Keputusan kes Amri dan Koh: Isyarat gelap terhadap keselamatan rakyat

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang meletakkan polis dan kerajaan Malaysia bertanggungjawab terhadap kehilangan aktivis Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh wajar mencetuskan kebimbangan besar dalam masyarakat.
Ia bukan sekadar keputusan undang-undang, tetapi menjadi satu bukti bahawa tangan-tangan dalam institusi keselamatan negara sendiri telah mencemari amanah untuk melindungi rakyat dan menegakkan undang-undang.
Keputusan ini membuka lembaran gelap dalam sejarah sistem keselamatan Malaysia – lembaran yang menakutkan, kerana ia mengisyaratkan bahawa sesiapa sahaja boleh “hilang” tanpa jejak, dan pihak yang sepatutnya menjaga keselamatan menjadi pihak yang bertanggungjawab atas kehilangan. Harapkan pagar, pagar makan padi.
Mahkamah dalam penghakimannya secara jelas meletakkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Malaysia sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap kehilangan kedua-dua individu terbabit. Hal ini sangat serius dan langsung tidak boleh dipandang remeh atau dibiarkan begitu sahaja.
Selain daripada keputusan yang cukup “menakutkan” itu, mahkamah mengarahkan kerajaan membayar pampasan RM3 juta kepada Norhayati, isteri Amri – terdiri daripada RM2 juta sebagai ganti rugi am dan RM1 juta ganti rugi teladan – selain RM14,457.52 sebagai ganti rugi khas serta RM250,000 kos guaman.
Hakim turut mengarahkan kerajaan membayar RM10,000 sehari ke dalam akaun amanah bagi pihak Koh sehingga dia ditemui – dikira bermula 13 Feb 2017, tarikh dia diculik – yang kini berjumlah kira-kira RM31.9 juta.
Mahkamah juga menganugerahkan RM4 juta ganti rugi kepada Koh, tambahan RM1 juta ganti rugi teruk atas kelewatan berpanjangan dalam usaha mencarinya, serta RM1 juta lagi atas tindakan tidak berperlembagaan oleh pihak defendan.
Walaupun ada pihak-pihak yang mempertikaikan jumlah gantirugi yang tidak sama antara Amri dan Koh, namun apa yang lebih penting ialah keputusan ini membawa satu mesej serius kepada rakyat – bahawa penghilangan paksa bukanlah tuduhan tanpa asas, tetapi suatu realiti yang telah diakui oleh mahkamah.
Tanggungjawab penguasa dan persoalan rakyat
Berikutan keputusan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan bahawa pihak polis akan mematuhi perintah mahkamah untuk membuka semula dan meneruskan siasatan terhadap kedua-dua kes ini.
Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan bahawa dua arahan mahkamah perlu dipatuhi: Pertama, membuka semula siasatan dan memastikan ia dijalankan dengan telus; Kedua, membuktikan sama ada mangsa masih hidup atau sebaliknya.
Saifuddin turut menegaskan bahawa kegagalan melaksanakan arahan ini boleh menyebabkan kerajaan berdepan komitmen kewangan serta tekanan undang-undang baharu.
Walaupun penjelasan Saifudin dilihat bertanggungjawab, namun terdapat masih banyak persoalan, dan persoalan yang mendasar tetap kekal — bagaimana polis (dan kerajaan) boleh “menculik” seseorang in the first place? Apa yang hak yang ada pada mereka untuk berbuat demikian?
Bagaimana mungkin di bawah sebuah kerajaan berperlembagaan dan sistem undang-undang moden pada hari ini, seseorang warganegara boleh hilang tanpa jejak, tanpa waran tangkap, tanpa pertuduhan, dan tanpa pembelaan diri di mahkamah?
Rakyat berhak mempersoalkan – adakah perlembagaan dan undang-undang yang ada hanya terpakai ke atas rakyat biasa, tetapi tidak bagi mereka yang bersenjata dan berkuasa?
Jika pun Amri atau Koh disyaki melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang, sebesar mana sekalipun kesalahan mereka, sepatutnya mereka ditangkap, disoal-siasat dan dibicarakan secara sah di mahkamah melalui proses undang-undang, sebagaimana pelaku kesalahan lainnya.
Tiada justifikasi bagi pihak berkuasa untuk menculik, menghilangkan, atau menahan tanpa maklumat, apatah lagi menafikan melakukan semua itu all the way, sehinggalah terbukti sebaliknya di mahkamah.
Denda sahaja tidak cukup, rakyat mahu kebenaran dan keadilan
Prinsip asas keadilan menuntut bahawa setiap orang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Tetapi apabila seseorang diculik dan terus hilang tanpa berita, maka seluruh asas keadilan telah runtuh bersama kehilangan itu.
Ini bukan sekadar kecuaian prosedur – ia satu bentuk kezaliman yang bertentangan dengan semua prinsip undang-undang dan kemanusiaan, apatah lagi apabila dilihat dari segi hukum syarak.
Jika mereka masih hidup, persoalan besar seterusnya ialah mengapa mereka tidak dikembalikan kepada keluarga masing-masing, atau dibawa ke mahkamah? Dan jika mereka telah meninggal dunia, siapakah yang bertanggungjawab terhadap kematian itu?
Adakah kematian mereka berlaku dalam tahanan? Adakah mereka dibunuh? Jika ya, atas arahan siapa? Dan lebih penting, adakah pengarah dan pelaku-pelaku sebenar masih bebas dalam pasukan polis?
Semua ini bukan sekadar persoalan emosi – ia persoalan hak dan tanggungjawab pihak-pihak, persoalan undang-undang dan yang lebih penting merupakan persoalan hukum syarak yang pengarah dan pelakunya akan berhadapan dengan Allah di Padang Mahsyar kelak.
