Kemiskinan: Peranan Pemerintah dan Individu Muslim (Siri 1/2)
Islam mewajibkan pemerintah untuk menjaga kebajikan setiap warganegaranya termasuk non-muslim. Negara (Khilafah) wajib menjamin keperluan asas (basic needs) setiap individu rakyatnya yang tidak berkemampuan yang merangkumi keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Selain itu, negara juga menjamin tiga lagi hak yang menjadi keperluan warganegara iaitu perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan keselamatan yang dapat dinikmati secara percuma. Sabda Rasulullah (saw),
أنا أولى بكل مؤمن من نفسه. فمن ترك ديناً فعليّ قضاؤه، ومن ترك مالاً فلورثته
“Aku lebih berhak atas kaum Muslimin dari diri mereka sendiri. Barangsiapa meninggal sedangkan dia masih memiliki tanggungan hutang, maka akulah yang akan melunasinya. Dan barangsiapa yang meninggalkan harta warisan, maka harta tersebut untuk ahli warisnya” [HR Abu Daud].
Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa tanggungjawab dalam memenuhi keperluan rakyat yang terbeban, adalah terletak di bahu pemerintah. Tanggungjawab pemerintah dalam memenuhi keperluan asas ini bukanlah alasan untuk menjadikan seseorang itu bersikap malas untuk bekerja, tetapi ia adalah untuk memenuhi syarat asas seseorang manusia untuk hidup terutama kepada golongan yang memang memerlukan seperti orang yang tidak mampu bekerja kerana sakit, cacat dan sebagainya. Islam sangat berbeza dengan realiti kehidupan di bawah sistem kapitalisme pada hari ini yang meletakkan slogan “siapa yang tidak bekerja, maka dia tidak berhak untuk makan”.
Islam tidak memisahkan agama dalam sistem pemerintahan sepertimana kapitalisme. Sebagai contoh, pembayaran zakat yang dituntut daripada setiap individu Muslim melalui rukun Islam keempat itu dikelolakan sepenuhnya oleh negara di bawah salah satu struktur pemerintahan yang dinamakan Baitul Mal (perlu difahami bahawa Baitul Mal yang ada dalam sistem pemerintahan sekarang adalah berbeza dengan sistem pemerintahan Islam).
Baitul Mal dalam sistem Khilafah berperanan sebagai sebuah jabatan yang khusus mengelola keseluruhan pendapatan dan perbelanjaan negara, termasuk apa yang menjadi hak setiap warganegaranya. Telah terbukti dalam sejarah Islam bahawa melalui Baitul Mal, negara mampu menguruskan masalah kemiskinan dengan menyalurkan salah satu dana pendapatan iaitu zakat, yang memang khusus untuk asnaf yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu fakir dan miskin. Firman Allah (swt):
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
“Sesungguhnya zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang miskin, amil zakat, yang dilunakkan hatinya (mualaf), untuk (memerdekakan) hamba sahaya, untuk (membebaskan) orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai kewajipan dari Allah. Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana” [At-Taubah (9): 60]
Daripada lapan asnaf tersebut, terdapat peruntukan untuk orang faqir dan miskin dijamin, yang sekali gus bermaksud bahawa golongan ini tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab pemerintah. Kegagalan pemerintah untuk melaksanakan tanggungjawab ini (memastikan faqir dan miskin mendapat haknya) adalah satu dosa yang amat besar kerana dibahunya terdapat amanah yang mewakili setiap individu Muslim yang mengeluarkan zakat.
Bukan itu sahaja, Allah (swt) juga menggalakkan seseorang Muslim supaya rajin bersedekah khususnya kepada orang miskin. Firman Allah (swt):
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ ۖ قُلْ مَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ خَيْرٍ فَلِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ
“Mereka bertanya tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: “Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu-bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan”. Dan apa saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya” [Al-Baqarah (2): 215]
Ayat ini menunjukkan keutamaan untuk memberi sedekah iaitu kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan juga musafir. Namun demikian, dalam keadaan apa pun, jika tiada pihak yang dapat bersedekah untuk orang-orang miskin, maka menjadi tanggungjawab negara untuk menolong mereka. Malah lebih besar lagi, negara wajib memastikan tidak ada orang yang tidak dapat makan, tidak mempunyai pakaian atau tiada tempat tinggal, dalam negara.
Sinergi ini akan dapat mengatasi atau meminimumkan masalah kemiskinan dalam kalangan masyarakat apabila setiap Muslim memainkan peranan masing-masing, apatah lagi pemerintah. Sistem yang Allah (swt) ciptakan ini adalah sistem yang terbaik kerana Dialah yang telah menciptakan kita dan seisi dunia, dan Dialah yang Maha Mengatur segalanya.
Sistem pemerintahan Islam (Khilafah) yang bersandarkan wahyu ini telah memastikan penyelesaian masalah kemiskinan yang melibatkan semua pihak daripada peringkat individu hinggalah ke peringkat pemerintah. Semua hukum dan peraturan telah ditunjukkan secara jelas oleh Allah (swt), dan terpulanglah kepada kita samada untuk memilih atau menolaknya. Allah (swt) menyediakan pahala dan dosa bagi setiap pilihan.
Perlu difahami bahawa sistem yang ditunjukkan oleh Allah (swt) ini wajib dilaksanakan secara kaffah (menyeluruh), dan bukan sebahagiannya sahaja. Apabila sekelompok individu sahaja yang bersungguh-sungguh untuk membantu tetapi pemerintah tidak mengambil peranan, masalah ini tidak akan selesai.
Jika pemerintah memainkan peranan tetapi tidak mengikut peraturan yang Allah (swt) tetapkan, ia juga tidak akan menyelesaikan masalah. Hal ini sebagaimana yang terjadi sekarang di mana pemerintah dilihat cuba membantu golongan faqir dan miskin melalui zakat dan lain-lain bantuan, tetap masih dalam kerangka sistem kapitalisme. Maka masalah tidak pernah selesai, kerana sistem kapitalisme ialah sistem yang membelakangkan peraturan Allah (swt). Firman-Nya,
وَمَنْ اَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِيْ فَاِنَّ لَهٗ مَعِيْشَةً ضَنْكًا وَّنَحْشُرُهٗ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ اَعْمٰى
“Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta”.” [Taha (20): 124]
bersambung…