Kemiskinan: Peranan Pemerintah dan Individu Muslim (Siri 2/2)
Setiap warganegara yang bernaung di bawah pemerintahan Khilafah akan dijamin haknya terhadap tiga keperluan asas tanpa mengira status agama atau latar belakangnya. Tiga keperluan asas tersebut adalah makanan, pakaian dan tempat tinggal. Negara juga wajib menyediakan ruang pekerjaan agar setiap orang dapat bekerja, sekali gus membolehkan mereka (yang mampu) untuk memenuhi keperluan asas mereka sendiri tanpa bantuan dari negara. Dalam masa yang sama, negara tidak kerugian sumber tenaga manusia. Apabila keperluan-keperluan ini telah dipenuhi, masalah yang mungkin timbul seperti kemiskinan, kebuluran, gelandangan, merempat dan sebagainya dapat diatasi. Negara juga dapat terus menjana ekonomi baru jika masalah kemiskinan ini dapat diatasi.
Setiap individu Muslim khususnya golongan lelaki yang berkemampuan, hendaklah sedar bahawa mereka diwajibkan untuk berusaha mencari nafkah untuk mengeluarkan diri daripada kemiskinan, bukannya dengan meminta-minta untuk mendapatkan nafkah. Dia boleh mendapatkan wang/harta melalui bekerja sendiri atau bekerja dengan pihak lain melalui upah yang telah dijanjikan. Firman Allah (swt),
وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُودٌ لَهُ بِوَلَدِهِ ۚ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَٰلِكَ
“Dan kewajipan ayah memberi makanan dan pakaian kepada para ibu dengan cara makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kemampuannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan waris juga berkewajipan demikian” [Al-Baqarah (2): 233].
Sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk bekerja akibat beberapa masalah, maka ahli keluarga terdekat wajib memberi bantuan yang sewajarnya. Sekiranya ahli keluarga terdekat juga tidak mampu, maka negaralah pihak yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini. Seseorang itu mungkin tidak dapat bekerja kerana masalah kecacatan, sakit, umur yang lanjut, menjaga ahli keluarga yang sakit dan lain-lain lagi. Jika mereka tidak dibantu, maka masalah yang mereka hadapi sudah pasti mengheret kehidupan mereka ke kancah kemiskinan.
Jika kemiskinan tetap berlaku walaupun seseorang itu telah bekerja, maka sudah pasti terdapat masalah lain yang perlu diselidiki oleh negara bagi mencari penyelesaian atau jalan keluarnya. Hal ini sama sebagaimana yang dapat kita perhatikan pada hari ini, baik di negara ini atau di negeri jiran, Indonesia, atau di belahan-belahan dunia lainnya.
Punca utama kemiskinan yang berlaku sekarang ialah kerana faktor sistem. Walaupun ramai lelaki, malah termasuk wanita, yang bekerja, kemiskinan tetap wujud, kerana sistem itu sendiri yang sangat pincang, yang telah mewujudkan kemiskinan tersebut. Dalam keadaan ini, maka penyelesaiannya juga mesti secara sistem, bukan sekadar individu sahaja. Oleh kerana sistem itu diatur oleh negara, maka negaralah yang sebenarnya menjadi punca kepada masalah kemiskinan, dan negaralah yang mampu untuk menyelesaikannya.
Negara perlu berperanan agar pengagihan kekayaan atau suatu keperluan sampai kepada setiap lapisan masyarakat. Contohnya pengagihan zakat yang memerlukan campur tangan langsung oleh negara. Asnaf zakat antaranya adalah untuk fakir miskin, dan wang zakat ini dipegang oleh negara dengan jumlah yang cukup besar. Malangnya oleh kerana pengagihannya tidak berlaku sebagaimana yang sepatutnya, maka kemiskinan tetap wujud kerana ramai golongan yang sepatutnya menerima zakat, tidak menerimanya.
Begitu juga dengan sumber alam seperti tanah yang terbiar yang tidak dimanfaatkan dan tidak diatur oleh negara mengikut hukum Islam. Sedangkan negara berkewajipan memastikan sektor ekonomi termasuk pertanian, sentiasa aktif dan tanah-tanah yang terbiar mesti dihidupkan (ihya’ al-mawat). Banyak pihak yang ingin bercucuk tanam tetapi tidak mempunyai tanah, dan ramai juga yang mempunyai tanah tetapi tidak mempunyai modal untuk bercucuk tanam dalam skala yang besar. Di sinilah peranan dan tanggungjawab negara untuk memberikan tanah mahupun bantuan peralatan pertanian mahu pun modal, kepada mereka yang ingin mengusahakan tanah ini.
