Kemajuan Wanita Dalam Perspektif Kapitalis

najibSistem Kapitalis Telah Merendahkan Martabat Wanita

Perdana Menteri Malaysia, Najib Tun Razak dalam satu kenyaataannya menyatakan bahawa kerajaan bersedia melakukan perubahan terhadap undang-undang, peraturan, amalan dan pemikiran yang menghalang wanita untuk menjadi lebih maju, sesuai dengan kedudukan dan kemampuan mereka. Nampaknya Najib masih tercari-cari rumusan dan formula dalam usaha untuk meningkatkan martabat wanita. Padahal Islam telah lama memberikan garis panduan dan formula yang jelas bagaimana untuk memartabatkan golongan wanita.

Dalam sistem kapitalis, kemajuan wanita hanya diukur berdasarkan kepada keupayaan dalam meraih nilai materi (kebendaan) semata-mata. Ini dapat dilihat  melalui Najib kenyataannya bahawa “keupayaan wanita perlu ditentukan terlebih dahulu sebelum kedudukan mereka diperkasa dan langkah untuk membantu wanita berdaya saing dipertingkatkan” (Sinar Harian, 29/1/13).

Katanya lagi, “walaupun penglibatan wanita dalam tenaga kerja adalah sebanyak 46 peratus, tetapi pendapatan yang diterima oleh mereka masih di bawah RM3,000. Wanita masih di peringkat bawah, maknanya kuantitatif itu tinggi tetapi bukan kualitatif. Jadi bagaimana wanita boleh dipertingkat dalam rantaian nilai kita untuk pendapatan yang lebih tinggi.”

wanita-kapitalisDaripada ucapan sebegini, dapat kita perhatikan dengan saksama bagaimana peranan wanita yang sebenar di dalam Islam iaitu sebagai “Ummun Wa Rabbatul Bait” (ibu dan pengurus rumah tangga) langsung tidak disentuh sama sekali. Walaupun Najib ada menyatakan bahawa wanita mempunyai tiga peranan iaitu sebagai ibu, isteri dan pekerja, namun segala intipati ucapannya hanya berkisar kepada aspek wanita sebagai pekerja dan gaji mereka sahaja. Ukuran kejayaan dan kemajuan wanita yang dibahaskan oleh Najib semuanya hanya menjurus ke arah bagaimana seseorang wanita itu dapat meningkatkan pendapatannya melebihi apa yang telah dikecapinya pada saat ini dan tidak lebih daripada itu.

Secara fitrahnya, lapangan pekerjaan wanita seharusnya lebih banyak bertempat di rumah. Ini tidak bererti bahawa Islam mendiskriminasi dan merendahkan martabat wanita. Ia adalah bertujuan untuk memuliakan dan meninggikan martabat wanita, di samping sesuai dengan ciptaan fizikalnya.  Bekerja di luar rumah bukan satu kewajipan bagi seorang wanita. Kewajipan untuk mencari nafkah dan sara hidup sepenuhnya terletak di atas bahu lelaki. Walaupun begitu, Islam tidak pernah menghalang jika seseorang wanita itu ingin bekerja selagimana pekerjaan tersebut dibenarkan oleh syarak, sesuai dengan fitrah kemampuannya sebagai seorang wanita, tidak mencemar kehormatan dirinya dan ia mendapat keizinan daripada suaminya atau walinya. Sebaliknya, jika sesuatu pekerjaan yang dilakukan itu menuntut komitmen dan pengorbanan yang lebih besar sehingga dipaksa untuk meninggalkan kewajipan-kewajipannya sebagai seorang ibu, isteri dan rumahtangganya secara keseluruhan, maka ini tidak dibenarkan sama sekali. Apatah lagi jika ia sampai ke peringkat yang boleh mengancam kesucian dan merendahkan kehormatannya sebagai seorang wanita.

Kewajipan yang paling utama bagi seseorang wanita di dalam Islam adalah sebagai ibu dan isteri. Ia adalah tonggak bagi sebuah keluarga bahagia, sekaligus menjadi pencetak generasi masa hadapan. Di dalam sistem kapitalis, fungsi ini tidak begitu ditekankan sebagai perkara yang penting dan dijadikan sebagai pilihan, bukannya kewajipan. Jadi tidak hairanlah jika kebejatan akhlak yang menimpa sesebuah institusi keluarga pada saat ini kebanyakannya berpunca daripada kegagalan keluarga tersebut meletakkan fungsi sebenar seseorang wanita. Ditambah pula dengan sistem yang tidak menyokong ke arah matlamat yang Islami sehingga menambahkan lagi parah yang telah sedia ada.

Sabda Rasulullah SAW: “Seorang wanita adalah pengurus rumah tangga suaminya dan anak-anaknya, dan ia akan diminta pertanggungjawaban atas pengurusannya” (HR.Muslim)

Allah SWT berfirman:

“Lelaki (suami) adalah pemimpin bagi wanita (isteri), kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta-harta mereka. Maka wanita-wanita yang solehah adalah yang taat (kepada Allah) dan memelihara diri ketika (suaminya) tidak ada, kerana Allah telah memelihara mereka” [TMQ An-Nisa(4): 34].

Sumber Berita: www.sinarharian.com.my