbankan kewajipan agama.
Ustaz Nordin Abu Ali pula dalam ucapannya menyampaikan tiga mesej utama, iaitu kecaman terhadap kerajaan Azerbaijan, solidariti bersama Muslimah yang terjejas serta peringatan tentang bahaya sekularisme terhadap umat Islam.
Beliau menegaskan bahawa hijab bukan sekadar pakaian atau simbol budaya, sebaliknya perintah Allah (swt) yang wajib dipatuhi. Beliau menyeru kepada Muslimah Azerbaijan agar terus mempertahankan hijab dan tidak berundur daripada kewajipan tersebut. “Ketahuilah bahawa kalian tidak bersendirian dalam isu ini! Ketahuilah bahawa kami sentiasa berada di sisi kalian dan mendukung kalian,” tegasnya.
Ustaz Muadz Abu Talhah, yang menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris, mengupas sejarah Azerbaijan sebagai sebahagian daripada wilayah umat Islam sebelum berada di bawah penjajahan dan pemerintahan Soviet.
Beliau menyifatkan sekatan hijab hari ini sebagai kesinambungan warisan sekularisme Soviet yang berusaha menghakis identiti Islam. Beliau turut mengkritik pemerintahan keluarga Aliyev serta hubungan kerajaan Azerbaijan dengan Amerika Syarikat dan ‘Israel’, sambil menyeru umat Islam memperjuangkan kembalinya Khilafah melalui dakwah dan jalan politik.
Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman yang berucap di akhir acara, menjelaskan bahawa usaha delegasi HTM menyerahkan memorandum tidak berhasil apabila pintu pagar kedutaan ditutup dan tiada seorang wakil pun yang tampil untuk menerima memorandum tersebut.
Menurut beliau, padahal pihak kedutaan telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai kedatangan delegasi, dan pagi Jumaat merupakan hari bekerja mereka. Namun, pihak kedutaan terus membisu meskipun beliau telah memberikan salam sebanyak tiga kali melalui interkom, untuk menyerahkan memorandum berkenaan.
Abdul Hakim turut mengecam sikap kerajaan Azerbaijan yang menurutnya meneruskan dasar sekularisme warisan Soviet. Beliau juga melahirkan kekesalan terhadap kerajaan Malaysia yang didakwanya tidak mengemukakan nota bantahan diplomatik berhubung sekatan hijab tersebut.
Beliau menegaskan bahawa pembelaan terhadap Muslimah Azerbaijan merupakan tanggungjawab seluruh umat Islam dan menyeru umat Islam agar meneruskan perjuangan menegakkan kembali Daulah Khilafah bagi menerapkan syariat Islam secara kaffah, yang sekali gus akan membela nasib dan kemuliaan Muslimah.
Demonstrasi diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Ali sebelum para peserta bersurai secara aman.