Seterusnya, negara wajib mengubah konsep pemilikan sumber alam di mana menurut Islam, sumber alam merupakan pemilikan umum yang wajib dikelolakan oleh negara yang hasilnya dikembalikan kepada rakyat. Malangnya menurut aturan Kapitalisme pada hari ini sumber alam dikuasai oleh kerajaan dan pihak swasta dan kadang-kadang dimonopoli oleh sekelompok individu sahaja. Dari Ibnu Abbas r.a, bahawa Nabi (saw) bersabda,
اَلْمُسْلِمُوْنَ شُرَكَاءُ فِي ثَلاَثٍ فِي الْكَلإِ وَالْمَاءِ وَالنَّارِ
“Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu padang rumput, air dan api“ [HR Abu Daud].
Hasil sumber alam yang diuruskan oleh negara seharusnya digunakan untuk kemaslahatan rakyat seperti menyediakan pelbagai kemudahan awam, keperluan pendidikan, kesihatan, keperluan kecemasan dan lain-lain. Dengan ini, masalah bebanan ekonomi yang tertimpa rakyat yang menyebabkan berlakunya kemiskinan, akan dapat diatasi.
Bagaimana pun, kita tidak menafikan terdapat situasi di mana seseorang itu menjadi miskin akibat daripada sifat malasnya, tetapi keadaan seperti ini sangat terpencil dan mudah untuk diuruskan. Golongan seperti ini perlu diingatkan dengan hukum syarak dan peranan keluarga serta sanak-saudara biasanya sudah dapat mengatasi masalah seumpama ini. Jika ia tidak berhasil, negara tetap kena memainkan peranan, sebagai Umar al-Khattab pernah lakukan kepada beberapa orang pemalas yang hanya duduk di masjid tidak mahu melakukan apa-apa pekerjaan.
Walaubagaimanapun, sekiranya golongan ini masih lagi tidak berubah, negara akan memaksa mereka untuk bekerja dan hukuman ta’zir boleh dikenakan ke atas mereka ingkar.
Ada pun bagi mereka yang ingin bekerja dalam bidang-bidang tertentu tetapi tidak mempunyai kemahiran, maka negara bertanggungjawab untuk menyediakan kursus dan kemahiran yang sewajarnya untuk golongan ini. Di samping itu, khidmat mencari pekerjaan juga mesti disediakan oleh negara dalam memberi kemudahan kepada mereka untuk mencari pekerjaan yang sesuai.
Sekiranya negara memainkan peranannya atau dengan lebih tepat menjalankan tanggungjawabnya berdasarkan perintah Allah (swt) sebagaimana yang telah dijelaskan, maka insya Allah masalah kemiskinan akan dapat diatasi dengan mudah.
Malangnya kita telah menyaksikan dan kita yakin bahawa kerajaan sekular yang memerintah pada hari ini tidak akan menerapkan hukum Allah, kerana ternyata sudah puluhan tahun mereka menerapkan dan berpegang kepada ideologi kapitalisme yang mementingkan manfaat individu dan manfaat duniawi.
Tidak ada harapan lain lagi bagi mengatasi masalah kemiskinan dan lain-lain masalah secara umumnya kecuali kita kembali kepada sistem Islam (Khilafah) yang akan memerintah berdasarkan wahyu. Melalui penerapan sistem Islam dalam negara, setiap individu Muslim akan turut termotivasi untuk memainkan peranannya bagi mengatasi masalah kemiskinan kerana suasana keIslaman yang ada di sekelilingnya. Setiap warganegara terdidik untuk berusaha menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan mematuhi hukum syarak demi mendapatkan keredhaan dari Allah (swt).
Pemerintah (Khalifah) juga memerintah untuk meraih redha Allah (swt), bukannya untuk mencari habuan dunia, yang mana hal ini bukan sahaja akan dapat menyelesakan masalah di dunia, bahkan dapat menyelamatkannya di akhirat. Itulah yang menjadi orientasinya dalam pemerintahan, dan begitulah indahnya apabila Islam dilaksanakan.
Wallahu a’lam.