Kemiskinan Sifar Suatu Fatamorgana Di Dalam Sistem Kapitalisme
Negara makmur dan sejahtera yang menjaga kemaslahatan setiap individu rakyat adalah dambaan setiap warganegara. Begitu lah seharusnya seorang pemimpin memastikan segala keperluan rakyat di bawah pimpinannya terpenuhi dengan sempurna. Setiap individu rakyat berhak mendapat jaminan dari segi keperluan asas, kesihatan, pendidikan dan keamanan. Kesemua kemakmuran dan kesejahteraan hanya boleh dikecapi oleh warganegara di dalam sebuah negara yang menerapkan Sistem Islam yang sebenar. Sesungguhnya seorang pemimpin yang mengutamakan kemaslahatan rakyat berbanding kepentingan mereka sendiri atau perkara lain adalah ajaran dan warisan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Setelah Rasulullah SAW wafat, pelaksanaan syariat Islam secara kaffah diteruskan oleh para sahabat Baginda dan kekhilafahan Islam seterusnya, maka seharusnya diteruskan juga oleh pemimpin umat Islam hari ini. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW: “Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dimintai pertanggungjawaban atas kepimpinannya.” [HR al-Bukhari dan Muslim].
Namun hari ini, kemakmuran dan kesejahteraan umat tidak dapat dinikmati dek kerana sistem ciptaan manusia yang penuh kerosakan yang dipaksakan ke atas umat menjadi pegangan kuat para pemimpin umat Islam di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Permasalahan umat tidak pernah surut namun semakin membimbangkan. Salah satunya adalah isu kemiskinan yang tidak pernah ada penyelesaian yang tuntas. Menurut data yang direkodkan oleh Unit Penyelaras Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri yang telah mengumpul data kemiskinan berdasarkan sistem eKasih dan setakat 31 Julai 2022, kira-kira 136,923 isi rumah adalah miskin tegar dan 308,699 isi rumah dalam kategori miskin [https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/08/872156/pendapatan-garis-kemiskinan-dikemas-kini-tahun-depan].
Di Malaysia, kadar kemiskinan di Sabah kekal tinggi walaupun memiliki banyak sumber alam dan dalam RMK10 dan RMK11 kerajaan telah memperuntukkan hampir 10% peruntukan pembangunan negara ke negeri di bawah bayu ini. Negara-negara umat Islam di lain-lain belahan dunia juga terkesan dengan isu kemiskinan yang berlaku yang tidak kunjung tiba penyelesaian hakiki.
Negara-negara umat Islam yang suatu masa dahulu merupakan negara yang kaya raya dengan hasil bumi dan sumber alamnya seperti negara-negara di benua Afrika pada hari ini menjadi negara yang miskin dan lebih parah lagi rakyatnya mengalami kebuluran.
Hakikatnya kemiskinan hari ini adalah kemiskinan berstruktur iaitu kemiskinan yang disebabkan oleh kelemahan sistem yang digunapakai oleh para pemimpin dalam mengurusi umat. Sistem yang rosak tersebut adalah Sistem Kapitalisme yang mana agihan kekayaan yang tidak seimbang kepada populasi amat sinonim dengan sistem yang tidak akan pernah dapat menyelesaikan permasalahan umat bukan sahaja isu kemiskinan tetapi juga isu-isu kritikal yang lain yang melibatkan umat. Buruknya sistem Kapitalisme ini terbukti apabila sistem inilah yang membuatkan umat semakin terpuruk dan penuh kesengsaraan.
Jika kita ingin masalah kemiskinan diselesaikan sebagaimana yang pernah berlaku di zaman kekhilafahan Umar Abdul Aziz sehingga tidak ditemukan golongan asnaf iaitu orang yang layak menerima zakat, hendaklah kita melihat kembali bagaimana syariat Islam menyelesaikan masalah kemiskinan dengan pelaksanaan Sistem Ekonomi Islam yang akan memastikan: (i) Jaminan kecukupan keperluan asas iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal untuk setiap individu (ii) Memberi peluang kepada individu untuk memenuhi keperluan sekunder dan tersier dengan kadar kemampuannya. Bagaimanakah hal ini dapat direalisasikan?
Sistem Ekonomi Islam mampu menyelesaikan masalah agihan kekayaan yang tidak seimbang antara golongan kaya dan miskin sebagaimana dalam sistem ekonomi Kapitalis yang mana anggota masyarakat diberi keizinan untuk sama-sama memanfaatkan benda yang dilarang daripada dimonopoli oleh individu atau pihak tertentu seperti air, padang rumput dan api; sumber galian dalam jumlah yang banyak seperti emas, perak, petroleum, fosfat dsb; dan juga fasiliti yang secara alami tidak boleh dimiliki atau didominasi oleh individu seperti jalanraya, sungai, tasik, masjid dsb. Selain pemilikan umum yang telah dijelaskan di atas, harta-harta dibawah pemilikan negara yang mana penggunaaanya adalah berdasarkan ijtihad khalifah dalam mengurusi rakyat dibawah pimpinannya seperti ghanimah, jizyah, kharaj, harta orang murtad, harta orang yang tidak memiliki waris, tanah-tanah milik negara dan bangunan seperti kompleks pentadbiran negara dsb, semua ini akan dapat menyelesaikan masalah kemiskinan. Walau bagaimanapun, sistem ekonomi Islam ini akan dapat menyelesaikan masalah kemiskinan seandainya ia dilaksanakan dalam sebuah negara (Daulah Islamiyyah) yang menerapkan Islam secara Kaffah.