Kes Nik Elin: “Syariah” manakah yang ingin dipertahankan?

Tidak dinafikan bahawa sebahagian umat Islam yang berhimpun di Putrajaya semasa keputusan kes Nik Elin baru-baru ini berbuat demikian kerana sayangkan syariah. Malangnya, ada pihak yang menangguk di air keruh dan telah berjaya mengelirukan ramai orang dengan naratif yang dicipta.

Isu asalnya simple sahaja iaitu pertindihan bidangkuasa di antara DUN dan Parlimen. Oleh kerana ada pihak yang mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Persekutuan, maka mahkamah perlu memutuskan dengan merujuk kepada perlembagaan. Lalu diputuskanlah bahawa memang terdapat percanggahan, di mana DUN telah menggubal undang-undang yang termasuk dalam bidangkuasa persekutuan. Maka 16 seksyen yang bercanggah itu diputuskan sebagai terbatal dan tidak sah. Itulah isunya.

Sama ada kita setuju atau tidak dengan si pempetisyen, itu isu lain. Namun, sentimen yang dimainkan ialah syariah berada dalam keadaan terancam, kuasa mahkamah syariah semakin terhakis, Islam berada dalam keadaan bahaya dan macam-macam lagi naratif yang “menakutkan” telah dicipta. Bagi mereka yang malas berfikir, atau tidak mahu mengkaji, atau sudah selesa menjadi pak turut, maka mudahlah termakan dengan naratif tersebut.

Tolak ke tepi dahulu naratif yang dimomokkan, atau emosi yang membuak-buak dalam isu ini, persoalan pokok yang perlu dilihat ialah, adakah “mahkamah syariah” dan “undang-undang syariah” yang ada sekarang benar-benar syariah? Ini perlu dijawab terlebih dahulu sebelum berbicara mengenai ancaman kepada syariah, kerana kita perlu tahu “syariah” manakah yang sedang terancam itu.

Bidangkuasa mahkamah syariah di seluruh negeri di Malaysia adalah tertakluk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang mengehadkan hukuman hanya sebatas kepada penjara tidak melebihi 3 tahun, denda tidak melebihi RM5000 dan sebatan tidak melebihi 6 kali (dikenali sebagai hukuman 356).

Oleh itu, jika seseorang didapati bersalah dengan kesalahan zina, sebat maksimum yang boleh dikenakan hanyalah 6 kali, atau didenda maksimum RM5000 atau di penjara maksimum 3 tahun. Sedangkan di dalam Islam, penzina wajib disebat sebanyak seratus kali, dan Islam tidak pernah mengenal hukuman denda atau penjara ke atas penzina. Firman Allah (swt):

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan” [An-Nur (24): 2]

Jika seseorang di dapati bersalah dengan kesalahan meminum arak, maka had maksimum hukuman sama seperti di atas. Sedangkan dalam Islam, peminum arak wajib disebat sebanyak 40 atau 80 kali. Ali bin Abi Thalib (ra) menuturkan:

جَلَدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْبَعِينَ وَجَلَدَ أَبُو بَكْرٍ أَرْبَعِينَ وَعُمَرُ ثَمَانِينَ وَكُلٌّ سُنَّةٌ

“Rasulullah menyebat (peminum khamar) 40 kali, Abu Bakar menyebat 40 kali, Umar menyebat 80 kali. Masing-masing adalah sunnah. Dan ini adalah yang lebih aku sukai” [HR Muslim].

Begitu jugalah dengan kesalahan liwat di mana berdasarkan undang-undang yang ada sekarang, hukuman maksimum tetap sahaja 356. Sedangkan menurut Islam, peliwat dan orang yang diliwat apabila didapati bersalah wajib dihukum bunuh. Sabda Rasulullah (saw):

مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ

“Siapa sahaja yang kalian dapati melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (liwat), maka bunuhlah keduanya (peliwat dan yang diliwat)” [HR Tirmidzi, Abu Daud & Ibnu Majah].

Melihat kepada “undang-undang syariah” sekarang, dan dengan membandingkannya dengan hukuman yang ditetapkan di dalam Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya, maka hukuman “syariah” manakah yang sebenarnya sedang terancam sehingga perlu dipertahankan?

Semua tahu bahawa PMX dahulu pernah didakwa di mahkamah sivil atas kesalahan meliwat, tetapi pada waktu itu tidak pula muncul “hero-hero” yang menyatakan bahawa mahkamah syariah atau undang-undang syariah sedang terancam kerana PMX tidak dibicarakan di mahkamah syariah, kerana kesalahan liwat terdapat dalam enakmen jenayah syariah negeri.