Kedaulatan undang-undang (rule of law) yang sering dilaungkan oleh kerajaan kini bukan lagi tercalar, tetapi telah koyak rabak melalui keputusan mahkamah ini. Apakah maknanya kedaulatan undang-undang jika mereka yang berkuasa dan bersenjata boleh menculik seseorang dan tiada seorang pun diheret ke mahkamah?
Bila pasukan keselamatan menjadi penculik dan kerajaan pula bertindak melindungi kesalahan itu atas nama prosedur atau apa sahaja namanya, maka seluruh sistem keselamatan sebenarnya mula reput dari dalam, dan ini sangat membahayakan.
Keputusan mahkamah yang telah meletakkan kesalahan pada polis dan kerajaan tidak seharusnya berakhir di sini. Ia seharusnya disusuli dengan pendakwaan ke atas setiap pihak yang terlibat, dari ikan bilis hinggalah ikan jerung.
Walaupun pembayaran denda atau gantirugi mungkin dapat melegakan sedikit keluarga mangsa, namun wang rakyat yang digunakan untuk membayar semua itu memberikan hak kepada rakyat untuk tahu apa yang sebenarnya berlaku, dan untuk menuntut keadilan.
Dari sudut lain, rakyat berhak untuk keluar dari ketakutan – penjenayah yang dibiarkan terlepas akan sentiasa menakutkan rakyat. Penjenayah wajib dicari dan dihukum. Tanggungjawab jenayah tidak boleh diselesaikan dengan wang – ia mesti ditebus dengan keadilan yang boleh dilihat oleh semua orang.
Malaysia negara mafia?
Persoalan besar yang wajib dijawab oleh kerajaan sekarang ialah isu keselamatan rakyat. Jika polis – yang memiliki senjata, kuasa penyiasatan, penjaga undang-undang dan pelindung rakyat – telah terbukti (melalui keputusan mahkamah) melakukan penculikan tanpa pertanggungjawaban, maka apa jaminan bahawa setiap rakyat tidak akan menjadi mangsa seterusnya?
Apakah jaminan bahawa seseorang yang bersuara lantang terhadap ketidakadilan, atau yang membawa pandangan yang berbeza dengan kerajaan, atau pandangan yang tidak disukai oleh kerajaan, tidak akan “hilang” suatu hari nanti tanpa jejak?
Dalam situasi begini, sesungguhnya rasa takut telah menggantikan rasa aman, dan rakyat mula hidup dalam ketidakyakinan terhadap institusi keselamatan, malah institusi negara itu sendiri.
Kebimbangan ini bukan paranoia. Ia berasas, dan bersandarkan hakikat bahawa penghilangan paksa – yang merupakan salah satu bentuk pelanggaran hak asasi manusia yang paling serius – telah terbukti berlaku dalam negara ini.
Ia menafikan hak hidup, hak kebebasan, dan hak keluarga untuk mengetahui nasib orang tersayang.
Dalam banyak negara, amalan penghilangan paksa ini sinonim dengan rejim kuku besi dan pemerintahan diktator — bukan dengan sebuah negara demokrasi yang kononnya menjunjung perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Oleh itu, keputusan mahkamah ini harus menjadi peringatan, bahkan amaran keras bahawa Malaysia tidak boleh membiarkan dirinya tergelincir ke arah negara yang dikawal oleh ketakutan.
Kita berhak untuk mempersoalkan, dan kita berhak untuk khuatir. Rakyat mempunyai hak mutlak untuk menuntut kebenaran dan keadilan, kerana keadilan yang dinafikan kepada seorang, adalah ancaman kepada semua orang.
Jika kuasa boleh disalahgunakan tanpa hukuman, maka tiada siapa yang selamat. Negara ini tidak boleh dibiarkan menjadi negara mafia, di mana manusia boleh lenyap tanpa kesan dan kebenaran dikorbankan demi melindungi institusi.
Justeru, kerajaan perlu mengambil keputusan mahkamah ini sebagai titik tolak perubahan dan pembaharuan institusi keselamatan, bukan sekadar sebagai sebuah episod undang-undang yang diselesaikan dengan bayaran ganti rugi.
Rakyat mahu lihat bahawa setiap pegawai, dari peringkat bawahan hingga atasan, yang terlibat dalam penculikan dan penghilangan ini mesti dikenakan tindakan tegas. Keadilan tidak boleh ditegakkan dengan kenyataan media; ia mesti dibuktikan melalui tindakan nyata.
Kesimpulan
Akhir sekali, keputusan ini sebenarnya bukan sekadar sebuah keputusan undang-undang tetapi menjadi tuntutan politik dan moral untuk seluruh rakyat bangkit dan bersuara, untuk berdepan dengan sebuah ketidakadilan, untuk bersama menuntut kebenaran dan keadilan.
Keputusan ini bukan tentang dua orang yang hilang semata-mata, tetapi tentang jati diri sebuah negara yang mendakwa dirinya berpegang kepada keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Jika pihak berkuasa, dan undang-undang gagal melindungi orang yang tidak bersalah, maka keadilan itu tidak lebih sekadar retorik di atas kertas.
Malaysia mesti memilih – sama ada kekal menutup kebenaran di balik uniform dan kuasa, atau berani membersihkan institusinya demi masa depan sebuah negara yang benar-benar aman, adil, dan manusiawi.
Manakala rakyat juga mesti memilih – sama ada untuk terus berada di bawah penguasa dan sistem sekular yang menindas dan menzalimi, atau berjuang untuk menegakkan sistem Islam (Khilafah) yang akan memerintah berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah dan menjadi rahmatan lil alamin.
Wallahu a’lam.