Kehilangan Syakhsiah Kaum Muslim Pasca Keruntuhan Daulah Khilafah

Oleh: Maryam Ismail

Syakhsiah menurut kamus dewan bahasa dan pustaka (DBP) adalah keperibadian atau personaliti seseorang. Ia berasal daripada bahasa Arab daripada kata syakhsun. Keperibadian juga merujuk kepada jati diri seseorang (haqiqah al-syakhsi).

Menurut Syeikh Taqiyyuddn al-Nabhani dalam kitabnya al-Syakhsiyyah al-Islamiyah menyatakan bahawa syakhsiah Islam dibentuk daripada akidah Islam yang mana dengannya terwujudlah pola fikir (aqliyyah islamiyah) dan pola sikap Islam (nafsiyyah islamiyah). Pola fikir Islam adalah cara berfikir yang menjadikan hukum syarak sebagai tolok ukur umum terhadap seluruh pemikiran tentang kehidupan. Manakala pola sikap Islam pula adalah cara memenuhi tuntutan naluri-naluri (gharaiz) dan keperluan jasmani (hajat al-‘adhawiyah) yang berdasarkan akidah Islam.

Syakhsiah Islam ini dapat kita saksikan dengan jelas tercermin daripada para pendahulu kita Ummul Mukminin dan sahabiyah RA. Antaranya adalah kisah Saidatina Aisyah binti Abu Bakar yang tidak asing lagi dalam kalangan kaum Muslimin. Abu Salamah bin Abdurrahman mengatakan,

Aku tidak mengetahui seorang pun yang lebih memahami tentang sunnah Rasul dan yang lebih tepat pendapatnya, lebih tahu tentang ayat al-Quran yang diturunkan, serta lebih mengerti tentang hal-hal yang fardhu selain Aisyah

Kedalaman ilmu Saidatina Aisyah ini tidak hanya menjadi maklumat dan ilmu semata-mata tetapi terpancar dari syakhsiahnya. Contohnya pada saat beliau melihat terdapat kesalahan sahabat dalam memahami Al-Quran dan As-sunnah atau melanggari hukum syarak, maka beliaulah yang utama melaksanakan amar makruf nahi mungkar ke atasnya.

Bukan sekadar dalam perihal amar makruf nahi mungkar, beliau juga sangat terkenal dengan kedermawanannya, sehingga hampir tiada harta yang disisakan di tangannya walau untuk beberapa saat semuanya akan segera disalurkan kepada orang-orang miskin. Tidak cukup dengan itu, beliau juga sangat terkenal dengan sikap penyayang, perngurus rumah tangga yang baik, menjadi periwayat hadis wanita yang terbanyak serta ahli politik yang ulung. Terlalu banyak contoh yang kita boleh peroleh daripada syakhsiah yang ditonjolkan oleh sosok Ibunda kita Aisyah.

Syakhsiah terpuji ini tidak hanya dicontohkan oleh Saidatina Aisyah tetapi ia juga merupakan sebuah kehidupan alami yang dilaksanakan oleh masyarakat dalam tatanan Daulah Islam yang pernah berlangsung sehingga 3 Mac 1924. Ini kerana Daulah Islam bertindak dengan benar sebagai sebuah institusi pelaksana syariah (kiyan tanfidzi) yang akan mengawal dan mendidik syakhsiah masyarakat dengan pengaturan kehidupan Islam yang menyeluruh (kaffah).

Namun, keadaan ini berubah setelah runtuhnya Khilafah Islamiyah dan digantikan dengan kehidupan yang sekular (memisahkan agama daripada kehidupan). Masyarakat hilang arah tujuan hidup dan menormalisasi kehidupan selain daripada Islam. Natijahnya, kini terlalu banyak kerosakan yang melanda tanpa ada titik noktah.

Dalam dua tahun sahaja iaitu dari 2020-2022, capaian angka buang bayi mencecah kepada 256 kes. Manakala bilangan kes jenayah seksual meningkat sebanyak 2.9 peratus pada tahun 2022 dengan bilangan kes sebanyak 3303. Kes yang melibatkan dadah juga menunjukkan peningkatan yang banyak iaitu 30.6 peratus (141,289) kes pada tahun 2022. Kes jenayah komersial yang melibatkan pemalsuan wang, jenayah siber, pecah amanah dan lain-lain menunjukkan angka yang luar biasa iaitu sebanyak 30,536 kes pada tahun 2022. Kes yang melibatkan rasuah dan salah guna kuasa baik melibatkan pemimpin mahupun orang awam terus mencatat jumlah yang membimbangkan.

Masalah-masalah global juga tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan terhenti. Isu pembantaian kaum Muslimin seperti di Palestin sampai hari ini tiada pembelaan yang nyata. Daripada 7 Oktober 2023 sehingga ke hari ini, mangsa kaum Muslimin yang telah syahid dianggarkan sebanyak 24,000 orang. Begitu juga nasib umat Islam di Syria, Somalia, Yaman dan pelbagai belahan dunia lagi. Pengkhianatan penguasa kaum Muslimin yang terus berdiam diri atas pembantaian umat Islam ini berlaku di mana-mana, malah lebih menyakitkan lagi apabila mereka sendiri yang berjabat tangan dan mematerai pelbagai perjanjian dwi-negara dengan musuh-musuh Islam.

Begitulah malapetaka yang membelenggu kehidupan kita saat ini apabila ketiadaan tajul furudh (mahkota kewajipan) iaitu Daulah Islam dan hilangnya seorang penguasa yang berwibawa yang mampu menjadi perisai bagi umat ini. Kerosakan itu tidak hanya merenggus kehidupan alami kita secara dalaman, bahkan ia turut menghancurkan aspek luaran. Keadaan ini sama sekali berbeza di saat masih wujudnya institusi agung Khilafah Islamiyah hatta pada detik-detik terakhirnya. Walaupun Khilafah pada waktu itu di gelar sebagai ‘the sick man of Europe’ namun Sultan Abdul Hamid II masih kukuh mempertahankan tanah Palestin daripada tergadai di tangan seorang jutawan Yahudi, Theodor Herzl.

Malapetaka ini bukanlah ending kepada cerita kehidupan kita. Sebuah hadis daripada Rasulullah SAW telah mengkhabarkan satu bisyarah (khabar gembira) “….akan kembali Khilafah di atas manhaj kenabian.” [HR Ahmad]. Khabar gembira ini menuntut sebuah usaha untuk direalisasikan sebagaimana sebuah kaedah ushul “Jika khabar mengandungi pujian, maka ia mengandungi seruan (thalab) untuk melaksanakannya” Oleh itu, kami menyeru seluruh kaum Muslimin bersama-sama berganding bahu mewujudkan semula sebuah institusi agung iaitu Khilafah Islamiyah untuk kita sama-sama merasai kembali the power of ummah yang pernah kita kecapi satu waktu dahulu, insyaAllah masanya semakin hampir.