Kita perlu faham bahawa semua kesalahan yang menyalahi syarak adalah kesalahan yang wajib dihukum mengikut hukum syarak seperti potong tangan untuk pencuri, bunuh untuk si murtad, qisas untuk si pembunuh, ta’zir untuk penjudi, pemakan riba, rasuah, pecah amanah, penyelewengan dan sebagainya. Namun, kesemua kesalahan ini tidak dianggap sebagai kesalahan syariah di Malaysia, tetapi termasuk dalam kesalahan sivil, dan dibicarakan di mahkamah sivil dan dihukum mengikut undang-undang sivil.

Jadi, undang-undang “syariah” yang manakah yang dikatakan sedang terancam?

Selesaikah Masalah Dengan Pinda Perlembagaan?

Setelah keluarnya keputusan kes Nik Elin, kini suara-suara untuk meminda perlembagaan semakin kuat kedengaran. Sungguh aneh bin ajaib kerana mereka seolah-olah tidak mengetahui bahawa dengan berbuat demikian, mereka telah mengiktiraf dan meletakkan perlembagaan sebagai lebih tinggi daripada syariah. Apa tidaknya, bukankah syariah itu datangnya dari Allah, dan perlembagaan itu datangnya dari manusia? Apakah untuk melaksanakan suatu yang diwajibkan oleh Allah memerlukan kelulusan daripada manusia terlebih dahulu?

Mereka marah apabila beberapa “undang-undang syariah” dibatalkan, dan mereka bersungguh-sungguh ingin mempertahankannya. Dalam masa yang sama, mereka jugalah yang bersungguh-sungguh mempertahankan perlembagaan sejak sekian lama. Tidakkah mereka sedar bahawa perlembagaan itu datangnya dari British si kafir penjajah? Adakah Lord Reid membelek helaian-helaian Al-Quran dan Al-Hadis semasa mendraf perlembagaan? Adakah British memberikan sebuah perlembagaan yang “patuh-syariah” kepada penduduk Tanah Melayu?

Bukankah perlembagaan yang selama ini menetapkan pembahagian kuasa antara persekutuan dan negeri? Bukankah perlembagaan yang selama ini mengehadkan kuasa negeri dalam hal syariah? Maka, sungguh hairan apabila ada pihak-pihak yang ingin mempertahankan syariah, tetapi dalam masa yang sama mempertahankan “kitab” yang selama ini menghalang penerapan syariah!

Sedarlah bahawa siapa pun yang menginginkan syariah perlu kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah, bukannya kembali kepada perlembagaan.

Sesungguhnya syariah tidak mungkin akan dapat diterapkan dalam sistem demokrasi, kerana Islam dan demokrasi adalah ibarat air dan minyak, yang tidak akan bercampur hingga kiamat. Mustahil untuk menyelamatkan syariah melalui sistem demokrasi, kerana kewujudan demokrasi itu sendiri adalah untuk menghalang penerapan syariah. Justeru, formulanya mudah sahaja iaitu siapa pun yang menginginkan syariah hendaklah menolak demokrasi.

Kita juga perlu sedar bahawa keputusan kes Nik Elin bukanlah menjadi “black Friday” buat umat Islam, kerana hakikatnya Malaysia bukanlah negara yang menerapkan syariah. Apabila tidak ada penerapan syariah, maka syariah manakah yang terjejas, sehingga naratif dicipta sedemikian rupa seolah-olah syariah telah hancur? Mana mungkin suatu yang tidak wujud boleh hancur?

Sesungguhnya umat Islam telah lama berada dalam keadaan “black”, iaitu sejak runtuhnya Khilafah pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924 M). Runtuhnya Khilafah bermakna runtuhnya syariah, dan diganti dengan negara dan sistem sekular yang datangnya daripada penjajah. Sejak itu, umat Islam setiap hari berada dalam keadaan “black” kerana hukum Allah tidak lagi menjadi hukum negara, sebaliknya diganti dengan hukum buatan manusia.

Jadi, untuk mengeluarkan umat ini daripada “black days”, kita semua wajib berusaha untuk menegakkan kembali Negara al-Khilafah ar-Rasyidah ala Minhaj Nubuwwah, yang dengannya sahajalah Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya dapat diterapkan secara kaffah, menggantikan sistem dan undang-undang sekular yang sedang mendominasi umat Islam sekarang.

Wallahu a’lam wa ahkam.